A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Rawatan Kecemasan Untuk Pendakap...

Rawatan Kecemasan Untuk Pendakap Gigi Anda

Gigi yang tidak teratur dan gigitan yang tidak sempurna adalah penyebab utama pesakit mendapatkan rawatan ortodontik dan pemakaian pendakap gigi.

Pengenalan

Gigi yang tidak teratur dan gigitan yang tidak sempurna adalah penyebab utama pesakit mendapatkan rawatan ortodontik dan pemakaian pendakap gigi.

Pendakap Gigi:

Pendakap gigi adalah alat yang digunakan di dalam bidang ortodontik untuk menyusun atur gigi ke posisi gigitan yang lebih baik dan juga menambahbaik kesihatan pergigian secara keseluruhannya. Terdapat 2 jenis pendakap gigi iaitu aplians boleh tanggal dan aplians tetap.

Komponen-komponen pendakap gigi anda:

Aplians tetap :

Komponen-komponen aplians tetap adalah :

  1. Braket – braket adalah besi kecil bersegi empat yang dilekatkan pada permukaan gigi. Ia mempunyai satu alur kecil yang merintangi di tengahnya untuk pemasangan wayar arkus. Sesetengah braket mempunyai eksesori tertentu seperti bebola cangkuk yang berfungsi untuk memegang getah dan sebagainya. Braket boleh diperbuat dari Titanium Nikel, keluli nirkarat, akrilik, seramik atau emas.
  2. Wayar arkus – wayar ini dipasang pada braket untuk memandu gigi bergerak ke dalam satu barisan. Kebiasaannya wayar ini diperbuat dari keluli nirkarat dan Titanium Nikel. Wayar arkus diikat pada braket menggunakan getah atau dawai besi yang halus.
  3. Getah pengikat – Ia adalah getah bulat yang kecil, kebiasaannya berwarna dan digunakan untuk mengikat wayar arkus pada setiap braket.
  4. Dawai besi pengikat – dawai halus yang digunakan untuk mengikat wayar arkus pada braket ortodontik.
  5. Gegelang molar – Ia adalah gelungan besi yang diletakkan pada gigi geraham menggunakan ejen pengikat khas.

Komponen Aplians boleh tanggal (ABT):

  1. Tapak akrilik (menyokong komponen dawai dan menyediakan penahanan)
  2. Komponen dawai keluli nirkarat (untuk pembikinan komponen pemegang bagi membantu perlekatan)
  3. Komponen dawai keluli nirkarat (untuk komponen aktif)

Kecemasan dalam ortodontik

Seringkali pendakap gigi boleh menyebabkan sakit dan tidak selesa semasa rawatan. Ini menjadi satu kebiasaan kepada pesakit ortodontik. Banyak faktor-faktor penyebab ketidakselesaan ini seperti ikatan yang kuat pada pendakap gigi, tertusuk dawai halus dan gegelang molar atau braket yang longgar. Cadangan dan penyelesaian ringkas dapat membantu menyelesaikan masalah ini di rumah. Walau bagaimanapun, pesakit dinasihatkan supaya menghubungi klinik ortodontik untuk mendapat rawatan segera.

Gegelang ortodontik (molar) longgar:

Gegelang ortodontik adalah besi berbentuk cincin yang tahan karat dilekatkan pada gigi geraham untuk memegang wayar arkus pada tempatnya. Gegelang ini dilekatkan sementara pada gigi menggunakan ejen pengikat khas. Beberapa faktor boleh menyebabkan gegelang ini menjadi longgar contohnya mengunyah makanan yang keras, melekit atau gemar mengunyah ais. Ada juga disebabkan oleh pengikatan di antara gigi dan gegelang menjadi lemah akhirnya menyebabkan gegelang longgar. Sekiranya ini berlaku, ia boleh melambatkan proses rawatan. Disamping ketidakselesaan, gegelang yang longgar juga boleh menyebabkan pesakit tercekik.

Tindakan segera adalah menghubungi pakar ortodontik anda. Anda juga boleh mengeluarkan gegelang tersebut jika ia terlalu longgar. Jika tidak, tekan semula gegelang dan guna lilin ortodontik yang dibekalkan untuk memegangnya pada gigi berkenaan sehingga anda berjumpa pakar ortodontik. Elakkan dari menggunakan getah atau busur muka (headgear) pada gegelang ortodontik yang longgar.

Pencegahan : elakkan dari mengambil makanan yang keras, ranggup dan melekit.

Braket tertanggal :

Braket yang longgar adalah disebabkan oleh beberapa perkara seperti mengambil makanan yang melekit, ranggup dan keras contohnya roti pizza dan buah epal.Kegemaran yang tidak sihat seperti menggigit kuku jari atau pen dan pensil juga boleh menyebabkan braket tertanggal. Anda dapat pastikan braket telah tertanggal jika ia senang digerakkan.

Penyelesaiannya : Kebanyakan kes braket tertanggal ini tidak semestinya perlu datang ke klinik untuk rawatan segera. Jika braket yang tertanggal itu masih terikat pada wayar arkus, anda boleh membiar sahaja di situ dan meletakkan lilin ortodontik untuk melindungi dari ketidakselesaan. Kawasan yang hendak diletakkan lilin mestilah dikeringkan dengan tisu atau kain bersih. Jika braket tertanggal sepenuhnya dari wayar arkus, ia boleh dikeluarkan dengan pengepit (tweezer) kemudian dibalut dengan tisu dan dibawa ke klinik ortodontik dengan segera. Elakkan dari menyambung getah kepada braket yang tanggal ini.

Pencegahan : Kejadian di atas boleh dielakkan dengan mengambil makanan yang bersesuaian.

Tertusuk wayar/dawai :

   
   
 

Kadang-kala wayar arkus diikat pada braket atau gegelang ortodontik dengan menggunakan dawai halus (ikatan dawai besi). Ikatan ini boleh terkeluar dengan sendiri semasa makan atau memberus gigi. Ini akan menyebabkan iritasi dan ketidakselesaan pada bibir atau pipi. Anda perlu perhatikan tanda-tanda seperti penghujung dawai yang tajam, ulser pada pipi atau bibir, ikatan dawai yang tidak dikemaskan atau wayar arkus terkeluar dari tiub gegelang molar.

Penyelesaian : cuba tekan atau tolak dawai halus yang tertusuk itu kembali ke tempatnya menggunakan hujung pensil yang mempunyai pemadam. Jika boleh gunakan pengepit untuk menolaknya ke belakang braket atau ke bawah wayar arkus untuk keselesaan. Jika wayar arkus terkeluar dari tiub gegelang molar, cuba masukkan kembali ke dalam tiub tersebut menggunakan pengepit (tweezer). Jika wayar itu longgar dan tertusuk di bahagian belakang mulut, anda boleh memotongnya dengan menggunakan pemotong kuku yang bersih. Kapas, tisu atau pengepit digunakan untuk memegang hujung wayar semasa pemotongan dilakukan. Jika semua itu tidak berjaya, anda boleh meletakkan lilin ortodontik di tempat-tempat tajam yang menyebabkan iritasi berlaku sehingga berjumpa dengan pakar ortodontik anda. Gula-gula getah tanpa gula juga berguna sebagai alternatif kepada lilin ortodontik. Dalam masa yang sama, anda boleh berkumur dengan air garam yang suam.

Aplians patah :

Aplians patah juga juga boleh terjadi kepada pesakit yang memakai pendakap gigi boleh tanggal. Keadaan ini berlaku apabila pesakit menjatuhkannya dengan tidak sengaja ke atas permukaan yang keras atau memaksa pakai pendakap gigi boleh tanggal yang tidak muat. Pendakap gigi yang patah ini berkeadaan patah sekeping, patah pada tapak akrilik atau patah pada komponen dawai besi. Ini boleh menyebabkan komplikasi seperti ulser, sakit, tidak selesa atau gusi bengkak yang disebabkan oleh tertusuk dawai dan bahagian yang tajam. Senario yang lebih teruk boleh berlaku seperti pesakit tertelan kepingan yang patah!

Tindakan segera : Jangan memakai aplians yang patah jika ia longgar. Dapatkan temujanji di klinik ortodontik untuk membaiki aplians secepat mungkin.

Pencegahan : Sentiasa berhati-hati dengan tidak menjatuhkan aplians terutamanya semasa membersihnya di sinki. Elakkan dari membungkus aplians dengan tisu semasa di luar mulut. Sentiasa guna kotak yang dikhaskan untuk menyimpan aplians dengan selamat.

Kesimpulan

Kebiasaannya pakar ortodontik atau pegawai pergigian akan merawat pesakit kecemasan ortodontik secepat yang mungkin. Adalah sangat penting untuk pesakit memberitahu atau menelefon klinik ortodontik bagi mendapatkan nasihat dan temujanji apabila berlaku kecemasan. Semakin cepat masalah pendakap gigi diselesaikan, semakin pendek jangkamasa yang diambil untuk menyelesaikan rawatan ortodontik keseluruhannya. Untuk kemudahan pesakit, nasihat atau informasi tentang isu-isu ortodontik perlu disampaikan secara lisan mahupun bertulis.

Rujukan

1. American Association of Orthodontist. Handling orthodontic emergencies.
2. Avesh S & Chaturvedi TP (2011).A new protocol for emergency orthodontic care. The orthodontic CYBERjournal.
3. The American Dental Association – Oral Health Topics. “Braces and Orthodontics”.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Albira Sintian
Penterjemah : Dr. Farah Salwa bt. Abdul Rahim
Akreditor : Dr. Chia Yang Soon
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

Artikel Berkaitan

Laser Dalam Rawatan Pergigian

Rawatan laser adalah selamat dan berkesan. Namun, kos penggunaan laser dalam rawatan rutin adalah lebih tinggi berbanding dengan keberkesanan yang setanding dengan rawatan pergigian konvensional.

Sista Mulut

Pendahuluan Sista ialah kaviti (ruang) tidak normal yang terjadi didalam

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia