A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Stres Di Kalangan Wanita Bekerjaya Dan Berkeluarga

Memahami Peranan Tanggungjawab dan Tugas

Tekanan adalah perasaan kebimbangan dan ketegangan fizikal yang berlaku apabila permintaan atau andaian terhadap diri seseorang melebihi kemampuan individu tersebut untuk mengatasinya. Penglibatan dan peranan wanita dalam pelbagai aspek pembangunan negara sememangnya tidak pernah dipertikaikan. Para wanita turut menyumbangkan tenaga hampir dalam setiap sektor samada ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya. Budaya hidup masyarakat di negara ini juga sudah menerima wanita sebagai penyumbang kepada ekonomi keluarga, apatah lagi dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi seperti sekarang.

Begitupun, wanita bekerjaya mempunyai cabaran tersendiri lebih-lebih lagi pada masa yang sama mereka memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Wanita harus sedar bahawa kesibukan mereka dalam menguruskan kerjaya haruslah diseimbangkan dengan tanggungjawab mereka dalam urusan rumahtangga.

Stress Among Career And Family Women

Sebagai seorang wanita, mereka mempunyai tanggungjawab terhadap suami, anak dan majikan. Tidak diragukan lagi bahawa wanita memikul tanggungjawab yang besar di rumah suaminya. Tanggungjawab ini jauh lebih besar daripada sekadar memberikan layanan kepada suami, memberi anak-anak makan minum dan mengurus rumah. Wanita yang bergelar isteri merupakan sumber inspirasi atau faktor kemajuan suaminya.

Tentunya seorang ibu memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan satu generasi yang berkembang baik daripada aspek rohani dan jasmani. Ibu adalah insan yang paling dekat dengan anak lebih-lebih lagi dalam fasa pertama masa kanak-kanak. Dialah yang menanamkan prinsip-prinsip serta akhlak dalam diri mereka atau sebaliknya membiarkan mereka menjadi mangsa kebodohan dan penyimpangan. Masa depan anak-anak tersebut bergantung pada cara dia dibesarkan. Oleh itu ibu harus menunjukkan teladan yang baik agar anak-anaknya tidak tersalah arah.

Seseorang wanita yang bekerjaya turut mempunyai peranan sebagai seorang pekerja. Mereka seharusnya menggembeleng tenaga untuk memajukan negara. Sebagai seorang wanita bekerjaya, mereka seharusnya bersikap lebih profesional dan tidak terbawa-bawa masalah rumahtangga ke tempat kerja dan sebaliknya.

Pengurusan Masa

Menurut Dr. Yusof Al-Qardawi (1986) terdapat pepatah Arab yang menyatakan ‘pengurusan masa adalah penting bagi wanita yang bekerjaya kerana mereka perlu bijak dalam membahagikan masa antara tanggungjawab dalam kerjaya sebagai seorang pekerja dan tanggungjawab terhadap keluarga’. Ramai yang akan berasa bahawa masa berjalan begitu pantas sehinggakan 24 jam dalam sehari adalah tidak mencukupi untuk seseorang itu melaksanakan tugasan harian. Oleh itu, masa seharusnya diurus dengan lebih efektif agar tidak wujud pembaziran masa.

Sebagai wanita yang bekerjaya mereka seharusnya menetapkan jadual kerja. Dengan adanya jadual berkerja, akan mengelakkan pembaziran waktu dan kerja-kerja dapat diselesaikan dengan lebih terancang dan teratur. Senaraikan dan susun mengikut keutamaan walaupun senarai itu panjang, dengan adanya disiplin yang ketat pasti dapat diselesaikan.

Kerja pejabat seharusnya diselesaikan di pejabat. Jika kerja-kerja yang tidak dapat diselesaikan dibawa pulang, pasti akan mengurangkan masa bersama keluarga kerana terlalu sibuk mahu menghabiskan kerja pejabat. Secara tidak langsung akan mengehadkan komunikasi antara ahli keluarga. Apabila berada di pejabat pula, mereka seharusnya melupakan hal rumah untuk seketika. Justeru itu, mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk menghabiskan kerja di pejabat dan dapat mengelak daripada membawa balik kerja pejabat ke rumah.

Luangkan masa yang berfaedah bersama keluarga. Lakukan aktiviti berfaedah bersama-sama dengan anak-anak. Contohnya, bacakan buku pada anak-anak sebelum tidur, bermain bersama anak-anak atau makan bersama dengan anak dan suami. Pada masa inilah yang boleh digunakan untuk mendalami, mendekati serta memahami anak-anak.

Time Management

Masa yang terhad sering membuatkan seseorang kelam-kabut. Sebagai ibu bekerjaya, lebih dari separuh hari dihabiskan di pejabat dan selepas itu menguruskan rumah tangga. Keadaan ini sudah tentu akan membuatkan wanita tesebut penat sehingga kadangkala mengabaikan urusan rumah tangga. Dalam keadaan ini, adalah tidak salah jika suami turut membantu. Selain itu, anak-anak juga boleh diberi kepercayaan untuk meringankan beban si ibu.

Sistem kehidupan juga turut dapat membantu dalam menguruskan masa dengan baik malah mereka juga akan berasa lebih tenang apabila berhadapan dengan masalah. Wujudkan sistem peraturan bagi setiap aktiviti dalam rumah dengan melibatkan seisi keluarga. Sebagai contoh, sediakan bakul khas untuk meletakkan pakaian kotor. Asingkan pakaian kotor yang dipakai ke pejabat dan di rumah. Selain itu, sediakan bakul khas untuk pakaian berwarna dan putih juga. Dengan cara ini, anda tidak perlu bersusah-payah mengumpul dan mengasingkan pakaian kotor apabila tiba waktu mencuci serta ia juga dapat menjimatkan masa.

Pengendalian Emosi Berhadapan dengan Tugas dan Keluarga

Emosi adalah ekspresi perasaan daripada naluri yang kuat seperti sayang, gembira, malu, sedih, takut dan sebagainya. Kehebatan dan kesensitifan perasaan yang selalunya diluahkan daripada dalaman kepada tingkah laku tertentu atau cara seseorang menyampaikan perasaan (Mohd Fazli Abu Bakar, 2005). Perasaan-perasaan yang kuat ini akan mempengaruhi tindak balas luaran sama ada pada perubahan tubuh fizikal terkawal seperti ekspresi muka dan tidak terkawal seperti badan berpeluh kerana ketakutan.

Dealing With Emotional Towards Tasks and Family

Untuk menjadi pekerja yang unggul mereka seharusnya memiliki kecerdasan emosi yang tinggi (Cooper & Sawaf, 2000). Orang yang cerdas emosi mampu mengatasi konflik, menyediakan jambatan bagi melalui jurang, melihat setiap aspek positif daripada masalah, bersedia menempuh segala halangan dengan lebih cekap dan cepat daripada orang lain. Namun sebagai manusia kita memang tidak dapat lari daripada ketegangan emosi yang juga akan turut menyumbang ke arah tekanan atau stres.

Sebagai seorang wanita yang bekerjaya dan berkeluarga adalah penting untuk sama-sama mengurus atau mengendalikan emosi agar dapat melancarkan perjalanan mereka sebagai seorang pekerja, isteri dan ibu. Oleh itu, adalah lebih baik ketegangan emosi dapat diurus untuk mengelak diri daripada stres.

Terdapat beberapa cara yang boleh diaplikasikan oleh wanita berkerjaya dan berkeluarga agar dapat mengurus ketegangan emosi ialah kenal pasti punca ketegangan emosi. Sekiranya punca sesuatu emosi telah dikenal pasti, individu tersebut dapat mencari jalan penyelesaian masalah itu sama ada mengubah emosi yang negatif atau mengekalkan emosi yang positif.

Bersikap realistik juga merupakan salah satu kaedah yang baik dalam mengurus emosi. Mereka tidak seharusnya membebankan diri sekiranya tidak mampu. Membebankan diri untuk mencapai sesuatu yang tidak mampu hanya akan memberi kesan pada emosi diri. Mereka akan menjadi marah, sedih dan tertekan serta keadaan ini akan mengakibatkan komplikasi-komplikasi yang lain.

Selain daripada itu, pergaulan yang luas juga penting. Dengan adanya pergaulan antara rakan sekerja dan keluarga akan membolehkan mereka untuk berkongsi idea, pandangan dan juga masalah yang dihadapi. Lantaran itu, ia akan membolehkan mereka mengurus emosi dengan lebih cekap.

Keperluan Mendapatkan Sokongan

Sokongan adalah sangat penting untuk seseorang individu tidak kira umur, bangsa dan jantina. Ia penting kerana kumpulan sokongan membolehkan kita menjadi lebih tenang dan dapat berfikir secara rasional. Sokongan boleh diperoleh daripada rakan sekerja mahupun daripada ahli keluarga sendiri dan juga daripada pihak majikan.

Needs of Support

Pihak majikan boleh menyediakan sistem ‘mentoring’ bagi menggalakkan dan menyokong wanita dalam bidang kerjaya, satu sistem nasihat dalam organisasi adalah berguna. Peranan ini membantu pekerja wanita bertemu dengan rakan-rakan sekerja, lebih memahami prosedur tidak formal organisasi serta dapat membiasakan diri dengan budaya organisasi yang lain seperti mitos syarikat atau sejarahnya.

Selain daripada itu, program latihan dalaman juga harus diwujudkan. Ini dapat membantu pekerja lelaki berinteraksi dengan pekerja wanita dan berkongsi isu-isu yang berkaitan dengan persepsi, ‘streotype’, mitos dan perasaan mereka dan khusus mengenai peranan wanita dalam sesebuah organisasi. Matlamatnya adalah agar ia dapat mengubah pandangan pekerja lelaki terhadap pekerja wanita serta memberi sokongan dan tidak mengancam pekerja wanita.

Ahli keluarga yang terdekat seperti emak, ayah dan suami turut menjadi sumber sokongan bagi wanita yang bekerjaya dan berkeluarga. Mereka boleh mendengar luahan hati wanita tersebut dan memberi pertolongan sekiranya perlu. Di rumah mereka juga turut boleh membantu dengan meringankan beban tugas wanita dengan membantu dalam membuat kerja-kerja rumah.

Konklusinya, wanita bekerja menghadapi pelbagai masalah dalam menjalankan tugas di rumah dan juga di pejabat. Justeru itu, majikan dan masyarakat perlu peka dengan masalah yang mereka hadapi memandangkan mereka memegang pelbagai peranan dan memerlukan sokongan dan empati masyarakat serta ahli keluarga dalam melaksanakan tugas-tugas di rumah dan di pejabat.

Memahami Stres dan Punca-punca Stres

Stres merupakan gangguan emosi, proses pemikiran dan keadaan fizikal seseorang. Ia adalah tindak balas terhadap sesuatu perkara yang menyebabkan seseorang berasa takut, gelisah dan terancam. Apabila stress, badan akan menghasilkan adrenalin dan cortison yang menyebabkan jantung berdegup lebih kencang, pernafasan bertambah laju dan peningkatan tekanan darah tinggi.

Understand Stress and Causes of Stress

Secara umumnya, tekanan atau stres disebabkan oleh faktor dalaman dan faktor luaran. Terdapat beberapa faktor dalaman seperti terlalu menginginkan yang terbaik khususnya bagi individu yang mempunyai jenis personaliti A. Apabila mereka tidak mencapainya, ia akan menjurus ke arah tekanan. Contohnya seorang ibu yang berkerja ingin memberi layanan yang terbaik untuk anak-anak dan juga suaminya namun adakalanya dia tidak dapat berbuat demikian kerana kesibukan tugas dan juga kepenatan. Ia akan menyebabkan dia berasa tertekan dan menyalahkan diri sendiri.

Selain itu, kurang keyakinan diri juga boleh menyebabkan tekanan pada diri seseorang. Misalnya, seseorang wanita yang bekerja dan berumahtangga akan berasa tidak mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pekerja, isteri dan juga sebagai seorang ibu dengan alasan dia tidak dapat untuk melakukannya.

Faktor luaran stres pula adalah seperti ketua atau majikan di tempat kerja. Adakalanya majikan tidak memahami keadaan pekerja terutamanya pekerja wanita. Contohnya seorang pekerja wanita yang sering mengambil cuti untuk menjaga anak yang sakit akan dimarahi oleh majikan kerana tidak bertanggungjawab. Majikan gagal untuk berasa empati dan memberi pertolongan yang sewajarnya kepada pekerja tersebut.

Pasangan hidup atau suami juga merupakan salah satu faktor luaran untuk seseorang pekerja wanita mendapat stres. Suami yang tidak memahami kesibukan dan kepenatan isteri yang bekerja akan tidak membantu mereka dalam meringankan tugas – tugas harian di rumah. Isteri keluar bekerja bersama dengan suami agar ia dapat memperkukuh dan menstabilkan lagi kedudukan kewangan keluarga mereka. Namun, ada suami yang masih lagi memegang pada norma-norma yang lama iaitu tugas isteri adalah di dapur. Oleh itu kerja-kerja di rumah sepatutunya diuruskan oleh isteri walaupun selepas penat bertugas di pejabat. Keadaan ini sudah pasti akan memberi kesan yang negatif pada isteri dan juga keluarga mereka. Secara tidak langsung, ia juga boleh menjurus ke arah penceraian serta menimbulkan stres yang lebih besar.

Punca-punca berlakunya stres sering berkait-rapat. Ia perlu diatasi dengan cepat agar ia tidak memberi impak yang lebih teruk dalam kehidupan seseorang.

Cara Mengendalikan Stres

Stres boleh membunuh secara perlahan, oleh sebab itu adalah lebih baik untuk seseorang terutamanya wanita yang berkerjaya boleh mengatasi stres agar dapat menyediakan suasana yang positif di tempat kerja dan juga di rumah. Antara cara–cara mengatasi stres adalah dengan merancang dengan bijak tugas-tugas yang perlu diselesaikan bukan sahaja untuk jangka panjang tetapi juga untuk jangka pendek. Dengan adanya perancangan ia akan membolehkan individu berkenaan untuk melaksanakan tugasannya dengan lebih teratur mengikut kepentingan.

Dealing with Stress

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kita tidak boleh lari daripada kerja. Kerja akan sentiasa ada tidak kira di rumah atau di pejabat. Dalam pada itu, gaya hidup sihat adalah sangat penting bagi menghadapi stres seharian. Luangkan beberapa minit dalam sehari untuk menegangkan otot dan mengamalkan teknik pernafasan yang betul. Amalan pemakanan yang sihat juga penting agar ia membolehkan kita menjadi segar, ceria dan bertenaga pada setiap masa.

Setiap manusia adalah unik, oleh itu kita sepatutnya memiliki sikap toleransi sesama rakan sekerja. Sebagai contohnya ada individu menunjukan prestasi yang lebih baik apabila bekerja di bawah tekanan sementara sebahagian yang lain adalah sebaliknya dan mereka memerlukan suasana yang lebih tenang untuk bekerja. Kita harus memahami diri seseorang itu agar ia dapat mengurangkan stres pada diri kita sendiri.

Teknik urut turut memainkan peranan yang penting dalam meringankan stres seseorang. Teknik ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Ia boleh dilakukan sesama jantina dan begitu juga dengan pasangan suami isteri. Dengan menggunakan teknik ini, ia dapat menenangkan dan meringankan anggota badan seseorang. Secara tidak langsung ia juga akan mengeratkan hubungan pasangan sekiranya suami yang mengurut isterinya.

Senyuman mempunyai impak yang begitu besar dalam meringankan stres seseorang individu. Orang yang sentiasa senyum juga turut menghadapi stres tetapi dia dapat mengawalnya dengan lebih baik dan mudah berbanding orang yang tertekan dan lupa untuk senyum. Terdapat juga banyak kebaikan daripada senyuman tersebut. Antaranya adalah mengurangkan kadar sakit jantung, ubat penahan sakit yang semula jadi, pernafasan menjadi lebih baik, dapat tidur yang berkualiti, memperbaiki hubungan sesama kawan atau pasangan, membolehkan kita mengurangkan berat badan dan membantu kita untuk sentiasa tampak muda dan cantik.

Konklusinya, setiap insan mempunyai kecenderungan untuk mengalami stres dengan cara yang berbeza begitu juga dengan cara untuk mengatasinya. Ia adalah berbeza pada setiap individu. Tidak kira cara apa diaplikasikan tetapi yang penting adalah menggurangkan dan menghilangkan stres yang dialami agar kita sebagai wanita yang berkerjaya dan berkeluarga dapat berfungsi dengan lebih baik demi kebaikan dan kepentingan masyarakat dan keluarga.

Rujukan

Artikel Berkaitan

IMBASAN CT

Apa Itu Pemeriksaan Imbasan CT (CT Scan)? Pemeriksaan imbasan CT

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia