A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Penjagaan Pesakit Mental

Penjagaan Pesakit Mental

Pengenalan

Fokus rawatan dan pemulihan pesakit mental telah di asimilisasikan dari penjagaan di Institusi Psikiatri kepada penjagaan di dalam komuniti. Ini bermakna tanggungjawab keluarga dan masyarakat setempat memainkan peranan penting dalam memberi sokongan terhadap proses rawatan dan pemulihan tersebut yang juga di kenali sebagai konsep deinstitulisasi. Selain itu, mereka juga perlu berhadapan dengan kesan langsung dan tidak langsung yang wujud akibat penyakit mental. Disebaliknya, persepsi umum mengatakan bahawa majoriti pesakit mental sentiasa tidak siuman, mengganas dan perlu di asingkan.  Mereka tidak boleh menjalani kehidupan biasa, tidak boleh bekerja, lemah semangat, suka menurut perasaan, mengada-ngada, kekadang baik, kadang-kadang jahat dan sengaja hendak perhatian orang lain. Oleh kerana itu, soal penjagaan di rumah ke atas ahli keluarga yang mengidap penyakit mental sering menjadi dilema di kalangan ahli keluarga dan masyarakat setempat.

Pentingnya Memahami Pesakit Mental

Pesakit mental samada mereka dari kalangan yang mengidap neurosis, psikosis ataupun kecelaruan personaliti mengalami tanda-tanda dan gejala yang berbeza. Ahli keluarga atau organisasi yang hendak memberi penjagaan hendaklah mempunyai pengetahuan mengenai tanda dan gejala penyakit, kaedah rawatan serta  pemulihan yang teratur dan berterusan. Ini untuk mengelak penyakit berulang dan menimbulkan tekanan kepada penjaga. Ini bermakna penjaga harus sentiasa sedar hakikat keadaan mereka agar dapat berinteraksi dan memberi reaksi yang betul dan rasional untuk mengelakkan konflik.

Penjagaan Di Rumah

Akta Kesihatan Mental 2001 menggalakkan keluarga menjaga pesakit mental yang dirawat sebagai pesakit luar mahupun yang baru discaj dari Hospital Psikiatri. Tidak dinafikan bahawa penjaga berhadapan dengan stigma sosial kerana menjaga pesakit mental di rumah, selain wujud kesan emosi seperti risau, tertekan, hilang harapan, malu dan juga kesan psikososial seperti masalah perbalahan sokongan di kalangan ahli keluarga, gangguan aktiviti sosial selain rasa keletihan yang keterlaluan. Penganalisaan latarbelakang penjaga dan latarbelakang pesakit akan membantu mengenalpasti permasalahan yang di hadapi oleh kedua-dua pihak samada pesakit ataupun penjaga dan pasukan multidisiplin psikiatri akan membantu permasalahan yang berkaitan.

Penjaga adalah mereka yang berhadapan secara langsung dengan pesakit mental ketika penjagaan di rumah, Penjaga ini di katogerikan sebagai penjaga tidak rasmi. Selain berperanan sebagai pekerja atau pelajar mereka adalah ibu, isteri atau anak kepada pesakit mental. Secara umumnya istilah penjagaan di rumah akan meliputi 3 aspek utama iaitu pertamanya penjagaan fizikal keatas akviti seharian seperti membantu membersihkan diri atau memandikan dan membawanya ke bilik air bagi pesakit mental yang mengalami komplikasi kesihatan yang lain, mengemas bilik tidur,  mencuci pakaian, membantu bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Ke-dua, memberi bantuan praktikal seperti mengambil ubat dari doktor; memberi ubat dan menemani melakukan aktiviti mengisi masa lapang. Selain itu juga penjaga sentiasa berwaspada dengan penjagaan emosi pesakit mental tersebut dan yang ke-tiga ialah tindakan advokasi iaitu berbincang dengan Pakar Psikiatri atau profesional mengenai tanda gejala yang berulang. Semasa manjalankan ketiga-tiga peranan tersebut, akan wujud komunikasi lisan dan bukan lisan antara penjaga dan pesakit mental yang akan menimbulkan suasana tenang ataupun provokasi.

Perkara paling utama yang perlu di beri perhatian ialah memastikan pesakit mendapat rawatan yang teratur samada pemakanan ubat harian ataupun suntikan berkala. Adalah penting bagi penjaga melihat perubahan emosi pesakit mental dan jika di dapati emosinya tidak stabil, elak untuk terus berkomunikasi dengan pesakit, memanggil dengan nama dan nada suara yang bersesuaian.  Seterusnya, seberapa yang boleh, galakkan agar pesakit melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang telah disusun untuk mereka. Contohnya penjaga membawa mereka ke Pusat Pemulihan Psikososial (PSR) yang diwujudkan di Klinik-Klinik Kesihatan terpilih di seluruh Malaysia. Di sini, mereka dilibatkan dalam latihan-latihan bagi memudahkan dan meningkatkan keupayaan individu serta proses sosialisasi supaya mereka dapat mencapai tahap kefungsian optima untuk hidup berdikari dalam masyarakat. Konsep yang lebih luas yang cuba di terapkan ialah mengurangkan jarak pengasingan antara masyarakat setempat dengan golongan pesakit mental. Kakitangan yang profesional, terlatih akan sentiasa berusaha membantu meningkatkan fungsi intelek, sosial dan keupayaan berdikari pesakit mental dengan sokongan komuniti setempat. Mereka boleh mengadakan kursus-kursus berkaitan memahami penyakit mental, penjagaan diri, pemulihan dan penyembuhan pesakit, menangani krisis, ubat penyakit mental serta hak pesakit mental dan advokasi.

Untuk makluman, Program PSR itu telah dimulakan semenjak tahun 2000. Tiga PSR yang terawal yang ditubuhkan ialah di Pendang Kedah, Pekan Nenas Johor dan Ipoh Perak. Sehingga kini terdapat lebih kurang 12 buah PSR diseluruh Malaysia.

Banyak lagi program yang memberi sokongan kepada penjagaan pesakit mental di rumah seperti khidmat Komuniti Psikiatri dan Kumpulan Sokongan Pesakit Mental Dalam Komuniti. Keluarga boleh terlibat secara langsung untuk membincangkan perkembangan dan permasalahan penjagaan agar   pertolongan dan bantuan yang sewajarnya dapat di berikan dalam menangani ahli keluarga yang mengidap penyakit mental di rumah. 

Tidak dinafikan ada ahli keluarga yang merasa gagal untuk menjaga pesakit di rumah dan mula membuat ‘pengasingan’ dengan mengurung atau menempatkan mereka di luar bahagian rumah yang membawa maksud kontak fizikal dan komunikasi yang paling minima dengan pesakit. Pengurungan itu sebenarnya boleh merencatkan perkembangan pesakit baik daripada segi keupayaannya untuk belajar, berhubung dengan orang lain malah berdikari. Keluarga mungkin rasa ‘selamat’, namun bagi pesakit, ianya akan menimbulkan ketegangan dan memungkinkan simptom berulang akibat ‘relapse’.

Penjagaan Di Institusi

Seksyen 26 hingga 28  Akta Kesihatan Mental 2001 memberi peruntukan bagi penubuhan Pusat-Pusat Kebajikan Psikiatri oleh kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan termasuk swasta. Kemasukan antara lain adalah untuk memberi kemudahan kepada penjaga yang tidak dapat menjaga ahli keluarga yang mengidap penyakit mental di rumah (seksyen 31(1)(b)). Peraturan-peraturan tertentu digunapakai bagi mereka yang ditempatkan di Institusi Psikiatri termasuklah penjagaan secara rasmi oleh profesion yang berkaitan. Ini tidak bermakna penjaga di kalangan keluarga ‘dibebaskan’ dari memberi penjagaan ke atas pesakit-pesakit ini. 

Skim Bantuan Kepada Pesakit Mental / Keluarga

Pendaftaran Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh di buat untuk pesakit mental yang telah mendapat rawatan sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut dan di sahkan oleh Pakar Psikiatri sebagai Kurang Upaya Mental. Ia merujuk kepada keadaan penyakit mental yang teruk menyebabkan seseorang Itu tidak berupaya berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan dirinya atau perhubungan dalam masyarakat dengan penilaian pakar ke atas tahap kefungsian sosial, kognitif dan kawalan tingkah laku pesakit terjejas dengan ketara atau teruk.

Skim-skim bantuan praktikal dan pemulihan oleh agensi pemberi bantuan samada kerajaan atau NGO adalah berdasarkan kepada penilaian ke atas keperluan bantuan tersebut termasuklah rawatan perubatan dan program pemulihan. .

Bagi pesakit mental kanak-kanak, bergantung kepada diagnosis pakar dan katogeri OKU mereka, terdapat kemudahan-kemudahan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, Sekolah-Sekolah Pendidikan Khas dan Pusat Kebajikan bagi tjuan pendidikan, jagaan dan perlindungan samada secara harian ataupun penjagaan institusi.

Kesimpulan

Keupayaan merawat dan menyediakan penjagaan di rumah banyak bergantung kepada latar belakang psikologi, taraf sosio-ekonomi pesakit dan penjaga apabila sistem keluarga masakini telah mengecilkan peranan menjadi keluarga nukleas. Sumber-sumber dalam komuniti sepatutnya dilihat sebagai jaringan kerjasama dan komponen pelengkap bagi penjagaan pesakit mental dalam komuniti samada dijaga oleh keluarga mahupun pusat-pusat penjagaan harian / instutusi. Sistem sokongan sosial ini perlu di perkukuhkan terlebih dahulu sebelum pesakit didiscaj dari institusi kesihatan bagi mempastikan kejayaan penjagaan dalam komuniti. Perkara yang penting adalah peluang dan sokongan dari masyarakat dalam meningkatkan kefungsian sosial mereka. Ini sekaligus dapat meringankan beban penjagaan pesakit mental dalam komuniti.

Jaringan kolaborasi inter dan intra agensi yang memberi perkhidmatan perlu memperincikan program intervensi yang ditawarkan. Dengan ini matlamat program deinstitulisasi bagi pesakit mental menjadi satu program yang amat berkesan akan dapat direalisasikan.  

Rujukan

  1. Akta Kesihatan Mental 2001
  2. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2001). Garis panduan perlaksanaan perkhidmatan psikososial bagi pesakit mental di penjagaan kesihatan primer. Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga.
  3. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2009). 20 Mei.
  4. https://myhealth23.primuscore.com/myhealth
  5. Goldman, H. H. (1982). Mental illness and family burden: a public health perspective. Hospital and Community Psychiatry, 33,357-560
  6. Larson, J.E., & Corrigan, P. (2008). The stigma of families with mental illness. Academic Psychiatry: the Journal of the AmericanAssociation of Directors of PsychiatricResidency Training and the Association for Academic Psychiatry, 32(2), 87-91
Semakan Akhir : 16 Oktober 2017
Penulis : Pn. Sorihayati Binti Bai
Akreditor : Tn. YM Ku Abdul Halip Bin Haji YM Yaakob

Artikel Berkaitan

N

Tiada Audio

O

Osteoarthritis Osteoporosis

MAMOGRAFI

Mamografi ialah pemeriksaan x-ray ke atas payudara sebagai salah satu langkah pengesanan awal bagi kanser payudara jika wujud tanda-tanda seperti ketumbuhan (Lump) dan kesakitan payudara (breast pain).

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia