A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Dewasa
  6. /
  7. Tabiat Makan Malam

Tabiat Makan Malam

Pengenalan

Makan malam merupakan waktu makan utama dan sama penting seperti sarapan dan makan tengah hari.

Makan malam sering kali diabaikan oleh sesetengah daripada mereka yang ingin mengurangkan berat badan. Pada tanggapan mereka, makan malam boleh mengakibatkan mereka menambahkan berat badan. Tanggapan ini sebenarnya tidak tepat. Ini kerana faktor-faktor lain seperti makan secara berlebihan, makan makanan yang berlemak, berminyak serta tinggi kalori dan gaya hidup yang sedentari boleh menyumbang kepada kegemukan.

Kepentingan makan malam

Makan malam penting untuk membekalkan tenaga dan nutrien untuk keperluan tubuh badan. Pengambilan makanan yang teratur penting untuk memastikan tubuh badan mendapat tenaga dan nutrien yang diperlukan untuk berfungsi dengan normal. Makan malam melengkapkan pengambilan makanan yang mungkin tidak mencukupi di siang hari seperti pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan susu.

Selain daripada kepentingan biologi, makan malam juga penting untuk memenuhi fungsi psikologi dan sosial. Sekiranya ibu bapa bekerja di siang hari, makan malam adalah penting untuk merapatkan kemesraan di antara ahli keluarga. Ini kerana waktu makan malam mungkin merupakan satu-satunya masa untuk bersama ahli keluarga yang lain.

Bagi fungsi psikologi pula, makan malam mungkin adalah salah satu cara untuk merehatkan fikiran selepas seharian berdepan dengan pelbagai masalah terutama bagi mereka yang bekerja.

Benarkah makan malam boleh mengakibatkan berlebihan berat badan ?

Salah satu faktor yang menyumbang kepada berlebihan berat badan adalah pengambilan makanan yang melebihi keperluan. Pengambilan makanan harian boleh dibahagikan kepada beberapa hidangan dalam sehari termasuk makan malam.

Oleh itu, makan malam yang sihat dan tidak melebihi keperluan kalori harian tidak akan mengakibatkan berlebihan berat badan.

Apa yang penting adalah jumlah kalori yang diambil dalam sehari, tidak kira sama ada semasa sarapan, makan tengah hari ataupun makan malam.

Namun begitu, makan malam sering kali dikaitkan dengan masalah kegemukan disebabkan oleh beberapa faktor :

  • Makan malam biasanya masa untuk berkumpul bersama ahli keluarga. Kajian mendapati makan dalam kumpulan yang ramai mempengaruhi saiz hidangan. Kita akan makan lebih banyak semasa makan bersama orang lain daripada makan bersendirian.
  • Sesetengah orang, terutama wanita, suka melangkau(skipping) waktu makan semasa di siang hari. Melangkau sesuatu waktu makan boleh menyebabkan kelaparan yang tidak terkawal dan membuat seseorang itu makan berlebihan terutama semasa makan malam.
  • Makan malam juga mungkin dijadikan sebagai salah satu cara untuk melepaskan tekanan selepas seharian berhadapan dengan pelbagai masalah. Bagi sesetengah orang, makanan dijadikan sebagai bahantara untuk melepaskan tekanan dan melupakan segala masalah yang dihadapi. Ini akan mengakibatkan pengambilan makanan secara berlebihan.
  • Waktu malam adalah waktu yang digunakan untuk berehat dan bersantai untuk melepaskan kepenatan setelah seharian bekerja. Masa rehat ini mungkin digunakan untuk menonton televisyen. Beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan perkaitan antara menonton televisyen dengan masalah kegemukan. Ini kerana semasa menonton, kita akan cenderung mengambil makanan yang tinggi lemak dan kalori seperti ais krim, coklat, kerepek, keropok dan sebagainya.

Panduan makan malam yang sihat

  • Utamakan makanan yang seimbang pada setiap waktu makan malam. Pastikan hidangan anda mengandungi bijirin seperti nasi atau roti, ikan, ayam atau kekacang serta sayur-sayuran mengikut saranan Piramid Makanan Malaysia.
  • Hadkan pengambilan makanan yang bergoreng, berlemak dan berminyak.
  • Ketahuilah saiz hidangan makanan anda. Makan malam sepatutnya membekalkan anda 400-500 kalori.
  • Waktu makan malam yang sesuai adalah di antara 6.30 petang hingga 8.30 malam. Sekiranya anda tidur lewatdan berasa lapar, anda boleh mengambil snek yang ringan sebelum tidur seperti buah-buahan, roti, biskut atau segelas susu suam.
  • Tidak digalakkan mengambil makanan pada lewat malam. Ini adalah kerana pengambilan makanan hampir dengan waktu tidur akan menyebabkan ketidakselesaan dan akan mengganggu tidur anda.
  • Elak makan malam sambil menonton televisyen. Ini adalah kerana anda tidak sedar berapa banyak anda makan sambil menonton rancangan kegemaran anda tersebut.
  • Elak mengambil teh atau kopi selepas makan malam. Pengambilan teh atau kopi boleh mengakibatkan gangguan tidur.
  • Sekiranya anda perlu menghadiri jamuan makan malam, anda tidak perlu makan semua jenis makanan yang dihidangkan. Makan secara sederhana dengan mengambil saiz hidangan yang kecil. Pilih makanan yang lebih sihat. Utamakan buah-buahan serta air kosong.

Contoh hidangan makan malam yang sihat

Menu
Kuantiti
Kalori
Nasi putih 1 cawan
150
Ikan bawal goreng 1 kecil
140
Sup sayur campur 1 mangkuk kecil
40
Kerabu pegaga 1 cawan
50
Air kosong 1 gelas
Betik 1 potong
60
Jumlah kalori
440

 

Menu
Kuantiti
Kalori
Nasi putih 1 cawan
150
Terung sambal (panggang) 1 biji sederhana
140
Asam pedas ikan senangin 1ekor sederhana
120
Air kosong 1 gelas
Nanas 1 potong
60
Jumlah kalori
470

 

Menu
Kuantiti
Kalori
Satu mangkuk mihun sup (lebihkan sayur dan kurangkan minyak) 1 mangkuk
260
Teh tarik 1 gelas
130
Epal 1 biji sederhana
50
Jumlah kalori
440

Rujukan :

  • De Castro J.M, The Time of Day of Food Intake Influences Overall Intake in Humans, The Journal of Nutrition, 2004 : 104-111.
  • De Castro J.M, Circadian rhythms of the spontaneous meal pattern,macronutrient intake and mood of humans. Physiology Behaviour 1987, 40 : 437-466.
  • De Castro J.M, De Castro ES, Spontaneous meal patterns of humans : influence of the presence of other people, American Journal of Clinical Nutrition, 1989 : Vol 50, 237-247
  • Julie C Lumeng, Katherine H Hillman, Eating in larger groups increases food consumption, Arch. Dis. Child. 2007 ; 92 ; 384-387.
Semakan Akhir : 19 April 2012
Penulis : Surainee bt. Wahab
Penyemak : Zalma Abdul Razak

Artikel Berkaitan

Alahan Pemakanan

Pengenalan Definisi:- Alahan makanan adalah tindak balas abnormal terhadap makanan,

Diet Pesakit Kanser : Tingkatkan Pengambilan Kalori & Protein

Kanser dan rawatannya (radioterapi dan kemoterapi) boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang boleh mempengaruhi pengambilan makanan. Secara umumnya, rawatan kemoterapi dan radioterapi akan menyebabkan kurang selera makan, berasa loya & muntah (kadang-kadang). Justeru, pengambilan pemakanan yang optimum semasa dan selepas rawatan kanser adalah sangat penting.

Pelangi Buah dan Sayur

Buah-buahan dan sayur-sayuran terdapat dalam pelbagai warna. Setiap warna mempunyai keunikan tersendiri dalam melindungi penyakit.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia