A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Peranan Pegawai Dalam Program...

Peranan Pegawai Dalam Program Methadone

Pengenalan

Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Dalam Program Methadone Di Klinik Kesihatan

Program Methadone merupakan satu Program Rawatan Terapi Gantian (RTG) Dadah yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2005. Fokus rawatan ini adalah pengurangan risiko jangkitan penyakit bawaan darah seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV/AIDS melalui amalan perkongsian jarum dikalangan penagih dadah.

Matlamat rawatan merangkumi pelbagai aspek kearah kesihatan menyeluruh. Ianya sejajar dengan definisi kesihatan yang telah digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang merangkumi tiga aspek iaitu, fizikal, mental dan sosial.

Sebagaimana dimaklumi, penagihan dadah membawa impak negatif bukan sahaja kepada penagih sendiri malah turut melibatkan pasangan, anak-anak, serta keluarga lain keseluruhannya. Mereka seringkali gagal untuk menjalankan tugas dan peranan dengan baik, mengalami kemerosotan dalam kesihatan fizikal dan mental. Masalah seperti ketiadaan pekerjaan, perhubungan yang renggang dengan keluarga ataupun pasangan, kemiskinan, masalah kewangan, keganasan rumah tangga dan lain-lain seringkali menghantui kehidupan mereka. Pendekatan multidiplinari amat perlu dalam membantu mereka dalam menangani isu-isu ini bagi memastikan kesinambungan rawatan serta mencegah relapse. Pegawai Kerja Sosial Perubatan adalah salah satu dari kumpulan pelbagai disiplin yang turut memainkan peranan dalam membantu klien dalam Program Methadone.

Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Di Klinik Kesihatan

A. Membantu Klien Dan Keluarga Mengatasi Masalah Berkaitan Penagihannya

Mengenalpasti Isu Dan Masalah Klien

Penagihan dadah banyak memberi kesan negatif kepada klien. Akibat dari penagihan, ada antara mereka yang mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti AIDS, Tibi dan Hepatitis B atau Hepatitis C. Mereka memerlukan kos perubatan yang tinggi dan seringkali di luar kemampuan mereka. Selain dari itu, mereka turut mengalami masalah tekanan perasaan, kebimbangan serta kemurungan akibat dari masalah-masalah yang gagal ditangani. Pegawai Kerja Sosial Perubatan berperanan menjalankan penilaian biospikososial bersama klien serta keluarga bagi mengenalpasti isu serta masalah yang dihadapi melalui kaedah temubual dan lawatan rumah. Aspek seperti sejarah penagihan klien, latarbelakang perubatan, latar belakang sosioekonomi klien dan keluarga, aspek psikologi atau emosi yang dialami, hubungan kekeluargaan dan lain-lain akan dinilai secara menyeluruh. Ini akan membolehkan Pegawai Kerja Sosial Perubatan memahami tentang isu yang timbul. Dengan cara ini, Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan dapat merangka strategi intervensi yang tepat untuk membantu klien dan meningkatkan peluang ke arah pemulihan klien. Antara masalah yang sering dihadapi oleh mereka adalah pembiayaan keperluan perubatan, tambang untuk berulang alik dan masalah yang berkaitan dengan emosi.

Merangka Strategi Intervensi Untuk Membantu Klien

Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlu meneliti setiap permasalahan klien sebelum merangka pelan untuk membantu klien. Setelah mendapatkan maklumat serta berdasarkan penilaian yang telah dijalankan, Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan merangka strategi intervensi. Ianya merupakan perancangan yang dibuat bagi membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh klien. Strategi yang dirangka adalah mengikut keperluan serta kesesuaian masalah yang dihadapi oleh klien. Bantuan seperti bantuan peralatan, bantuan kewangan, khidmat nasihat serta sokongan emosi antara strategi intervensi yang dirangka oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan.

Mengenalpasti Sumber Pada Diri Klien, Keluarga, Komuniti Untuk Membantu Klien

Pegawai Kerja Sosial Perubatan bersama-sama dengan klien akan mengenalpasti sumber-sumber lain yang ada samada pada diri klien, keluarga ataupun komuniti setempat yang dapat digunakan untuk membantu klien. Sumber yang dimaksudkan adalah seperti kemahiran yang dimiliki oleh klien mahupun keluarga yang dapat dimanfaatkan dalam mengatasi masalah mereka. Sumber juga mungkin dalam bentuk sistem sokongan keluarga yang dapat dimanfaatkan untuk mengatasi masalah berkaitan emosi yang dialami klien.

Mengenalpasti Saluran Bantuan Dan Bertindak Sebagai Liason Officer

Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan mengenalpasti saluran bantuan yang sesuai untuk membantu klien dan bertindak sebagai pengantara di antara klien serta agensi pemberi bantuan. Secara umumnya terdapat dua jenis bantuan yang diberikan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan iaitu Bantuan Praktik dan Terapi Sokongan Emosi. Bantuan ini diberikan berdasarkan isu yang telah dikenalpasti serta strategi intervensi yang telah dirangka. Bantuan praktik umumnya bantuan yang melibatkan kewangan seperti bantuan sara diri, bantuan pembiayaan rawatan, bantuan pembiayaan ubat dan lain-lain. Manakala bantuan Terapi Sokongan Emosi adalah seperti khidmat nasihat, bimbingan dan juga kaunseling.

Menjalankan Program/Aktiviti Berkaitan Promosi, Pencegahan Dan Pemulihan

Antara tugas lain Pegawai Kerja Sosial Perubatan adalah mengadakan perbincangan dengan keluarga berkenaan perkembangan rawatan klien dan menyalurkan maklumat berkaitan dengan rawatan untuk membantu keluarga klien memahami tentang proses rawatan yang dijalani oleh klien. Ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada keluarga klien serta mengalakkan penglibatan ahli keluarga dalam proses rawatan klien terutamanya dari segi sokongan kearah perubahan yang positif. Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga berperanan dalam mengalakkan, memotivasikan dan menyokong klien kearah perubahan yang positif serta membantu pengekalan perubahan yang positif klien.

Pegawai Kerja Sosial juga berperanan dalam membantu klien meningkatkan keyakinan diri dan penghargaan kendiri dalam membantu klien kearah pemulihannya. Program–program berbentuk motivasi serta pengukuhan jati diri juga dijalankan bagi membantu mereka meningkatkan keupayaan dalam melawan penagihan mereka. Antara program yang dijalankan adalah seperi program berbentuk motivasi, ceramah keagamaan, kem bina diri serta program komuniti yang dijalankan dengan penglibatan anggota masyarakat lain.

 Klien RTG Mengikuti Aktiviti Kem Bina Sahsiah

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Pegawai Kerja Sosial berperanan penting dalam membantu klien dalam program Terapi Gantian Methadone di Klinik Kesihatan. Ia adalah kerana rawatan penagihan memerlukan pendekatan secara multidisiplin. Keperluan dalam pemulihan dari penagihan dadah tidak hanya menumpukan kepada aspek perubatan semata-mata. Halangan dalam rawatan serta pemulihan seperti keperluan kewangan, kestabilan emosi, masalah keluarga klien perlu dikenalpasti serta di atasi bagi membantu klien mencapai matlamat rawatannya dengan lebih berkesan.

Pertubuhan Sokongan Komuniti Pengasih Malaysia

3210, Jalan Syers, Off Lebuhraya Mahameru

50480 Bukit Tunku

Kuala Lumpur

Tel: 03-62013179, 03-62010287

(Nota: Khidmat Pengasih juga boleh didapati di Cheras, Sg. Buloh, Ipoh, Jasin, Muar dan Kota Bharu)

Pertubuhan Sokongan Komuniti Pengasih Malaysia

3201, Jalan Syers

Off Lebuhraya Mahameru

50480

Rujukan

  1. Mencegah, Merawat dan Memulihkan Penagihan Dadah, Mahmood Nazar Mohamed, Utusan Publication & Distributor, 2006
  2. Kerja Sosial , Artikel-Artikel Pilihan, Abd Razak Abd Manaf , Zakiyah Jamaludin, Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd, 2002
  3. Intervensi dan Peranan kaunselor untuk Menjana Kepulihan Klien Sepanjang Hayat, Lasimon Matokrem www.adk.gov/html/pdf/jurnal/1-5.pdf
  4. Social Work & Primary Health Care, www.casw.ca/en/social-work-primary-health-care
  5. Social Worker and their role in controlling drug addictions, http://socialwork.une/resources/news/social-workers-and-their
Semakan Akhir : 31 Januari 2017
Penulis : Pn. Che Suhaila Bt Che Hamzah
Akreditor : YM Ku Abdul Halip Bin Hj Ku Yaakob

Artikel Berkaitan

Ujian Sitogenetik

Pengenalan Sitogenetik adalah bidang kajian kromosom. Dalam perubatan diagnostik, ujian

Sindrom Empty Nest Dikalangan Warga Emas

Sindrom Empty Nest ini merujuk kepada perasaan kemurungan, sedih atau kesedihan yang dialami oleh warga emas semasa anak-anak mulai meninggalkan rumah. Sindrom ini kebiasaannya berlaku dikalangan kaum wanita berbanding kaum lelaki.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia