A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Rabun Silau

Rabun Silau

Pengenalan

Apakah itu rabun silau? Rabun silau atau astigmatisma adalah masalah gangguan penglihatan yang disebabkan oleh kelengkungan kornea atau kelengkungan kanta mata yang tidak sekata. Keadaan ini akan mengakibatkan penglihatan kabur pada sebarang jarak. Rabun silau boleh dialami pada sebarang peringkat umur. Selalu terjadi semasa lahir dan kadang-kadang terjadi selepas kecederaan atau pembedahan mata. Hampir semua orang mengalami rabun silau tetapi pada tahap keterukan yang berbeza. Rabun silau selalunya datang bersama – sama rabun jauh dan rabun dekat.

Rajah 1: Anatomi Mata

Punca

Punca sebenar rabun silau masih tidak diketahui. Mata normal adalah berbentuk sferikal di mana kelengkungan kornea adalah sama pada semua kedudukan (Gambar 2). Apabila cahaya memasuki mata, ia akan terfokus sebagai satu titik diatas retina dan objek akan kelihatan jelas. Manakala bentuk mata bagi penghidap rabun silau adalah bujur seperti bola ragbi atau belakang sudu (Gambar3). Keadaan ini menyebabkan cahaya yang memasuki mata akan terfokus pada banyak tempat atau dengan kata lain mata tidak berupaya untuk memfokus sebagai titik diatas retina.  Ini akan mengakibatkan hanya sebahagian objek sahaja akan kelihatan jelas. Oleh itu objek kelihatan kabur dan terherot pada sebarang jarak.

Rajah 2: Kornea Berbentuk Sferikal

Rajah 3: Kornea Berbentuk Bujur Kadang – Kadang Rabun Silau Boleh Disebabkan Oleh Masalah Kornea Seperti Parut Pada Kornea, Luka Pada Kornea Dan Keratokonus (keadaan dimana kornea semakin menipis dan semakin berbentuk kon).

 

Rajah 4: Mata Normal

Rajah 5: Rabun Silau

 

Gejala/Tanda

Gejala/tanda penghidap rabun silau adalah berbeza antara individu. Penghidap rabun silau yang sedikit tidak mengalami sebarang gejala/tanda. Gejala/tanda yang biasa dialami adalah seperti berikut:

  • Mata kabur pada sebarang jarak
  • Pandangan terherot

Gambar 6: Pandangan Penghidap Rabun Silau – Objek Menjadi Terherot.

  • Mata letih
  • Juling – keadaan mata yang tidak selari antara satu sama lain
  • Sakit kepala
  • Susah memandu pada waktu malam dan kadang – kadang pandangan nampak dua
  • Mata sering berkelip atau sering menutup mata

Komplikasi

Rabun silau yang tidak dibetulkan akan menyebabkan penghidap mengalami gejala – gejala seperti di atas dan seterusnya akan menjurus pada masalah-masalah lain seperti kurang tumpuan dan penurunan prestasi kerja/sekolah. Pada kanak – kanak, rabun silau yang tidak dirawat awal boleh mengakibatkan ambliopia atau mata malas.

Rawatan

Jenis rawatan adalah seperti berikut:

  • Cermin mata

Pemakaian cermin mata adalah satu cara yang selamat, senang dan menjadi pilihan ramai.

  • Kanta lekap

Kanta lekap memberikan penglihatan yang jelas, medan penglihatan yang besar dan lebih keselesaan. Memakai kanta lekap adalah selamat dan efektif jika di selenggara dengan betul. Walaubagaimanapun tidak semua orang sesuai memakai kanta sentuh. Terdapat kanta lekap khas untuk penghidap rabun silau tinggi iaitu kanta lekap Torik atau RGP. Sila minta khidmat nasihat dari pengamal perubatan bertauliah.

  • Pembedahan

Surgeri adalah pengubahan bentuk kornea secara kekal melalui pembedahan refraksi atau laser. Pembedahan ini menghapuskan kelengkungan kornea yang tidak sekata dan menjadikannya lebih berbentuk sferikal. Jika merancang untuk melakukan pembedahan, pastikan anda telah mendapatkan khidmat nasihat dari pengamal perubatan bertauliah dan perlu diketahui tidak semua orang sesuai untuk melakukan prosedur ini.

Pencegahan

Pemeriksaan mata secara rutin dapat mengesan kehadiran rabun silau dan membolehkan rawatan awal diberikan.  

Rujukan

  1. www.webmd.com/eye-health/astigmatism-eyes
  2. http://holbert.com/eye-disorders/
  3. http://www.visionexcellence.com.au/common-eye-conditions/astigmatism/
  4. http://www.ohioeyecareconsultants.com/eyeinfo/astigmatism.htm
  5. Rajah 1 : http://www.allaboutvision.com/eye-exam/refraction.htm
  6. http://www.davidsoneye.com/modules/info/visiondisorders.html

   

Semakan Akhir : 19 Jun 2014
Penulis : Pn. Siti Hamiza Bt. Abd Halim
Akreditor   Pn. Nor’aini Binti Anuar

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia