Pengenalan
Ubat tidur merupakan kategori ubat sedatif yang bertindak pada sistem saraf pusat dan menolong mengatasi masalah kesukaran untuk tidur.
Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh memberikan kesan sedatif. Contoh : ubat antikemurungan, barbiturates dan benzodiazepines.
Benzodiazepines merupakan ubat yang selalu digunakan untuk merawat keresahan dan masalah kesukaran untuk tidur. Sesetengah benzodiazepine digunakan untuk melegakan keresahan , ‘alcohol withdrawal’, ‘panic disorders’ dan sawan.
Kebanyakan ubat antikeresahan (Contoh: alprazolam, clonazepam, diazepam, lorazepam) boleh membantu masalah kesukaran untuk tidur apabila diberikan pada waktu malam. Kebanyakan ubat hipnotik pula ( Contoh: midazolam, zolpidem) akan memberikan kesan sedatif pada waktu siang.
Rawatan
Ubat tidur hanya boleh diambil untuk jangka masa yang pendek sahaja. Kesan ubat tersebut akan berkurangan kerana badan anda telah menyesuaikan diri dengan ubat ini.
Komplikasi
Kesan sampingan yang biasa dialami apabila mengambil ubat tidur adalah mengantuk dan rasa pening, hilang tumpuan untuk melakukan kerja dan percakapan yang tidak jelas.
Jangan memandu kenderaan jika masih mengalami kesan dari ubat tidur.
Kebanyakan ubat tidur boleh menyebabkan pergantungan pada ubat apabila diambil dalam dos yang tinggi dan pada jangkamasa yang panjang. Apabila keadaan ini berlaku, ia menyukarkan pemberhentian rawatan ubat tidur tersebut.
Ubat tidur tidak boleh diberhentikan secara mengejut. Doktor akan menasihatkan bagaimana untuk memberhentikan ubat secara berkala.
Lain-lain
Simpan ubat pada tempat yang bersesuaian dan jauhkan daripada kanak-kanak.
Sila beritahu doktor jika anda mempunyai sejarah ketagihan alkohol dan dadah .
Beritahu doktor jika anda mengandung kerana sesetengah benzodiazepine (chlordiazepoxide dan diazepam) dilaporkan boleh menyebabkan kecacatan pada anak yang dilahirkan jika diambil pada peringkat awal mengandung ( 3 bulan pertama).
Beritahu doktor jika anda menyusukan anak kerana ubat ini akan menyebabkan rasa mengantuk dan kesukaran untuk menyusukan anak.
Tips memulakan tidur
Masalah kesukaran untuk tidur dapat diatasi dengan merawat tingkahlaku secara kognitif.
Berikut adalah cara yang boleh digunakan untuk mengatasi kesukaran untuk tidur.
- Pastikan tidur pada waktu yang telah ditetapkan.
- Jauhi minuman berkafein seperti kopi atau teh pada waktu malam.
- Tetapkan waktu yang sesuai untuk bangun pagi.
- Pastikan tempat tidur adalah selesa (tidak terlalu sejuk atau terlalu panas)
- Membaca adalah lebih baik daripada menonton televisyen.
- Masalah sukar untuk tidur adalah masalah yang kerapkali berlaku. Oleh itu, cuba tidur hanya jika benar-benar mengantuk.
Semakan Akhir | : | 20 April 2012 |
Penulis | : | Kamariah Shamsinar bt. Kamarul Baharin |
Penyemak | : | Mohammad Rizalmazli bin Salim |