A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Telinga, Hidung & Tekak
  6. /
  7. Sumbing dan Kesannya Pada...

Sumbing dan Kesannya Pada Pendengaran

Sumbing adalah rekahan atau celahan yang terjadi pada struktur bibir atau lelangit atau kedua-duanya sekali

Apakah itu Sumbing?

Sumbing adalah rekahan atau celahan yang terjadi pada struktur bibir atau lelangit atau kedua-duanya sekali. Ia terjadi apabila struktur muka tidak bercantum sepenuhnya pada peringkat janin. Pada peringkat awal kehamilan, bahagian muka mulanya akan terbentuk secara berasingan dan akan bercantum kemudiannya bagi membentuk bahagian yang lain. Jika terdapat kegagalan semasa proses tersebut, maka sumbing boleh berlaku. Sumbing bibir dan lelangit boleh terjadi secara berasingan atau bersama. Sumbing merupakan antara kecacatan yang paling kerap terjadi antara 1 dalam 500 kelahiran.

Struktur normal
Sumbing lelangit
Sumbing bibir dan lelangit bilateral
Sumbing bibir dan lelangit unilateral

Sumber: www.clapam.org.my

Kesan Sumbing pada Pendengaran

Sumbing juga boleh memberi kesan pada pendengaran. Rekahan pada lelangit  menjadikan kanak-kanak sukar untuk makan atau minum. Mereka perlu mengikuti tatacara yang betul sewaktu sesi penyusuan. Mereka akan menelan lebih udara sewaktu penyusuan dan menyebabkan susu mudah memasuki rongga hidung atau telinga tengah.

Disebabkan percampuran makanan dan minuman melalui telinga atau hidung, bayi lebih mudah mendapat jangkitan pada telinga mengalami kesan kurang pendengaran sementara. Masalah jangkitan pada telinga ini turut dikenali sebagai Otitis Media with Effusion. Ia biasa berlaku pada usia 6 bulan pertama selepas kelahiran pada kesemua bayi dan semakin kerap terjadi pada kanak-kanak yang turut bermasalah sumbing.

Selain itu, masalah jangkitan telinga ini juga turut berpunca daripada ketidakfungsian tiub yang berada di ruang antara telinga dan tekak. Otot-otot yang bertanggungjawab mengawal pergerakan tiub bagi tujuan keseimbangan udara menjadi kurang efektif kerana faktor lelangit yang tidak terbentuk secara normal sewaktu dalam kandungan. Keadaan pengudaraan yang kurang baik telah menyebabkan gegendang telinga menjadi tegang dan berlaku percampuran bendalir ke dalam ruang telinga tengah.

Sumber: Simpanan Peribadi Unit Audiologi Hospital Rehabilitasi Cheras

Jangkitan pada telinga menyebabkan bayi atau kanak-kanak mengalami kurang pendengaran. Walau bagaimanapun, hal ini kebiasaannya adalah bersifat sementara. Tahap pendengaran bagi kanak-kanak sumbing yang bermasalah pendengaran kebiasaannya adalah sekitar tahap ringan hingga sederhana, terjadi samada pada kedua-dua belah atau satu telinga sahaja.

Namun, terdapat beberapa kes terpencil yang melibatkan masalah pendengaran tersebut menjadi kekal. Oleh itu pengesanan awal adalah penting agar ia tidak mengganggu perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak tersebut.

Prevalens Masalah Pendengaran di kalangan Kanak-kanak Sumbing

Secara keseluruhannya, kanak-kanak yang mempunyai sekurang-kurangnya sumbing lelangit dan bibir secara unilateral menunjukkan prevalens jangkitan telinga yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak tanpa sumbing. Bagi kanak-kanak yang mempunyai kedua-dua jenis sumbing, kajian menunjukkan sebanyak 90-93% antara mereka yang mempunyai masalah jangkitan telinga tengah turut mempunyai masalah pendengaran jenis sementara. Manakala tahap pendengaran yang ditunjukkan juga adalah lebih tinggi dengan purata tahap pendengaran mereka adalah berada pada tahap ringan.

Tahap pendengaran kanak-kanak bermasalah sumbing dikatakan lebih teruk berbanding kanak-kanak normal yang turut mempunyai masalah jangkitan telinga. Masalah pendengaran ini boleh berlarutan sehingga dewasa pada 20-30% di kalangan mereka dengan disertai bermasalah pendengaran jenis sementara.

Bagaimana Pengurusan Kes dan Intervensi untuk Kanak-kanak Tersebut?

Terdapat beberapa aspek yang perlu diambilkira bagi pengurusan berkaitan masalah jangkitan pada telinga khususnya bagi bayi dan kanak-kanak yang sumbing. Ini termasuklah penggunaan ubatan yang bersesuaian serta keperluan pembedahan yang mengikut kadar keterukan kes. Selain itu, ujian pendengaran secara berkala perlu dilakukan bagi memantau tahap pendengaran kanak-kanak yang mempunyai sumbing ini.

Pengesanan awal masalah pendengaran di kalangan kanak-kanak sumbing ini adalah melalui Program Saringan Pendengaran Bayi. Kebanyakan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai program Saringan Pendengaran Bagi Bayi . Melalui program tersebut bayi yang dilahirkan sumbing dapat dikesan dengan lebih awal dan seterusnya dapat memulakan program pemulihan dengan segera. Program pemulihan ini bertujuan untuk merangsang perkembangan bahasa dan pertuturan secara optima khususnya untuk tahun pertama kelahiran.

Semasa di peringkat saringan pendengaran, peralatan ujian khas akan digunakan untuk menguji dan merekod respon bayi, sejurus daripada itu keputusan ujian pula akan ditunjukkan dengan cepat. Bayi yang gagal dalam saringan pendengaran akan diberi temujanji lanjutan untuk menjalani ujian pendengaran secara mendalam dan pemantauan keadaan telinga tengah. Setiap bayi yang disahkan dengan masalah pendengaran akan menerima rawatan dan intervensi awal kurang dari tempoh 3 bulan.

Beberapa kajian telah menyatakan bahawa tahap pendengaran kanak-kanak bermasalah sumbing menjadi semakin berkurang apabila usia mereka semakin meningkat. Walau bagaimanapun mereka tetap akan menunjukkan kesukaran untuk menguasai bunyi-bunyi seperti /s/ dan /f/.

Penggunaan alat bantu pendengaran pula merupakan salah satu pilihan bagi mereka yang mempunyai masalah pendengaran. Alat bantu pendengaran membolehkan kanak-kanak mendengar dengan lebih baik dan seterusnya merangsang perkembangan pertuturan dan bahasa. Alat pendengaran berfungsi untuk menguatkan isyarat bunyi mengikut tahap hilang pendengaran mereka.

Pemilihan alat bantu pendengaran yang bersesuaian dengan tahap pendengaran serta menepati spesifikasi keperluan yang optima membolehkan kanak-kanak bermasalah pendengaran yang sumbing dapat mendengar. Ini seterusnya membolehkan mereka menjalani latihan pemulihan yang komprehensif. Ibu bapa dan penjaga disarankan agar mengikuti segala program intervensi yang diberi bagi merangsang perkembangan pertuturan dan bahasa anak yang konsisten.

Rujukan

  1. Flynn, T., Möller, C., Radoslava J. & Lohmander, A. 2009. The high prevalence of otitis media with effusion in children with cleft lip and palate as compared to children without clefts. International Journal of Pediatric Otorhinolaryngology, 73 (10): 1441-1446
  2. Orlagh, H., Donald, B., Peter, H. & Chris, J. 2005.The psychosocial effects of cleft lip and palate: a systematic review. European Journal of Orthodontics. Vol 27; 275-285
  3. Ramesh Kumar Sharma & Vipul Nanda. 2009 Problems of middle ear and hearing in cleft children. Indian Journal Plastic Surgery. 42(Suppl): S144–S148.
  4. Sheahan, P., Miller, I., Sheahan, J.N., Earley, M.J., & Blayney, A.W. 2003. Incidence and outcome of middle ear disease in cleft lip and/or cleft palate.International Journal of Pediatric Otorhinolaryngology Jul;67(7):785-93.
  5. Velasco, M. G., Ysunza, A., Hernandez, X. & Marquez, C. 1988. Diagnosis and treatment of submucous cleft palate: a review of 108 cases. Cleft Palate Journal, 25 (2): 171-173.
  6. Victoria, A. Jordan, M. D.,James, D. Sidman, M.D. 2014. Hearing outcomes in children with cleft palate and referred newborn hearing screen. The Laryngoscope, 124, (9)
    E384–E388
  7. Wendy, M.Y. Kwan, Victor J. Abdullah, Kelvin Liu, C. Andrew van Hasselt, Michael C.F. Tong, 2011. Otitis Media With Effusion and Hearing Loss in Chinese Children With Cleft Lip and Palate. The Cleft Palate-Craniofacial Journal, 48 (6):  684-689.
Semakan Akhir : 4 Ogos 2017
Penulis : Nurul Husna bt. Mohd Noor
Akreditor : Khadijah Azura bt. Salim

Artikel Berkaitan

Selesema

Apakah itu selesema? Iaitu satu jangkitan pada hidung dan tekak.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,721

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia