Pengenalan
Vitamin merupakan sejenis elemen mikro nutrien yang diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi oleh tubuh badan bagi menjalankan fungsi badan secara normal.
Vitamin lazimnya boleh didapati melalui pengambilan pelbagai makanan yang seimbang seperti hati, daging, ikan, bijirin, kekacang, sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain daripada sumber makanan, vitamin juga boleh diambil dalam bentuk dosej farmaseutikal bagi memenuhi keperluan harian setiap individu.
Produk vitamin yang terdapat di pasaran boleh didapati dalam pelbagai bentuk sediaan, seperti kapsul dan tablet. Terdapat juga sediaan dalam bentuk tablet untuk dikunyah (chewable) atau tablet yang dilarutkan dalam air (effervescent) bagi memudahkan pengambilan vitamin bagi individu yang mengalami kesukaran untuk menelan kapsul atau tablet. Sediaan multivitamin juga terdapat di pasaran bagi memudahkan pengambilan vitamin dan mineral mengikut keperluan harian.
Fungsi vitamin
Secara umumnya, vitamin bertindak untuk membantu enzim agar dapat menjalankan tindak balas kimia tertentu dalam tubuh badan. Pengambilan vitamin yang berbeza dapat membantu dalam perkembangan tisu badan, pengawalan metabolisma badan serta mengekalkan kesihatan kulit, mata, gigi dan tulang.
Vitamin perlu diambil dalam kuantiti yang mencukupi bagi mengelakkan penyakit tertentu. Kekurangan vitamin boleh menyebabkan penyakit seperti skurvi (akibat kekurangan vitamin C), riket (akibat kekurangan vitamin D), pellagra (akibat kekurangan vitamin B3), beri-beri (akibat kekurangan vitamin B1) dan sebagainya.
Jenis-jenis vitamin
Vitamin boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu vitamin larut air dan vitamin larut lemak. Berikut disenaraikan jenis-jenis vitamin dan contohnya:
Vitamin larut air
|
Vitamin larut lemak
|
---|---|
|
|
Dos
Keperluan dos vitamin yang diambil adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada jantina dan umur serta perlu mengambil kira sekiranya individu tersebut mempunyai masalah kesihatan tertentu, sedang hamil atau menyusukan anak.
Sebagai contoh, bagi individu yang mengalami masalah tulang seperti osteoporosis, keperluan pengambilan vitamin D adalah lebih tinggi berbanding dos yang disarankan bagi membantu penyerapan kalsium ke dalam tulang serta menguatkan tulang. Wanita yang hamil pula memerlukan dos asid folik yang lebih tinggi bagi mengelakkan neural tube defect, iaitu kecacatan pada tulang belakang dan sistem saraf pada bayi dalam kandungan.
Jadual berikut menerangkan dos yang disarankan serta dos maksima yang dibenarkan dalam sehari bagi orang dewasa secara amnya mengikut jenis vitamin:
Vitamin
|
Dos yang disarankan dalam sehari
|
Dos maksima yang dibenarkan dalam sehari
|
---|---|---|
A | 3000 IU | 5000 IU |
B1 | 1.2 mg | 100 mg |
B2 | 1.3 mg | 40 mg |
B3 | 14 mg | 15 mg |
B5 | 5 mg | 200 mg |
B6 | 1.3 mg | 100 mg |
B7 | 0.03 mg | 0.9 mg |
B9 | 0.4 mg | 0.9 mg |
B12 | 0.024 mg | 0.6 mg |
C | 90 mg | 1000 mg |
D | 600 IU | 1000 IU |
E | 22.4 IU | 800 IU |
K | 0.09 mg | 0.12 mg |
Kesan sampingan
Pengambilan vitamin hendaklah tidak melebihi dos maksima yang disarankan bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan. Secara umumnya, vitamin larut lemak boleh memberi kesan sampingan berbanding vitamin larut air kerana vitamin larut lemak lazimnya disimpan dalam tisu badan dan hati serta menyebabkan toksisiti dalam jangka masa panjang.
Bergantung kepada jenis vitamin, pengambilan vitamin yang melebihi dos maksima yang dibenarkan dalam sehari boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, sembelit, sakit kepala, sakit pada bahagian abdomen, keletihan, kekeliruan, penglihatan menjadi kabur dan sebagainya.
Langkah Berjaga-Jaga
- Pastikan anda membaca label pada produk suplemen vitamin untuk mengelakkan pengambilan dua atau lebih produk yang mengandungi vitamin yang sama.
- Jangan ambil vitamin melebihi dos yang telah ditetapkan seperti pada label ubat.
- Sekiranya anda mempunyai sebarang masalah kesihatan atau sedang mengambil ubat-ubatan tertentu, maklumkan kepada doktor atau berbincanglah sebelum mengambil sebarang produk suplemen vitamin atau suplemen kesihatan lain bagi mengelakkan interaksi ubat.
- Dapatkan rawatan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami simptom toksisiti akibat pengambilan vitamin dalam dos berlebihan.
Rujukan
- Micromedex
- MIMS Gateway Service Portal
- Institute of Medicine : Recommended Dietary Allowances and Adequate Intakes, Vitamins (2011)
- Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan : Drug Registration Guidance Document (First Edition, Jan 2013)
- WebMD : Vitamins and Supplements Lifestyle Guide (www.webmd.com, 2013)
Semakan Akhir | : | 16 Disember 2013 |
Penulis | : | Hazlin bt. Othman |