A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kesihatan Reproduktif
  6. /
  7. Rawatan Hormon (RH)

Rawatan Hormon (RH)

Menopause adalah satu keadaan dimana ovari berhenti berfungsi (tidak mengeluarkan telur) dan wanita itu berhenti mengeluarkan darah haid.  Ia berlaku pada wanita yang berumur antara 45-55 tahun.  Di Malaysia, secara purata menopause berlaku pada umur 52 tahun (antara 45-55 tahun). Wanita itu dikatakan post (pasca) menopaus jika haid berhenti lebih dari 12 bulan.

Semasa menopause, hormone estrogen dalam badan akan berkurangan menghasilkan simptom-simptom vasomotor seperti merasa ‘panas’ (hot flushes), sakit-sakit otot dan sengal sendi, sukar tidur, kurang daya ingatan, rasa resah, kering bahagian faraj, rasa lemah lesu danperubahan emosi yang tidak menentu (moody).

Apa itu rawatan hormon (RH)

Rawatan hormone merangkumi dua 2 jenis hormon: estrogen dan progestin (hormon seperti progesterone).  Fungsi estrogen adalah untuk mengurangkan simptom-simptom menopause (seperti di atas) manakala progestin berfungsi menghindar kanser berlaku semasa pengambilan estrogen.  Bagi pesakit yang tidak lagi mempunyai rahim (telah melakukan pembedahan hysterectomy), estrogen sahaja memadai sebagai rawatan RH.

Jenis-jenis estrogen:

Ada banyak jenis hormon estrogen: pil, patch (pelekap di kulit), tablet, krim atau spray.

Secara lazimnya, pil adalah RH paling kerap digunakan di Malaysia. Selalunya doktor anda akan mulakan dengan dos yang rendah dan secara perlahan-lahan meningkatkan dos sehingga simptom vasomotor tersebut berkurangan.

  1. Pil Estrogen:  ada bermacam-macam jenis pil estrogen dalam pasaran.  Premarin ® adalah yang paling kerap digunakan di Malaysia.
  2. Patch (pelekap di kulit): ada yang terdiri dari estrogen dan progestin atau estrogen sahaja. Ia dilekapkan diatas kulit dan diganti seminggu sekali.  Ia tidak popular di Negara kita (yang bercuaca panas) kerana boleh tertanggal apabila wanita itu banyak berpeluh.
  3. Krim atau Gel: untuk mereka yang mengalami kekeringan faraj (sila lihat menopause)

Jenis-jenis progestin:

  1. Pil progestin: paling kerap dalam pasaran adalah medroxyprogesterone acetate. Ada juga jenis-jenis lain seperti Noresthidone, nogestrel, dehydrogesterone dan lain-lain.
  2. Progesterone ‘natural’:  cth: Prometrium ®.  Progesterone “natural” ini tidak memberi kesan pada lemak dalam badan dan sesuai untuk mereka yang mempunyai kolesterol tinggi.
  3. Progestin dalam Rahim:- cth Mirena®.  Seperti IUD lain tetapi ia mengeluarkan hormon progestin dalam rahim.

Produk-produk “Natural” atau “Bioidentical”: Sejak akhir-akhir ini, ramai wanita bertukar kepada produk-produk ini kerana merasakan ia lebih “natural” atau “bioidentical” (i.e. menyerupai tahap dos hormon yang sesuai dengan badan mereka).  Air liur atau darah wanita itu akan diambil untuk melihat tahap hormon (yang kurang) dalam badan mereka dan kemudian pakar farmasi akan mengubahsuai ubat-ubat estrogen, progestin, testosterone, DHEA dan lain lain untuk diberi pada pesakit.  Setakat ini, tidak ada bukti saintifik yang kukuh mengatakan kaedah ini selamat dan terbukti keberkesanannya.  Oleh kerana itu, ramai pakar ginekologi menasihatkan wanita menopause supaya tidak mengambilnya kerana ia tidak mempunyai piawaian kukuh dan kawalan keselamatan.

Kebaikan dan risiko rawatan hormone (RH)

The Women’s Health Inititive (WHI) adalah kajian yang paling besar pernah dilakukan untuk melihat kebaikan dan risiko serangan sakit jantung kepada wanita pasca menopause yang mengambil RH.

Dalam kajian tersebut didapati, bagi mereka yang mengambil estrogen dan progestin; risiko serangan sakit jantung, kanser payu darah, darah beku dalam pembuluh darah dan strok meningkat sedikit jikalau RH diberi pada pesakit yang lebih tua (60 tahun keatas). Manakala, bagi yang hanya mengambil estrogen sahaja, risiko kanser payu dara dan serangan sakit jantung tidak meningkat.

Serangan sakit jantung: masalah ini lebih bekaitan dengan usia pesakit.  Kajian mendapati risiko RH dan serangan sakit jantung tidak meningkat jikalau:

  • menopause kurang dari 10 tahun sebelum memulakan RH
  • berumur 50-59 tahun semasa mengambil RH

Wanita yang berumur lebih dari 60 tahun atau menopause lebih dari 10 tahun (baru mula ubat RH) akan menpunyai risiko lebih tinggi mendapat serangan sakit jantung.

Kanser payu dara:  Risiko ini meningkat sedikit bagi pesakit yang mengambil RH kombinasi estrogen-progestin tetapi tidak bagi yang mengambil estrogen sahaja.

Patah tulang disebabkan osteoporosis:  risiko patah tulang pinggul atau tulang belakang kurang bagi mereka yang mengambil RH. Bagi mereka yang ada osteoporosis sahaja (tanpa symptom vasomotor) digalakkan mengambil rawatan tulang (seperti bisphosphonates-sila lihat osteoporosis)

Dementia (nyanyuk tua):  tiada perbezaan dari segi daya ingatan dan pemikiran bagi mereka yang mengambil kombinasi estrogen dan progestin.  Walaubagaimana pun, sesetengah pakar berpendapat dementia mungkin boleh dikurangkan dengan pengambilan RH lebih awal.

Depresi (Kemurungan):  RH mungkin boleh mengurangkan kemurungan pada sesetengah wanita menopause, akan tetapi rawatan mungkin lebih berkesan jika ubat anti-depresi diberikan sekali gus (lihat Depression)

Masalah tidur: masalah tidur boleh disebabkan oleh rasa ‘panas’ (Hot flushes) yang dialami oleh wanita menopause pada waktu malam menyebabkan rasa berpeluh dan tidak selesa.  RH sangat berkesan bagi wanita yang mengalami hot flushes ini.

Siapa patut ambil RH

RH patut diambil oleh mereka yang mengalami simptom-simptom vasomotor seperti ‘panas’ (hot flushes), sakit-sakit otot dan sengal sendi, sukar tidur, kurang daya ingatan, rasa resah, kering bahagian faraj, rasa lemah lesu dan moody(- sila lihat Menopause)

Kebanyakkan pakar berpendapat, RH adalah selamat bagi mereka yang mempunyai symptom-simptom vasomotor ini.  Selalunya doktor akan memberi RH untuk masa yang singkat (kurang 5 tahun), cukup sehingga simptom-simptom ini hilang atau berkurangan. Risiko kanser payu dara tidak meningkat jika RH digunakan untuk jangka masa singkat.

Doktor akan menggurangkan dos RH secara perlahan-lahan sebelum memberhentikannya. Jikalau simptom kembali selepas mengurangkan dos, doktor anda boleh memberi alternatif kepada RH untuk mengurangkan simptom-simptom tersebut (lihat alternatif RH)

Siapa yang TIDAK patut ambil RH

RH tidak boleh diambil oleh mereka yang:

  • Pernah atau sedang mengidap kanser payu dara.
  • Pernah pendapat atau ada serangan sakit jantung atau masalah koronari jantung.
  • Pernah mendapat darah beku dalam pembuluh darah atau strok (angin ahmar).
  • Wanita yang mempunyai risiko-risiko penyakit-peyakit yang tersebut diatas

Rawatan susulan (Follow up)

Pesakit digalak berjumpa dengan doktor atau pakar sakit puan untuk mendapat rawatan susulan jika mengambil RH. Selalunya doktor akan membuat mammogram dan ujian darah sebagai saringan untuk melihat kesesuaian pesakit sebelum memulakan RH (- sila lihat Kanser payudara dan Mammogram).

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Hj. Mohamed Hatta b. Mohamed Tarmizi
Akreditor : Dr. Haris Njoo Suharjono
Penyemak : Dr. Rafaie bin Amin

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,766

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia