A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penstabilan Gigi

Pengenalan

Adalah prosedur pergigian untuk menstabilkan gigi yang longgar  melalui beberapa prosedur. Ianya dijalankan di klinik pergigian atau di jabatan kecemasan dan kemalangan bergantung kepada jenis kes.

Punca Ketidakstabilan Gigi

Setiap gigi mempunyai struktur dan bentuk yang berbeza. Fungsi setiap gigi juga berbeza. Sebagai contoh gigi hadapan tidak boleh diganti dengan gigi belakang kerana fungsi yang berbeza dalam kegigian rahang.

Gigi menjadi longgar disebabkan faktor luaran dan dalaman. Faktor dalaman  yang menyebabkan gigi longgar adalah berpunca dari masalah penyakit gusi dan gigitan abnormal. Penyakit gusi adalah masalah utama yang menyebabkan gigi longgar pada pesakit. Ia akan menyebabkan kerosakan yang berterusan pada tulang dan tisu yang menyokong gigi tersebut dan akan menyebabkan kerosakan kekal pada struktur tulang dan sebagainya. Kerosakan tulang kekal akan menyebabkan kehilangan struktur pemegang gigi pada kedudukan normal. Ini akan menyebabkan gangguan pada gigitan/pengunyahan pesakit.

Faktor luaran yang menyebabkan gigi longgar adalah akibat daripada trauma berpunca dari kemalangan, pergaduhan dan penderaan . Trauma pergigian adalah punca utama gigi longgar pada kanak-kanak dan remaja. Trauma pergigian juga boleh  menyebabkan kepatahan gigi. Dalam beberapa kes, kepatahan tulang rahang juga boleh berlaku.

Pengisaran gigi pada waktu malam boleh menyebabkan kecederaan pada tisu sokongan gigi seperti tulang dan sebagainya. Pesakit yang mempunyai gigitan traumatik/abnormal juga boleh menyebabkan gigi menjadi longgar.

Tanda Klinikal

Gigi pesakit longgar dan mungkin terdapat gusi berdarah dan bau mulut yang tidak enak. Akar gigi mungkin terdedah akibat daripada kehilangan pegangan gusi dan tulang dan menyebabkan gigi menjadi sensitif.

Impak kepada kesihatan

Masalah gigi longgar boleh menyebabkan gangguan kepada pesakit dari segi pengunyahan makanan. Sekiranya ia berpunca dari masalah gusi, ianya boleh menyebabkan akar gigi terdedah dan gusi akan berdarah beserta bau mulut yang tidak enak. Ini boleh menyebabkan pesakit akan menjadi malu dan kurang keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat

Jenis-Jenis Splin

Gigi longgar boleh distabilkan dalam kedudukan berfungsi dengan cara pensplinan gigi melalui pengikatan gigi yang longgar dengan gigi yang kukuh. Ia bertujuan untuk membantu gigi longgar dalam proses pengunyahan dengan cara perkongsian beban gigitan pada seluruh kegigian.

Pensplinan sementara dilakukan dengan menggunakan komposit ataupun komposit dengan wayar. Jikalau masalah gigi longgar tersebut berpunca dari masalah gigitan abnormal atau pengisaran gigi, splin gigitan digunakan. Rawatan penstabilan gigi secara ortodontik melalui pemasangan wayar arkus dan breket juga boleh digunakan untuk penstabilan gigi

Jika punca kelonggaran gigi adalah penyakit gusi, rawatan gusi perlu dilakukan juga. Pesakit juga perlu mengambil pemakanan lembut sepanjang tempoh rawatan atau sehingga di beritahu oleh perawat. Prognosis gigi longgar tersebut mestilah diteliti sebelum sebarang rawatan dijalankan. Sila berjumpa dengan doktor pergigian/pakar pergigian yang berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan terperinci dan konsultasi tentang pilihan rawatan yang ada

Rujukan

  1. www.dentaltraumaguide.com
  2. www.fibrebond.biz/patients/periodontal-splints.php
  3. www.aae.org/patients/treatments-and-procedures/traumatic-dental-injuries
  4. http://www.deardoctor.com/inside-the-magazine/issue-15/splinting-treatment-for-loose-teeth
Semakan Akhir : 3 Jun 2014
Penulis : Dr. Nazer b. Berahim

 

Artikel Berkaitan

Amalan Penjagaan Kesihatan Pergigian Bagi Pesakit Kanser Mulut

Lawatilah doktor gigi anda sebelum memulakan  rawatan kanser sebagai persediaan untuk mengelakkan sebarang risiko semasa kemoterapi atau radioterapi dijalankan. Teruskan dengan pengamalan  penjagaan gigi yang baik walaupun rawatan kemoterapi atau radioterapi telah selesai untuk mengelak sebarang risiko penyakit di masa hadapan.

Laser Dalam Rawatan Pergigian

Rawatan laser adalah selamat dan berkesan. Namun, kos penggunaan laser dalam rawatan rutin adalah lebih tinggi berbanding dengan keberkesanan yang setanding dengan rawatan pergigian konvensional.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia