A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Saksi Mahkamah

Saksi Mahkamah

Seseorang yang melihat ataupun menyaksikan sendiri sesuatu hal ataupun peristiwa yang sedang berlaku seperti jenayah atau kemalangan disebut sebagai eyewitness. Eyewitness ini adalah selalunya mereka yang berada di tempat kejadian ataupun berdekatan dengannya sewaktu peristiwa jenayah berlaku.

Saksi Mahkamah : Laporkan Apa Yang Anda Lihat


Istana Kehakiman
(Sumber: http://www.putrajaya.gov.my)

Dalam suatu perbicaraan jenayah, seorang tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya. Tertuduh merupakan seseorang yang telah didakwa atas suatu kesalahan jenayah di mahkamah. Pertuduhan terhadap tertuduh difailkan oleh pegawai pendakwa. Pegawai pendakwa adalah pegawai undang-undang yang memulakan prosiding kehakiman terhadap tertuduh.

Sebelum memulakan proses perundangan terhadap tertuduh, pegawai pendakwa hendaklah terlebih dahulu mempunyai bukti-bukti yang kukuh dan mencukupi. Sekiranya bukti-bukti terhadap tertuduh didapati tidak mencukupi, maka, pegawai pendakwa akan meminta supaya siasatan terus dijalankan sehinggalah bukti-bukti yang mencukupi diperolehi. Oleh yang demikian, pegawai pendakwa hanya akan mendakwa tertuduh di mahkamah apabila pegawai pendakwa mendapati bukti-bukti terhadap tertuduh adalah mencukupi.

Sehubungan itu, pegawai pendakwa dikatakan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bukti-bukti terhadap tertuduh adalah lengkap dan mencukupi sebelum melakukan proses pendakwaan di mahkamah. Bukti-bukti ini kemudiannya akan dikemukakan di mahkamah untuk diadili.

Kemudiannya, pihak pendakwaan dan pembelaan akan bergilir-gilir untuk membentangkan bukti masing-masing di mahkamah. Mahkamah selanjutnya akan mendengar semua keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan. Sesungguhnya, mahkamah hanya akan membuat keputusan setelah mendengar dan menilai semua keterangan yang diberikan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.dan mendapati bahawa semua bukti terhadap tertuduh adalah di luar keraguan yang munasabah.

Justeru itu, untuk mensabitkan tertuduh atas sesuatu kesalahan jenayah, bukti-bukti terhadap tertuduh mestilah memenuhi kriteria tertentu. Oleh hal yang demikian, dalam sistem keadilan jenayah, istilah sehingga tiada keraguan yang munasabah digunakan sebagai standard pembuktian dalam setiap kes pendakwaan jenayah. Istilah ini menunjukkan betapa tingginya tahap pembuktian yang dikehendaki oleh mahkamah untuk mensabitkan tertuduh atas sesuatu kesalahan jenayah.

Dengan erti kata lain, pihak pendakwaan mestilah membuktikan kesnya sehingga tiada keraguan yang munasabah dalam sesuatu kes jenayah. Pihak pendakwaan juga hendaklah mengemukakan bukti yang memenuhi tahap pembuktian tersebut untuk menjamin sabitan terhadap tertuduh. Oleh sebab itu, sekiranya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya terhadap tertuduh sehingga tiada keraguan yang munasabah, maka, mahkamah hendaklah mensabitkan tertuduh atas kesalahan itu.

Sehubungan itu, bukti-bukti yang dibawa ke mahkamah dalam sesuatu perbicaraan jenayah adalah penting. Bukti merupakan faktor utama bagi tertuduh untuk mendapatkan sesuatu sabitan ataupun pembebasan. Oleh itu, pihak pendakwaan hendaklah mengenal pasti segala bukti yang perlu dikemukakan di mahkamah supaya pihak pihak pendakwaan dapat membuktikan kesnya sehingga tiada keraguan munasabah.

Berkaitan dengan hal ini juga, salah satu bukti yang signifikan dalam suatu perbicaraan jenayah adalah testimoni daripada saksi. Testimoni bermaksud suatu kenyataan lisan atau bertulis yang diberikan dalam mahkamah. Saksi pula adalah seseorang yang memberikan keterangan bersumpah di mahkamah.

Oleh hal yang demikian, seorang saksi biasanya dipanggil ke mahkamah untuk memberi keterangan berhubung dengan:

  • Suatu kejadian atau peristiwa terutamanya apabila saksi itu sendiri melihat atau menyaksikan suatu hal atau insiden jenayah
  • Suatu pengetahuan atau kemahiran khusus, iaitu, saksi pakar
  • Perwatakan seseorang, iaitu saksi mengenai watak

Saksi-saksi ini hendaklah mengangkat sumpah sebelum memberi keterangan di mahkamah. Angkat sumpah tersebut menandakan bahawa saksi tersebut telah berjanji untuk berkata benar sewaktu memberikan keterangan di mahkamah. Saksi yang berkata benar adalah penting untuk memastikan keadilan dapat dicapai dalam suatu perbicaraan jenayah. Kebenaran akan memastikan jatuhnya hukuman terhadap yang bersalah dan pembebasan bagi yang tidak bersalah.

Saksi yang melihat atau menyaksikan sendiri sesuatu hal, kejadian atau peristiwa

Seseorang yang melihat ataupun menyaksikan sendiri sesuatu hal ataupun peristiwa yang sedang berlaku seperti jenayah atau kemalangan disebut sebagai eyewitness. Eyewitness ini adalah selalunya mereka yang berada di tempat kejadian ataupun berdekatan dengannya sewaktu peristiwa jenayah berlaku.

Sewaktu perbicaraan di mahkamah, saksi-saksi ini bolehlah memberikan keterangan tentang penampilan fizikal dan emosi tertuduh ataupun mangsa. Ini termasuklah pakaian atau kasut yang dipakai oleh tertuduh ataupun mangsa, sekiranya seseorang itu mempunyai tatu ataupun parut, ataupun jika seseorang itu mabuk ataupun tidak. Selain itu, saksi-saksi ini juga boleh memberikan keterangan tentang fakta-fakta lain yang berkaitan dengan insiden itu. Namun begitu, keterangan yang diberikan mestilah berdasarkan kepada pemerhatian mereka sendiri dan tidak boleh ditokok tambah. .

Seperti yang diterangkan tadi, saksi-saksi ini hanya boleh memberikan keterangan berdasarkan pemerhatian mereka terhadap insiden tersebut. Keterangan yang diberikan pula hendaklah berlandaskan pemerhatian mereka sewaktu di tempat kejadian. Dengan berkata benar, saksi-saksi ini akan membantu mahkamah dalam memahami peristiwa atau kejadian yang telah berlaku.

Oleh itu, saksi hendaklah berkata benar sewaktu memberikan keterangan di mahkamah. Ini adalah kerana keterangan daripada saksi akan membantu mahkamah dalam menghuraikan peristiwa yang telah berlaku. Keterangan daripada saksi ini juga boleh mempengaruhi sabitan terhadap tertuduh. Saksi yang berkata benar akan memastikan keadilan dapat dicapai dalam suatu perbicaraan jenayah.

Saksi Pakar

Namun begitu, saksi pakar adalah berbeza dengan saksi-saksi lain. Saksi-saksi pakar ini diberikan keistimewaan oleh mahkamah untuk memberikan pendapat mereka kerana mereka mempunyai pengetahuan serta kemahiran khusus dalam suatu bidang tertentu. Dengan itu, pendapat pakar adalah keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pakar sewaktu perbicaraan di mahkamah. Sungguhpun demikian, tiada syarat-syarat khusus yang ditetapkan oleh undang-undang untuk membolehkan seseorang itu untuk memberikan keterangan sebagai saksi pakar.

Saksi pakar mestilah mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang mencukupi sebelum seseorang itu boleh diiktiraf sebagai pakar. Saksi-saksi tersebut mestilah pula memperolehi kepakaran mereka daripada institusi-institusi yang diiktiraf oleh kerajaan, melalui latihan yang formal ataupun pengalaman bekerja.

Walaupun begitu, hanya mahkamah sahaja yang boleh membuat keputusan sama ada seseorang itu layak ataupun tidak untuk memberikan keterangan sebagai saksi pakar. Seperti yang dikatakan tadi, saksi pakar adalah seseorang yang telah diberikan keistimewaan oleh mahkamah untuk memberikan pendapat mereka disebabkan oleh pengetahuan atau kemahiran mereka dalam sesuatu bidang tertentu.

Selain daripada keterangan pendapat, mahkamah turut boleh meminta saksi-saksi pakar ini untuk memberikan keterangan fakta juga. Sebagai contoh, mahkamah bolehlah meminta saksi-saksi ini untuk memberikan keterangan berkenaan bagaimana sesuatu mesin tertentu beroperasi, tentang sesuatu gejala penyakit, dan juga sebagainya, jika ianya berkaitan dengan isu dalam perbicaraan itu. Oleh sebab saksi-saksi ini mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang tertentu, maka, keterangan pakar ini dapat membantu mahkamah apabila mahkamah perlu membuat sesuatu pendapat berhubung dengan sesuatu perkara yang mungkin berada di luar pengetahuan dan kemahiran mahkamah.

Justeru itu, tugas utama seseorang saksi pakar adalah untuk membantu mahkamah dalam memahami bukti-bukti serta menentukan suatu fakta isu. Saksi-saksi pakar ini membantu mahkamah dengan memberikan pendapat serta penilaian yang tepat, adil dan boleh dipercayai berdasarkan analisis saintifik bahan bukti.

Sehubungan itu, keterangan pendapat yang diberikan oleh saksi pakar mestilah berkecuali, tidak berat sebelah dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Saksi-saksi pakar juga hendaklah memberikan pendapat mereka secara bebas tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak. Namun begitu, sekiranya terdapat saksi-saksi pakar yang memberikan pendapat yang berbeza dalam sesuatu isu yang sama, ataupun terdapat pencanggahan pendapat antara dua saksi pakar dalam sesuatu isu yang sama, maka terpulanglah kepada mahkamah untuk menentukan bukti mana yang boleh diterima.

Tambahan pula, saksi-saksi pakar juga hendaklah memastikan bahawa mereka tidak memberikan pendapat yang boleh mengelirukan mahkamah. Mereka hendaklah memberikan pendapat dengan tepat dan adil walaupun keterangan yang diberikan itu mungkin akan meninggalkan impak terhadap pihak yang diwakili. Apabila seseorang saksi pakar mempunyai konflik atau kecenderungan untuk berat sebelah, maka, mahkamah mungkin akan menolak untuk bertindak atas keterangan tersebut, bahkan mahkamah mungkin tidak dapat memberi kebenaran untuk keterangan tersebut dikemukakan (Law Commission, 2011, ms. 14).

Akhir sekali, untuk mahkamah menerima pendapat pakar tersebut, keterangan yang dikemukakan oleh pakar itu sendiri mestilah boleh dipercayai. Pendapat pakar tersebut juga hendaklah berasaskan bidang sains atau seni yang telah mendapat pengiktirafan umum. Mahkamah turut akan mengambil kira kaedah yang digunakan untuk menganalisis bahan bukti; sama ada kaedah-kaedah yang digunakan mempunyai asas saintifik yang mencukupi ataupun tidak untuk saksi-saksi pakar membuat sesuatu kesimpulan berkenaan dengan sesuatu isu tertentu. Saksi-saksi pakar ini juga hendaklah memberitahu mahkamah tentang kriteria-kriteria saintifik yang digunakan sewaktu analisis supaya mahkamah dapat menguji ketepatan pendapat mereka.

Namun, haruslah diingat bahawa pendapat pakar bukanlah muktamad tetapi merupakan salah satu  bahan bukti yang digunakan untuk membuktikan sesuatu kes. Mahkamah tidak terikat dengan pendapat pakar tersebut, tetapi boleh mengambil kira pendapat pakar yang diberikan dalam membuat keputusan tentang sesuatu isu.

Saksi mengenai watak

Saksi-saksi mengenai watak adalah mereka yang akan memberikan keterangan tentang reputasi tertuduh dalam masyarakat sewaktu perbicaraan. Saksi-saksi ini akan memberikan bukti tentang watak baik tertuduh seperti bertimbang rasa, pemurah, lemah lembut, jujur, ikhlas, boleh dipercayai, dan sebagainya. Sehubungan itu, bukti-bukti tentang watak baik adalah penting untuk tertuduh. Watak baik ini boleh menunjukkan sama ada tertuduh sememangnya berniat untuk melakukan jenayah tersebut atau tidak. Di samping itu, mahkamah turut akan mempertimbangkan watak baik tertuduh, bersama-sama dengan bukti-bukti lain, sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa watak baik tertuduh adalah relevan dalam prosiding jenayah.

Berkaitan dengan hal ini, watak baik tertuduh biasanya diperkenalkan oleh pihak pembelaan dalam suatu perbicaraan jenayah. Tujuan pihak pembelaan mengemukakan saksi-saksi mengenai watak baik adalah untuk memberikan tertuduh faedah kesangsian.

Faedah kesangsian ini bertujuan untuk menimbulkan keraguan tentang kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh. Keterangan tentang watak baik tertuduh itu akan menunjukkan bahawa tertuduh adalah seseorang yang tidak berniat untuk melakukan jenayah tersebut. Ia adalah untuk menegakkan prinsip bahawa tertuduh adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya.

Seperti yang dinyatakan tadi, keterangan mengenai watak baik tertuduh adalah sama seperti dengan bukti-bukti yang lain. Oleh itu, terpulanglah kepada mahkamah untuk menentukan betapa banyaknya pertimbangan yang perlu diberikan ke atas bukti-bukti tersebut. Oleh hal yang demikian, tertuduh berhak diberikan suatu pembebasan sekiranya, setelah mahkamah menilai serta meneliti kesemua bukti yang berkaitan dengan kes itu, watak yang baik itu menimbulkan keraguan yang munasabah tentang jenayah yang dilakukan oleh tertuduh.

Sebaliknya pula, tertuduh hendaklah disabitkan dengan sesuatu kesalahan sekiranya mahkamah mendapati segala dakwaan terhadap tertuduh telah dapat dibuktikan sehingga tiada keraguan yang munasabah, walaupun tertuduh mempunyai perwatakan yang baik.

Bukti dengar cakap

Bukti dengar cakap adalah suatu kenyataan yang dibuat oleh saksi-saksi berdasarkan kepada pernyataan individu lain. Oleh kerana bukti dengar cakap ini merupakan sesuatu keterangan yang dibuat oleh saksi tanpa melihat sendiri peristiwa atau kejadian tersebut, maka, suatu peraturan tentang bukti ini telah diwujudkan. Tujuan  peraturan ini diwujudkan adalah untuk melarang saksi-saksi daripada membuat keterangan berdasarkan kenyataan individu lain, khususnya, apabila tujuan keterangan itu dibuat adalah untuk membuktikan bahawa kandungan dalam kenyataan itu adalah benar.

 â€˜Peraturan terhadap penerimaan bukti dengar cakap adalah ringkas. Ia bukanlah bukti yang terbaik dan keterangan tersebut dibuat dengan tidak mengangkat sumpah di mahkamah. Kebenaran dan ketepatan pernyataan yang dibuat oleh seseorang itu, yang kemudiannya disampaikan oleh saksi, tidak dapat diperiksa balas di mahkamah sewaktu perbicaraan’ (seperti yang dipetik dalam Scottish Law Commission, 1995). Oleh yang demikian, bukti dengar cakap ini adalah amat sukar untuk diterima di mahkamah.

Implikasi utama peraturan dengar cakap adalah seperti berikut:

  •  Saksi-saksi hendaklah memberikan keterangan lisan di mahkamah. Ini adalah kerana mahkamah menganggap keterangan lisan oleh saksi, yang kemudiannya boleh diperiksa balas, adalah penting untuk mencapai keadilan dalam sesuatu perbicaraan jenayah.
  •  Saksi-saksi hendaklah memberikan keterangan berdasarkan pemerhatian mereka sendiri, dan tidak boleh mengulangi apa yang telah diberitahu oleh individu lain.

Pemeriksaan Balas

Objektif pemeriksaan balas saksi adalah untuk menilai kekonsistenan keterangan yang dibuat oleh saksi. Namun demikian, apabila individu yang membuat pernyataan itu tidak dapat hadir sebagai saksi dan tidak dapat diperiksa balas, maka, mahkamah tidak berpeluang untuk menentukan kebenaran pernyataan itu. Mahkamah juga tidak dapat menyoal saksi tentang maksud kenyataan yang dibuat dan betapa jelasnya pemerhatian dan pemahaman saksi berhubung dengan peristiwa yang disaksikan yang menjadi isu utama kenyataan itu.

Sapina

Sapina adalah suatu dokumen yang dikeluarkan oleh mahkamah yang mengarahkan seseorang itu untuk hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan atau mengemukakan dokumen yang dikehendaki. Ia adalah suatu perintah mahkamah yang mengkehendaki seseorang itu untuk hadir di tempat tertentu, pada masa dan tarikh tertentu untuk memberikan keterangan sebagai saksi ataupun mengemukakan dokumen yang dikehendaki.

Terdapat tiga jenis sapina:

  • Subpoena ad testificandum – sapina untuk memberikan keterangan
  • Subpoena duces tecum – sapina untuk mengemukakan dokumen
  • Subpoena ad testificandum and duces tecum – sapina untuk memberikan keterangan dan mengemukakan dokumen

Sapina selalunya akan disampaikan sendiri dengan tangan. Sapina selalunya akan disampaikan oleh pegawai polis, tetapi, mahkamah boleh menugaskan mana-mana orang lain untuk menyampaikan sapina tersebut sekiranya mahkamah tersebut mengkehendakinya. Seseorang boleh menerima sama ada subpoena ad testificandum, subpoena duces tecum, ataupun kedua-duanya sekali, iaitu subpoena ad testificandum and duces tecum.

Sapina selalunya mengandungi maklumat-maklumat seperti nama kes, nama mahkamah yang mengeluarkan sapina, dan tarikh serta masa saksi akan dipanggil ke mahkamah. Sapina yang dikeluarkan oleh mahkamah mestilah secara bertulis, ditandatangani dan mengandungi meteri mahkamah mengeluarkannya.

Arahan mahkamah melalui sapina adalah wajib dipatuhi. Apabila seseorang itu telah disapina, individu tersebut hendaklah hadir ke mahkamah ataupun mengemukakan dokumen seperti yang dikehendaki pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan. Jika seseorang individu yang telah disapina dan tidak dapat hadir pada tarikh, masa, dan tempat yang telah ditetapkan tanpa sebarang alasan yang munasabah, mahkamah boleh mengeluarkan suatu waran untuk memaksa kehadiran individu tersebut.

Sesuatu sapina akan terus berkuat kuasa sehingga salah satu kejadian tersebut berlaku:

  • Sapina tersebut dipatuhi
  • Mahkamah melepaskan saksi daripada sapina, atau
  • Perbicaraan telah selesai

Etika Berpakaian di Mahkamah

Seseorang yang hadir ke mahkamah sebagai saksi hendaklah berpakaian kemas dan tidak menjolok mata. Di mahkamah, anda tidak dibenarkan untuk memakai:

  • Seluar pendek/skirt mini
  • Jeans
  • Selipar
  • Topi keledar
  • Cermin mata hitam
  • Jaket tidak formal seperti jaket kulit atau denim
  • Baju tanpa lengan/t-shirt
  • Pakaian warna terang dan sarat dengan perhiasan

Dokumen yang Diperlukan

Sekiranya anda adalah warganegara Malaysia, anda dikehendaki untuk membawa bersama Kad Pengenalan Kebangsaan (MyKad) atau sijil kelahiran sewaktu menghadiri mahkamah untuk menjadi saksi. Warganegara asing perlu membawa pasport antarabangsa atau lain-lain dokumen yang berkaitan.

Sumbangan Saksi Mahkamah terhadap Sistem Perundangan

Saksi memainkan peranan yang penting dalam sistem keadilan jenayah. Saksi adalah seseorang yang memberikan keterangan bersumpah di dalam mahkamah sewaktu perbicaraan. Keterangan daripada saksi amatlah perlu sewaktu perbicaraan. Saksi adalah penting kerana mereka mempunyai maklumat tentang isu atau perkara yang sedang dipertikaikan di mahkamah. Keterangan daripada saksi akan kemudiannya digunakan oleh mahkamah dalam menentukan sama ada tertuduh bersalah atas kesalahan tersebut atau tidak.

Sebelum memberi keterangan, saksi akan terlebih dahulu mengangkat sumpah atau berikrar. Saksi akan bersumpah atau berikrar untuk memberitahu perkara yang benar sahaja. Dengan berkata benar, saksi itu akan memastikan bahawa orang yang bersalah akan disabitkan kesalahannya dan dan yang tidak bersalah akan dilepaskan.

Rujukan

  1. Cross-Examination of a Witness to the Good Character of a Criminal Defendant in Indiana, 12 Val. U. L. Rev. 367 (1978). Retrieved March 09, 2015, from: http://scholar.valpo.edu/vulr/vol12/iss2/5
  2. Crown Prosecution Service. (2014). Crown Prosecution Service: Guidance on Expert Evidence.  United Kingdom. Retrieved March 09, 2015, from http://www.cps.gov.uk/legal/assets/uploads/files/expert_evidence_first_edition_2014.pdf
  3. Eyewitness. (n.d). In Cambridge Dictionaries Online. Retrieved February 20, 2015, from http://dictionary.cambridge.org
  4. Family Court Of Australia. (2013). Subpoena – Information for named person (served with a subpoena) (BRSUBSEV.010110 V2 ). Australia. Retrieved June 10, 2015, from http://www.familycourt.gov.au/wps/wcm/connect/4e8fe563-3e5c-4dc6-96b5-744af8e2cee4/BRSUBSERV_010110+V3a.pdf
  5. Giving evidence in court. Retrieved March 11, 2015 from http://www.nidirect.gov.uk/index/information-and-services/crime-justice-and-the-law/going-to-court/giving-evidence-in-court.htm
  6. How you are called as a witness. Retrieved June 09, 2015, from http://www.citizensinformation.ie/en/justice/witnesses/how_you_are_called_as_a_witness.html
  7. Law Commission. (2011). Expert Evidence In Criminal Proceedings In England And Wales (Law Com No 325). United Kingdom. Retrieved March 05, 2015, from https://www.gov.uk/government/uploads/system/uploads/attachment_data/file/229043/0829.pdf
  8. Mahkamah Negeri Selangor. (2005). Etika Menghadiri Mahkamah Terbuka. Malaysia. Retrieved February 11, 2015, from http://selangor.kehakiman.gov.my/?q=node/237
  9. Office for Criminal Justice Reform. (2009). Witness in Court. United Kingdom. Retrieved March 16, 2015, from https://www.west-midlands.police.uk/docs/advice-centre/help-and-advice/victims-code/Giving evidence at court – Guide for adults.pdf
  10. Office of the Chief Registrar. (2011). FAQ – Open Court Etiquette. Malaysia: Federal Court of Malaysia, Retrieved February 11, 2015, from http://www.kehakiman.gov.my/?q=en/node/569
  11. Scottish Law Commission. (1995). Evidence: Report on Hearsay Evidence in Criminal Proceedings (Scot Law Com No 149). Scotland. Retrieved April 14, 2015, from http://www.scotlawcom.gov.uk/files/9412/7989/7413/rep149.pdf
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Nurazira bt. Azizan
Akreditor : Saravanakumar a/l Maniam
Penyemak : Dr. Khoo Lay See

Artikel Berkaitan

Upacara Terakhir

Pengurusan jenazah /mayat merupakan satu kewajipan bagi orang yang hidup terhadap orang telah meninggal dunia. Dalam Islam, pengurusan jenazah merupakan fardhu kifayah dan wajib disempurnakan sebelum jenazah itu dikebumikan. Bahkan dalam anutan lain sekalipun, pengurusan jenazah adalah sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang hidup kepada orang yang telah mati.

Siapakah Audiologis?

Pengenalan Audiologis adalah individu yang berkelayakan dari segi akademik sekurang-kurangnya

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia