A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Pemakanan di Bulan Puasa
  6. /
  7. Puasa Bukan Alasan untuk...

Puasa Bukan Alasan untuk Tidak Makan Secara Sihat

Ramadhan menjelma lagi. Apa yang terbayang di kotak fikiran kita tidak lain dan tidak bukan ialah kemeriahan pasar atau bazar Ramadhan. Ia seakan-akan pesta menjual makanan. Begitu meriah dengan pelbagai jenis kuih-muih, lauk-pauk serta minuman yang disediakan khusus buat juadah berbuka. Setelah seharian berpuasa, pastinya pelbagai juadah akan dibeli apabila berkunjung ke pasar atau bazar Ramadhan ini. Pada masa ini, apa saja yang teringin pasti akan dibeli tanpa memikirkan adakah kita mampu untuk makan kesemua makanan tersebut. Apa yang paling penting, rata-rata antara kita mula mengetepikan amalan makan secara sihat semata-mata kerana berpuasa.

Kenapa perlu makan secara sihat pada bulan Ramadhan ?

Makan secara sihat perlu dijadikan amalan setiap masa. Ini lebih-lebih lagi semasa menjalani ibadah puasa. Ini adalah penting untuk mengelak beberapa masalah kesihatan seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, kandungan gula rendah dalam darah dan sebagainya. Sekiranya masalah ini berlaku pastinya ia boleh mengganggu seseorang itu berpuasa dengan selesa dan menghayati fadhilat di bulan Ramadhan.

Amalan pemakanan sihat di bulan Ramadhan

Kunci kepada amalan makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang perlu diamalkan walaupun di bulan puasa. Kita mesti mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berdasarkan kepada Piramid Makanan Malaysia iaitu nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan, ayam, daging dan kekacang, susu dan produk tenusu serta sedikit minyak, lemak, gula dan garam. Selain daripada itu, kita juga perlu mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup.

Berbuka puasa

Kebanyakan daripada kita suka mengambil kuih-muih manis sebagai juadah untuk berbuka puasa. Apa yang paling penting ialah untuk tidak makan secara berlebihan dan adalah digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu sebaik sahaja berbuka puasa. Ini untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman kita. Mengikut Sunnah, adalah lebih baik mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Kurma kaya dengan tenaga serta serat. Contoh makanan berbuka puasa yang baik adalah seperti berikut:

Berbuka 3 biji buah kurma, ½ cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur atau ½ cawan bubur lambuk dan 1 keping kuih.
Makan malam 1½ cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah.
Makan lewat malam (moreh) Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwic, kuih-muih, kacang atau buah-buahan.

Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan kepada perut anda di siang hari.

Sahur

Amalan bersahur adalah penting semasa berpuasa untuk membekalkan tenaga sepanjang waktu berpuasa di siang hari. Sebaik-baiknya, waktu bersahur adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur adalah tidak digalakkan.

Semasa bersahur, adalah digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat. Pengambilan makanan yang tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti mil penuh serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi sewaktu bersahur. Walau bagaimanapun, pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana ianya boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.

Contoh makanan untuk sahur yang boleh diambil adalah seperti berikut:

Sahur 1½ cawan nasi, 1 ekor ikan goreng, ½ cawan sup sayur campur dan tauhu, 1 biji pisang atau 3 biji kurma, 1 gelas air kosong dan 1 gelas susu rendah lemak Atau 1 cawan bijirin sarapan dengan ½ gelas susu rendah lemak dan kismis/hirisan pisang, 2 keping roti mil penuh dengan sedikit jem, 1 gelas jus oren dan 1 gelas air kosong

Ramadhan merupakan satu peluang untuk menurunkan berat badan bagi mereka yang bermasalah. Apa yang penting ialah amalkan pengambilan makanan yang sederhana dan seimbang serta mengurangkan makanan yang tinggi lemak dan tinggi gula. Beri perhatian juga pada saiz hidangan kerana biasanya apabila lapar, kita lebih cenderung mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak. Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk anda tidak aktif. Lakukan aktiviti fizikal secara sederhana seperti regangan dan berjalan kaki. Pengambilan makanan secara sihat bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan malah membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Semakan Akhir : 09 Ogos 2010
Penulis : Zalma bt. Abdul Razak
Surainee bt. Wahab
Yuhanis Auri bt. Abd. Kasim

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia