A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Diet & Penyakit
  6. /
  7. Penjagaan Pemakanan Bagi Pesakit...

Penjagaan Pemakanan Bagi Pesakit Ginjal Kronik

Penjagaan pemakanan bagi pesakit ginjal kronik bergantung kepada tahap kerosakan buah pinggang. Panduan ini adalah untuk pesakit yang belum menjalani rawatan dialisis (pre-dialisis). Adalah lebih baik sekiranya pesakit mengetahui keputusan ujian darah masing-masing untuk penjagaan dan kawalan yang lebih tepat.

Penjagaan pemakanan bagi pesakit ginjal kronik bergantung kepada tahap kerosakan buah pinggang. Panduan ini adalah untuk pesakit yang belum menjalani rawatan dialisis (pre-dialisis). Adalah lebih baik sekiranya pesakit mengetahui keputusan ujian darah masing-masing untuk penjagaan dan kawalan yang lebih tepat.

Faktor utama yang perlu diberi perhatian ialah:

    1. Garam
    2. Air
    3. Protein
    4. Kalium (Potassium), dan
    5. Fosfat

1. Mengapakah Kaki, Tangan dan Muka Saya Bengkak?

Bengkak atau sembab adalah disebabkan oleh air yang terkumpul di dalam badan. Ini berlaku kerana ginjal yang lemah/rosak tidak dapat menyingkirkan air yang berlebihan. Penjagaan garam dan cecair adalah penting untuk mengurangkan simptom/masalah bengkak ini.

Garam

Sekatan garam adalah sangat penting bagi pesakit yang mempunyai masalah ginjal.

Adalah mustahil untuk mengelak dari mengambil garam memandangkan garam terdapat secara semulajadi di dalam kebanyakan makanan. Bagaimanapun, jumlah penambahan garam ke dalam masakan atau makanan perlulah dikawal.

Makanan yang tinggi garam perlulah dielakkan. Garam (atau sodium) juga tersembunyi sebagai bahan pengawet di dalam makanan terproses. Oleh itu, pesakit digalakkan untuk membaca label sebelum memilih makanan yang siap dibungkus secara komersial.

Contoh makanan yang tinggi garam yang perlu dielakkan adalah seperti berikut:

  1. Ikan kering, telur asin, ikan jeruk, sayur asin
  2. Makanan terproses seperti daging burger, sosej, salami dan keju
  3. Kiub penambah perisa, Monosodium glutamate(MSG), mee segera, perencah segera
  4. Ekstrak daging/ayam/ikan (misalnya: Bovril, Marmite, pati ikan haruan)
  5. Kicap, sos, salad dressings
  6. Makanan di dalam paket/ tin yang ditambah bahan pengawet

Cecair

Sekatan air adalah berbeza mengikut individu bergantung kepada keupayaan ginjal menyingkirkan air dari tubuh.

Cecair didefinisikan sebagai sesuatu yang cair pada suhu bilik. Oleh itu selain air dan jus, makanan lain yang perlu diambil kira ialah bubur, sup, aiskrim, agar-agar, sherbet dan buah-buahan berair seperti tembikai dan lai.

Kesemua makanan ini akan menyumbang kepada jumlah pengambilan cecair harian pesakit. Cecair berlebihan boleh mempengaruhi tekanan darah dan akan membuatkan jantung bekerja keras.

2. Mengapakah Darah Saya Selalu Tidak Mencukupi?

Pesakit ginjal biasanya mengalami masalah kekurangan darah (anaemia). Ginjal berfungsi menghasilkan sejenis hormon (erithropoietin) yang mengawal pembentukan sel darah merah. Apabila hormon ini kurang atau terganggu penghasilannya akibat kerosakan buah pinggang, maka pembentukan sel darah merah juga akan terjejas.

Makanan berprotein boleh membantu menaikkan paras hemoglobin darah. Walau bagaimanapun, makanan berprotein setelah dihadamkan akan menghasilkan bahan buangan yang dinamakan urea. Ginjal yang lemah akan bermasalah untuk mengeluarkan urea dari tubuh. Sekatan ke atas jumlah protein dan pemilihan jenis protein yang betul, membantu melambatkan kadar kerosakan buah pinggang.

Jumlah makanan berprotein, iaitu lauk-pauk yang boleh diambil bergantung kepada berat badan dan tahap kegagalan buah pinggang seseorang. Biasanya saiz lauk perlulah dikecilkan berbanding dengan saiz pengambilan lauk yang biasa semasa buah pinggang masih sihat. Silalah berhubung dengan Pegawai Dietetik yang terdekat untuk mendapatkan saranan pemakanan yang lebih tepat dan terperinci secara individu.

3. Apakah yang Akan Terjadi Apabila Aras Kalium Tinggi?

Kalium adalah penting untuk mengawal saraf dan otot, terutamanya jantung, untuk bekerja dengan betul. Adalah berbahaya sekiranya jumlah kalium darah terlalu tinggi. Kalium yang berlebihan akan membuatkan degupan jantung yang luar biasa atau berhenti dengan tiba-tiba.

Kalium adalah sejenis mineral yang boleh didapati di dalam kebanyakan makanan. Buah pinggang berperanan untuk mengawal jumlah kalium yang betul di dalam tubuh. Buah pinggang yang lemah mengakibatkan kalium terkumpul di dalam darah.

Kalium terdapat di dalam kebanyakan makanan termasuklah hasil tenusu, daging, dan kekacang.

Tips pengurangan kalium:

  1. Kalium adalah larut air. Rendamlah makanan yang tinggi kalium di dalam air untuk mengurangkan jumlah kalium.
  2. Buang kulit dan empulur buah, misalnya epal, disebabkan kalium tinggi pada bahagian kulit dan empulur.

Sila rujuk senarai makanan yang mengandungi kalium di dalam jadual di bawah untuk maklumat lanjut. Untuk mengurangkan aras kalium darah, pilihlah makanan rendah kalium daripada jadual-jadual di bawah.

Berikut adalah antara makanan yang mengandungi kalium:

Perlulah diingatkan bahawa saranan kalium pesakit ginjal adalah kira-kira 1500-2000 mg sehari.

Jadual 1: Pengkelasan sayur-sayuran berdasarkan kandungan kalium

Rendah Kalium

<150 mg

Sederhana Kalium

150-200 mg

Tinggi Kalium

>200 mg

Kangkung

Kobis

Petola

Peria

Taugeh

Asparagus

Kacang Buncis

Kacang Bendi

Kacang Panjang

Labu Merah

Lobak Merah

Salad

Sengkuang

Terung

Tomato

Bayam

Brokoli

Cekur manis

Jantung pisang

Kailan

Petai

Sawi hijau

Ubi (kentang, keledek, keladi)

*Pengkelasan berdasarkan kandungan kalium bagi setiap 1/2 cawan sayur yang sudah dimasak.

Jadual 2: Pengkelasan buah-buahan berdasarkan kandungan kalium

Rendah Kalium

<150 mg

Sederhana Kalium

150-200 mg

Tinggi Kalium

>200 mg

Epal (1 biji)

Jambu batu

Nenas

Pir (1 biji)

Laici

Pisang kaki

Rambutan

Tembikai

Betik

Limau Tempatan (1 biji)

Anggur

Nangka

Ciku

Durian

Longan

Pic

Plum

Pisang (semua)

Oren import (1 biji)

Mangga

Kurma (5 biji)

*Pengkelasan berdasarkan kandungan kalium bagi setiap 1 cawan buah-buahan segar, kecuali jika dinyatakan sebaliknya.

Jadual 3: Pengkelasan minuman berdasarkan kandungan kalium

Rendah Kalium

<150 mg

Sederhana Kalium

150-200 mg

Tinggi Kalium

>200 mg

Minuman bersirap

Minuman barli

Teh cina

Air tebu

Jus buah-buahan

Minuman bercoklat

Air kelapa

*Pengkelasan berdasarkan kandungan kalium bagi setiap 1 gelas minuman.

Makanan lain yang tinggi kandungan kalium dan perlu dihadkan pengambilannya adalah seperti berikut:

  1. Kacang dan kekacang
  2. Rempah serbuk
  3. Gula perang
  4. Pes cili
  5. Makanan/minuman bercoklat
  6. Makanan yang mengandungi santan
  7. Buah-buahan kering
  8. Cendawan kering
  9. Pati ayam
  10. Asam jawa
  11. Makanan mil penuh (wholegrain)

4. Apakah yang Akan Terjadi Apabila Aras Fosfat Tinggi?

Ginjal berperanan penting di dalam keseimbangan fosfat dan kalsium di dalam tubuh. Apabila seseorang mengalami masalah buah pinggang, fosfat akan terkumpul di dalam darah. Fosfat yang banyak di dalam darah akan menarik keluar kalsium dari tulang.

Kehilangan kalsium dari tulang akan mengakibatkan tulang menjadi rapuh dan mudah retak atau patah.

Fosfat yang berlebihan juga boleh menyebabkan:

  1. Gatal pada kulit
  2. Kesakitan sendi
  3. Keradangan mata
  4. Saluran darah menjadi keras

Selepas ujian darah, pesakit perlulah mengetahui aras fosfat di dalam darah masing-masing. Tidak semua pesakit mempunyai aras fosfat yang tinggi. Penjagaan pemakanan adalah perlu sekiranya aras fosfat melebihi aras normal.

Ubat pengikat fosfat mungkin dipreskripsikan oleh doktor untuk mengawal aras fosfat pesakit. Ubat ini bertindak sebagai span untuk menyerap dan mengikat fosfat dari makanan semasa di dalam perut. Setelah diikat, fosfat tidak akan diserap ke dalam darah. Sebaliknya akan dikeluarkan bersama najis. Oleh itu ambillah ubat ini bersama makanan. Silalah merujuk kepada Doktor atau Pegawai Farmasi tentang cara yang betul pengambilan ubat pengikat fosfat ini untuk mendapatkan kesan yang optimum.

Untuk mengawal aras fosfat dalam darah, pilihlah makanan rendah fosfat dari senarai di bawah semasa memilih makanan.

Berikut adalah antara makanan yang mengandungi fosfat:

Perlulah diingatkan bahawa saranan fosfat pesakit ginjal adalah kira-kira 800-1000 mg sehari.

Jadual 4: Pengkelasan berdasarkan kandungan fosfat dalam minuman

Rendah Fosfat

<110 mg

Sederhana Fosfat

110-160 mg

Tinggi Fosfat

>160 mg

Air tebu

Krimer bukan tenusu

Sirap ros

Teh cina

Minuman kacang soya

Minuman kola

Minuman bercoklat/koko

Teh tarik

Kopi susu

*Pengkelasan berdasarkan kandungan fosfat bagi setiap 1 gelas minuman.

Jadual 5: Pengkelasan berdasarkan kandungan fosfat dalam makanan daripada kumpulan bijirin

Rendah Fosfat

<110 mg

Sederhana Fosfat

110-160 mg

Tinggi Fosfat

>160 mg

(1 cawan)

Kueh teow

Laksa

Mee kuning / bihun

Idli (1 keping)

Oats (2 sudu besar)

(1 cawan)

Mee goreng

Nasi

Roti putih (2 keping)

Putu mayam (1 keping)

(1 cawan)

Makaroni

Mee segera

(1 keping)

Chapati / Tosai

Roti canai

Jadual 6: Pengkelasan berdasarkan kandungan fosfat makanan sumber protein (lauk-pauk)

Rendah Fosfat

<110 mg

Sederhana Fosfat

110-160 mg

Tinggi Fosfat

>160 mg

Putih telur

(1 biji putih telur ? 5mg fosfat)

 

Ayam (90 gram)

Telur (1 biji dengan kuning telur)

(2 sudu makan)

Ikan bilis

Udang kering

(1/2 cawan)

Dhal

Kacang soya

Kebanyakan ayam, ikan & daging

(> 90gram)

Jadual 7: Pengkelasan berdasarkan kandungan fosfat buah-buahan dan sayur-sayuran

Rendah Fosfat

<110 mg

Sederhana Fosfat

110-160 mg

Tinggi Fosfat

>160 mg

Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran adalah rendah fosfat

Ubi kentang (1 biji)

(1 cawan)

Cendawan kering

Ubi kayu

Ubi keledek

Jadual 8: Pengkelasan berdasarkan kandungan fosfat 

Rendah Fosfat

<110 mg

Sederhana Fosfat

110-160 mg

Tinggi Fosfat

>160 mg

Tiada

Aiskrim (2 ceduk/scoop)

Keju (1 keping)

Susu pekat manis (2 sudu kecil)

Susu penuh krim (2 sudu besar)

Susu segar (1 gelas)

Jadual 9: Pengkelasan berdasarkan kandungan fosfat makanan ringan dan sapuan (spread)

Rendah Fosfat

<110 mg

Sederhana Fosfat

110-160 mg

Tinggi Fosfat

>160 mg

(1 sudu besar)

Jem / marjerin

(1 keping)

Apam

Karipap

Kuih sago

Popiah

Biskut cream crackers (3 keping)

Biskut coklat (4 keping)

Ubi kentang goreng (1 keping)

Muffin (1 biji)

Popcorn (50 gram)

Daging burger (1 keping)

Jagung (1 tongkol besar)

Mentega kacang (2 sudu besar)

Kek (1 keping)

 

5. Apakah Perkara Lain yang Perlu Diberi Perhatian?

Ramai pesakit ginjal kronik yang mempunyai penyakit kencing manis (diabetes mellitus). Penjagaan pemakanan untuk kencing manis perlulah dititikberatkan.

Selera makan pesakit ginjal selalunya berkurangan. Adalah penting untuk makan pada waktu yang tetap. Sekiranya kuantiti yang dimakan terlalu sedikit, pesakit dinasihatkan untuk cuba makan lebih kerap supaya jumlah pengambilan kalori harian mencukupi.

Rujukan

  1. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmedhealth/PMH0001503/
  2. http://www.medterms.com/script/main/art.asp?articlekey=7032
  3. http://www.uptodate.com/contents/protein-restriction-and-progression-of-chronic-kidney-disease
  4. http://www.dietitians.org.my/html/findadietitians.aspx
  5. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/001179.htm
  6. https://myhealth23.primuscore.com/myhealth/index.php/en/pemakanan/01diet-a-penyakit0102diet-a-disease02/01-pengurusan-pemakanan-pesakit-diabetes-mellitus-0102dietary-management-for-diabetes-mellitus02
Semakan akhir : 20 Ogos 2020
Penulis : Datin Nor Sharita binti Mohd. Saad
Penyemak : Nik Mahani binti Nik Mahmood

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia