A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Penyakit Hidung, Telinga &...
  8. /
  9. Penjagaan Suara untuk Guru-guru

Penjagaan Suara untuk Guru-guru

Suara dikatakan bermasalah apabila kualiti suara dari aspek kelangsingan suara dan kekuatan suara berubah dari suara kebiasaan sebelum ini.

Pengenalan

Suara merupakan kunci utama yang diperlukan dalam profesyen perguruan di seluruh dunia. Hal ini disebabkan suara sangat diperlukan dalam sesi pembelajaran di dalam kelas, memberi arahan, mengekalkan disiplin dan memberi sokongan kepada pelajar-pelajar di dalam kelas atau di sekolah. Persekitaran sekolah yang bising serta tahap pengetahuan dalam penggunaan dan penjagaan suara yang rendah menjadikan profesyen perguruan adalah profesyen yang berisiko tinggi mengalami masalah suara.

Apa itu Masalah Suara?

Suara dikatakan bermasalah apabila kualiti suara dari aspek kelangsingan suara dan kekuatan suara berubah dari suara kebiasaan sebelum ini. Suara dikategorikan bermasalah apabila penutur melaporkan ketidakselesaan atau sakit ketika menyanyi atau bercakap (ASHA, 2004).

Roy, Merrill, Thibeault, Parsa, Gray, Smith, (2004), mendefinisikan masalah suara apabila suara tidak dapat berfungsi, atau suara yang keluar adalah suara yang tidak sepatutnya dan seterusnya mengganggu komunikasi individu tersebut. Walaubagaimanapun, definisi suara normal dan suara tidak normal adalah bergantung kepada orientasi seseorang dalam membuat penilaian masalah suara individu lain.

Masalah suara sering dilaporkan dalam kalangan guru berbanding profesyen lain. Masalah suara ini banyak mengganggu guru-guru perempuan berbanding guru-guru lelaki. Mereka melaporkan bahawa mereka sering menghadapi masalah suara sewaktu menjalani karier sebagai guru (Kooijman et al., 2007) dan 52% pelajar-pelajar perguruan mempunyai masalah suara ketika tahun akademik (Miller & Sloane, 2002).

Gambar: Penilaian Pita Suara oleh doktor ENT menggunakan Skop Feksible Sumber: Unit Terapi Pertuturan, Hospital Kuala Lumpur

 

Kenapa guru sering menghadapi masalah Suara?

  1. Penggunaan suara yang berlebihan

  2. Kurang masa pemulihan suara

  3. Terdedah dengan habuk dan persekitaran berdebu

  4. Keperluan menggunakan suara yang kuat sewaktu mengajar

  5. Persekitaran kelas yang kurang akustikal

  6. Persekitaran bising di dalam dan di luar kelas

  7. Kekurangan latihan penggunaan suara yang betul

  8. Tekanan/ penat/ kurang rehat

  9. Kegagalan mengenalpasti simptom-simptom penyalahgunaan suara

  10. Kekurangan ilmu/pengetahuan atau kesedaran penggunaan serta penjagaan suara

  11. Ketiadaan pencegahan penjagaan suara

Simptom-simptom Awal Kepenatan Suara

  1. Kerap penat bila banyak bercakap

  2. Sakit tekak yang kerap seperti rasa perit dan tidak selesa

  3. Rasa tekanan atau sempit pada bahagian tekak apabila bercakap

Gambar: Sakit tekak yang kerap

Simptom-simptom Kepenatan Suara

  1. Suara serak/ pecah/ kasar/ garau

  2. Perlu bekerja keras untuk menghasilkan suara (effortful voice)

  3. Rasa tidak selesa bila bercakap

  4. Pengurangan julat kelangsingan dan fleksibiliti suara

  5. Sukar melontarkan suara kuat

  6. Sukar mengawal kualiti suara

  7. Simptom bertambah apabila kerap bercakap dalam sehari/ seminggu

  8. Suara kembali baik apabila mendapat rehat yang panjang

Apabila kepenatan suara berlaku dengan peningkatan frekuensi suara, ini akan menyebabkan seseorang individu mula memaksa otot-otot di sekitar leher bekerja dengan lebih keras bagi memaksa menghasilkan getaran pada pita suara untuk memastikan suara yang dihasilkan adalah jelas. Keadaan yang berterusan akan menyebabkan berlakunya masalah suara yang lebih teruk di kalangan guru-guru.

Bagaimana menjaga suara?

  1. Bercakap dengan menggunakan postur badan dan sokongan pernafasan yang betul

  2. Buat latihan memanaskan suara sebelum sesi mengajar bermula

  3. Jangan bercakap dalam persekitaran yang bising. Bercakap dengan pelajar apabila kelas kembali senyap

  4. Kurangkan menjerit di dalam kelas. Dapatkan perhatian pelajar-pelajar di dalam kelas dengan membunyikan loceng, menepuk tangan atau menepuk meja sebelum memberi arahan

  5. Suara sering berkait rapat dengan emosi. Tekanan/kemurungan boleh mempengaruhi kualiti suara

  6. Pengambilan air yang kerap. Sekurang-kurangnya 6-8 gelas sehari/ 2 liter sehari. Digalakkan minum sewaktu sesi mengajar kerana guru terdedah dengan habuk di dalam kelas

    Gambar : Pengambilan air yang mencukupi
  1. Tidak merokok atau minum minuman keras

  2. Guru perlu bergerak ke tengah kelas ketika mengajar agar pelajar di bahagian belakang dapat mendengar suara guru tanpa perlu menjerit kuat.

  3. Bercakap dengan jelas menggunakan kadar pertuturan yang perlahan agar arahan tidak perlu diulangi

  4. Jika suara serak, jangan berbisik.

  5. Jika suara serak, kurangkan bercakap atau menyanyi. Rehatkan suara sekurang-kurangnya 15 minit di antara sesi mengajar.

  6. Gunakan alat bantuan suara (voice amplifier).

  7. Jika suara serak berterusan sila dapatkan nasihat doktor/ Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) yang bertauliah

Rujukan

  1.  Roy, N., Merrill, R. M., Thibeault, S., Parsa, R. a, Gray, S. D. & Smith, E. M. 2004. Prevalence of voice disorders in teachers and the general population. Journal of speech, language, and hearing research?: JSLHR, 47(2), 281–93. doi:10.1044/1092-4388(2004/023)

  2. Kooijman, P.G.C., Thomas, G., Graamans, K. & de Jong F.I.C.R.S 2007. Psychosocial impact of the teacher’s voice throughout the career. Journal of Voice 21 (3): 316-324

  3. Sapir, S. & Keidar, A. 1993. Vocal attrition in teachers: Survey finding. European Journal of Disorders of Communication 28 (2): 177-185

  4. Sala, E., Laine, A., Simberg, S., Pentti, J. & Suonpää, J. 2001. The Prevalence of Voice Disorders Among day care Center Teachers Compared with Nurses: A Questionnaire and Clinical Study. Journal of Voice 15(33): 413-423

  5. Trial, R. C., Gray, S. D., Dove, H., Corbin-lewis, K. & Stemple, J. C. 2001. An Evaluation of the Effects of Two Treatment Approaches for Teachers With Voice Disorders?: A Prospective (April), 286–296.

  6. Russell, A., Oates, J., Greenwood, K.M. 1998. Prevalence of Voice Problems in Teachers. Journal of Voice 12(4): 467-479

  7. Thomas, G., Kooijman, P.G.C., Cremers, C.W.R.J., & de Jong, F.I.C.R.S. 2006. A comparative study of voice complaints and risk factors for voice complaints in female student teachers and practicing teachers early in their career. Eur Arch Otorhinolaryngol 263: 370-380

  8. http://www.voicecareaustralia.com.au

  9. www.voicecareforteachers.com

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Rosmah Suriani bt Mohd Raini
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

Keabnormalan Embrio

Pengenalan Perkembangan embrio selepas persenyawaan telur dengan sperma, akan dinilai

Merancang Keluarga

Kenapakah saya perlu mengambil berat mengenai perancang keluarga? Merancang keluarga

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia