A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Rehabilitasi Penelanan

Biasanya individu yang mempunyai masalah penelanan mengalami kesukaran ketika mengunyah atau menelan makanan.

Makan dan minum adalah keperluan asas manusia di dunia ini.  Manusia perlu mendapat nutrisi dan kekal terhidrat bagi mengekalkan fungsi tubuh badan. Walau bagaimanapun ada antara individu di dunia ini kehilangan nikmat untuk makan akibat komplikasi sesetengah penyakit. Pesakit yang mengalami masalah penelanan biasanya mengalami kesukaran semasa mengunyah makanan atau semasa memindahkan makanan dari mulut ke dalam perut.

Apakah punca – punca masalah penelanan?

Terdapat banyak sebab berlakunya masalah penelanan, antaranya :

  • Kecederaan pada bahagian otak disebabkan strok atau kemalangan
  • Masalah neurologi
  • Kanser pada struktur yang mengawal penelanan
  • Pembedahan pada struktur mulut
  • Bayi/ kanak- kanak yang mempunyai sindrom

Apakah tanda-tanda masalah penelanan?

Biasanya individu yang mempunyai masalah penelanan mengalami kesukaran ketika mengunyah atau menelan makanan.  Berikut adalah tanda-tanda yang boleh diperhatikan ketika makan

  • Batuk semasa makan atau minum
  • Air liur meleleh
  • Sukar untuk mengunyah makanan atau makanan tertinggal di dalam mulut selepas menelan
  • Mengambil masa yang terlalu lama untuk menghabiskan makanan
  • Makanan keluar dari hidung semasa makan

Adakah masalah penelanan boleh dirawat?

Ya, masalah penelanan boleh dirawat. Tetapi sebelum rawatan dijalankan pesakit perlu menjalani ujian penilaian terlebih dahulu untuk mengetahui punca dan tahap keterukan masalah penelanan. Berjumpalah dengan Terapis Pertuturan Bahasa (TPB) bertauliah yang berdekatan dengan anda untuk penilaian awal masalah penelanan.

Adakah semua pesakit yang telah dirawat boleh sembuh dan makan semula?

Bukan semua pesakit yang menjalani rawatan boleh sembuh dan makan melalui mulut seperti biasa. Keberkesanan rawatan masalah penelanan bergantung pada banyak faktor  berikut :

  • Punca masalah penelanan
  • Tahap keterukan masalah penelanan
  • Umur pesakit
  • Masalah kesihatan lain yang dihidapi pesakit
  • Motivasi pesakit dan sokongan keluarga terhadap pesakit

Bagaimanakah masalah penelanan dirawat?

Rawatan bagi masalah penelanan tidak melibatkan pengambilan ubat seperti rawatan masalah kesihatan yang lain. Individu yang mempunyai masalah penelanan perlu menjalani rawatan yang telah disyorkan oleh TPB yang bertauliah.

Rawatan bagi masalah penelanan terbahagi kepada dua iaitu, strategi kompensotari (compensatory strategies) dan teknik rehabilitasi. Compensatory strategies adalah strategi  yang dijalankan untuk mengubah proses pemindahan makanan. Ia memberikan kesan serta merta tanpa mengubah fisiologi penelanan.

Berbeza dengan teknik rehabilitasi yang bertujuan untuk merawat fisiologi penelanan bagi mengembalikan kembali fungsi penelanan yang bermasalah.

Apakah contoh compensatory strategies? Adakah rawatan boleh dilakukan sendiri di rumah?

Rawatan compensatory strategies tidak melibatkan penggunaan teknologi canggih, rawatan ini hanya melibatkan perubahan  teknik semasa makan, posisi badan, serta modifikasi makanan.

Ya, rawatan boleh dilakukan sendiri di rumah, tetapi ingat! Pesakit perlulah mendapat saranan daripada TPB yang bertauliah bagi memilih teknik compensatory strategies yang bersesuaian untuk membantu pesakit.

  1. Perubahan posisi badan semasa makanUbah  postur badan  semasa makan  untuk membantu proses pemindahan makanan.Strategi ini secara tidak langsung dapat mengurangkan  risiko aspiration

    Chin tuck

    Head turn

     

  2. Perubahan tingkah laku semasa makan

    Strategi yang dilakukan oleh pesakit semasa makan. Ia dapat membantu pesakit menelan makanan dengan selamat.

    Telan makanan berulang kali dapat menghilangkan makanan yang terkumpul di tekak. Selang-seli telan makanan dan air juga dapat menyelesaikan masalah yang sama.


    Selang seli makan dengan air

    Cara mengambil makanan juga boleh diubah untuk menyelesaikan masalah penelanan.

    Ambil minuman  dari sudu bukan dari cawan. Ia dapat mengawal jumlah makanan yang diambil dalam satu masa. Seterusnya dapat menambah masa menelan bagi pesakit.

    Ubah suai cara mengambil makanan

    Minum mengunakan sudu

  3. Modifikasi makanan
    Ubah suai  kepekatan , suhu, atau jumlah makanan turut membantu pesakit menelan makanan. Ubah suai yang tepat dapat mengurangkan risiko aspiration.

Bagaimana cara untuk menjalankan teknik rehabilitasi?

Teknik rehabilitasi dilakukan pada otot spesifik yang kehilangan fungsi asal untuk menelan makanan. Rawatan bertujuan untuk memulihkan kembali fungsi otot tersebut dan seterusnya memulihkan sistem penelanan.

Shaker’s excercise
Tujuan terapi adalah untuk meningkatkan pergerakan larinks serta melindungi saluran pernafasan.
Cara melakukan terapi
Repetitive head lifting

  1.  Baring di atas permukaan rata tanpa menggunakan bantal.
  2. Angkat kepala berulang kali untuk melihat ibu jari kaki sebanyak 30 kali
  3. Pastikan bahu menyentuh permukaan lantai atau tilam sepanjang melakukan senaman. (Video Shaker Excercise #2)

Sustained head lifting

  1. Baring di atas permukaan rata tanpa menggunakan bantal.
  2. Angkat kepala untuk melihat ibu jari kaki selama 30 / 60 saat.
  3. Pastikan bahu menyentuh permukaan lantai atau tilam sepanjang melakukan senaman. (Video Shaker Excercise #1)

Masako Excercise

Masako excercise bertujuan untuk meningkatkan kekuatan otot yang monolak makanan semasa menelan.
Cara melakukan terapi

  1.  Jelirkan lidah.
  2. Tahan lidah di antara bibir atau gigi dan cuba untuk telan.
  3. Ulang pergerakan sebanyak 10 kali. (Video Masako Exercise)

 

Supraglottic Swallow

 

Tujuan supraglottic swallow adalah untuk menutup laluan pernafasan secara voluntari, membersihkan lebihan makanan di larinks

Cara melakukan terapi

  1. Tarik nafas dalam-dalam dan tahan.
  2. Ambil air/makanan.
  3. Telan makanan sambil menahan nafas.
  4. Batuk sejurus selepas menelan makanan tadi.
  5. Telan sekali lagi.
    (Video Supraglottic Swallow)

Thermal stimulation

Rawatan bagi pesakit yang mempunyai masalah penelanan fasa oral. Stimulasi dapat meningkatkan kepekaan di bahagian mulut dan refleks penelanan

Cara melakukan terapi

  1. Masukkan ais ke dalam cawan.
  2. Celupkan laryngeal mirror ke dalam cawan yang mengandungi ais.
  3. Ambil mirror dan sentuhkan pada anterior faucal pillar pada belah  kanan dan kiri.
    (Video Thermal Tactile Stimulation Demo)

Latihan oral motor

Jom senaman muka dan mulut

Apakah alternatif lain cara pengambilan makanan selain melalui mulut?

Pesakit disarankan menggunakan tiub yang dimasukkan melalui hidung terus ke saluran pemakanan jika tidak dapat menelan melalui mulut. Penggunaan tiub akan disarankan oleh doktor atau TPB apabila pesakit gagal dalam ujian penilaian penelanan.  Pengambilan makanan melalui tiub amat penting untuk mengekalkan keperluan nutrisi dan hidrasi pesakit.

Rujukan

  1. Jeri A. Logemann, (1997). Evaluation and Treatment of Swallowing Disorder. Pro ed.
  2. Lizzy Marks & Deidre Rainbow, (2001). Working With Dysphagia. Speechmark, Publishing Ltd UK
  3. Jawatankuasa kerja Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan), (2014). Prosedur Operasi Standard Penjagaan Pesakit Dengan Kecelaruan Penelanan. Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, KKM
  4. Michelle Thomas, (2015). Exercise Based Therapy for the Treatment of Dysphagia, Retreived September 1, 2015 from http://medicine.utah.edu/pmr/conference/2015/presentations/exercised-based-dysphagia-therapy-michelle-thomas.pdf
  5. Jose Vega. Swallowing excercise for dysphagia therapy. Retreived September 1, 2015 from http://stroke.about.com/od/caregiverresources/qt/swallowxrcs.htm
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Marina bt. Abdul Malek
Akreditor : Nur Syuhada bt. Hosni
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Stasis Ekzema

Stasis eczema sering terjadi di bahagian kaki. Ia boleh melibatkan sebelah, atau kedua-dua belah kaki

Polio

Pengenalan Polio atau poliomyelitis adalah akibat jangkitan virus polio yang

Miokarditis

Miokarditis adalah keradangan otot jantung. Kebiasaannya disebabkan oleh virus. Gejala

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia