Pengenalan Tercekik adalah salah satu sebab kematian yang tidak disengajakan di kalangan kanak-kanak. Saluran pernafasan dan tenggorok yang sempit menyebabkan mereka berisiko untuk tercekik. Ketika tercekik, salur pernafasan dan tenggorok yang tertutup akan menghalang oksigen ke paru-paru dan seterusnya ke otak. Ini akan menyebabkan kematian. Sebarang objek bersaiz kecil boleh menyebabkan tercekik. Ini termasuklah bahan makanan, perkakasan rumah dan alat permainan. |
Apakah tanda-tanda seseorang itu tercekik
Kanak-kanak mungkin akan mengalami:
- Sesak nafas secara tiba-tiba.
- Bunyi nafas tidak normal (bunyi seperti siulan).
- Menggenggam kerongkong.
- Kawasan mulut dan bibir kebiru-biruan.
- Bernafas dengan cepat.
- Lubang hidung kembang-kempis setiap kali bernafas.
- Pengsan.
- Berhenti bernafas.
Kadang kala kanak-kanak akan tersedak (seperti kacang tanah) jika objek tersebut sangat kecil. Mereka akan mengalami :
- Batuk yang berterusan.
- Termengah-mengah.
- Tiada apa-apa tanda.
Komplikasi
- Jangkitan pada paru-paru seperti radang paru-paru.
- Kerosakan otak akibat kekurangan oksigen.
- Kematian akibat radang/ bengkak paru-paru yang teruk atau kekurangan oksigen ke otak.
Apakah yang perlu dilakukan jika anak anda tercekik?
Langkah-langkah jika anak anda tercekik :
- LAKUKAN :
- Tunggu sehingga mangsa batuk.
- Minta bantuan.
- Buka mulut anak anda perlahan-lahan – keluarkan objek jika jelas kelihatan.
- Jika tidak berjaya, tepuk di antara tulang belikat mangsa dengan tapak tangan anda dengan kedudukan kepala mangsa lebih rendah dari badan.
- JANGAN :
- Masukkan jari anda ke dalam mulut mangsa.
- Mendongakkan kepala mangsa.
Jika mangsa berhenti bernafas, pengsan dan badan menjadi biru, segera lakukan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR) sementara menunggu bantuan pakar.
BAGI KANAK-KANAK DEWASA
- Bantu kanak-kanak untuk berdiri jika mereka masih sedar.
- Posisikan badan anda di belakang mereka.
- Lakukan Heimlich manouvre.
Jika kanak-kanak pengsan laksanakan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR).
Langkah-langkah pencegahan :
- Jangan benarkan anak anda makan ketika bermain.
- Sediakan makanan dalam bentuk saiz kunyahan.
- Pastikan lantai, meja dan tempat mereka bermain bebas dari objek-objek yang kecil seperti butang, guli, duit syiling, pin dan manik-manik.
- Elakkan makanan yang mudah tercekik bagi kanak-kanak seperti kacang tanah, gula-gula dan bertih jagung.
- Elakkan memberi alat permainan yang mempunyai bahagian-bahagian yang kecil kepada kanak-kanak.
- Pelajari bantuan kecemasan dan langkah-langkah yang patut dilakukan jika anak anda tercekik.
Semakan akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Norraliza Md Zain |
Penyemak | : | Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah |