A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Persediaan Emosi Menghadapi Akil Baligh: Remaja Perempuan

  1. Pengenalan

Remaja ialah peringkat peralihan dari alam kanak-kanak ke alam kedewasaan. Alam remaja amat mencabar dan penuh cabaran di mana remaja mengalami pelbagai perubahan fizikal, intelek dan emosi yang boleh menimbulkan konflik di dalam diri dan persekitarannya. Menurut WHO (World Health Organisation), peringkat remaja adalah di antara umur 12 – 24 tahun.

  1. Akil Baligh

Akil baligh menandakan kematangan seksual dan reproduktif seseorang itu. Maknanya seseorang itu sudah berupaya mempunyai anak. Remaja perempuan selalunya lebih cepat baligh berbanding lelaki  sekitar purata usia antara 12-13 tahun, namun ini tidak bermakna tahap kematangannya lebih tinggi. Cara didikan, ilmu dan pengalaman serta personaliti menentukan tahap kematangan seseorang itu.

  1. Umur

Umur

Umur akil baligh bagi lelaki dan perempuan adalah antara 9-16 tahun. Namun ada yang awal dan ada pula yang lewat. Perbezaan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti keturunan, nutrisi, bahan kimia dalam makanan dan persekitaran.

  1. Ciri-ciri Akil Baligh Remaja Perempuan

Ciri-ciri Akil Baligh Remaja Perempuan

Tanda Akil Baligh bagi gadis ialah keluarnya darah haid yang pertama. Haid menunjukkan seseorang gadis remaja itu subur dan organ pembiakannya telah mula berfungsi. Haid pertama biasanya sedikit sahaja dan berlangsung untuk tiga hingga tujuh hari dengan kekerapan sekali setiap bulan.

Kadar pembesaran dan perubahan adalah berbeza antara lelaki dan perempuan. Bahkan kadar pembesaran adalah berbeza-beza antara seseorang gadis dengan gadis yang lain. Perubahan ini berlaku akibat tindakan hormon dalam badan. Hormon wanita iaitu progesteron dan estrogen akan dikeluarkan apabila baligh mengakibatkan pertumbuhan payudara dan bentuk badan akan berubah.

Remaja perempuan akan mulai menghasilkan ovum (telur) dan mengalami kitaran haid.

Berikut adalah antara perkembangan fizikal remaja perempuan :

  • Buah dada (payudara) mula membesar.
  • Bulu tumbuh di bahagian ketiak dan bahagian ari-ari.
  • Punggung melebar menunjukkan ciri–ciri kewanitaan
  • Jerawat mula tumbuh dan kulit muka berminyak.
  • Rambut lebih berminyak dan perlu disyampu lebih kerap.
  • Bau badan mula berubah.

Kadangkala walaupun tidak nampak perubahan fizikal luaran yang ketara, sebenarnya gadis remaja sedang menjalani perubahan dalaman yang lain.

  1. Perubahan Emosi dan Psikologi

Perubahan Emosi dan Psikologi1

Seiring dengan perubahan fizikal akan berlaku juga perubahan emosi dan psikologi. Menginjak usia remaja, gadis remaja akan :

  • Mula tertarik dan meminati kepada individu berlainan jantina khususnya kaum lelaki. Perasaan ini adalah normal dan merupakan sebahagian daripada proses kematangan. Oleh itu, anak gadis perlu tahu menjaga kehormatan diri dan batas-batas pergaulan sosial agar tidak terjebak dengan gejala sosial seperti hamil luar nikah dan bohsia.
  • Mengalami perubahan emosi yang tidak menentu akibat perubahan horman yang dialaminya. Kadangkala gadis remaja sendiri tidak memahami emosi mereka sendiri. Keengganan mendengar nasihat, merungut atau menangis tanpa sebab adalah antara kerenah anak remaja pada peringkat kehidupan awal akil baligh ini.
  • Mengalami Krisis Identiti: Remaja mempunyai banyak persoalan dan mencari-cari jawapan kepada pelbagai persoalan kehidupan. Contohnya: “Siapa aku sebenarnya?”, “Selepas persekolahan apa yang aku boleh buat?” Selalunya persoalan ini akan dijawab oleh remaja sendiri melalui tafsiran dan pemahaman sendiri melalui perbincangan dengan rakan sebaya atau pencarian di internet.
  • Ingin berdikari dan memikul tanggungjawab sendiri. Ada remaja yang akan memberontak inginkan kebebasan daripada kawalan ibu bapa.

Perubahan Emosi dan Psikologi2

  • Ingin mencuba perkara-perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Perasaan ingin tahu membuak-buak jika tidak dibimbing.

Penerimaan rakan sebaya adalah penting. Remaja inginkan perhatian dan rasa diterima oleh orang sekeling terutamanya rakan sebaya. Mereka akan mudah terpengaruh dengan persekitaran. Oleh itu, pilihlah rakan yang baik akhlaknya.

  1. Persediaan Ibu bapa Menghadapi Anak Remaja

Persediaan Ibu bapa Menghadapi Anak Remaja

Ibu bapa sering menghadapi cabaran dalam mendidik anak-anak remaja terutamanya anak gadis. Hal ini demikian kerana mereka terperangkap antara zaman kanak-kanak dan zaman dewasa. Oleh itu, kadangkala kita melihat tingkah laku anak remaja ini seperti orang dewasa berfikiran matang dan dalam keadaan lain pula, mereka bersikap keanak-anakan, mudah merajuk dan sebagainya. Ini menyebabkan ibu bapa sendiri tidak pasti cara berinteraksi dengan anak-anak remaja ini sama ada mahu melayannya seperti dewasa atau kanak-kanak.

Pendekatan sebagai sahabat atau rakan kepada anak remaja adalah paling sesuai pada peringkat anak remaja. Jadilah pendengar yang baik kepada anak gadis dengan mendengar luahan hatinya walaupun apa yang diceritakan itu perkara yang negatif atau sesuatu yang tidak sepatutnya. Kita boleh menegur dan membimbing dengan cara yang berhikmah. Cuba elakkan berleter, memarahi dan menyoal siasat anak remaja seperti polis atau hakim. Anak remaja memerlukan seseorang untuk mendengar luahan dan pandangan mereka bukannya seseorang yang menghukum mereka. Apabila anak gadis berasa selesa berkongsi cerita dengan ibu bapa, mereka akan lebih mudah merujuk kepada ibu bapa tentang pelbagai soalan yang bermain di fikiran mereka seperti persoalan tentang seks dan kerisauan yang dialami. Anak gadis juga akan lebih gemar meluangkan masa di rumah bersama keluarga berbanding melepak dengan rakan-rakan di luar.

Ibu bapa kini juga perlu peka dengan perkembangan teknologi terkini dan belajar serba-sedikit menggunakan aplikasi seperti facebook, twitter dan sebagainya agar dapat mengikuti dan memantau aktiviti anak remaja mereka. Kadangkala anak remaja suka berahsia dan lebih selesa berkongsi dengan rakan atau di laman sosial.

Berikut adalah beberapa saranan kepada ibu bapa untuk menghadapi anak remaja :

  • Menjalin perhubungan yang mesra dengan anak dengan meluangkan masa berkualiti bersama mereka.
  • Menerapkan dan memupuk nilai-nilai murni dan kerohanian ke dalam diri anak remaja dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.
  • Bersedia mendengar dan membimbing anak dalam hal-hal kesihatan reproduktif dan seksualiti. Ramai ibu bapa yang masih tidak tahu dan malu untuk membincangkan isu ini.
  • Mengajar batasan dalam pergaulan antara lelaki dan wanita serta menjaga keselamatan dan maruah diri.
  • Ketidakstabilan emosi mungkin sebahagian daripada proses akil baligh tetapi ini tidak bermakna anak gadis remaja anda boleh melawan kata-kata anda.
  • Apabila anak remaja mulai berasa diri telah dewasa, kemungkinan nasihat anda sudah tidak diendahkan lagi. Jika anda membiarkan anak remaja ‘memijak kepala’ anda, tentulah sukar untuk mendidiknya kelak.
  • Buatlah keputusan terhadap apa yang dibenarkan dan dianggap munasabah untuk diri anda dan anak. Pastikan keputusan yang dibuat adalah konsisten.

Peringkat akil baligh mungkin sesuatu yang baru untuk anak remaja anda tetapi ia sudah tentunya bukan satu pengalaman luar biasa untuk anda. Anda sendiri telah pun melaluinya dan sekarang masanya anda mengharunginya bersama anak remaja anda pula.

  1. Persediaan Remaja Perempuan Menghadapi Akil Baligh

Persediaan Remaja Perempuan Menghadapi Akil Baligh

Bagi gadis remaja, kedatangan haid pertama adalah peristiwa yang amat penting dan kebiasaannya bukanlah suatu pengalaman yang menggembirakan. Oleh itu, ilmu dan persediaan yang mencukupi boleh membantu mengurangkan reaksi negatif seperti rasa takut dan terkejut terhadap pengalaman ini.

Masa remaja adalah fasa paling manis, dan juga peringkat timbulnya pelbagai konflik. Remaja akan mampu mengatasi cabaran ini secara berbincang dan bertanya dengan :

  • Ibu bapa. Ahli keluarga seperti kakak, makcik saudara.
  • Rakan sebaya. Pilih rakan sebaya yang baik akhlaknya.
  • Guru kaunseling, guru kelas atau orang dewasa yang boleh dipercayai.

Bimbingan keluarga, guru dan pendidikan sekolah dan agama adalah pedoman untuk gadis remaja menuju ke arah masa depan yang cemerlang.

Ketika remaja, sokongan rakan sebaya amat penting. Oleh itu berkawanlah dengan mereka yang berakhlak dan dapat membimbing anda ke arah kebaikan. Selain itu, anda juga perlu berinteraksi dengan keluarga dan masyarakat agar dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi.

Sertailah program remaja di sekolah seperti Program PROSTAR, Pembimbing Rakan Sebaya dan Kelab Doktor Muda ataupun yang dijalankan oleh masyarakat di persekitaran anda seperti Hari Belia dan sebagainya.

Alam remaja anda akan lebih bermakna jika anda mempelajari dan memahami mengenai perubahan fizikal, emosi, mental dan sosial semasa remaja. Hormati dan sayangilah diri serta tubuh badan anda.

Rujukan

  1. Azizi Yahaya, Jaafar Sidek Latif, Shahrin Hashim & Yusof Boon. (2005). Psikologi Sosial Alam Remaja. Kuala Lumpur: PTS Professional.
  1. Maznah Ismail. (1997). Cadangan Remaja Perempuan Mengenai Persediaan Untuk Menghadapi Haid.Jurnal Pendidik dan Pendidikan. Jilid 15.
  1. www.parentingteens.com
  1. Yusof Abbas & Nor’Izam Alias. (2010). Psikoseksual Remaja Wanita : Dari Perspektif Biologi & Islam.

Image sources

  1. dian-duniahannah.blogspot.my/2012/09/tanda-tanda-lelaki-dicintai-jin-betina.html
  1. http://drzubaidi.com/blog/remaja-dan-kitaran-haids-yang-tidak-teratur/
  1. http://www.kujie2.com/pengetahuan-am/pengalaman-haid-pertama-2.html
  1. https://jenjitpuriningtias.wordpress.com/2013/11/12/kecerdasan-emosi-dan-pengendalian-diri/

 

Semakan Akhir : 4 Januari 2016
Penulis : Aina Mazwin binti Mohamed Radzi
Akreditor : Tn Hj Hairol Kamal bin Ab Rahman

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia