A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Penyakit Hidung, Telinga &...
  8. /
  9. Rawatan Susulan Selepas Pemasangan...

Rawatan Susulan Selepas Pemasangan Alat Bantu Pendengaran

Masalah pendengaran boleh berlaku kepada sesiapa saja tanpa mengira umur dan jantina. Kebanyakan masalah pendengaran melibatkan kerosakan pada bahagian sel pendengaran atau saraf pendengaran di bahagian dalam telinga. Masalah ini tidak dapat diatasi dengan pengambilan ubat-ubatan atau pembedahan tetapi boleh diatasi dengan menggunakan alat bantu pendengaran.

Alat Bantu Pendengaran

Alat bantu pendengaran ialah sejenis alat elektronik yang berfungsi untuk menguatkan bunyi mengikut tahap masalah pendengaran yang bertujuan membantu individu bermasalah pendengaran mendengar dengan lebih baik. Individu yang dikenalpasti mengalami masalah pendengaran adalah digalakkan untuk memakai alat bantu pendengaran secepat mungkin terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Ini kerana tempoh kritikal untuk perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak bermula sejak dari lahir hingga berumur 3 tahun. Proses pembelajaran bahasa dan petuturan dalam tempoh tersebut berlaku dengan cepat dan sangat mudah untuk dipelajari. Bayi yang bermasalah pendengaran tidak dapat mendengar bunyi dan suara dipersekitaran akan mengalami kelambatan dalam pertuturannya.

Bayi yang mengalami masalah pendengaran pada tahap sangat teruk sejak lahir tidak dapat bercakap walaupun umurnya semakin meningkat. Oleh itu, pemasangan alat bantu pendengaran sejurus selepas masalah pendengaran dikenalpasti amat penting bagi mengatasi masalah kelambatan pertuturan.

Rawatan susulan selepas pemasangan alat bantu pendengaran

Selepas pemasangan alat bantu pendengaran, telinga dan otak (bahagian pemprosesan auditori) perlu melalui proses adaptasi terhadap bunyi yang didengari dari alat bantu pendengaran. Pengguna alat bantu pendengaran dan ahli keluarga akan dimaklumkan mengenai kualiti bunyi yang dihasilkan oleh alat bantu pendengaran adalah tidak sama seperti bunyi yang sebenar dan tidak 100% bunyi dapat diterima dan diproses pada sistem pemproses auditori (otak).

Penggunaan alat bantu pendengaran merupakan proses yang berterusan kerana tahap pendengaran individu mungkin boleh berubah-ubah. Oleh itu, pengguna alat bantu pendengaran perlu mengikuti rawatan susulan selepas pemasangan alat bantu pendengaran. Rawatan susulan penting bagi memastikan pengguna alat batu pendengaran dapat mendengar bunyi persekitaran dan pertuturan secara optimal.

Penggunaan alat bantu pendengaran yang betul dapat memperbaiki masalah komunikasi harian seterusnya meningkatkan kualiti hidup. Semasa sesi rawatan susulan, ahli keluarga pengguna alat bantu pendengaran digalakkan untuk turut serta. Kekerapan rawatan susulan ditentukan mengikut keperluan pengguna alat bantu pendengaran.

  • Kanak-kanak berumur bawah 2 tahun, sekali bagi setiap 3 bulan
  • Kanak-kanak berumur lebih 2 tahun , sekali bagi setiap 4-6 bulan
  • Pemantauan lebih kerap akan diberikan kepada pengguna alat bantu pendengaran yang berisiko mengalami  masalah pendengaran yang berubah-ubah.

Bagi golongan dewasa, rawatan susulan adalah tidak sekerap pengguna kanak-kanak. Ini kerana pengguna dewasa dapat mengenalpasti sekiranya kualiti bunyi dari alat bantu pendengaran tidak selesa untuk didengari dan bunyi pertuturan yang didengari sukar untuk difahami.

Semasa sesi rawatan susulan, beberapa ujian akan dijalankan seperti di bawah:

  1. Ujian audiometri untuk mengenalpasti atau memantau tahap pendengaran
  2. Real-Ear Measurement (REM)  bertujuan memastikan alat bantu pendengaran berfungsi bersesuaian dengan keperluan pengguna alat bantu pendengaran.
  3. Ujian Aided bertujuan menilai tahap pendengaran pengguna alat bantu pendengaran dengan memakai alat.
  4. Ujian seperti Ling 6 Sounds dan Speech test bertujuan memantau perkembangan kemahiran mendengar
  5. Pemeriksaan fungsi alat bantu pendengaran.
  6. Membuat acuan telinga yang baharu sekira perlu.

Isu-isu Berkaitan Selepas Pemasangan Alat Bantu Pendengaran

  1. Pengguna alat bantu pendengaran mempunyai harapan atau jangkaan yang tidak realistik terhadap kesan dari pemakaian alat bantu pendengaran menyebabkan pengguna berasa tidak berpuas hati. Ini kerana mereka menjangkakan akan dapat mendengar dan memahami perbualan seperti biasa/normal. Masalah ini dapat diatasi sekiranya pengguna alat bantu pendengaran, audiologis dan ahli keluarga pengguna menghadiri kaunseling semasa sesi pemasangan alat bantu pendengaran.
  2. Alat bantu pendengaran digunakan pada masa tertentu sahaja. Contohnya penggunaan alat bantu pendengaran hanya ketika menghadiri majlis keraian atau ceramah bagi pengguna dewasa. Manakala bagi pengguna alat bantu pendengaran kanak-kanak hanya memakai alat ketika berada di sekolah bagi tujuan penjimatan bateri atau untuk mengelak dari risiko alat rosak. Keadaan ini perlu dielakkan dengan memaklumkan kepentingan penggunaan alat bantu pendengaran yang betul terutama kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang memakai alat bantu pendengaran.
  3. Penggunaan alat bantu pendengaran pada masa tertentu sahaja. Sebagai contoh, pengguna hanya menggunakan alat dengar apabila mereka menghadiri majlis kenduri, ceramah atau bagi golongan kanak-kanak, alat cuma dipasangkan semasa berada di sekolah untuk tujuan penjimatan bateri atau mengurangkan risiko kerosakan alat. Kepentingan alat dan penggunaan alat yang betul harus dimaklumkan kepada pengguna dan ahli keluarganya terutamanya golongan kanak-kanak yang sedang belajar mendengar dan bercakap.
  4. Alat bantu pendengaran yang tidak dijaga dengan baik. Akibatnya alat bantu pendengaran kerap mengalami kerosakan dan dihantar untuk dibaiki. Oleh itu pesakit tidak dapat mendengar sementara alat dibaiki. Selain itu, kos untuk membaiki alat bantu pendengaran yang tinggi menyebabkan pengguna memilih untuk berhenti menggunakan alat bantu pendengaran.

Secara keseluruhannya penggunaan alat bantu pendengaran dapat memberi kebaikan kepada pengguna sekiranya alat bantu pendengaran digunakan dengan kerap dan dengan cara yang betul. Keberkesanan penggunaan alat bantu pendengaran memerlukan usaha dan kerjasama dari pelbagai pihak supaya mereka yang bermasalah pendengaran dapat bertutur, berkomunikasi serta belajar secara lisan.

Rujukan

  1. American Speech-Language-Hearing Association – Permanent Childhood Hearing Loss: Treatment. Retrieved from http://www.asha.org/PRPSpecificTopic.aspx?folderid=8589934680&section=Treatment
  2. Fred H.B & Larry E.H : (2003) Audiology The Fundamentals. Lippincott Williams & Wilkins
  3. Guidelines for Fitting Hearing Aids to Young Infants. Version 2.0 February 2014.

 

Semakan Akhir : 10 Oktober 2016
Penulis : Jenny Lau Yue Jun
Akreditor : Roshila bt. Bujang

Artikel Berkaitan

Jom Jaga Suara!

Suara terhasil daripada getaran peti suara apabila udara dari paru-paru melalui peti suara yang terbuka dan tertutup.

Kembali Mendengar

Masalah Pendengaran Post-Lingual terjadi apabila individu mengalami hilang pendengaran setelah mahir bercakap dan berkomunikasi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,672

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia