A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Iklan
  6. /
  7. Terpedaya iklan palsu: Ke...

Terpedaya iklan palsu: Ke mana harus anda tuju?

Iklan Ubat

Kita sering melihat iklan-iklan ubat yang disiarkan di dalam akhbar dan majalah yang kita baca atau melalui medium lain seperti risalah, poster dan lain-lain yang disiarkan di premis farmasi atau klinik swasta apabila kita pergi ke premis ini untuk mendapatkan ubat atau rawatan yang diperlukan . Iklan-iklan ubat ini disiarkan kepada orang ramai supaya dapat memberi makumat berkenaan ubat tersebut dan memberi pilihan kepada orang awam untuk membeli ubat yang terbaik untuk mereka. Iklan ubat yang telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat adalah boleh dipercayai kerana iklan tersebut telah disemak dan semua maklumat disahkan oleh Lembaga Iklan Ubat. Sehubungan itu, bagi iklan ubat yang memaparkan nombor kelulusan Lembaga Iklan Ubat, sebagai contoh KKLIU 1234/2016, para pengguna boleh menggunakan maklumat iklan tersebut untuk membantu mereka membuat pilihan dalam pembelian ubat.

Contoh iklan ubat yang diluluskan oleh LIU:

iklanpalsu1

Sumber: shaklee.com.my

Pengiklanan Terkini

Pengiklanan ubat-ubatan berkembang pesat seiring dengan perkembangan teknologi dan industri pada masa kini. Para pengiklan telah mula menggunakan medium baru seperti internet dan media sosial untuk mengiklankan produk ubat mereka. Pengiklanan sebegini merupakan suatu cabaran baru kepada orang ramai kerana maklumat yang disampaikan di dalam medium ini sukar dikawal. Para pengiklan akan memuatnaik maklumat tertentu bagi iklan ubat yang hendak dipasarkan namun maklumat tersebut boleh ditokok tambah oleh orang lain melalui komen atau perkongsian semula melalui media sosial. Justeru orang ramai perlu memberi perhatian serius terhadap pengiklanan sebegini dan tidak mudah percaya terhadap iklan tersebut melainkan ia telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat.

iklanpalsu2

Contoh iklan di internet
Sumber : panadol.com.my

Iklan Palsu

Bagaimana hendak mengetahui samada iklan ubat yang disiarkan adalah palsu? Seperti dinyatakan diatas, iklan ubat yang diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat ada mempunyai nombor siri kelulusan. Oleh yang demikian, secara umumnya iklan ubat yang tidak memaparkan nombor kelulusan Lembaga Iklan Ubat adalah berkemungkinan besar iklan palsu. Namun demikian, sekiranya orang awam mendapati maklumat yang disiarkan di dalam iklan ubat tidak seperti maklumat yang terdapat pada label ubat atau merasa ragu dengan maklumat tersebut, mereka boleh mengambil beberapa tindakan untuk menangani perkara ini. Antara yang boleh dilakukan ialah membuat aduan dan laporan kepada agensi yang mengawalselia.

iklanpalsu3

Contoh iklan palsu
Sumber: Bahagian Perkhidmatan Farmasi

Aduan Kesan Sampingan Ubat

Nina telah membaca mengenai iklan ubat pelangsingan badan jenama SS yang disiarkan di dalam majalah yang dilanggannya. Menurut iklan tersebut, ubat pelangsingan SS mampu menurunkan berat badan sehingga 10 kilogram hanya dengan mengambil ubat tersebut dalam masa 10 hari. Nina merasa amat teruja dengan ubat ini. Nina mempercayai inilah ubat yang sedang dicarinya untuk mendapatkan berat badan idamannya. Dia mahu mendapatkan badan yang langsing kerana dia tidak mahu lagi merasa rendah diri apabila keluar bersama teman-temannya. Dia juga mahu mendapatkan perhatian daripada jejaka yang menjadi pujaannya sejak dibangku sekolah. Justeru, Nina telah membeli ubat SS dan mengambilnya sejak sebulan yang lalu. Nina telah menghabiskan hampir RM1000 untuk membeli ubat SS dalam tempoh sebulan itu. Ubat itu diperolehi melalui agen penjual ubat SS yang merupakan agen kepada Syarikat Jualan Langsung. Namun, sehingga ke hari ini, Nina masih tidak mendapat kesan seperti dinyatakan di dalam iklan ubat SS yang dibacanya. Nina sangat sedih dan kecewa. Beliau merasa telah ditipu dan berharap pihak pengiklan dan penjual ubat SS dikenakan tindakan.

Terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil oleh Nina di dalam hal ini. Beliau boleh melaporkan kepada Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri untuk semakan lanjut ubat tersebut. Tindakan ini bagaimana pun lebih sesuai diambil sekiranya ia melibatkan kesan sampingan pengambilan ubat atau kosmetik. Selain itu, Nina juga boleh membuat aduan dan laporan kepada Jawatankuasa Pengiklanan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna, membuat aduan kepada Unit Jualan Langsung di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, atau membuat tuntutan sivil di mahkamah.

Jawatankuasa Pengiklanan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)

Jawatankuasa Pengiklanan yang ditubuhkan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dibawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 terdiri daripada ahli-ahli yang mewakili pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang berurusan secara langsung atau tidak langsung di dalam bidang pengiklanan di negara ini. Jawatankuasa ini berperanan meneliti aduan berkaitan pengiklanan dan mengarahkan tindakan yang sewajarnya ke atas para pengiklan yang didapati melanggar mana-mana undang-undang berkaitan pengiklanan yang dikuatkuasakan oleh ahli.

Tribunal Tuntutan Pengguna

Tribunal Tuntutan Pengguna juga dibawah kawal seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan ditubuhkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999. Ia adalah sebuah badan bebas yang mana fungsi utamanya adalah mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan yang difailkan oleh pengguna. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran alternatif selain mahkamah sivil untuk pengguna menuntut gantirugi berkenaan pembelian barang atau perkhidmatan yang dibekalkan daripada peniaga atau pembekal perkhidmatan dengan cara yang mudah, murah dan cepat.

Unit Jualan Langsung KPDNKK

Kita sedia maklum bahawa aktiviti penjualan secara langsung merupakan salah satu medium pemasaran dan penjualan produk kesihatan yang aktif dijalankan oleh para peniaga. Penjualan secara langsung memudahkan penjual dan pembeli berhubung secara terus dan pembeli boleh membeli produk yang diingini dengan cepat. Pengiklanan produk yang dijual secara langsung juga lebih mudah mempengaruhi pembeli dan pengguna kerana penjual berupaya mengemukakan pelbagai testimoni produk kepada pembeli tanpa perlu melalui medium perantara. Syarikat yang menjalankan perniagaan secara jualan langsung adalah tertakluk kepada undang-undang jualan langsung yang turut dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Unit Jualan Langsung di KPDNKK bertanggungjawab memberi kelulusan dan lesen kepada setiap syarikat atau perniagaan jenis jualan langsung. Justeru, sekiranya penjualan produk oleh peniaga ini disyaki menyalahi peruntukan undang-undang, para pengguna boleh membuat aduan terus kepada KPDNKK untuk tindakan lanjut.

Tindakan Sivil

Tindakan sivil merupakan salah satu pilihan yang pengguna ada sekiranya mereka merasakan bahawa telah tertipu dengan iklan ubat yang palsu atau mengelirukan. Tindakan ini boleh dibuat untuk mendapatkan gantirugi yang bersesuaian dengan mendapatkan keputusan dari mahkamah. Laporan polis perlu dibuat sebaik sahaja pengguna merasakan bahawa mereka telah ditipu. Disamping itu, laporan perubatan juga membantu pengguna membuktikan tuntutan. Seterusnya, pengguna mungkin boleh meneruskan tindakan sivil ini dengan mengikuti prosedur yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

iklanpalsu4

Pengiklanan ubat-ubatan adalah dibenarkan namun terdapat peraturan dan undang-undang yang mengawalnya. Undang-undang ini adalah bagi memastikan semua iklan ubat yang disiarkan adalah tepat, benar dan boleh dipercayai. Namun, ada juga segelintir pihak yang hanya mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan keselamatan dan kesihatan orang lain. Justeru, sebagai pengguna, kita hendaklah bijak membuat penilaian dan semakan sebelum membuat keputusan untuk membeli dan mengambil sebarang ubat. Pengambilan ubat tanpa pertimbangan yang wajar mungkin boleh memberi kesan buruk kepada pengguna itu sendiri.

Semakan Akhir : 05 Oktober 2016
Penulis : Umikalsom bt. Ibrahim
Akreditor : Dzafarullah bin Daud

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia