A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Perbezaan Rabun Yang Ketara...

Perbezaan Rabun Yang Ketara Di Antara Dua Mata (Anisometropia)

Melihat menggunakan kedua-dua mata memberikan penglihatan yang selesa dan sempurna. Setiap mata melihat satu objek yang sama dan imej yang dilihat oleh setiap mata digabungkan oleh otak. Bentuk dan saiz kedua-dua imej yang dihasilkan oleh mata kanan dan mata kiri mestilah sama untuk digabungkan bagi mendapatkan satu penglihatan yang jelas dan selesa.

Gabungan Imej Kedua Mata

Menghasilkan Satu Imej

Cahaya yang masuk ke dalam mata akan dibias dan difokus pada retina. Penglihatan seseorang boleh dikategorikan sama ada mempunyai penglihatan normal (emetropia) atau rabun (ametropia). Rabun merupakan keadaan mata dimana cahaya tidak dapat difokuskan dengan tepat pada retina. Hal ini menyebabkan penglihatan menjadi kabur. Rabun mata terbahagi kepada rabun jauh (myopia), rabun dekat (hypermetropia) atau rabun silau (astigmatism). Kebiasaannya kedua-dua belah mata mempunyai kuasa refraktif yang hampir sama.

Apakah Anisometropia?

Anisometropia adalah keadaan mata yang mempunyai perbezaan rabun yang ketara di antara dua mata. Perbezaan rabun yang ketara tersebut menyebabkan imej yang dihasilkan pada retina mata berlainan bentuk dan saiz. Perbezaan rabun yang rendah/tidak ketara selalunya tidak memberi kesan yang serius. Perbezaan rabun yang sangat jauh beza (ketara) antara kedua mata akan mendatangkan kesan dan menyebabkan masalah yang lebih serius. Kebiasaannya perbezaan rabun yang ketara bermula dari 2.00D boleh memberi kesan dan masalah kepada pesakit.

Simptom Yang Dialami Adalah Bergantung Kepada Jenis Dan Perbezaan Rabun Yang Ketara Antara Dua Mata

Anisometropia boleh terjadi secara semulajadi disebabkan perbezaan pembentukan bola mata semasa dalam kandungan atau apabila kadar perubahan kuasa mata yang tidak sama antara kedua mata semasa proses perkembangan.

Anisometropia juga boleh terjadi disebabkan ketiadaan kanta intraokular selepas pembedahan katarak, implantasi kanta intraokular yang tidak tepat atau kecederaan yang menyebabkan perubahan pada permukaan kornea pada sebelah mata.

Jenis-Jenis Anisometropia

Anisometropia ringkas adalah perbezaan rabun yang ketara, terjadi apabila satu mata adalah normal / tiada rabun dan satu mata mengalami rabun. Rabun pada sebelah mata samada rabun jauh atau rabun dekat.

Anisometropia kompaun merupakan keadaan apabila kedua-dua mata mempunyai rabun samada kedua-dua mata adalah rabun jauh atau rabun dekat.

Anisometropia campuran apabila salah satu mata adalah rabun jauh dan satu mata lagi adalah rabun dekat.

Tanda Dan Gejala Anisometropia

  • Kabur penglihatan
  • Sakit kepala tanpa ada punca daripada penyakit lain
  • Penglihatan berganda
  • Ketidakselesaan menggunakan dua-mata
  • Mata rasa tegang (strain)
  • Mata penat
  • Rasa loya
  • Kesukaran membaca
  • Sensitif pada cahaya

Pengurusan Pesakit Anisometropia

Kabur penglihatan disebabkan rabun boleh dibetulkan dengan kanta bagi memfokuskan semula imej yang dilihat di atas retina. Imej yang dilihat oleh setiap mata sepatutnya mempunyai bentuk dan saiz yang hampir sama. Anisometropia menyebabkan perbezaan imej retina dari segi bentuk dan saiz. Fungsi otak mampu bertoleransi dengan perbezaan saiz imej sehingga lima peratus sebelum memberikan kesan terhadap penglihatan.

Pelbagai faktor perlu dipertimbangkan bagi rawatan anisometropia, antaranya:

  • Kadar perbezaan rabun yang ketara antara dua mata
  • Keupayaan individu untuk bertoleransi dengan perbezaan rabun
  • Proses adaptasi kepada pembetulan penglihatan
  • Potensi peningkatan penglihatan (terutama bagi kanak-kanak)
  • Kadar perbezaan imej yang terhasil di retina mata
  • Kejelasan penglihatan pada kedua-dua belah mata
  • Suppresi pada mata
  • Umur ketika anisometropia dikesan

Pilihan Rawatan Bagi Mengatasi Masalah Anisometropia Adalah

A. Cermin Mata

Pemakaian cermin mata adalah rawatan paling mudah dan ringkas. Walaubagaimanapun, jarak kedudukan kanta di hadapan mata menyebabkan biasan cahaya dan akan mengubah saiz sebenar imej yang dilihat. Semakin jauh kanta dari mata, semakin jauh beza imej yang dihasilkan di retina. Keadaan ini boleh memberi masalah dan mengakibatkan beberapa kelemahan rawatan menggunakan cermin mata bagi pesakit anisometropia iaitu:

i. Masalah kepada kepatuhan pemakaian cermin mata
ii. Minifikasi atau maknifikasi imej yang dihasilkan oleh kanta menyebabkan mata pesakit kelihatan lebih besar atau kecil
iii. Ketebalan kanta yang berbeza


iv. Masalah adaptasi disebabkan perbezaan saiz imej di retina
v. Herotan penglihatan di bahagian tepi


vi. Limitasi pada medan penglihatan disebabkan oleh bingkai cermin mata

Toleransi Kepada Cermin Mata Mengikut Perbezaan Kuasa Kanta

Perbezaan Rabun Antara Dua Mata

Perbezaan Saiz Imej Yang Terhasil Di Retina

Adaptasi Pembetulan Penglihatan

2.5 D

5 %

Boleh bertoleransi

> 2.5D to 4.0 D

6% – 7%

Mengikut sensitiviti individu

> 4.0 D

> 8%

Sukar untuk toleransi

Setiap 1.00 D kuasa cermin mata akan menyebabkan perubahan sehingga 2% pada imej di retina apabila kanta diletakkan pada jarak 12-13mm dari mata

Pengurusan Pesakit Dewasa Dan Kanak-Kanak Mempunyai Pendekatan Yang Berbeza Bagi Kes Anisometropia

Pesakit Dewasa

1. Pemakaian Cermin Mata Dengan Kuasa Penuh

  1. Perbezaan kuasa mata kurang dari 2.00D
  2. Cermin mata perlu dipakai sepanjang masa
  3. Pesakit perlu beradaptasi dengan pembetulan sehingga simptom hilang

2. Ubahsuai Kuasa Cermin Mata

a. Pembetulan kuasa cermin mata direndahkan atau disamakan dengan mata yang mempunyai kuasa cermin mata yang lebih rendah dan penglihatan yang lebih baik mengikut kebolehan pesakit untuk beradaptasi.

3. Rabun Dibiarkan Tanpa Bantuan Cermin

a. Satu mata digunakan untuk penglihatan jauh dan satu mata digunakan untuk penglihatan dekat bagi kes rabun campuran.

b. Hanya satu mata yang normal sahaja digunakan untuk melihat. Mata yang mempunyai rabun yang tinggi akan dibiarkan.

Pesakit Kanak-Kanak

Pembetulan rabun mata bagi kanak-kanak yang mempunyai perbezaan rabun yang ketara antara dua mata adalah sangat penting untuk mengelakkan ambliopia (mata malas). Preskripsi penuh kuasa cermin mata diperlukan di peringkat awal. Setiap mata diberi pembetulan penuh untuk mendapatkan penglihatan terbaik dan ambliopia harus dirawat sekiranya terjadi.

B. Kanta Lekap

Saiz imej yang difokus pada retina kedua-dua mata adalah berbeza dan bahagian otak perlu belajar beradaptasi untuk melihat imej serentak. Memakai kanta lekap memberi kesan perbezaan yang minimum dan menjadikan saiz imej lebih hampir sama. Kanta lekap merupakan salah satu pilihan rawatan bagi mengatasi masalah anisometropia dan menjadi pilihan yang terbaik terutama bagi golongan kanak-kanak.

Kelebihan Menggunakan Kanta Lekap Adalah:

  1. Mata kelihatan normal secara kosmetik
  2. Perbezaan imej yang terhasil di retina dapat dikurangkan
  3. Lebih mudah untuk toleransi
  4. Penglihatan lebih normal kerana tiada herotan pada pandangan tepi
  5. Medan penglihatan yang lebih luas

Kelemahan Menggunakan Kanta Lekap

Memerlukan penjagaan kanta lekap yang sempurna dan kebersihan dalam pengendalian kanta dan mata bagi mengelakkan jangkitan yang serius.

Rawatan Alternatif Bagi Kes-Kes Tertentu

C. Pembedahan refraktif bagi pembetulan rabun pada mata yang mempunyai kuasa refraktif yang lebih tinggi
D. Implantasi kanta intraokular bagi kes unilateral aphakia

Nasihat Dan Panduan

Anisometropia adalah masalah penglihatan yang menyebabkan kesukaran dan kekeliruan pada bahagian otak untuk mentafsir imej berbeza yang dilihat untuk menjadi satu. Perbezaan rabun yang sangat ketara menyebabkan otak tidak dapat mengesan perbezaan imej tersebut atau tidak dapat menyatukan imej antara 2 mata. Keadaan ini menyebabkan samada otak memilih satu sahaja imej yang lebih jelas untuk dilihat atau penglihatan menjadi berganda. Sekiranya anisometropia tidak dirawat di peringkat awal, ia boleh memberikan kesan yang serius dan sukar diatasi pada masa akan datang.

Kesan Serius Akibat Masalah Anisometropia Adalah Seperti

  1. Hilang keupayaan menggunakan fungsi kedua-dua mata
  2. Kekeliruan pada pandangan
  3. Penglihatan berganda
  4. Suppresi (satu mata tidak melihat apabila kedua-dua mata digunakan bagi mengelakkan kekeliruan penglihatan)
  5. Mata malas (penglihatan kabur tanpa masalah penyakit mata)
  6. Juling

Masalah penglihatan perlu dirawat. Anisometropia boleh terjadi dalam pelbagai kombinasi kuasa mata dan setiap kes adalah unik dan berbeza. Ia memberi kesan yang berbeza-beza pada mata dan memerlukan rawatan yang berlainan. Sila dapatkan khidmat nasihat Pegawai Optometri atau Pakar Oftalmologi bagi masalah mata anisometropia.

Rujukan

1. Paul McCarthy. Anisometropia: what difference does it make? Volume 14 Issue 1 1 – 10 The College of Optometrists, Optometry in Practice 2013
2. Louise A. Sclafani O.D. Pediatric Population: Anisometropia Treatment Options. 5/28/2002 Review of Optometry.
3. Gunilla Haegerstrom-Portnoy, Marilyn E. Schneck, Lori A. Lott, Susan E. Hewlett, and John A. Brabyn. Longitudinal Increase in Anisometropia in Older Adults. VOL. 91, OPTOMETRY AND VISION SCIENCE. Copyright * 2013 American Academy of Optometry
4. Michael N. Wiggins, MD. A Brief Stroll through Optics: A Case of Anisometropia. Volume 1, Number 2, December 2005 Journal of Ophthalmic Medical Technology
5. http://www.allaboutvision.com/contacts/faq/contacts-vs-glasses.htm
6. http://www.visioneyeinstitute.com.au/article/anisometropia

Semakan Akhir : 22 Jun 2017
Penulis : Pn. Siti Khadijah Binti Osman
Akreditor : Pn. Haniza Binti Suboh

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia