A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Program Pencegahan Masalah Sosial...

Program Pencegahan Masalah Sosial Remaja

Pengenalan

Masyarakat Malaysia hari ini cukup terganggu secara fizikal, mental, emosi dan spiritual dengan pelbagai gejala sosial remaja yang berlaku hampir setiap hari. Kehidupan remaja yang penuh dengan pelbagai permasalahan sosial sangat merunsingkan ibu bapa dan juga pemimpin negara.

Banyak cara dan kaedah telah digunakan untuk menarik mereka ini ke arah kebaikan untuk menjadi insan berguna namun mereka tetap memilih jalan yang salah dan hitam. Kes rogol, ragut, penyalahgunaan dadah, berpeleseran di pusat-pusat beli belah,seks bebas, lumba motor haram, Black Metal dan yang seumpamanya yang mana semua ini semakin berleluasa dari sehari ke sehari.

Mereka seolah-olah suka membuat sesuatu yang negatif yang mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain.

Hal ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana remaja merupakan satu-satunya tonggak negara dalam menerajui kepimpinan negara sesuai dengan ungkapan “pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara”

Persoalannya,jika remaja kita musnah akibat kesan keseronokan yang sementara ini,siapakah yang akan terus memperjuangkan masa depan mereka? Justeru itu, senario ini mencetuskan kebimbangan kepada semua pihak seperti golongan ibu bapa,guru,masyarakat, negara dan termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Oleh itu sebelum keadaan menjadi semakin teruk, satu pelan menyeluruh berkaitan perancangan program pencegahan masalah sosial remaja perlu dirangka oleh pasukan kesihatan termasuk Pegawai Kerja Sosial Perubatan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Remaja

Remaja pada umumnya merujuk kepada anak muda yang berumur antara 10 hingga 18 tahun di mana pada masa ini mereka mula berkembang menjadi orang dewasa yang mulai matang dan pandai berfikir. Pada peringkat ini,golongan remaja mengalami peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa.

Golongan ini sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba akan mengalami pelbagai perubahan yang drastik, termasuklah perubahan fizikal, jasmani, sosial, emosi, dan bahasa.

Zaman remaja juga boleh disifatkan zaman yang penuh dengan pancaroba dan seandainya remaja ini tidak mampu menguruskan hidupnya dengan baik mereka akan mengalami risiko terkandas dan tercicir dalam perjalanan hidup.

Punca Kenakalan Remaja

Kendiri

Remaja hari ini kurang kemampuan untuk menyesuaikan diri kerana tidak berupaya untuk mengawal dan mempertahankan diri. Akibatnya mereka sukar mengendalikan emosi semasa berhadapan dengan masalah hidup dan tekanan daripada keluarga sertarakan-rakan. Kebanyakan remaja tidak tahu mengendalikan emosi marah, bahagia, derita atau cinta yang melingkari kehidupan seharian mereka.

Keluarga

Nilai murni kekeluargaan hari ini juga sudah banyak punah disebabkan ibu bapa sibuk bekerja dan tidak menumpukan perhatian serta kurang memberi kasih sayang terhadap anak-anak.

Masalah yang berlaku dalam rumah juga memberi kesan kepada jiwa anak-anak terutamanya apabila ibu bapa yang bergaduh di hadapan mereka. Anak-anak akan merasakan diri kurang kasih sayang dan pembesaran yang tidak sihat itu akan membentuk jiwa anak-anak menjadi rapuh dan akan mudah terdedah dengan tarikan sosial negatif di luar.

Kewangan

Banyak jenayah dan masalah sosial yang dilakukan remaja hari ini disebabkan oleh faktor kewangan kerana keinginan mereka yang semakin meningkat untuk menikmati kemewahan hidup. Bagi remaja dari keluarga miskin, mereka mudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang hidup mewah. Justeru itu, mereka cenderung untuk melakukan jenayah dan kegiatan tidak bermoral seperti mencuri, merempit, melacur, mengedar dadah dan menyimpan barangan curi untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung kehendak hidup mereka yang mewah.

Masyarakat

Masyarakat hari ini banyak mementingkan diri sendiri dan kurang peka terhadap nilai hidup kejiranan dan bermasyarakat. Mereka juga tidak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial dan komuniti menyebabkan mereka tidak mengenali di antara satu sama lain. Masalah remaja dianggap menjadi remeh dan bukan tanggungjawab mereka untuk sama-sama mencari penyelesaian.

Rakan-Rakan

Faktor ini telah diketahui ramai sebagai punca utama remaja hari ini terjebak dalam masalah sosial yang negatif. Pengaruh rakan sebaya umpama tarikan magnet yang menjadikan remaja lebih gemar melepak dan mengikut rentak dan gaya hidup mereka. Jika rakan-rakan itu buruk perangai dan aktif dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial, maka mereka akan mengikutnya kerana remaja hari ini lemah jati diri dan tiada tujuan hidup.

Keagamaan

Iman dan amal yang lemah terhadap agama menjadikan remaja hari ini tidak mampu berfikir terhadap perbuatan buruk yang mereka lakukan. Pegangan agama yang longgar dan tiada tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa menjadi punca masalah sosial ini berterusan.

Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan

Pegawai Kerja sosial Perubatan adalah salah seorang anggota pasukan pelbagai disiplin yang terlibat dalam proses rawatan, pemulihan, penjagaan dan pencegahan bagi masalah sosial di kalangan remaja.

Enabler

Memberi sokongan sosial dan nasihat bimbingan kepada remaja dalam mengenalpasti masalah dan memilih jalan penyelesaian.

Fasilitator

Bertanggungjawab memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada remaja untuk menangani masalah-masalah sosial dan melakukan perubahan bagi mencapai matlamat.

Orang tengah (broker)

Menghubungkan remaja dengan badan-badan atau pihak-pihak yang memiliki sumber untuk membantu remaja berubah

Perantara (mediator)

Sebagai pendamai bagi pihak ketiga dalam penyelesaian konflik yang dialami remaja

Peguam Bela

Menjadi penyokong dan membantu remaja mendapatkan layanan yang sewajarnya daripada pihak yang menyediakan perkhidmatan

Aktivis

Mengambil berat perkara-perkara yang berkaitan dengan ketaksamaan dan ketidakadilan terhadap remaja

Perunding

Berusaha mencari kata sepakat dan persetujuan dalam memastikan semua pihak yang terlibat mendapat faedah masing-masing

Pendidik

Menyampaikan maklumat dan mengajar remaja bagaimana menggunakan kemahiran-kemahiran yang sedia ada.

Program-Program Yang Telah Dilaksanakan

  1. Memberi kaunseling, khidmat nasihat, sokongan emosi dan membantu remaja dalam pemilihan penyelesaian konflik yang dialami.
  2. Membuat lawatan ke rumah dan sekolah bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang terperinci dan pengesahan berkaitan masalah remaja dari semua sudut seperti sokongan keluarga, rakan-rakan, sekolah dan masyarakat.
  3. Menjadi platform untuk perjumpaan di antara remaja yang bermasalah, ibubapa dan pihak sekolah bagi mencari jalan penyelesaian bersama.
  4. Melibatkan diri dalam mana-mana program bersesuaian yang dilaksanakan oleh disiplin-disiplin kesihatan awam seperti Kesihatan Sekolah, Kesihatan Keluarga, Ibu dan Anak, NCD (Penyakit tidak berjangkit ), Pendidikan kesihatan dan mana-mana disiplin yang bersesuaian.
  5. Memberi ceramah motivasi dan sesi berdialog dalam forum atau seminar untuk memberi maklumat terkini berkaitan dengan masalah sosial remaja yang semakin kronik.

Kesimpulan

Banyak faktor yang menyebabkan gejala sosial dalam kalangan remaja menjadi semakin berleluasa. Semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dalam menangani isu remaja ini termasuklah perkhidmatan kerja sosial perubatan di kesihatan awam. Semoga program-program yang dilaksanakan dapat membantu memberi kesedaran kepada golongan remaja, ibubapa dan masyarakat dalam mencegah masalah sosial remaja menjadi semakin parah.

Rujukan

  1. http://www.wawasanpendidikan.com/2015/02/Faktor-Faktor-yang-Menyebabkan-Kenakalan-Remaja-dari-Berbagai-Aspek.html
Semakan Akhir : 31 Januari 2017
Penulis : Pn. Asmaliah Binti Ismail
Akreditor : En. Harolhanam Bin Mohamed Wahid

Artikel Berkaitan

MENGAPA BERPUASA UNTUK PEMERIKSAAN X-RAY?

Keperluan berpuasa adalah penting bagi pesakit dewasa yang menjalani pemeriksaan x-ray pada bahagian abdomen dan pemeriksaan yang melibatkan penggunaan media kontras. Pesakit perlu berpuasa supaya organ dan struktur kelihatan jelas tanpa dilindungi najis.

Urutan Bayi

Urutan bayi ialah teknik yang indah yang dilakukan dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Ia dilakukan supaya bayi anda sihat dan gembira.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia