–A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Ptosis adalah keadaan dimana turunnya kelopak mata atas. Kelopak mata atas mungkin turun sedikit sahaja atau turun dengan banyaknya sehingga menutup anak mata. Ini mungkin akan menghalang penglihatan serta medan penglihatan. Ptosis boleh berlaku pada sebelah mata sahaja atau kedua-dua belah mata serentak.

Penyebab

Ptosis berlaku apabila otot  (levator muscle dan superior tarsal muscle) yang berfungsi untuk mengangkat kelopak mata tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya.

Peregangan otot levator adalah merupakan penyebab paling umum bagi ptosis di kalangan orang dewasa. Ianya berlaku akibat dari proses penuaan, selepas pembedahan mata intraokular atau apabila berlaku penyakit radang mata yang kronik. Penggunaan kontak lens yang berterusan dalam jangka masa yang lama juga boleh menyebabkan ptosis.

Ptosis yang berlaku akibat dari proses penuaan yang melibatkan kedua –dua belah mata. Kelopak mata atas telah menutup anak mata di sebelah kanan. Sumber foto : http://image.frompo.com

 

Kecederaan pada  otot levator serta saraf berkenaan semasa kemalangan boleh menyebabkan ptosis.

Ptosis juga boleh berlaku akibat dari komplikasi penyakit lain ke atas otot levator serta sarafnya (saraf kranial ketiga) seperti penyakit diabetes mellitus, barah otak, penyakit saraf dan ketumbuhan pada kelopak mata serta orbit.

Ptosis Kongenital adalah ptosis yang wujud sejak lahir. Ia biasanya diakibatkan oleh otot levator yang tidak berkembang dengan baik tetapi punca sebenar ianya berlaku tidak diketahui.

‘Simple  Congenital Ptosis’ yang melibatkan mata kanan. Sumber foto : www.levinmd.com

 

Ptosis  juga boleh merupakan sebahagian dari penyakit–penyakit atau sindrom–sindrom lain seperti:
Marcus-Gunn jaw –winking  ptosis’. Ia disebabkan oleh ransangan tidak normal kepada dua kumpulan otot yang berbeza. Ini menyebabkan pergerakan dua kumpulan otot yang  tiada kaitan seperti kelopak mata terangkat apabila pesakit membuka mulut.
Kelopak atas mata kanan terbuka bila pesakit mebuka mulutnya. Sumber foto : www.gunsbase.com

 

‘Blepharophimosis syndrome’.  Sindrom ini diwarisi secara autosomal dominan. Ia melibatkan ptosis pada kedua-dua belah mata. Ciri-ciri lain yang ada pada pesakit ini adalah ‘epicanthus inversus’, ‘telecanthus’, ‘phimosis’ dan  ektropion pada hujung kelopak mata bawah.
Pesakit mempunyai ptosis yang teruk, mata yang kecil (phimosis) , kedua –dua belah mata dipisahkan jauh(‘telecanthus’) dan ektropion pada hujung kelopak mata bawah. Sumber foto : www.nature.com

 

‘Horner’s syndrome’. Sindrom ini disebabkan oleh kerosakan yang berlaku pada saraf simpatetik. Ciri–ciri sindrom ini adalah ptosis yang sedikit, miosis (anak mata mengecil) dan anhidrosis (tidak berpeluh). Kelopak mata bawah pada belah yang sama akan terangkat sedikit. Warna anak mata akan lebih cerah sedikit disebabkan tiada ransangan saraf simpatetik pada sel pigmen anak mata. Horner’s sindrom ini mungkin terjadi sejak lahir (congenital) atau disebabkan oleh penyakit –penyakit yang serius pada dada dan leher.
Horner’s syndrome di mata kiri menunjukkan ptosis dan miosis sederhana. Sumber foto : archopht.jamanetwork.com

 

Miastenia gravis adalah suatu penyakit autoimun dimana persambungan otot dan saraf atau ‘neuromuscular junction’ berfungsi secara tidak normal dan menyebabkan kelemahan otot. Jika ia berlaku pada otot kelopak mata, pesakit akan mendapat ptosis
Sel antibodi tubuh akan menyerang sambungan saraf yang mengandungi acetylcholine (Ach) iaitu neurotransmitter yang menghantar ransangan dari saraf ke otot. Jika terdapat gangguan pada persambungan ini ,otot tidak mengecut. Sumber foto : www.beverlydoc.com

 

Tanda-Tanda & Gejala

Kelopak mata atas yang turun akan menyebabkan bukaan mata kelihatan lebih kecil. Kelopak mata atas yang menutup anak mata akan mempengaruhi penglihatan dan juga medan penglihatan pesakit. Selalunya pesakit akan cuba membuka matanya agar lebih besar dengan mengangkat keningnya serta mengerutkan dahi. Ini akan menyebabkan pesakit seolah-olah kelihatan seperti terperanjat.

Bagi kanak–kanak pula kelopak mata atas yang menutupi anak mata boleh menyebabkan mata tersebut menjadi malas atau ambliopia. Kelopak mata yang turun akan menekan kornea mata dan menyebabkan astigmatism. Jika astigmatism ini tidak dibaiki ia juga boleh menyebabkan mata malas.

Jika ptosis adalah disebabkan oleh penyakit–penyakit lain, maka pesakit akan juga mengalami tanda tanda atau gejala dari penyakit yang berkaitan.

Rawatan

Pakar  Mata akan memeriksa dan memastikan penyebab ptosis tersebut dan kemudian memberikan rawatan yang sewajarnya. Pembedahan adalah merupakan rawatan yang selalu diberikan pada pesakit yang mengalami ptosis.

Tujuan utama pembedahan adalah untuk mengangkat kelopak mata atas supaya penglihatan dan medan penglihatan menjadi normal. Pakar Mata  juga akan cuba memastikan kedua dua belah kelopak mata atas berada pada ketinggian yang sama (symmetrical).

Jika ptosis adalah disebabkan oleh penyakit-penyakit  lain maka doktor akan merawat penyakit tersebut. Rawatan ini mungkin dapat memperbaiki ptosis sepenuhnya tetapi kadangkala ianya hanya dapat menahannya daripada  menjadi lebih teruk.

Rujukan

  1. Ptosis (eyelid) – Wikipedia ,the free encyclopedia en.wikipedia.org/wiki/Ptosis_(eyelid)
  2. Ptosis- American Society of Ophthalmic Plastic and Reconstructive surgery www.asoprs.org
  3. Oculoplastic SurgeryBrian Leatherbarrow ,2002 Martin Dunitz Lmt.ISBN 1-85317-942-6
  4. Clinical Ophthalmology. A clinical Approach.Fourth Edition. Jack J. Kanski, 1999 Reed Educationaland Professional Publishing LmtISBN 0 7506 4009 X
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penterjemah : Dr. Norlaila bt. Ab. Talib
Akreditor : Dr. Shamala a/p Retnasabapathy
Penyemak : Dr. Rosniza bt. Ab. Razak

Artikel Berkaitan

Mata Kering

Mata kering adalah satu keadaan di mana terdapat kekurangan air

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia