A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Dermatologi
  8. /
  9. Psoriasis
  10. /
  11. Pilihan Rawatan untuk Psoriasis

Pilihan Rawatan untuk Psoriasis

Terdapat pelbagai bentuk rawatan untuk psoriasis, bergantung kepada jenis psoriasis, tahap teruk psoriasis, pilihan pesakit, rawatan yang sedia ada dan risiko-faedah rawatan

Rawatan psoriasis memerlukan perbincangan dan persetujuan bersama di antara pesakit dengan doktor yang merawat. Pesakit hendaklah diberi informasi yang mencukupi mengenai penyakit psoriasis berserta pilihan rawatan terkini yang sedia ada. Rawatan psoriasis bertujuan untuk memperbaiki dan mengekalkan kualiti hidup pesakit dengan mengawal gejala-gejala psoriasis. Implementasi dan pemantauan berkala rawatan serta kerjasama pesakit amat penting bagi memastikan kejayaan rawatan jangkamasa panjang di samping mengelakkan komplikasi yang boleh terjadi akibat penyakit yang tidak terkawal. Pilihan rawatan perlu disesuaikan dengan setiap pesakit berdasarkan tahap teruk penyakit, rawatan pilihan pesakit, rawatan yang sedia ada serta risiko-faedah rawatan.

Bentuk-bentuk Rawatan untuk Jenis-jenis Psoriasis yang Berlainan

Terdapat pelbagai bentuk rawatan untuk psoriasis, bergantung kepada jenis psoriasis, tahap teruk psoriasis, pilihan pesakit, rawatan yang sedia ada dan risiko-faedah rawatan. Pilihan rawatan terkini termasuklah ubat sapuan, ubat sistemik, fototerapi dan ubat biologics.

Rawatan ubat sapuan lazimnya digunakan untuk penyakit psoriasis tahap rendah dan sederhana. Namun begitu, ada juga pesakit psoriasis yang teruk berjaya dirawat dengan ubat sapuan sahaja, dengan syarat pesakit mematuhi arahan rawatan. Ubat sapuan yang ada di Malaysia buat masa ini termasuklah pelembap1 untuk kulit yang kering, ubat buatan tar2 untuk keruping kulit yang tebal dan bersisik, ubat sapu steroid3 untuk mengurangkan radang, vitamin D analogues4 seperti calcipotriol juga untuk mengurangkan radang, calcineurin inhibitors5 seperti tacrolimus untuk psoriasis yang melibatkan muka dan lipatan kulit, dan keratolytic seperti asid salicylic6 untuk menipiskan keruping yang tebal (Foto1).

Foto 1: Pelbagai jenis ubat sapu

Fototerapi7,8 boleh digunakan untuk pesakit yang menghidapi penyakit psoriasis kronik yang sederhana teruk ke tahap amat teruk. Ia merangkumi sinaran ultraviolet A (UVA), ultraviolet B (UVB), cahaya merah, cahaya biru danlaser excimer. Sinaran UVA diberikan bersama agen photosensitizing(psoralen) dalam bentuk ubat makan, ubat sapuan atau ubat mandian. Sinaran UVB diberikan secara narrowband(NBUVB) atau jalur lebar (broadband – BBUVB) (Foto 2). Pesakit perlu menjalani 2-3 sesi fototerapi seminggu.

Foto 2: Kabin Fototerapi

Kebanyakan pesakit dengan psoriasis pada tahap sederhana teruk dan amat teruk kerapkali memerlukan rawatan sistemik atau rawatan biologic. Agen sistemik seperti methotrexate9, acitretin10 dan cyclosporine11 boleh mempunyai kesan sampingan serta kesan toksik yang kumulatif. Oleh yang demikian, penilaian pra-rawatan amat penting bagi mengenalpasti golongan pesakit yang berisiko mengalami kesan toksik. Ujian makmal dan pengimejan perlu dilakukan sebelum memulakan rawatan dan juga secara berkala bagi memantau kesan-kesan samping/toksik ubat-ubatan di atas.

Ubat biologic terbukti amat berkesan dalam merawat psoriasis tahap sederhana teruk ke tahap amat teruk12. Ubat biologicseperti infliximab, adalimumab, ustekinumab dan etanercept merupakan protein yang direkacipta untuk menyekat langkah-langkah molekular yang spesifik dalam proses penyakit psoriasis. Namun demikian, ubat biologic juga dikaitkan dengan beberapa kesan sampingan yang serius dan boleh membawa maut, termasuk jangkitan opportunistic, reaktivasi tibi, kanser, kegagalan jantung kongestif, penyakit saraf demyelinating, reaksi suntikan/infusi, serta gangguan darah dan hati. Semua ubat biologic sedia ada hanya dalam bentuk suntikan sahaja.

Sumber: Open access, Google Images

Bagi pesakit psoriasis yang mengandung, rawatan yang dianggap selamat untuk digunakan termasuklah pelembap, ubat sapu steroid, fototerapi sinaran UVB, ubat makan cyclosporine danubat steroid sistemik.

Cara-cara Mempertingkatkan Keberkesanan Rawatan Psoriasis

Pesakit yang patuh pada pelan rawatan yang telah disediakan merupakan faktor utama bagi menjamin pesakit mendapat kesan rawatan yang terbaik. Implementasi dan pemantauan berkala objektif rawatan berdasarkan tahap penyakit serta persetujuan dan kerjasama pesakit adalah amat penting bagi memastikan kejayaan rawatan jangkamasa panjang di samping mengelakkan komplikasi yang boleh terjadi akibat penyakit yang tidak terkawal.

Kenapa Penggunaan Steroid Sistemik Tidak Digalakkan?

Penggunaan steroid sistemik tidak digalakkan di atas beberapa sebab:

  1. Pesakit yang menerima dos steroid yang tinggi dan/atau untuk jangkamasa yang panjang adalah berisiko mengalami kesan-kesan sampingan seperti sindrom Cushing, kencing manis, darah tinggi, tulang rapuh (osteoporosis), selaput mata (cataracts), kudis perut (peptic ulcer), jerawat dangangguan hormon semulajadi di dalam badan.
  2. Pesakit yang menerima steroid sistemik tidak boleh dihentikan rawatannya terlalu cepat, justeru itu meningkatkan lagi risiko mendapat komplikasi penggunaan steroid yang kronik. Sekiranya steroid sistemik dihentikan secara mendadak, penyakit psoriasis akan menjadi tidak stabil dan boleh tiba-tiba meliputi keseluruhan badan (erythroderma), atau bertukar menjadi gelembung berisi nanah (pustule) yang meliputi keseluruhan badan (generalized pustular psoriasis). Kedua-dua komplikasi ini amat serius dan boleh membawa maut.

Rujukan

  1. Watsky KL, Freije L, Leneveu MC. Water-in-oil emollients as steroid-sparing adjunctive therapy in the treatment of psoriasis. Cutis, 1992 50(5):383-386
  2. Slutsky JB, Clark RA, Remedios AA, et al. An evidence-based review of the efficacy of coal tar preparations in the treatment of psoriasis and atopic dermatitis. J Drugs Dermatol, 2010 9(10):1258-1264
  3. Mason AR, Mason J, Cork M, et al. Topical treatments for chronic plaque psoriasis. Cochrane Database Syst Rev, 2009 15(2):CD00502
  4. Kragballe K, Austad J, Barnes L, et al. A 52-week randomized safety study of a calcipotriol/betamethasone dipropionate two-compound product .(Dovobet/Daivobet/Taclonex) in the treatment of psoriasis vulgaris. Br J Dermatol, 2006. 154(6):1155-1160.
  5. Lebowhl M, Freeman AK, Chapman MS, et al. Tacrolimus ointment is effective for facial and intertriginous psoriasis. J Am Acad Dermatol, 2004. 51(5):723-730
  6. Carroll CL, Clarke J, Camacho F, et al. Topical tacrolimus ointment combined with 6% salicylic acid gel for plaque psoriasis treatment. Arch Dermatol, 2005. 141(1):43-46
  7. Medical Advisory Secretariat. Ultraviolet phototherapy management of moderate-to-severe plaque psoriasis: an evidence-based analysis. Ontario Health Technology Assessment Series, 2009. 9((27)
  8. Archier E, Devaux S, Castela E, et al. Efficacy of psoralen UV-A therapy vs. narrowband UV-B therapy in chronic plaque psoriasis: a systematic literature review. J Eur Acad Dermatol Venereol, 2012 (Suppl 3):11-21
  9. Saurat JH, Langley RG, Reich K, et al. Relationship between methotrexate dosing and clinical response in patients with moderate to severe psoriasis: subanalysis of the CHAMPION study. Br J Dermatol, 2011 165(2):399-406
  10. Bansback N, Sizto S, Sun H, et al. Efficacy of systemic treatment for moderate to severe psoriasis: Systematic Review and Meta-analysis. Dermatology 2009. 219:209-218.
  11. Heydendael VM, Spuls PI, Opmeer BC, et al. Methotrexate versus cyclosporine in moderate-to-severe chronic plaque psoriasis. N Engl J Med, 2003 349(7):658-665
  12. Reich K, Burden AD, Eaton JN, et al. Efficacy of biologics in the treatment of moderate to severe psoriasis: a network meta-analysis of randomized controlled trials. Br J Dermatol, 2012 166(1):179-188
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penterjemah : Dr. Rajalingam a/l Ramalingam
Akreditor : Datin Dr. Asmah bt. Johar
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

Psoriasis

Psoriasis adalah penyakit kulit yang kronik di mana kulit penghidap menebal lebih cepat dari kulit yang normal

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia