A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radioterapi
  6. /
  7. Kaedah Rawatan
  8. /
  9. PROSEDUR RADIOTERAPI BIM LUARAN

PROSEDUR RADIOTERAPI BIM LUARAN

Suatu perancangan dan aliran lengkap proses rawatan radioterapi yang perlu dijalani oleh pesakit melalui penentuan bahagian rawatan, isipadu sasaran, teknik dan preskripsi dos rawatan menggunakan mesin Simulator Konvensional atau CT Simulator.

Pengenalan

Radioterapi atau Terapi Sinaran merupakan pemberian rawatan menggunakan radiasi mengion kepada seseorang individu sama ada untuk tujuan radikal atau paliatif. Radioterapi digunakan untuk merawat hampir kesemua jenis kanser dan pada semua peringkat umur. Radioterapi Bim Luaran juga dikenali sebagai Teleterapi. Kaedah rawatan ini diberi dengan menggunakan mesin radioterapi Linear Accelerator. Pancaran bim radiasi diarah ke bahagian badan pesakit yang perlu dirawat.

Pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan radioterapi akan melalui beberapa peringkat proses radioterapi (Rajah 1)

Rajah 1: Aliran Proses Radioterapi

Perundingan/ Konsultasi

  • Pakar Onkologi akan meneliti laporan perubatan dan memeriksa pesakit. Menjalankan siasatan lanjutan yang diperlukan bagi menentukan tahap penyakit dan membuat keputusan kaedah rawatan.

Perancangan dan Simulasi

  • Sebelum menjalani radioterapi bim luaran, pesakit perlu menjalani perancangan radioterapi di mana Pakar Onkologi akan menentukan bahagian mana yang akan dirawat, isipadu sasaran (tumour volume), teknik rawatan dan preskripsi dos. Ini dilakukan berasaskan pemeriksaan, laporan histologi, laporan pembedahan, laporan makmal dan laporan radiologi.
  • Perancangan radioterapi dilakukan menggunakan mesin Simulator Konvensional atau CT Simulator (Gambar 1). Juru X-ray Terapi akan memposisikan pesakit bersesuaian dengan teknik rawatan. Beberapa alat aksesori akan digunakan dan dibuat khas untuk pesakit untuk memastikan pesakit tidak bergerak semasa menjalani rawatan kelak. Pesakit dinasihat supaya memberi kerjasama dan maklum balas supaya Juru X-ray Terapi dapat menentukan kedudukan yang selesa untuk pesakit.
  • Imbasan akan dilakukan, dan setelah pakar menentukan sasaran dan saiz bidang rawatan, imej akan diambil. Juru X-ray Terapi juga akan membuat penandaan dakwat di atas permukaan kulit dan mengambil ukuran serta butiran parameter rawatan. Ini adalah penting  supaya kedudukan dan posisi pesakit serta parameter rawatan pada hari perancangan dapat dihasilsemula pada setiapkali pesakit dirawat.
  • Pesakit dibenarkan pulang selepas prosidur simulasi tamat  dan akan dihubungi apabila giliran pesakit untuk memulakan rawatan.
(a) Mesin Simulator  (b) Imej fluoroskopi tentukan bidang rawatan
(c) Pesakit menjalani perancangan radioterapi di Unit CT Simulator

Gambar 1 (a)- (c): Perancangan radioterapi menggunakan mesin Simulator Konvensional atau CT Simulator

Dosimetri

  • Imej-imej yang terhasil akan digunakan untuk menjana pelan rawatan pesakit. Setelah mendapat pengesahan dan preskripsi pakar onkologi, Pegawai Sains Fizik akan membuat pengiraan dos dan memasukkan parameter rawatan ke dalam sistem komputer mesin rawatan. Pakar Onkologi juga akan menyemak dos yang akan diterima oleh organ-organ kritikal dan tisu-tisu yang tidak terlibat, dalam bidang rawatan.

(a)                                                                                              (b)

Gambar 2: (a) Imej Keratan CT digunakan untuk menghasil pelan rawatan berkomputer, (b) Penghasilan pelan rawatan berkompute

 

Pemberian Radioterapi

  • Pesakit menjalani radioterapi bim luaran
  • Pada hari pertama pesakit hadir untuk rawatan, penandaan dakwat dan ukuran-ukuran yang dibuat semasa sesi perancangan radioterapi, akan disemak.
  • Pesakit akan dibaringkan di meja rawatan (couch) dan diposisi mengikut arahan yang telah ditetapkan. Ini akan mengambil masa kerana penghasilan semula kedudukan pesakit dengan betul amat penting untuk memastikan rawatan dapat diberi dengan tepat dan jitu. Kerjasama pesakit amatlah diperlukan.
  • Parameter rawatan dan parameter mesin akan diset dan disemak mengikut pelan rawatan yang dihasil dan diperakui. Pemerisaian untuk melindungi organ-organ kritikal dan tisu yang tidak terlibat dilakukan.
  • Pesakit diarah supaya bernafas seperti biasa, kekalkan kedudukan dan tidak bergerak semasa rawatan dijalankan. Pesakit dinasihatkan supaya memberi isyarat dengan mengangkat tangan sekiranya mengalami masalah semasa rawatan dijalankan.
  • Juru X-ray Terapi yang bertugas akan keluar dari bilik rawatan dan mengambil imej verifikasi untuk memastikan rawatan akan diberi dengan tepat. Setelah disemak barulah  rawatan di beri dari panel kawalan. Semasa pesakit dirawat Juru X-ray Terapi akan memerhatikan pesakit melalui CCTV. Sekiranya perlu, rawatan akan diberhentikan untuk membenarkan Juru X-ray Terapi memasuki bilik rawatan memberi bantuan kepada pesakit.
  • Setiap dedahan adalah untuk beberapa saat sahaja. Rawatan bagi seseorang pesakit mungkin memerlukan tiga hingga 10 dedahan bagi setiap sesi, mengikut teknik dan pelan rawatan yang telah ditetapkan.

Setelah tamat rawatan, pesakit akan diberi temujanji untuk rawatan seterusnya dan dibenarkan pulang. Penerangan tentang kesan sampingan rawatan dan nasihat penjagaan kesihatan akan diberi pada hari pertama rawatan. Pesakit dinasihatkan supaya memberi maklumbalas kepada Juru X-ray Terapi yang menjaga sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan atau masalah.

Kebiasaannya sepanjang pesakit menjalani rawatan, doktor akan review (berjumpa dengan pesakit) untuk mengikuti perkembangan rawatan dan memberi ubat-ubatan bagi menangani kesan sampingan yang dialami.

Rujukan

  1. www.mos
  2. Griffiths, S. and Short, C. 1994: Radiotherapy: Principles to Practice, Churchill Livingstone

 

 

Semakan Akhir : 23 Mac 2017
Penulis : Rubiah binti Mohd Pakeh
Akreditor : Nafisah binti Hamid

Artikel Berkaitan

PENGURUSAN PESAKIT KANSER SECARA HOLISTIK

Perkhidmatan dan jagaan ini disediakan oleh pasukan profesional antara disiplin; bukan sahaja untuk membantu individu memenuhi keperluan diri tetapi juga keluarga mereka agar lebih memahami situasi sebenar dan mampu memberi sokongan kepada yang tersayang dalam waktu yang mencabar.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia