Pengenalan
Teknik bantuan reproduktif khususnya kaedah rawatan bayi tabung uji (In Vitro Fertilization (IVF)) terdiri daripada beberapa langkah. Setiap langkah akan berlaku pada waktu-waktu tertentu semasa kitaran haid. Kadangkala prosedur bermula beberapa bulan sebelum fasa kitar stimulasi (rangsangan) ovari.
Rawatan sebelum kitar IVF bermula:
- Kadang kala ubat perancang keluarga dimulakan
- Kadang kala GnRH agonist (ubat untuk menghalang pengeluaran telur secara pramatang) dimulakan
- Kadangkala, kitaran IVF bermula apabila kitaran haid bermula
Stimulasi Ovari
Fasa kitar stimulasi ataupun fasa rangsangan ovari dilakukan dengan tujuan untuk menghasilkan jumlah folikel yang mengandungi telur yang cukup. Tanpa rawatan stimulasi, kilang telur hanya menghasilkan satu folikel yang mengandungi satu telur matang pada setiap kitaran haid. Kejayaan IVF bergantung kepada keupayaan untuk menghasilkan banyak folikel pada satu-satu masa. Untuk tujuan ini, suntikan Hormon Perangsang Folikel (follicle stimulating hormone (FSH)) yang juga dikenali sebagai rawatan gonadotropin akan diberikan. Ubat-ubat tambahan yang lain digunakan untuk menghalang ovulasi pramatang.
Ada beberapa jenis protokol stimulasi ovari. Walaupun semua protokol menggunakan jenis ubat yang lebih kurang sama, protokol tertentu mungkin dapat membantu sesetengah pesakit untuk mendapatkan respons yang lebih baik.
Ubat yang biasa digunakan dalam Teknik Bantuan Reproduktif:
1. Clomiphene Citrate
- Digunakan sebagai rawatan awal dalam kes kegagalan untuk bertelur (anovulasi)
- Kejayaan untuk menghasilkan telur dalam kitaran haid normal boleh disahkan melalui ujian darah progesterone hari haid ke 21
- Di dalam kitaran permanian berhadas (Intrauterine Insemination (IUI)), imbasan ultrabunyi melalui faraj (transvaginal ultrasound) digunakan untuk mengetahui keberkesanan ubat ini dalam menghasilkan folikeI yang matang
2. Gonadotropin
- Di dalam kitaran IVF, ubat yang digunakan adalah Hormon Perangsang Folikel (FSH) yang juga dikenali sebagai gonadotropin. Suntikan hormon ini boleh dilakukan sendiri oleh pesakit. Ubat ini diberi sekitar 8-12 hari sehingga beberapa folikel matang terhasil.
- Stimulasi ovari dalam kitaran IVF adalah bertujuan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 3 folikel untuk prosedur pengambilan telur. Secara umumnya, jika lebih banyak telur dapat diambil, peluang kejayaan IVF adalah lebih cerah.
- Kadangkala terlalu banyak folikel terbentuk hasil dari stimulasi ovari, keadaan ini dipanggil Sindrom Hiperstimulasi Ovari (OHSS) yang boleh menjadi bahaya kepada pesakit. Kadangkala pula terlalu sedikit/tiada folikel yang terbentuk hasil daripada stimulasi ovari.
3. Gonadotropin Releasing Hormone Analogue (GnRH analog/agonist) atau GnRH antagonist dengan gonadotrophin
Untuk memastikan proses pengeluaran telur secara pramatang (premature ovulation) tidak berlaku, rawatan awal dengan ubat GnRH agonis/analog boleh dimulakan sebelum rawatan gonadotropin. Selain daripada itu rawatan dengan ubat GnRH antagonis selama beberapa hari semasa prosedur stimulasi ovari juga boleh mengatasi masalah ini.
GnRH Agonis
– Tujuan utama rawatan ini adalah untuk menghalang peningkatan hormon perluteinan(LH) awal yang boleh mengakibatkan pengeluaran telur pramatang.
GnRh Antagonist
– Rawatan ini diberikan beberapa hari selepas rawatan gonadotropin semasa saiz folikel berukuran 10-12mm bertujuan untuk menghalang ovulasi pramatang. Berbanding dengan rawatan GnRH agonis, GnRH antagonis melibatkan jumlah suntikan yang tidak kerap.
4. HCG(Human Chorionic Gonadotrophin)
Suntikan HCG diberikan semasa ukuran folikel sudah menunjukkan saiz matang. Tujuan suntikan ini diberi adalah untuk proses pematangan telur yang terakhir sebelum proses pengambilan telur dilakukan 34-36 jam kemudian.
Respons Ovari Semasa Fasa Stimulasi/Pembesaran Folikel dan Ketebalan Endometrium
Keberkesanan rangsangan ovari semasa kitar stimulasi boleh dinilai melalui ujian imbasan ultrabunyi melalui faraj (transvaginal ultrasound) secara berkala. Selain daripada mengukur saiz folikel ovari yang terbentuk, ukuran ketebalan dinding endometrium juga akan dicatat. Di akhir fasa stimulasi sekurang-kurangnya terdapat 3 folikel yang matang bersaiz 17-22mm dan tebal dinding endometrium sudah mencapai sekurang-kurangnya 8mm.
Paras Hormon Estrogen
Paras hormon estrogen (ie: estradiol) biasanya adalah kurang dari 60 pg/ml di peringkat awal stimulasi dan akan melonjak naik secara signifikan apabila banyak folikel terbentuk. Semasa kitar stimulasi, selain daripada imbasan ultrabunyi untuk mengesan bilangan dan saiz folikel, paras hormone estradiol juga akan diperiksa. Ia dilakukan untuk menilai keberkesanan rawatan stimulasi. Selain dari itu paras hormon estradiol yang terlampau tinggi juga digunakan untuk menjangkakan kemungkinan berlaku sindrom hiperstimulasi ovary (OHSS).
Kesimpulan
Rangsangan/stimulasi ovari adalah langkah yang amat penting dalam menjalankan Teknik
Bantuan Reproduktif. Didalam kitaran IVF, rawatan suntikan gonadotropin akan merangsang pembesaran banyak folikel. Selain dari rawatan gonadotropin, rawatan lain dengan menggunakan GnRH agonis dan GnRh antagonis dilakukan untuk menghalang ovulasi pramatang. Pembesaran folikel akan dipantau dengan ujian imbasan ultrabunyi secara berkala sehingga saiz folikel telah cukup besar sebelum proses akhir pematangan dengan pemberian suntikan HCG 34-36 jam sebelum proses pengutipan telur.
Semakan Akhir | : | 8 Mei 2017 |
Penterjemah | : | Dr. Roziana binti Ramli |
Akreditor | : | Dr. Wan Abu Bakar bin Yusof |