A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Pil Pencegah Kehamilan
  8. /
  9. Penyalahgunaan Pil Pencegah Kehamilan

Penyalahgunaan Pil Pencegah Kehamilan

Pengenalan

Kontraseptif atau lebih dikenali sebagai perancangan keluarga adalah satu kaedah mencegah kehamilan. Kaedah mencegah kehamilan termasuk penggunaan hormon, penggunaan kondom atau diafragma, alat pencegahan kehamilan di dalam rahim (intra-uterine device, IUD) dan prosedur pembedahan seperti vasektomi atau mengikat tuib fallopio. Penggunaan hormon sebagai kontraseptif adalah salah satu kaedah yang berkesan dan mudah untuk mencegah kehamilan. Terdapat pelbagai jenis kontraseptif hormon di pasaran, termasuk pil pencegahan kehamilan (oral contraceptive pill, OCP), suntikan, implan, tampalan dan cincin faraj. OCP adalah pilihan yang banyak digunakan oleh wanita di seluruh dunia sebagai perancang keluarga.

Pil Pencegahan Kehamilan (oral contraceptive pill, OCP)

Kegunaan:

Untuk mencegah kehamilan atau digunakan untuk indikasi lain seperti pengawalan kitaran haid yang tidak teratur, pendarahan rahim, Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS), jerawat, endometriosis dan lain-lain.

Jenis OCP:

Secara amnya, OCP dibahagikan kepada dua kategori:

Pil Pencegahan Kehamilan Campuran: mengandungi estrogen dan progestogen, sama ada dalam sukatan dos yang sama atau berbeza dalam setiap pil. Pil ini biasanya dipasarkan dalam bilangan 21 biji pil di mana 1 biji pil diambil setiap hari, diikuti dengan 7 hari tanpa pil; atau dalam bilangan 28 biji pil di mana 1 biji pil diambil setiap hari tanpa tempoh rehat.

Pil Pencegahan Kehamilan Progesteron sahaja: mengandungi progesteron sahaja di dalam setiap pil dan merupakan alternatif apabila estrogen tidak boleh diambil oleh seseorang individu. Pil ini dipasarkan dalam bilangan 28 biji pil dan 1 biji pil diambil setiap hari. Pil jenis ini adalah pilihan OCP yang sesuai untuk ibu yang sedang menyusu.

Sejenis lagi OCP adalah Pil Pencegahan Kehamilan Kecemasan yang mengandungi levonorgestrel, sejenis progestogen. Ia digunakan untuk mencegah kehamilan selepas hubungan kelamin tanpa perlindungan atau jika sesuatu kaedah kontraseptif lain telah gagal. Oleh itu ia harus diambil secepat mungkin selepas hubungan kelamin yang tidak dilindungi. Pil jenis ini tidak boleh digunakan sebagai kaedah kontraseptif biasa.

Cara Bertindak

OCP bertindak dengan menukarkan paras hormon di dalam badan dan mencegah ovulasi di mana tiada ovum yang akan dilepaskan dari ovari. Ia juga bertindak dengan menebalkan mukus di serviks untuk mengurangkan peluang kemasukan sperma di rahim dan juga menipiskan lapisan rahim untuk mencegah kehamilan. Untuk mendapatkan kesan yang optima adalah penting mengambil OCP setiap hari dan sebaik-baiknya pada masa yang sama. Ketidakpatuhan atau terlupa makan pil akan membawa kepada kegagalan kesan kontraseptif.

Penyalahgunaan OCP

OCP adalah ubat yang mudah untuk disalahgunakan kerana boleh didapati secara meluas di pasaran. Oleh itu, penyalahgunaan OCP bermaksud OCP digunakan secara tidak wajar seperti tidak mengambil OCP secara betul, atau digunakan untuk tujuan lain selain daripada indikasi yang sepatutnya; atau digunakan lebih lama daripada tempoh yang diperlukan tanpa sebarang nasihat dari doktor atau ahli farmasi.

Terdapat pelbagai jenis OCP di pasaran. Jenis OCP yang sesuai untuk seseorang individu bergantung kepada berat badan, sejarah keluarga, sejarah perubatan, sejarah sosial dan lain-lain. Kandungan estrogen dalam OCP mungkin tidak sesuai atau tidak boleh digunakan oleh sesetengah individu. Terdapat juga pelbagai jenis progestogen dalam OCP dan masing-masing mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan mungkin akan bersesuaian dengan individu yang berbeza. Oleh itu, adalah penting untuk bertanya dengan doktor atau ahli farmasi pengambilan OCP yang paling sesuai untuk mengelakkan sebarang kesan yang tidak diingini. Penggunaan OCP tanpa mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi adalah dianggap sebagai penyalahgunaan.

Contoh penyalahgunaan; Penyalahgunaan Emergency contraceptive pill / Tujuan penggunaan untuk meningkatkan ciri-ciri kewanitaan

Contoh penyalahgunaan OCP yang paling kerap berlaku adalah tidak mengambil pil dengan sewajarnya. OCP perlu diambil setiap hari dan sebaik-baiknya pada masa yang sama untuk mengekalkan tahap hormon yang dihendaki di dalam badan. Terlupa makan pil akan mengurangkan kesan kontraseptif dan peluang untuk kehamilan akan meningkat.

Merawat penyakit seperti pendarahan rahim, PCOS dan lain-lain dengan OCP tanpa mendapatkan nasihat dari doktor adalah satu bentuk penyalahgunaan OCP. Sebelum penggunaan OCP, sejarah perubatan peribadi, sosial dan keluarga secara menyeluruh perlu diperolehi dan pemeriksaan fizikal oleh doktor perlu dijalankan. Seseorang individu yang mempunyai tekanan darah tinggi, migrain, atau sejarah darah beku sama ada diri sendiri atau keluarga perlulah diberi perhatian sebelum mengambil OCP.

Pemanjangan rawatan dengan OCP tanpa nasihat doktor juga boleh dianggap sebagai penyalahgunaan. OCP biasanya tidak diambil dalam jangka masa panjang. Sebagai contoh, jika OCP dimulakan bagi pendarahan rahim dan pendarahan masih berterusan selepas beberapa kitaran OCP; siasatan lanjut perlu dilakukan untuk mengenal pasti punca pendarahan dan harus mendapatkan nasihat doktor sebelum meneruskan terapi OCP.

Pil Pencegahan Kehamilan Kecemasan adalah untuk kegunaan kecemasan sahaja. Ia digunakan selepas hubungan kelamin tanpa perlindungan atau kaedah kontraseptif telah gagal. Ia juga merupakan pil yang sangat penting untuk diambil oleh mangsa serangan seks untuk mencegah kehamilan yang tidak diingini. Penggunaan berulang pil ini adalah sejenis penyalahgunaan. Walaupun penggunaan berulang kali tidak akan membawa risiko kesihatan yang serius dan tidak akan membawa masalah kesuburan pada masa hadapan, penggunaan pil OCP ini sebagai kaedah kontraseptif utama tidak harus digalakkan kerana ia tidak begitu berkesan berbanding dengan OCP biasa dan boleh menyebabkan kegagalan kontraseptif. Ia juga mempunyai insiden kesan sampingan yang lebih tinggi seperti haid yang tidak teratur yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada para wanita.

Disebabkan OCP mengandungi estrogen, sejenis hormon wanita, ia sering disalahanggap bahawa mengambil OCP akan meningkatkan ciri-ciri kewanitaan. Sesetengah wanita akan mengambil OCP untuk jangkamasa yang panjang untuk kecantikan diri yang berkekalan. Ada juga yang mengambil dos OCP yang lebih tinggi dari biasa untuk menyalahgunakan sifat estrogeniknya untuk tujuan daya tarikan feminin, nafsu wanita, kulit yang sempurna dan banyak lagi. Pengambilan OCP untuk sebab-sebab ini pastinya adalah sejenis penyalahgunaan. Penggunaan OCP secara jangka masa panjang atau melebihi dos akan mendedahkan seseorang kepada pelbagai kesan sampingan dan komplikasi.

Kesan penyalahgunaan (contoh penggunaan pada usia awal)

Kesan penyalahgunaan OCP yang paling biasa adalah kegagalan kontraseptif. Apabila OCP tidak diambil dengan betul, peluang kehamilan yang tidak diingini menjadi lebih tinggi. Kesan sampingan yang tidak diingini seperti haid yang tidak teratur disebabkan oleh hormon yang tidak teratur dalam badan.

Salah satu komplikasi paling penting yang berkaitan dengan penggunaan OCP adalah venous thromboembolism (VTE). VTE adalah satu keadaan di mana darah membeku dalam urat dan darah beku ini boleh memecah dan bergerak ke paru-paru dan boleh mengancam nyawa. Insiden VTE dalam seorang wanita yang mengambil OCP bertambah 3-5 kali ganda berbanding wanita sihat yang tidak mengambil OCP. Risiko VTE akan lebih tinggi sekiranya terdapat faktor-faktor risiko yang lain.

Oleh itu, OCP harus digunakan dengan berhati-hati oleh para wanita dengan faktor risiko seperti sejarah keluarga dalam pembekuan darah, obesiti (indeks jisim badan [BMI] melebihi 30kg/m²), tidak boleh bergerak untuk jangkamasa panjang (contohnya di kerusi roda), kencing manis, tekanan darah tinggi, merokok, umur lebih 35 tahun dan migrain. Jika OCP disalahgunakan oleh wanita dari kumpulan ini, beliau berisiko tinggi mengalami kesan darah beku di kaki atau paru-paru, strok dan serangan jantung.

Kesan sampingan biasa OCP termasuk rasa loya dan muntah, kekejangan perut, perubahan dalam berat badan, pengekalan cecair dalam badan, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, sakit kepala, kemurungan, pendarahan antara haid dan lain-lain. Sekiranya berlaku kesan sampingan semasa mengambil OCP, mereka harus berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi.

OCP bertindak dengan menghalang proses semulajadi ovulasi. Gangguan proses ini di kalangan wanita akan menyebabkan kesan sampingan seperti rasa sakit dan tidak selesa, gangguan emosi dan psikologi serta kemurungan. Sesetengah wanita mungkin akan mengalami masalah kehamilan. Oleh itu, perhatian harus diberikan kepada wanita muda yang berhasrat untuk menggunakan OCP. Mereka harus diberi kaunseling mengenai penggunaan OCP dan ini termasuk penekanan kepada kesan-kesan positif OCP apabila ia digunakan dengan betul dan juga kesan-kesan sampingan apabila disalahgunakan. Kesan sampingan OCP yang biasa perlu disampaikan.

Kesimpulan

Semua wanita perlu mendapatkan nasihat mengenai cara yang betul untuk menggunakan OCP dengan memahami prinsip bagaimana ia bertindak, apakah kesan-kesan sampingan dan juga apakah risiko jika disalahgunakan. Wanita perlu diberi kaunseling sebelum mengambil OCP dan mereka yang tidak sesuai untuk mengambil OCP perlu dikaunsel dengan kaedah-kaedah perancang keluarga lain yang lebih selamat dan tidak akan membawa risiko atas kesihatan mereka.

Semakan Akhir : 11 Ogos 2014
Penulis/Penterjemah : Tan Ai Leen
Akreditor : Nur Azibahwati bt. Aziz

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia