Penyakit Gusi bagi Remaja
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Gusi?
Gusi, yang biasa disebut orang, secara saintifiknya adalah dimaksudkan kepada periodontium, iaitu, tisu-tisu yang menyokong gigi, termasuk gusi (gingiva).
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Penyakit Periodontium (Gusi)?
Penyakit gusi ialah jangkitan pada gusi dan tisu penyokong gigi. Penyakit ini dibahagikan kepada dua peringkat:
- Gingivitis ialah penyakit gusi peringkat awal yang hanya melibatkan tisu gingiva (gusi) sahaja.
- Periodontitis pula adalah penyakit periodontium (Gusi) yang lebih parah dan melibatkan bahagian akar gigi dan tulang penyokong gigi.
Gingivitis merupakan penyakit gusi yang sering dihidapi oleh kumpulan remaja, manakala, masalah periodontitis pula jarang-jarang sekali terdapat di kalangan mereka.
Apakah penyebab penyakit gusi?
Penyebab utama penyakit gusi adalah plak gigi.
Faktor-faktor sekunder lain yang menyumbang kepada penyakit ini terdiri dari faktor lokal dan sistemik :
Faktor Lokal termasuklah:
- Ketidakupayaan memberus gigi dengan sempurna
- Merokok atau mengunyah tembakau
- Memakai aplians ortodontik
- Tabiat mengetam atau mengetap gigi
- Penyakit diabetes
Faktor Sistemik pula termasuklah:
- Faktor keturunan
- Perubahan hormon ketika haid atau semasa mengandung
- Stres
- Kesan sampingan pengambilan ubat-ubatan
- Sistem penghadaman yang kurang baik
- Penyakit sistemik yang mengurangkan daya ketahanan badan melawan penyakit seperti kencing manis dan HIV/AIDS
Adakah anda mengalami penyakit periodontium (gusi)?
Ramai orang tidak menyedari yang mereka menghidap penyakit periodontium (gusi). Periodontium (Gusi) berpenyakit selalunya tidak menyakitkan.
Antara tanda-tanda dan gejala penyakit periodontium (gusi) :
- gusi menjadi merah dan bengkak
- gusi mula menyusut dan mendedahkan bahagian akar gigi
- gusi di sekeliling gigi akan bernanah
- nafas berbau (halitosis)
- rasa tidak selesa di dalam mulut
- gigi mulai longgar
Berita baik
Penyakit Peridontium diperingkat awal (gingivitis) boleh dicegah dengan memberus gigi secara berkesan. Dapatkan nasihat dan pelajari teknik memberus gigi yang berkesan daripada doktor pergigian anda.
Apakah yang patut dilakukan supaya periodontium (gusi) anda sentiasa sihat?
- Amalkan penjagaan kesihatan mulut yang baik dengan :
- memberus gigi
- menggunakan flos
- Tidak merokok
- Dapatkan pemeriksaan pergigian berkala dan dapatkan rawatan yang perlu
Penyakit Gusi bagi Dewasa
Latar belakang
Penyakit periodontium (gusi) boleh dikategorikan mengikut peringkat atau tahap kerosakan.
- Gingivitis adalah peringkat awal penyakit yang hanya melibatkan gusi (gingiva) sahaja.
-
Periodontitis adalah peringkat penyakit yang lebih teruk di mana jangkitan telah merebak ke akar gigi dan melibatkan tulang serta struktur tisu penyokong gigi.
Adakah penyakit perodontium (gusi) biasa terjadi?
Ya, ramai orang mengalami masalah perodontium (gusi).
Kajian National Oral Health Survey of Adult 2000, Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan 9 daripada 10 orang dewasa Malaysia mengalami pelbagai peringkat penyakit perodontium (gusi).
Apakah yang menyebabkan penyakit gusi ?
Plak gigi merupakan penyebab utama penyakit gusi.
Walau bagaimanapun terdapat faktor-faktor lain yang turut menyumbang kejadian penyakit gusi seperti :
Faktor Lokal :
- Kalkulus atau plak gigi yang telah keras
- Kerosakan gigi
- Gigi palsu ( dentur )
- Mulut kering
Faktor Sistemik :
- Merokok
- Diabetes
- Stres
- Sebahagian ubat-ubat untuk masalah perubatan seperti epilepsi dan tekanan darah tinggi
- Perubahan hormon contohnya semasa mengandung
Apakah gejala dan tanda-tanda penyakit perodontium (gusi) ?
Anda mungkin akan mengalami keadaan berikut:
- Gusi berdarah
- Gusi merah dan bengkak
- Gigi longgar
- Berubah dari kedudukan asal (tersesar )
- Nafas berbau ( halitosis )
- Gusi mula menyusut dan mendedahkan bahagian akar gigi.
- Gangguan deria rasa
- Ada kalanya sakit
Beberapa fakta mengenai penyakit perodontium (gusi).
- Penyakit perodontium (gusi) selalunya tidak sakit dan ramai orang tidak sedar yang mereka mengalaminya.
- Semasa mengandung atau datang haid, gusi boleh membengkak dan sakit kerana perubahan hormon.
- Penyakit gusi boleh menyebabkan implikasi sosial kerana ia berkaitan dengan nafas berbau dan penampilan yang kurang menarik.
- Kehilangan gigi.
Bagaimana mencegahnya?
Kesihatan gigi yang baik perlu dicapai melalui amalan :
- Penjagaan kebersihan mulut yang baik dengan:
- Berus gigi sehingga bersih
- Gunakan flos
- Berkumur-kumur
- Makan secara sihat, hadkan pengambilan makanan ringan dan kurangkan gula dalam makanan.
- Tidak merokok
- Lawatan berkala ke klinik pergigian.
Penyakit Gusi bagi warga Emas
Latar belakang
Gingivitis ialah penyakit gusi peringkat awal yang hanya melibatkan tisu gusi sahaja.
Periodontitis pula adalah penyakit gusi yang lebih parah dan melibatkan bahagian akar dan tisu penyokong gigi. Penyakit gusi merupakan punca utama kehilangan gigi di kalangan warga emas.
Ramaikah yang mengidap penyakit ini?
Ya, ramai orang mengalami masalah gusi.
Kajian National Oral Health Survey of Adult 2000, Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan 9 daripada 10 orang Malaysia yang kategori umur 55 tahun ke atas mengalami pelbagai peringkat penyakit gusi.
Apa yang menyebabkan penyakit gusi?
Plak gigi merupakan penyebab utama penyakit gusi.
Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang menyumbang ke arah penyakit ini, antaranya;
Faktor Lokal :
- Karang gigi (kalkulus)
- Gigi palsu yang rosak atau kotor
- Mulut kering (xerostomia)
Faktor Sistemik :
- Merokok
- Stres
- Diabetes
- Ubat-ubatan tertentu untuk merawat masalah kesihatan seperti epilepsi dan tekanan darah tinggi
- Masalah hormon terutamanya di kalangan wanita yang berusia
Apakah tanda-tanda penyakit gusi?
Ramai orang menghidapi penyakit ini tanpa menyedarinya. Penyakit gusi mempunyai tanda-tanda berikut:
- Gusi mudah berdarah
- Gusi merah dan membengkak
- Gigi longgar
- Berubah dari kedudukan asal
- Gigi kelihatan lebih panjang
- Nafas berbau (halitosis)
- Gigi kelihatan tidak rapat
Penyakit gusi yang tidak dirawat boleh menyebabkan
- Sakit dan bengkak yang berulang
- Kehilangan gigi
Apa yang perlu anda lakukan supaya gusi kekal sihat?
Penyakit periodontium (gusi) dapat dicegah dengan:
- mengamalkan penjagaan kesihatan mulut yang baik
- berus gigi sehingga bersih
- gunakan flos
- mendapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala
- Jangan merokok
- Jika anda menghidapi penyakit lain, sila berjumpa / dapatkan rawatan dengan doktor / pakar anda.
Semakan Akhir | : | 20 April 2012 |
Penulis | : | Dr. Azillah bt. Mohd Ali |
Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar | ||
Dr. Sharol Lail b. Sujak | ||
Dr. Chew Yoke Yuen | ||
Dr. Norrizan bt. Basir | ||
Dr. Doreyat b. Jemun | ||
Penyemak | : | Dr. Ahmad Sharifuddin b. Mohd Asari |