Geseran atau kerengsaan
Ia adalah penyebab biasa berlakunya ruam lampin, pada bahagian di mana lampin tersebut bersentuh/bergeser dengan kulit, lampin yang dipakaikan terlalu ketat atau dibiarkan terlalu lama. Ruam kerap terjadi di celah paha atau di bawah bahagian getah lampin.
Biasanya ruam ini mudah sembuh dengan penukaran lampin secara kerap dan mengeringkan kawasan tersebut.
Contact dermatitis
Penyebab
Ruam ini kebanyakannya terjadi pada bahagian yang terdedah seperti bahagian punggung. Ia tidak melibatkan kawasan lipatan anggota atau kedutan kulit. Ia juga mungkin disebabkan oleh:
- Kulit terdedah kepada air kencing atau najis dalam jangkamasa yang lama.
- Alahan terhadap bahan kimia dan lampin pakai buang.
- Alahan kepada bahan pencuci yang digunakan untuk membasuh kain lampin.
Rawatan
- Rawatan terbaik ialah menukar lampin secara kerap dan juga penggunaan bahan pelindung kulit yang mengandungi zink oksida.
- Gunakan air suam untuk mencuci punggung bayi setiap kali selepas membuang air kecil atau air besar.
- Tukar lampin bayi dengan kerap, dan biarkan mereka tanpa lampin apabila perlu untuk menggalakan pengudaraan dan mengeringkan kulit bati.
- Elakkan dari menggunakan tepung jagung kerana ia menggalakan pertumbuhan bakteria dan kulat.
- Elakkan dari menggunakan bedak talkum kerana ia boleh memasuki paru-paru bayi dan boleh menyebabkan masalah pernafasan.
Pencegahan
Perkara utama untuk mencegah dan mengelakkan ruam lampin adalah dengan memastikan kawasan lampin bayi anda sentiasa bersih, tidak panas dan kering
- Periksa lampin bayi anda secara kerap dan tukarkannya sebaik sahaja ia basah atau kotor.
- Berhati-hati membersihkan bahagian punggung bayi anda apabila menukar lampin. Gunakan air suam dengan atau tanpa sabun yang lembut.
- Biarkan kulit bayi anda kering sepenuhnya sebelum memakaikannya semula lampin baru.
- Gunakan ubat sapu yang mengandungi zink oksida untuk melindungi kulit bayi anda.
- Elakkan penggunaan seluar plastik atau pelapik plastik kain lampin.
- Elakkan penggunaan tisu lampin yang mengandungi alkohol.
- Sekiranya ruam berterusan, tukarkan tisu lampin, lampin atau sabun yang digunakan.
Ruam lampin candida
- Ruam lampin disebabkan jangkitan kulat melibatkan bahagian punggung, celah paha, paha dan abdomen.
- Disebabkan oleh organisma Candida albicans di mana ia hidup di kawasan panas dan lembab.
- Ia muncul sebagai ruam yang berwarna kemerahan dengan bintil-bintil kecil berwarna putih atau kuning, dan jika keadaan menjadi lebih teruk warnanya menjadi lebih merah.
- Ia mudah dibezakan daripada contact dermatitis kerana ruam ini melibatkan lipatan-lipatan anggota badan.
Rawatan
Rawatan meliputi:
- Krim atau ubat sapu antikulat, seperti nystatin, disapukan pada kawasan ruam beberapa kali sehari.
- Keringkan kawasan yang dijangkiti.
- Sapukan krim antikulat diikuti dengan krim zink oksida.
Berjumpa doktor sekiranya:
- Ruam lampin berlaku dalam jangka masa 6 minggu selepas kelahiran.
- Sekiranya ruam menjadi jerawat dan ulser kecil.
- Bayi anda demam.
- Bayi anda susut berat badan atau tidak makan seperti biasa.
- Wujudnya benjolan atau bintil-bintil.
- Ruam tersebut merebak ke bahagian lain seperti lengan, muka dan kulit kepala.
- Ruam tersebut tidak sembuh selepas mencuba rawatan-rawatan yang disyorkan dalam masa satu minggu.
Seborrheic dermatitis
Tanda-tanda dan simptom
- Disebabkan oleh pengeluaran minyak yang berlebihan oleh kelenjar sebaceous.
- Ruam berwarna merah, bersisik dan berminyak.
- Dilihat sejurus selepas kelahiran di tempat-tempat yang mengandungi banyak kelenjar sebaceous iaitu kulit kepala (cradle cap), di belakang telinga, bawah lengan, di celah peha, dan di bahagian lipatan kaki.
- Kadang-kadang jika ruam sangat teruk, ia boleh mengeluarkan cecair.
- Jangkitan kuman boleh terjadi.
- Kemungkinan akan berlaku sisik-sisik di bahagian kening, muka dan kulit kepala.
Rawatan
- Krim steroid jika perlu boleh membantu keadaan ini.
- Minyak zaitun boleh melembutkan sisik-sisik dan kulit kepala dapat dirawat dengan penggunaan syampu.
Semakan akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penterjemah | : | Dr. Irene Cheah Guat Sim |
Dr. Terrence Thomas | ||
Dr. Umathevi Paramasivam | ||
Penyemak | : | Dr. Zainab bt. Kusiar |