Apakah Radiografi Am (X-ray Biasa)?
Radiografi am atau x-ray biasa adalah yang paling asas dalam pengimejan perubatan. Ia adalah satu prosedur yang cepat dan tidak menyakitkan untuk menghasilkan imej-imej daripada struktur di dalam badan anda dan sangat membantu untuk menunjukkan tulang dan sendi.
Bilik radiografi am mempunyai sebuah meja panjang dengan tiub x-ray di atasnya dan plat yang besar di dinding. Terdapat cahaya lampu dari tiub X-ray, untuk membantu juru x-ray memposisi pesakit. Juru x-ray melakukan pendedahan x-ray dari panel kawalan yang terletak di belakang skrin atau di luar bilik.
Rujukan: http://www.southportandormskirk.nhs.uk/news/images/Southport- Digital- xray-room.jpg
Pemeriksaan X-ray biasa boleh digunakan untuk memeriksa kebanyakan bahagian badan seperti
- Spina (tulang belakang) –contoh: Spina servikal, spina lumbar
- Anggota atas dan bawah – contoh: sendi lutut, sendi pergelangan tangan dan lengan
- Tengkorak dan tulang muka – contoh: rangka kepala, sinus, dagu dan gusi
- Toraks – contoh:Dada, klavikel, tulang rusuk
- Abdomen dan pinggul – contoh: sendi pinggul, abdomen
Gambar 2 : X-ray Dada Rujukan : www.chestx-ray.com |
ambar 3 : X-ray Spina Lumbar Lateral Rujukan : www.wikiradiography.net |
Bagaimana dan di mana saya boleh dapatkan pemeriksaan ini?
- Doktor yang merawat anda akan menentukan samada pemeriksaan ini diperlukan.
- Jika perlu, doktor akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi
- Pemeriksaan ini boleh didapati di semua hospital dan klinik kesihatan terpilih di bawah Kementerian Kesihatan.
Bilakah X-ray biasa dipohon?
X-ray biasa dipohon bagi membantu dalam
- Diagnosa proses penyakit contoh: pneumonia, tibi, radang, kanser, jangkitan dll.
- Diagnosa kecederaan contoh: patah tulang
- Lokasi bendasing dalam badan
- Pemeriksaan perubatan contoh: pra-pekerjaan dan penjual makanan
Persediaan Pemeriksaan
Sebelum
- Anda perlu serahkan borang permohonan x-ray di kaunter pendaftaran Jabatan Pengimejan Diagnostik yang sebelum ini dikenali sebagai Jabatan X-ray.
- X-ray biasa boleh dilakukan pada bila-bila masa waktu bekerja kecuali x-ray buah pinggang, ureter dan pundi kencing (KUB). Anda boleh makan dan minum seperti biasa sebelum dan selepas peperiksaan.
- KUB dijalankan dengan temujanji kerana memerlukan persediaan usus sebelum pemeriksaan.
- Juru X-ray akan memanggil dan memeriksa identiti anda sebelum membawa anda masuk ke dalam bilik pemeriksaan.
- Sila maklumkan kepada Juru X-ray sekiranya anda hamil atau mungkin hamil.
- Anda mungkin akan diminta untuk menukar kepada pakaian hospital. Barang kemas dan jam tangan mungkin perlu ditanggalkan jika ianya dipakai di bahagian yang hendak diperiksa.
Semasa
- Juru X-ray akan menerangkan kepada anda prosedur pemeriksaan.
- Beliau akan memposisikan bahagian badan anda untuk x-ray. Anda mungkin perlu duduk, berdiri atau berbaring bergantung kepada bahagian yang di x-ray. Anda mungkin tidak selesa di beberapa posisi tetapi beg pasir dan alat cegah gerak akan digunakan untuk mengekalkan setiap posisi.
- Anda mungkin akan diminta supaya tidak bergerak dan menahan nafas ketika dedahan x-ray dilakukan kerana sebarang pergerakkan akan menyebabkan kekaburan imej. Kerjasama anda dapat membantu mengelakkan pemeriksaan ulangan.
- Pelindung plumbum akan diberikan kepada anda selagi ianya tidak menggangu bahagian yang di x-ray.
- Juru X-ray mungkin perlu melakukan lebih dari satu dedahan x-ray dari sudut yang berlainan untuk mendapatkan projeksi yang diperlukan untuk diagnosa.
Selepas
- Juru X-ray akan meneliti imej yang dihasilkan. Jika mencukupi anda boleh menukar semula pakaian dan dibenarkan pulang. Sila pastikan anda tidak meninggalkan barang-barang anda di jabatan.
- Tiada kesan sampingan apabila menjalani pemeriksaan x-ray biasa dan anda boleh menjalankan aktiviti harian anda.
Keputusan Pemeriksaan
Filem X-ray akan diteliti dan dibuat laporan oleh pakar radiologi.
Rujukan
- www.chop.edu/general-radiography-x-ray
- www.hopkinsallchildrens.org/radiology-neuroradiology/general-radiograph.
- www.msmc.com›Medical Services
- www.nhs.uk/conditions/X-ray/Pages/Introduction.aspx
Semakan Akhir | : | 18 April 2017 |
Penulis | : | Daud bin Ismail |
Akreditor | : | Mary Oommen |