A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tidak Boleh Kencing

Pengenalan

Secara umumnya, retensi air kencing membawa maksud bahawa seseorang itu tidak boleh kencing langsung. Dari segi perubatan, skop retensi air kencing adalah  lebih luas dan merangkumi:

  • Tidak boleh kencing langsung (retensi air kencing akut)

  • Kesukaran untuk mengosongkan pundi kencing walaupun kebolehan untuk kencing masih terpelihara (retensi air kencing kronik)

Masalah retensi air kencing berlaku sekiranya saluran air kencing menjadi sempit atau sumbat, kerosakan otot-otot pundi kencing atau kerosakan terhadap saraf yang mengawal otot-otot pembukaan pundi kencing.

Saluran kencing sempit atau tersumbat :

  • Pembengkakan kelenjar prostat samada kanser atau bukan kanser,

  • Jangkitan kelenjar prostat,

  • Pundi kencing dan rahim yang kendur akibat kelemahan pada otot-otot penyokong lantai pelvik

  • Parut pada saluran kencing akibat kecederaan atau jangkitan, cth penyakit kelamin

  • Batu karang yang tersumbat di uretra

Kerosakan pada pundi kencing :

  • Kecederaan pundi kencing secara langsugn

Kerosakan saraf yang mengawal fungsi pundi kencing :

  • Kerosakan saraf tunjang akibat kecederaan, jangkitan atau kanser.

  • Ubat-ubatan tertentu yang bolen mengganggu fungsi saraf dan otot seperti ubat untuk gatal (antihistamin), ubat untuk insomnia, kemurungan dan kebimbangan.

Bagi warga emas, penyebab utama retensi air kencing adalah pembengkakan kelenjar prostat bagi lelaki dan pundi kencing kendur (cystocoele) bagi wanita.

Gejala/Tanda

Retensi air kencing kronik

Mereka yang mengalami retensi air kencing kronik masih boleh kencing tetapi ada masalah seperti kencing lambat keluar serta aliran kencing yang perlahan dan tersekat-sekat. Mereka mungkin merasa tidak puas kerana air kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya daripada pundi kencing. Keinginan untuk kencing akan datang dengan tiba-tiba tetapi setibanya ke tandas, penghidap masalah retensi air kencing ini tidak dapat mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya. Semua ini mendesak penghidap untuk kerap ke tandas dan ini boleh mengganggu fungsi kehidupan harian mereka.

Retensi air kencing akut

Mereka ini tidak boleh kencing langsung. Air kencing akan terkumpul di dalam pundi kencing sehingga terlampau penuh. Ini boleh menyebabkan penghidap merasa sakit di bahagian bawah abdomen. Ketulan pundi kencing boleh dirasa di bahagian tersebut. Bergantung kepada punca penyebab, gejala retensi air kencing akut mungkin didahului dengan tanda-tanda retensi kronik ataupun datang secara tiba-tiba.

Komplikasi

Retensi air kencing akut adalah satu keadaaan kecemasan yang memerlukan rawatan segera. Ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kesakitan yang amat sangat akibat regangan pundi kencing secara berlebihan.  Mereka boleh mengalami peluh, bimbang, sakit dada dan peningkatan tekanan darah yang berlebihan. Kerosakan pada pundi kencing dan buah pinggan mungkin berlaku sekiranya rawatan tidak diberi dengan segera.Kesan jangka panjang adalah lebih ketara bagi mereka yang ,mengalami masalah retensi air kencing kronik kerana kecenderungan untuk mereka tidak atau lewat mendapat rawatan. Antara kesan-kesan jangka panjang termasuklah:

  • Pembentukan batu karang

  • Kerosakan otot pundi kencing akibat regangan otot yang berpanjangan

  • Kebengkakan buah pinggang (hydronephrosis).

  • Kerosakan buah pinggang

Rawatan

Matlamat awal rawatan untuk retensi air kencing adalah untuk mengeluarkan air kencing dengan cara memasukkan tiub kateter ke dalam pundi kencing melalui salur uretra (urinary catheterization). Jika ini tidak boleh dilakukan atas sebab-sebab tertentu, pundi kencing boleh ditebuk dengan kateter pada bahagian bawah abdomen(cystostomy).


Tiub kateter


Cystostomy

Rawatan jangka panjang bergantung kepada punca penyebab retensi air kencing. Rawatan dengan ubat-ubatan adalah pilihan pertama untuk masalah pembengkakan prostat (hyperlink) kes ringan. Untuk kes teruk, pembedahan mungkin diperlukan. Bagi mereka yang mengalami gejala yang berterusan walaupun dengan rawatan yang optima, pundi kencing boleh dikosongkan dengan bantuan tiub kateter. Penggunaan kateter ini boleh dilakukan sendiri atau dengan bantuan ahli keluarga atau pegawai kesihatan.  terus mengalami  Pembedahan biasanya diperlukan untuk golongan wanita yang menghidap masalah pundi kencing kendur.

Pencegahan

Retensi air kencing boleh dielakkan dengan mengelak dari mengambil ubat-ubat tertentu jika seseorang itu menghidap masalah pembengkakan kelenjar prostat. Dapatkan nasihat dari doktor anda. Berikut adalah ubat-ubatan yang perlu dielakkan:

Antihistamin (ubat gatal, selsema atau resdung) :

  • Diphenhydramine (Benadryl)

  • Chlorpheniramine (Piriton)

  • Loratadine (Clarytine)

  • Cetirizine (Zyrtec)

Ubat sedatif (ubat bantu tidur atau ubat untuk kesihatan mental) :

  • Pil tidur

  • Ubat untuk kerisauan (anxiolytic) atau kemurungan

Selain itu, terdapat beberapa tips untuk mengelakkan daripada mengalami masalah retensi air kencing;

  • Jangan tangguh kencing jika seseorang terasa nak kencing. Cuba kencing setiap 2 ke 4 jam untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya.

  • Jangan terburu-buru semasa kencing. Ambil masa untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya.

Rehabilitasi

Rehabilitasi bergantung kepada punca penyebab retensi air kencing. Latihan pundi kencing mungkin boleh membantu untuk kes-kes tertentu. Latihan pundi kencing merangkumi pengajaran untuk mengelak daripada tabiat kencing yang buruk, menjadikan tabiat kencing yang baik sebagai kebiasaan dan mejalani latihan untuk kuatkan otot-otot lantai pelvik. Doktor dan pegawai fisioterapi anda akan dapat memberi nasihat yang sewajarnya.

Rujukan

  1. http://en.wikipedia.org/wiki/Urinary_retention

  2. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/003972.htm

  3. National kidney and urologic diseases information clearinghouse. “Urinary retention overview” 2010-02-10

 

Semakan Akhir : 09 September 2014
Penulis : Dr. Mohd Daud bin Che Yusof
Akreditor : Dr. Cheah Wee Kooi

Artikel Berkaitan

Inkontinens Najis

Inkontinens najis bermaksud seseorang warga emas itu tidak berupaya mengawal pembuangan air besar

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia