A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tidak Boleh Bercakap selepas Strok

Afasia adalah satu gangguan bahasa di mana seseorang hilang keupayaan samada satu atau lebih kemahiran iaitu memahami bahasa, menggunakan bahasa untuk berkomunikasi serta menulis dan membaca.

Pengenalan

“Tidak boleh bercakap” sering dilaporkan oleh ahli keluarga pesakit/ individu selepas serangan strok/angin ahmar. Masalah ini menyebabkan  individu yang mengalami strok/ angin ahmar gagal berkomunikasi dengan baik. Namun, Ianya  dapat dipulihkan dengan menjalani terapi pertuturan dan bahasa  beserta mendapat bantuan dan sokongan dari ahli keluarga terdekat.

Apakah terma perubatan untuk “Tidak Boleh Bercakap”?

Banyak orang menerangkan dengan bahasa mudah sebagai Tidak Boleh Bercakap. Tetapi dari segi terma perubatan ianya dikenali sebagai AFASIA.

Apa itu afasia?

Afasia adalah satu gangguan bahasa  di mana seseorang hilang keupayaan samada satu atau lebih kemahiran  iaitu memahami bahasa, menggunakan bahasa untuk berkomunikasi serta menulis dan membaca.  Namun, intelektual pesakit afasia tidak terjejas. Pesakit masih boleh berfikir dan sedar dengan keadaan sekeliling.

Apakah penyebab afasia?

Penyebab utama afasia adalah strok (25-40% pesakit strok akan mengalami afasia). Namun, afasia juga boleh disebabkan oleh penyakit atau kerosakan/kecederaan pada bahagian otak yang mengawal bahasa. Ini termasuklah kecederaan  serius pada otak akibat kemalangan, ketumbuhan otak, jangkitan pada otak dan penyakit saraf.

Siapa yang akan mengalami afasia?

Afasia sering berlaku di kalangan individu dewasa (15% individu dewasa berumur kurang dari 65 tahun dilaporkan mengalami afasia dan peratusan meningkat 43% bagi individu berumur 85 tahun ke atas). Namun, ia boleh berlaku ke atas semua peringkat umur, bangsa, warganegara dan jantina bergantung kepada masalah kesihatan yang dihadapi seperti penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan sebagainya.

Jenis-jenis afasia?

Afasia adalah keadaan gangguan bahasa  yang kompleks. Ini kerana jenis-jenis afasia dikategorikan mengikut lokasi kecederaan/ kerosakan pada bahagian otak. Kesan afasia ke atas setiap individu adalah berbeza. Afasia sering dikategorikan kepada TIGA jenis iaitu: .

  1. Jenis 1 –  Masalah memahami pertuturan

    • Individu ini boleh mendengar apa yang dikatakan kepadanya tetapi tidak memahami makna perkataan yang didengari.

    • Apabila masalah ini semakin teruk, apa yang didengari seolah-olah seperti keadaan cuba memahami bahasa asing.

    • Bagi memberi respon kepada apa yang didengari, individu ini boleh bertutur dengan lancar tetapi ayat yang dihasilkan langsung tidak mempunyai maksud. (cth: Pergi ikan beli air pasar abang motorsikal).

    • Kesalahan pertuturan yang dihasilkan oleh individu afasia jenis ini TIDAK DISEDARI oleh mereka

    • Boleh memahami sesetengah maklumat berdasarkan situasi, nada suara, ekspresi wajah dan isyarat tetapi perkataan sebenar yang didengari seperti bunyi yang  bercampur-aduk.

    • Seseorang yang kurang terjejas mungkin dapat memahami perbualan pendek dan ringkas tetapi sukar untuk mengikuti perbualan panjang dan masih mampu untuk menggabungkan perkataan untuk menjadi ayat pendek.

  1. Jenis 2 – Masalah untuk mencari perkataan dan menggabungkannya menjadi ayat

    • Individu yang mengalami afasia ini dapat memahami apa yang didengari tetapi mengalami kesukaran dalam memilih perkataan yang betul.

    • Berasa keliru dengan perkataan yang berada dalam kumpulan/ kategori yang sama  contohnya “kerusi” untuk “meja” atau mungkin keliru dengan perkataan  yang mempunyai bunyi yang serupa, contohnya “buku’ untuk ‘kuku’.

    • Bagi kes yang ringan atau sederhana teruk, individu ini mungkin dapat menghasilkan perkataan utama dalam ayat tetapi gagal menghasilkan  perkataan sokongan (seperti di, yang, ke). Contohnya. “saya nasi’ untuk “saya nak makan nasi.”

    • Kesalahan menghasilkan ayat pertuturan yang tidak lengkap adalah DISEDARI oleh mereka sendiri dan menjadikan individu ini mudah kecewa dan tertekan dengan kebolehan mereka.

    • Individu yang mengalami masalah afasia jenis ini juga mungkin mempuyai masalah memahami ayat yang kompleks.

  1. Jenis 3 – Masalah memahami dan mencari perkataan

    • Merupakan afasia yang paling teruk.

    • Individu yang mengalami afasia jenis ini mungkin sedikit atau langsung tidak dapat memahami atau menghasilkan  pertuturan.

    • Afasia jenis ini turut dikenali sebagai AFASIA GLOBAL

Apakah Masalah Lain yang mungkin mereka alami?

Afasia boleh menjejaskan semua aspek bahasa. Keupayaan untuk membaca dan menulis bagi individu yang mengalami afasia juga mungkin berkurang. Sesetengah individu boleh hilang keupayaan ini sepenuhnya. Mengeja perkataan atau membentuk ayat juga boleh menjadi masalah. Memahami nombor, mengira dan berurusan dengan wang juga sukar. Memahami dan menyatakan idea-idea yang abstrak dan kompleks juga mungkin mustahil.

Bolehkah seseorang Individu yang mengalami afasia tanpa kelumpuhan fizikal?

Ya, boleh tetapi kebanyakan pesakit yang mempunyai afasia akan mengalami kelemahan/ kelumpuhan pada kaki dan tangan sebelah kanan. Pesakit yang mempunyai afasia selalunya disebabkan oleh kerosakan otak bahagian kiri yang mengawal pergerakan badan sebelah kanan.

Bolehkah individu yang mengalami afasia kembali bekerja?

Ianya bergantung kepada keterukan afasia dan kelumpuhan fizikal yang dihadapi. Jika pekerjaan tersebut memerlukan mereka berkomunikasi dengan pelanggan, adalah agak sukar. Individu yang mempunyai afasia yang ringan dan sederhana teruk, mungkin boleh bekerja semula samada kembali dalam pekerjaan dulu atau mencari pekerjaan baru. Namun, pekerjaan yang dijalankan perlulah sesuai mengikut kemampuan mereka.

Bagaimana afasia menjejaskan kehidupan seseorang?

Afasia mempengaruhi kualiti  kehidupan individu yang mengalami afasia sepenuhnya dari aspek hubungan, pekerjaan, kewangan, aktiviti sosial dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti mudah seperti pergi ke kedai, menaiki pengangkutan awam, menonton televisyen dan menggunakan telefon adalah menjadi  sukar atau mustahil sekiranya afasia disertai dengan kelumpuhan anggota badan. Individu yang mempunyai afasia akan berasa terpencil apabila mereka tidak boleh turut serta dalam perbualan atau komunikasi harian.

Selain menjejaskan kualiti kehidupan individu, ia juga turut mempengaruhi kualiti kehidupan ahli keluarga lain kerana rutin kehidupan dan komunikasi mereka dengan ahli keluarga yang mengalami afasia perlu diubah bagi memenuhi keperluan individu yang mengalami afasia. Jesteru itu, sokongan dan bantuan ahli keluaraga amatlah perlu dalam mengekalkan kualiti kehidupan kedua-dua pihak.

Berapa lama masa yang diperlukan untuk afasia  kembali pulih?

Afasia boleh dipulihkan dengan rehabilitasi dalam tempoh 6 bulan pertama selepas mengalaminya.  Namun, ia bergantung kepada:

  • Bilangan serangan strok/ kecederaan otak: individu yang mengalami serangan strok lebih dari sekali mungkin memerlukan tempoh yang lama untuk pulih

  • Lokasi kecederaan otak

  • Saiz kecederaan pada otak : semakin besar kecederaan/ kerosakan pada otak, semakin teruk afasia yang dialami

  • Umur: semakin tua, semakin lambat proses pemulihannya

  • Awal menjalani pemulihan : pemulihan awal akan mempercepatkan proses pemulihan

  • Motivasi pesakit : motivasi tinggi memberi impak yang cepat dalam pemulihan

  • Motivasi ahli keluarga : sokongan keluarga yang kuat dan berterusan akan meningkatkan motivasi pesakit  dan mempercepat proses pemulihan

    Sesi terapi pertuturan untuk pesakit afasia Sumber: Arkib Unit Terapi Pertuturan KKM

Dimanakah individu yang mengalami afasia mendapatkan bantuan pemulihan?

Terapis pertuturan-bahasa adalah profesion yang terlatih  dalam merawat individu yang mengalami afasia. Rawatan yang diberikan oleh Terapis pertuturan-bahasa adalah berbeza mengikut jenis dan keterukan afasia yang dialami. Terapis pertuturan-bahasa akan membantu individu yang mengalami afasia serta ahli keluarga untuk berkomunikasi dengan cara yang mudah melalui teknik-teknik tertentu.

Individu yang mengalami afasia juga boleh mendapatkan bantuan permulihan dengan melibatkan diri dalam kumpulan sokongan strok seperti NASAM (National Stroke Association of Malaysia). Penglibatan dalam kumpulan sokongan strok. Ini membolehkan individu berkongsi pengalaman dan mempelajari sesuatu yang baru dari individu lain yang mengalami masalah yang sama. Selain itu, ahli keluarga serta penjaga turut mendapat sokongan dengan menyertai dalam kumpulan sokongan ini.

Rujukan

  1. Parr, S., Pound, C, Byng, S. & Long, B. (1999). The Aphasia Handbook. Connect Press.

  2. Parr, S. Byng, S. Gilpin, S. & Ireland, C. (1997). Talking About Aphasia: Living with Loss of Language after Stroke. Open University Press.

  3. www.aphasia.org

  4. www.nasam.org

  5. http://www.medicinenet.com/aphasia/page2.htm#who_has_aphasia

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Mohd Azmarul bin A. Aziz
Akreditor : Rosmah Suriani bt. Mohd Raini
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

Tips Berkomunikasi dengan Pesakit Strok

Ahli keluarga/ penjaga dan orang ramai perlu memahami bahawa strok boleh memberi kesan kepada komunikasi bagi mereka yang mengalaminya. Individu yang mengalami strok sering dikaitkan dengan masalah tidak boleh bercakap selepas strok.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia