Utusan Malaysia Ahad, 19/06/2011 Sultan lancar Jom Ganyang Aedes MERSING 19 Jun – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melancarkan kempen Jom Ganyang Aedes bersempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2011 yang singgah di Dewan Serbaguna Pekan Jemaluang di sini, hari ini. Baginda mencemar duli meletakkan ubat jentik-jentik dalam satu akuarium besar sebagai simbolik perasmian sambil diperhatikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman. Selepas itu, baginda sekali lagi mencemar duli dengan menanam sebatang pokok cempaka kuning dan menyiramnya bagi melancarkan Kempen Alam Sekitar. .Terdahulu, baginda yang menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama 20 motosikal pengiring tiba di dewan tersebut disambut kira-kira 1,000 penduduk tempatan sebelum dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan bersalaman dengan rakyat jelata. Turut mengiringi Sultan Johor ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Setiausaha Kerajaan negeri, Obet Tawil; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad yang juga Ahli Parlimen Mersing serta Pegawai Daerah Mersing, Abdul Rahman Dawan. .Sultan Ibrahim kemudian berangkat ke Padang Awam Felda Tenggaroh 2 dekat sini untuk majlis penyerahan kunci rumah kepada peserta Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). .KMJ 2011 selama empat hari yang bermula semalam di Jeti Istana Tanjung, Muar akan menjelajah kesemua 10 daerah di negeri ini melibatkan perjalanan sejauh 800 kilometer dengan baginda akan menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, gotong-royong, riadah dan sukan untuk mendekati rakyat jelata. Konvoi yang disertai kira-kira 30 motosikal berkuasa tinggi dan 40 kenderaan pacuan empat roda itu akan menamatkan penjelajahan di Bangunan Sultan Abu Bakar, Muar, Selasa ini. |
|
{module berita:news} |