A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Diet & Penyakit
  6. /
  7. Penjagaan Pemakanan Pesakit Hipotiroidisme

Penjagaan Pemakanan Pesakit Hipotiroidisme

Hipotiroidisme berlaku apabila kelenjar tiroid tidak aktif. Hormon tiroid yang dihasilkan terlalu sedikit dan tidak mencukupi. Risiko  penyakit hipotiroidisme adalah tinggi di kalangan wanita yang berumur 50 tahun ke atas, terutamanya yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit yang sama. Rawatan gantian hormon tiroid biasanya diperlukan untuk seumur hidup.

Pengenalan

Hipotiroidisme berlaku apabila kelenjar tiroid tidak aktif (1). Hormon tiroid yang dihasilkan terlalu sedikit dan tidak mencukupi. Risiko penyakit hipotiroidisme adalah tinggi di kalangan wanita yang berumur 50 tahun ke atas, terutamanya yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit yang sama. Rawatan gantian hormon tiroid biasanya diperlukan untuk seumur hidup.

Apakah kesan sampingan penyakit hipotiroidisme?

Walaupun terdapat banyak kesan sampingan dari penyakit hipotiroidisme seperti keletihan, sembelit, tekanan perasaan (2) tetapi perbincangan adalah ditumpukan kepada aspek yang berkaitan secara langsung dengan pemakanan iaitu peningkatan berat badan, kawalan kolesterol dan masalah sembelit.

Kawalan berat badan

Berat badan naik secara mendadak disebabkan oleh kadar metabolisma tubuh yang menjadi perlahan. Pesakit perlulah mengawal jumlah dan jenis makanan yang diambil untuk mengawal serta mengelakkan kenaikan berat badan yang berterusan.

Tips penjagaan berat badan(3):

  • Pesakit perlulah memilih makanan yang kurang berminyak seperti sup ayam, tom yam, asam rebus dan lauk yang dipanggang, kukus, bakar atau rebus.
  • Pilih nasi putih berbanding nasi berperisa seperti nasi lemak, nasi ayam, nasi minyak, nasi tomato dan nasi beriani.
  • Roti putih bolehlah digantikan dengan roti mil penuh (wholegrain). Ini akan memberikan tambahan jumlah serat.
  • Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran kerana ianya menyumbang kepada jumlah serat.
  • Waktu makan juga penting. Pesakit digalakkan makan pada waktu yang tetap. Eloklah sekiranya diawalkan waktu makan malam.
  • Makanan yang asli adalah lebih baik berbanding dengan makanan terproses.

Kawalan kolesterol

Pesakit hipotiroidisme terutamanya yang tidak menjalani rawatan, selalunya akan mengalami masalah kenaikan kolesterol. Kawalan dari segi pemakanan dapat membantu mengawal masalah ini. Sila rujuk topik kolesterol (4) di dalam portal ini untuk maklumat lanjut.

Sembelit

Pengambilan serat dan air yang mencukupi dapat membantu mengatasi masalah sembelit. Saranan pengambilan serat adalah  antara 25 gram hingga 30 gram sehari.

Makanan yang tinggi serat (5) termasuklah kekacang, kacang merah (kidney beans), epal, pir, brokoli, kobis bunga, bijirin penuh, termasuklah bran dan oat, badam, dan flaxseed. Amalkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari.

Minumlah 6-8 gelas air sehari dan apabila terasa dahaga.

Apakah perkara lain yang perlu diberi perhatian?

Amalkan cara hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal. Bersenam secara teratur mengikut saranan doktor dapat membantu menguatkan otot seterusnya mengatasi masalah berat badan.

Rujukan

  1. Cooper D., Michael M.D., & Leonard W., (2004). Hypothyroidism. Retrieved April 19, 2012 fromhttp://jcem.endojournals.org/content/89/11/0.2.full.pdf
  2. Mathur R., Hypothyroidism. Retrieved April 21, 2012 from http://www.medicinenet.com/hypothyroidism/page3.htm
  3. Melissa C.S. Weight loss. Retrieved April 21, 2012 from http://www.medicinenet.com/weight_loss/article.htm
  4. Mardan N.M., Mokhy M.S., Mohd Yazid S.F.Z. & Raib J, (July 14, 2008) Pengurusan pemakanan hiperkolesterolemia. Retrieved April 21, 2012 from https://myhealth23.primuscore.com/myhealth/index.php/en/pemakanan/01diet-a-penyakit0102diet-a-disease02/01pengurusan-pemakanan-hiperkolesterolemia0102dietary-management-for-hypercholesterolemia02
  5. Anderson, J., Perryman S., Young L., & Prior S. (October 27, 2011) Dietary fibre. Retrieved April 19, 2012 from http://www.ext.colostate.edu/pubs/foodnut/09333.html
Semakan Akhir : 20 Ogos 2020
Penulis : Datin Nor Sharita bt. Mohd Saad
Penyemak : Nik Mahani Binti Nik Mahmood

 

Artikel Berkaitan

Makanan Segera

Apakah itu makanan segera? Makanan segera kebiasaannya boleh diperolehi daripada

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia