A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Spina Bifida

Apakah yang dimaksudkan dengan Spina Bifida?

Spina Bifida (dalam bahasa Latin bermaksud tulang belakang terbelah), adalah salah satu kecacatan sejak lahir dikenali sebagai kecacatan di tiub neural. Sebahagian atau keseluruhan tulang belakang tidak bercantum dengan sempurna dan menyebabkan saraf tunjang terdedah. Keadaan ini terjadi di awal kandungan, seawal bulan pertama kandungan.

Ianya berlaku di bahagian bawah tulang belakang dan jarang berlaku di bahagian atas. Kadang-kala sebahagian daripada otak juga turut terdedah.

 

alt

 

Jenis-jenis Spina Bifida

  • Spina Bifida Occulta:
    Saraf tunjang adalah normal. Hanya sebahagian kecil tulang yang tidak bertaup. Lapisan kulit yang menutupi kecacatan ini juga adalah normal.
  • Meningocoele
    Sebahagian dari meninges lapisan luaran saraf tunjang terjulur keluar tetapi saraf tunjang selalunya sempurna.
  • Meningomyelocoele
    Sebahagian dari saraf tunjang dan meninges terjulur keluar dari tulang belakang yang terpisah.

Keterukan keadaan spina bifida adalah berbeza. Dalam keadaan yang ringan (milder form), bayi tidak menunjukkan apa-apa tanda.

Sekiranya kecacatan teruk di mana melibatkan saraf tunjang bahagian atas, kemungkinan bayi tidak dapat hidup lama kerana lumpuh seluruh badan. Hydrocephalus (kepala besar di sebabkan pengumpulan cecair dalam otak) dan lain-lain kecacatan sejak lahir/congenital juga mungkin terjadi.

Kebanyakkan kes mengalami keterukkan sederhana. Kanak-kanak begini memerlukan berbagai rawatan dan rehabilitasi.

Berapa kerapkah kejadian ini terjadi?

Berlaku lebih kurang 1 dalam 1000 kelahiran hidup.

Sebab-sebab terjadi

  • Sebab sebenar masih tidak diketahui.
  • Ia adalah disebabkan oleh kombinasi antara faktor genetik dan persekitaran.
  • Salah satu faktor yang menyumbang kepada keadaan ini adalah kekurangan asid folik sebelum mengandung dan pada awal kandungan.

Tanda-tanda

  • Masalah ini boleh dikesan semasa masih mengandung melalui ultrasonography, MRI dan pengukuran alpha foeto protein (AFP).
  • Selepas lahir, kemungkinan kelihatan benjolan di bahagian belakang. Ia adalah penonjolan saraf tunjang atau meninges melalui ruang pembukaan di tulang belakang.
  • Saiz kepala yang besar atau ukuran lilitan kepala membesar akan terjadi pada sebahagian kes meningomyelocele.
  • Bagi kes spina bifida occulta, perubahan warna kulit, lekok ,ketulan tisu lemak yang lembut atau tompokan rerambut akan dapat dilihat di bahagian belakang.

Gejala

Sebahagian dari gejala dikesan peringkat awal dan yang lainya di kemudian hari.

  • Sakit dibahagian bawah belakang.
  • Sistem usus dan pundi kencing yang tidak berfungsi.
  • Bahagian anggota kaki adalah lemah atau lumpuh.
  • Hilang deria rasa dibahagian yang terlibat.
  • Lemah dalam pembelajaran.Kadang-kadang tidak ada gejala yang ditunjukkan. Kecacatan itu hanya dikesan semasa pengimejan (x-ray) dilakukan untuk masalah kesihatan yang lain.

Komplikasi

  1. Komplikasi spina bifida selalunya disebabkan oleh kerosakan pada saraf tunjang atau hujung saraf yang terkeluar dari saraf tunjang.
    Ini akan mengakibatkan:-

    • Sakit belakang.
    • Tidak boleh mengawal buang air kecil.
    • Tidak boleh mengawal buang air besar dan sembelit.
    • Lemah atau kelumpuhan pada bahagian kaki.
    • Hilang deria rasa di bahagian yang terlibat – di mana menyebabkan kecederaan, kudis, tekanan atau kelecuran di kulit.
  1. Spina bifida selalunya berkaitan dengan hydrocephalus dalam 70 % kes. Otak dan saraf tunjang di alirkan dan di bekalkan dengan nutrisi oleh cecair serebrospinal. Dalam spina bifida, pengaliran cecair serebrospinal tersekat menyebabkan pengumpulan cecair ini di dalam otak.Keadaan ini berbahaya kerana cecair yang terkumpul akan meningkatkan tekanan dan akan menyebabkan kerosakan pada otak.
  1. Jangkitan
    • Meningitis – Jangkitan pada selaput yang menyaluti tisu saraf.
    • Jangkitan di salur air kencing melibatkan pundi kencing dan atas buah pinggang – Retensi air kencing akan menyebabkan pengalirannya berbalik ke buah pinggang semula.
  1. Masalah tulang seperti scoliosis (bongkok), telepis (club foot) atau terkehel tulang pinggul.

Rawatan

Rawatan untuk spina bifida ialah pembedahan dan rawatan sokongan yang berterusan. Tiada rawatan khusus untuk spina bifida.

  • Sekiranya seorang bayi dilahirkan dengan kecacatan yang terbuka , pembedahan dilakukan secepat mungkin.
    • Saraf tunjang dan meninges yang terkeluar akan dimasukkan ke tempatnya dengan berhati-hati.
    • Tujuan melakukan pembedahan ialah untuk mengurangkan risiko jangkitan dan mengekalkan fungsi saraf tunjang.
    • Pembedahan semula mungkin diperlukan apabila kanak-kanak membesar. Ini adalah disebabkan saraf tunjang dan tulang belakang membesar pada kadar yang berbeza dan boleh menyebabkan dan boleh menyebabkan tisu saraf terperangkap.
  • Sekiranya mengalami hidrosefalus, shunt mungkin diperlukan untuk mengalirkan cecair yang berlebihan dari otak ke abdomen. Shunt perlu di pantau untuk jangkitan dan penyekatan aliran cecair serebrosinal serta memberi rawatan yang berpatutan.
  • Penilaian yang kerap perlu dilakukan ke atas kanak-kanak oleh pasukan kesihatan seperti Pakar Perubatan, fisioterapi dan terapi cara kerja.
  • Jangkitan perlu dirawat dengan sempurna.

Pencegahan

  1. Pemberian tambahan folik asid.
    Dos folik asid yang disyorkan adalah 0.4 mg sehari dan perlu diambil sebulan sebelum mengandung dan seterusnya pada 3 bulan pertama mengandung untuk memberi kesan yang baik. Disebabkan kebanyakan kehamilan tidak dirancang, semua wanita dalam usia reproduktif dinasihatkan untuk mengambil penambahan folik asid.Sekiranya seseorang itu dalam kumpulan berisiko ( anak terdahulu, atau saudara rapat mengalami spina bifida atau yang mengambil ubat sawan), ia perlu mengambil dos yang tinggi lebih kurang 4 mg sehari.
  1. Kaunseling genetik
    Risiko (tanpa tambahan folik asid)

    • Selepas mempunyai seorang anak yang menghidapi spina bifida, kehamilan seterusnya boleh mendapat masalah yang sama adalah 3 ke 4 %.
    • Selepas mengalami 2 orang anak spina bifida,10 % kehamilan seterusnya boleh mendapat masalah yang sama.
    • Risiko akan bertambah tinggi sekiranya keluarga juga mempunyai sejarah spina bifida.

Sila dapatkan runding cara daripada doktor untuk kehamilan yang akan datang.

Pemulihan

Pemeriksaan yang berkala oleh pasukan kesihatan yang professional diperlukan ( Pakar Peditrik, Pakar Surgeri Orthopedik, Pakar saraf, fisioterapi, terapi carakerja dan kaunselor) di dalam proses pemulihan.

Ini adalah untuk mengendalikan dan merawat sebarang masalah diperingkat awal. Dengan ini kanak-kanak terlibat dapat hidupselesa seperti anak-anak yang lain.

Pemulihan melibatkan:-

  • Pergerakan – Perkhidmatan fisioterapi dan terapi carakerja perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memaksimakan fungsi dan pergerakan menggunakan ke taraf maksima fungsi dan pergerakkan. Kanak-kanak ini memerlukan bantuan fisikal seperti alat penyokong (braces) dan kerusi roda, mengikut tahap kelemahan dikaki.
  • Penjagaan kulit dan deria rasa – Penjagaan yang sempurna untuk mengelakkan kudis tekanan atau ulser di bahagian yang kehilangan deria rasa.
  • Penjagaan pundi kencing – Latihan mengawal pundi kencing dan melakukan pengketeran kendiri secara berkala. Pembedahan pundi kencing mungkin diperlukan.
  • Penjagaan usus – Latihan kawalan buang air besar, penggunaan enema dan pemakanan yang sihat.
  • Pendidikan – Kanak-kanak ini selalunya mempunyai kecerdasan yang normal, mereka mungkin mengalami masalah. Kanak-kanak yang menghidapi hidrosefalus mempunyai masalah pembelajaran yang lebih ketara.
  • Sokongan ibu bapa adalah faktor penting dalam proses pemulihan kanak-kanak tersebut.

Kanak-kanak ini perlu didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan untuk memperolehi penjagaan kesihatan yang sempurna, kebajikan dan pendidikan khas.

Pegawai perubatan boleh membantu pendaftaran kanak-kanak dengan mengisi borang-borang tertentu. Kanak-kanak yang didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat berhak mendapat bantuan perubatan dan kemudahan-kemudahan kesihatan yang lain daripada kerajaan.

Semakan akhir : 27 April 2012
Penulis : Dato’ Dr. Jimmy Lee Kok Foo
  : Dr. Leow Poy Lee
  : Dr. Hamdan Abd Rahman
Penyemak : Dr. Nor Azni b. Yahaya

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,451

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia