A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radiasi
  6. /
  7. Perlindungan Sinaran Terhadap Orang...

Perlindungan Sinaran Terhadap Orang Awam

Pengenalan

Kesedaran dan pendedahan orang awam terhadap kesan dedahan sinaran pada masa kini semakin meningkat. Contohnya seperti penggunaan tenaga nuklear sebagai salah satu penyumbang tenaga yang berpotensi untuk dijana dan digunakan dalam kehidupan seharian. Selain itu penggunaan sinaran yang digunakan dalam bidang perubatan juga telah dibuktikan bahawa ianya menjadi salah satu sumber yang penting untuk pendiagnosan penyakit.

Malahan kebimbangan orang awam juga menjadi faktor samada sesuatu penubuhan projek atau aktiviti yang melibatkan sinaran radioaktif ini perlu diteruskan atau dibatalkan. Contohnya seperti projek Lynas di Kuantan, Malaysia yang telah mendapat bantahan daripada penduduk setempat kerana diragui dari aspek keselamatan dan perlindungan daripada bahan radioaktif yang dihasilkan atau sisa pelupusan yang akan memberi kesan kepada kesihatan penduduk di kawasan tersebut.

Kejadian atau kemalangan radiasi yang telah berlaku seperti di Fukushima, Jepun pada 11 Mac 2011 akibat gegaran gempa bumi cukup membuktikan kebimbangan orang awam terhadap kepentingan pengawalan dan perlindungan bagi menangani aktiviti yang melibatkan sinaran radioaktif supaya di beri perhatian sewajarnya.

Definasi dan jenis sinaran

Sinaran atau radiasi adalah sejenis tenaga yang mempunyai potensi untuk melakukan proses pengionan dan seterusnya menghasilkan atom atau molekul bertenaga yang mencukupi untuk mengubah sistem sel di dalam badan manusia. Tahap gangguan terhadap sistem sel di dalam badan manusia pula bergantung kepada had dedahan terhadap sinaran tersebut yang telah terbukti boleh menyebabkan kerosakan DNA di dalam sel dan kesan mutasi terhadap generasi masa hadapan sekiraya had dedahan yang diterima adalah berlebihan.

Terdapat lima jenis sinaran radioaktif yang mempunyai sifat, kesan dan memerlukan bentuk perlindungan yang berbeza iaitu :

  1. Sinaran Alfa – sejenis zarah yang mempunyai cas positif dan mempunyai jisim yang berat. Sinaran alfa tidak dapat menembusi kulit dan mampu disekat dengan menggunakan sehelai kertas atau kepingan aluminium. Walaubagaimanapun, sinaran alfa mempunyai tenaga pengionan yang kuat dan sensitif sekiranya dibebaskan ke dalam tubuh manusia terutamanya terhadap paru-paru berbanding sinaran lain.
  2. Sinaran Beta – sejenis zarah bercas negatif yang mempunyai tahap penembusan lebih kuat dan tenaga pengionan yang kurang berbanding sinaran alfa. Sinaran beta dapat menembusi badan manusia tetapi tidak mampu menembusi lapisan kertas aluminium.
  3. Sinaran Gamma  – sejenis sinaran elektromagnet  dan tidak mempunyai cas. Sinaran gamma sangat bertenaga untuk menembusi badan manusia dan memerlukan kepingan logam plumbum atau konkrit untuk menyekat penembusannya walaupun tidak mempunyai tenaga pengionan. Sinaran gamma boleh dihentikan oleh logam plumbum. Ketebalan logam bergantung kepada tenaga sinar yang dihasilkan dan juga nilai HVL.
  4. Sinaran x – sejenis sinaran elektromagnet dan foton yang bertenaga tinggi terhasil daripada zarah-zarah bercas dengan bahan sasaran. Sinar-x mempunyai tenga penembusan yang rendah berbanding sinaran gamma dan boleh dihentikan dengan beberapa mm kepingan plumbum. Sinar –x  banyak dihasilkan oleh manusia dan digunakan terutamanya dalam bidang perubatan, industri, pemeriksaan keselamatan dan kawalan. Sinar-x mempunyai kuasa penembusan yang tinggi dan bergantung kepada tenaga yang dibawa. Ianya dapat dihentikan oleh logam seperti plumbum, aluminium dan aloi cerroband.
  5. Sinaran Neutron –  sejenis zarah yang bersifat neutral dan sangat berat. Biasanya terdapat di dalam reaktor nuklear. Sinaran neutron ini mampu menembusi plumbum dan konkrit dan memerlukan bentuk perisaian yang lebih berkesan.

Had dos dedahan terhadap orang awam

Apabila tubuh manusia terdedah kepada sinaran maka beberapa perubahan akan berlaku dan memberi kesan terhadap fungsi-fungsi tubuh manusia terutamanya sistem sel badan. Kerosakan dan kematian sel akan berlaku dan bergantung pada had dedahan yang diterima. Sel-sel yang rosak mungkin boleh diperbaiki tetapi sekiranya berlaku kematian sel secara berterusan dan banyak, ianya akan menyebabkan badan tidak mampu menghasilkan sel pengganti. Oleh itu, had dedahan dos terhadap orang awam perlu dipatuhi seperti di jadual 1.

Dedahan Dos

Dedahan Orang Awam

*Dos berkesan (seluruh tubuh)

1 mSv setahun

*Dos setara (kanta mata)

15 mSv

Dos setara (kulit)

50 mSv

Dos setara (ekstrimitis : tangan dan kaki)

50 mSv

Dos kepada fetus

1 mSv

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jadual 1 : Had dedahan dos radiasi kepada orang awam

Bayi dan kanak-kanak juga mempunyai sel-sel yang sensitif dan sedang aktif membahagi disebabkan tubuh sedang menjalani proses pertumbuhan dan tumbesaran. Golongan ini perlu dielakkan daripada terdedah kepada sinaran yang dirancang atau tidak dirancang. Manakala sel-sel fetus juga amat sensitif terutamanya di peringkat pembentukan dan trimester pertama kerana ganguan pada pertumbuhan dan pembahagian sel boleh mengakibatkan kecacatan kepada fetus. Oleh itu, ibu-ibu mengandung adalah dielakkan untuk menjalani prosedur sinaran terkecuali terdapat justifikasi  yang jelas daripada pegawai perubatan.

Kesan Sinaran Terhadap Orang Awam

Bagaimana anda mengetahui bahawa anda telah terdedah kepada radiasi dan bagaimanakah cara untuk mengetahui berapa had dedahan yang telah anda terima?

Pendedahan terhadap dos radiasi yang tidak dirancang dan berlebihan akan menghasilkan kesan dan risiko yang berbeza bergantung kepada tubuh yang menerima. Sumber dedahan terhadap sinaran terbahagi kepada 2 iaitu:

  1. Latarbelakang semulajadi (background radiation) – sumber sinaran daripada background radiation ialah daripada kosmik, matahari, batuan dan tanah di luar bumi (terresterial) dan gas radon yang meresap keluar dari batuan dan tanah di bumi. Tubuh manusia akan menerima sinaran ini setiap hari dan kadar dedahan yang diterima adalah bergantung pada kawasan. Seperti contoh penduduk di kawasan Ramsar (bandar di Utara Iran) menerima background radiation tahunan setinggi 260 mSv/setahun. Walaupun, dos yang diterima adalah tinggi daripada kawasan yang menerima normal background radiation namun, penduduk di kawasan tersebut tidak menerima simptom kytogenetik. Ini menunjukkan tubuh manusia mampu beradaptasi dengan dedahan sinaran tinggi yang berterusan berbanding dengan menerima dedahan tinggi secara kejutan.
  2. Buatan manusia (man-made radiation)– sumber utama sinaran radiasi adalah man-made radiation dimana ianya telah menjadi keperluan terutamanya dalam bidang perubatan (radiologi, radioterapi, perubatan nuklear), perindustrian radiografi, reaktor nuklear, industri penerbangan dan makmal penyelidikan. Selain itu orang awam juga terdedah kepada radiasi dari barangan penggunan seperti tembakau (polonium-210), bahan binaan, bahan api, jarum penunjuk (tritium), pengesan asap (americium), lampu kalimantang (thorium) dan banyak lagi. Pada kadar yang lebih kecil orang awam juga terdedah kepada radiasi daripada kitaran bahan api nuklear yang diperolehi daripada kegiatan melombong dan mengilang uranium.

Manusia tidak dapat merasa, menyentuh  atau menghidu kehadiran sinaran radioaktif tetapi ianya boleh diukur dengan menggunakan peralatan-peralatan pengesanan sinaran yang berkaitan seperti survey meter, personel dosimeter, Radiation Isotope Identification Device (RIID), Radiation Portal Monitor, Body Counter dan sebagainya.

Bagi mengetahui kadar atau kuantiti dedahan yang diterima oleh orang awam beberapa maklumat iaitu penilaian dose (dose assessment) perlu diketahui seperti jenis dedahan sinaran, kekuatan tenaga atau sumber radiasi yang diterima, faktor dedahan seperti masa atau julat, jarak dedahan yang diterima, biological sensitivity kawasan yang terdedah dan perisaian yang digunapakai semasa dedahan berlaku. Terminologi pengiraan yang digunakan untuk menentukan kadar dos dan kesan ke atas biologikal tubuh manusia ialah :

  1. Dos terserap – kuantiti yang digunakan untuk mengukur tahap radiasi yang diserap oleh tubuh. Unit pengiraan dos terserap ialah gray (Gy).
  2. Dos setara- kuantiti yang digunakan untuk mengukur tahap radiasi yang diterima dengan mengambilkira jenis-jenis sinaran yang terlibat. Bagi mendapatkan bacaan dos setara, dos terserap perlu didarabkan dengan radiation weighting factor yang mengambilkira jenis dan kadar sinaran yang terlibat. Unit pengiraan dos setara ialah sieverts (Sv).
  3. Dos berkesan – kuantiti yang digunakan untuk mengukur dos berkesan dengan mengambilkira jenis-jenis tisu dan organ yang diterima. Bagi mendapat kan bacaan dos berkesan, dos setara perlu didarabkan dengan tissue weighting factor. Unit pengiraan dos berkesan ialan sievert (Sv).
  4. Dos terkumpul – merujuk kepada kadar radiasi yang diterima oleh sekumpulan orang awam. Bagi mendapatkan bacaan dos terkumpul, purata dos berkesan yang diterima didarabkan dengan bilangan individu yang telah terdedah. Unit bagi dos terkumpul ialah person-sievert (person-Sv).

Tubuh badan kita akan sentiasa terdedah kepada bahaya radiasi setiap hari dan tidak akan menampakkan kesan pada tempoh permulaan seterusnya rawatan dan pencegahan awal tidak dapat diambil. Pendedahan kepada bahan radioaktif untuk tempoh yang panjang boleh mengakibatkan kesan maut . Begitu juga dengan sinar-x dimana ianya digunakan semasa menjalani pemeriksaan perubatan seperti x-ray. Pemeriksaan yang melibatkan prosedur x-ray disarankan hanya dilakukan 6 bulan sekali dan pemeriksaan ke atas wanita mengandung amat tidak digalakkan kecuali dengan keizinan pakar perubatan.

Jika tubuh manusia terdedah kepada radiasi yang tdak dirancang atau berlebihan, maka tubuh akan menerima kesan buruk seterusnya memberi tindak balas dan rangsangan terutamanya organ-organ yang sensitif. Gambarajah 2 berikut menunjukkan tahap sensitiviti organ tubuh terhadap dedahan radiasi.


Gambarajah 1: Tahap sensitiviti organ tubuh terhadap radiasi

Berikut adalah kesan sekiranya tubuh terdedah kepada kadar sinaran:

Dos

Kesan

>2000  Gy

Mati secara mengejut. Pada dos melebihi 5000 Gy, sistem saraf pusat(otak dan otot) tidak dapat mengawal fungsi badan termasuk pernafasan dan peredaran darah. Biasanya kematian akan berlaku dalam tempoh beberapa jam sahaja.

1000-2000 Gy

Kemungkinan kematian berlaku adalah 100%. Menyebabkan kemusnahan pada sistem pencernaan atau dipanggil gastrointestinal sistem dan tidak boleh dirawat

50-150 Gy

Perubahan dalam darah dan penghasilan sel darah berkurang dan menyebabkan muntah dan keletihan.

5-50 Gy

Perubahan dalam darah dan boleh dikesan melalui pemeriksaan perubatan.

kurang drp 5 Gy

Tidak boleh dikesan dalam jangkamasa singkat

Perlindungan Terhadap Sinaran

Ketahui prinsip-prinsip dan beberapa langkah pencegahan sebagai orang awam yang perlu diberi perhatian seperti berikut :

  1. Hadkan masa anda berada di kawasan yang mempunyai aktiviti sinaran samada di ruang kerja atau tanpa tujuan yang memerlukan anda berada di kawasan tersebut.
  2. Jauhkan jarak anda daripada sumber sinaran, semakin jauh anda berada dari sumber sinaran maka kekuatan sinaran akan semakin berkurang.
  3. Memastikan anda dilindungi oleh perisaian yang kukuh sekiranya anda terpaksa berada berdekatan dengan sumber sinaran. Antara perisaian yang boleh digunakan ialah penghadang atau dinding mempunyai konkrit yang tebal ataupun dilengkapi dengan kepingan aluminium, barium plaster atau sebagainya.

Langkah-langkah pencegahan yang perlu dipatuhi

  1. Elakkan daripada masuk ke dalam ruang kerja atau kawasan kawalan dimana terdapat mesin x-ray atau bahan radioaktif sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan yang berkaitan.
  2. Sekiranya anda terpaksa berada di dalam kawasan kawalan seperti memegang pesakit semasa prosedur dijalankan maka pastikan anda menggunakan peralatan-peralatan perlindungan sinaran yang disediakan. Antara peralatan yang disediakan ialah lead gown, thyroid collar, gonad shield, lead google dan sebagainya.
  3. Mematuhi sebarang arahan dan panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa sekiranya anda terpaksa berada atau berurusan dengan sinaran radioaktif.
  4. Sekiranya anda terjumpa sebarang peralatan atau bahan yang boleh menghasilkan sinaran radioaktif ataupun berlaku kemalangan atau pendedahan radiasi, maklumkan kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dilakukan bagi mengelakkan penyebaran sinaran radioatif tersebut kepada orang awam.
  5. Bahan radioaktif perlu disimpan di dalam bekas yang terpencil dan kedap udara daripada persekitaran. Pengendalian khas adalah perlu bagi mengelakkan bahan tersebut dihidu atau disentuh oleh orang awam atau pekerja. Bilik untuk menyimpan bahan tersebut juga perlu mempunyai tekanan udara rendah supaya sekiranya berlaku kebocoran di dalam bilik tidak akan merebak ke luar bilik.
  6. Sekiranya berlaku pencemaran radiasi dari dalam negara atau negara jiran, maka orang awam perlu sentiasa peka terhadap arahan daripada pihak berkuasa dari masa ke semasa terutamanya tidak berada di kawasan lapang ataupun hendaklah bergerak ke kawasan yang lebih jauh daripada kawasan yang tercemar. Pencemaran radiasi daripada udara sukar untuk dikawal kerana pergerakan udara mengikut arah angin.Walaubagaimanapun populasi manusia mampu menerima dos setinggi 1 Gy dalam tempoh beberapa bulan yang kemudiannya boleh meningkatkan ancaman seperti risiko kanser, keguguran pada ibu hamil atau kematian.

Rujukan

  1. Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984
  2. Regulatory 25, Basic Safety Radiation Protection Regulation 2010
  3. http://mysaintis.blogspot.com/2009/01/bagaimana-mengetahui-had-dose-radiasi.html
  4. http://znaddini.wordpress.com/2011/04/14/jenis-sifat-sinar-radioaktif/
  5. http://ms.wikipedia.org/wiki/sinaran-pengion

 

Semakan Akhir : 7 Januari 2014
Penulis : Haizana bt. Hairuman
Akreditor : Nik Mohamed Hazmi b. Nik Hussain

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia