A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Tip Penjagaan Kesihatan Mata...

Tip Penjagaan Kesihatan Mata (Visual Hygiene)

Pengenalan

Mata merupakan organ anugerah tuhan yang sangat berharga, oleh itu kesihatan mata perlu diambil kira sebagai salah satu daripada penjagaan kesihatan. Untuk memastikan kita dapat menikmati penglihatan yang baik dan berpanjangan, kita perlu menitikberatkan soal kesihatan mata dan menjaga keseluruhan fungsi penglihatan. Kita perlu mendapatkan pemeriksaan mata secara berkala untuk memastikan fungsi penglihatan adalah baik.

Tip-tip penjagaan kesihatan mata

A) Ketika Membaca

Jarak membaca

Pastikan membaca pada jarak antara 30 hingga 40cm dari buku ke mata. Jarak yang terlalu dekat akan menyebabkan otot-otot mata menegang untuk memfokus. Hal ini boleh mengakibatkan sakit kepala.

Posisi badan ketika membaca

Posisi badan hendaklah sentiasa tegak. Jangan membaca sambil berbaring. Hal ini akan menyebabkan otot-otot mata terpaksa bekerja lebih untuk menfokus pada bahan bacaan. Mata akan menjadi cepat letih dan tidak dapat bertahan lama untuk membaca.

Elakkan membaca sambil berbaringElakkan membaca sambil berbaring

Elakkan membaca ketika dalam kenderaan bergerak

Membaca ketika berada di dalam kenderaan bergerak serta keadaan jalan yang bengkang-bengkok dan berbonggol boleh menyebabkan sakit kepala dan mabuk. Hal ini kerana keupayaan mata untuk memfokus menjadi tidak stabil ketika membaca.

Membaca di dalam kenderaan yang sedang bergerak Membaca Di Dalam Kenderaan Yang Sedang Bergerak.

B) Pencahayaan

Cahaya yang mencukupi amat penting ketika membaca. Pastikan pencahayaan yang digunakan tidak terlalu malap atau terlalu terang ketika membaca kerana akan mengganggu keselesaan dan kesihatan mata.

C) Makanan Untuk Mata

Pemakanan yang betul memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan mata dan dapat mencegah daripada penyakit mata. Pastikan makanan seharian yang anda ambil sedikit sebanyak dapat memberi nutrisi penting bagi mengekalkan kesihatan mata. Amalkan makan makanan yang kaya dengan vitamin A & C – susu, sayur (terutama lobak dan brokoli) dan buah-buahan (terutama aprikot dan anggur) dan sebagainya.

 Lobak dan tomato telah lama diiktiraf sebagai makanan yang baik untuk mata1  Lobak dan tomato telah lama diiktiraf sebagai makanan yang baik untuk mata2

Lobak dan tomato telah lama diiktiraf sebagai makanan yang baik untuk mata kerana sumber Vitamin A adalah sangat tinggi.

D) Amalan Senaman Untuk Mata

  1. Pergi ke luar rumah, lihat satu objek berdekatan anda, kemudian beransur-ansur melihat pula objek yang lebih jauh, sejauh yang mungkin. Selepas itu lihat semula objek yang berdekatan anda. Ulangi proses ini beberapa kali.
  2. Gerakkan mata anda ke kanan semaksimum mungkin, berhenti sekejap, kemudian ke kiri, berhenti sekejap, seterusnya ke atas, bawah dan tengah. Ulangi proses ini beberapa kali.
  3. Setelah 1 hingga 2 jam berada di hadapan komputer, berhenti sekejap, lihat objek berwarna hijau di luar rumah atau pejabat anda, seperti pokok dan sebagainya. Warna hijau akan dapat menenangkan dan merehatkan mata anda.

E) Pengguna Komputer

Penggunaan komputer dengan cara betul dapat menjamin kesihatan mata yang baik. Beberapa panduan disediakan bagi pengguna komputer iaitu :

Kedudukan skrin komputer

Pastikan kedudukan komputer sama paras dengan mata dalam keadaan horizontal dan 30 cm dari mata.

Pencahayaan yang bersesuaian

Keletihan pada mata akibat penggunaan komputer berlaku apabila terdapat cahaya yang berlebihan dari sumber luar (matahari) dan lampu di dalam rumah atau pejabat. Pastikan pencahayaan di sekeliling komputer separuh lebih malap daripada cahaya lampu yang digunakan di rumah dan pejabat. Gunakan lampu pejabat atau bilik yang mempunyai intensiti yang bersesuaian.

Kurangkan silau

Keletihan mata akibat silau dari sumber cahaya boleh terjadi akibat pembalikan cahaya dari permukaan dinding, skrin komputer dan sebagainya.

Elakkan penggunaan dinding bilik yang berwarna terang, seperti putih dan gunakan skrin komputer yang mempunyai penapis cahaya.

Bagi pemakai cermin mata, pastikan kanta anda mempunyai ‘Anti-Reflection Coating’ (Multicoating) untuk meminimakan kesan silau pada mata sekaligus mengurangkan stres pada mata.

Kelipkan mata dengan kerap

Kekurangan kelipan mata akan menyebabkan air mata menyejat dan mengakibatkan mata tidak mempunyai lapisan perlindungan. Fenomena ini disebut mata kering (Dry Eye).

Jika perlu, gunakan ‘artificial tears’ untuk membasahkan mata apabila terasa kering dan berpasir. Keadaan mata kering ini boleh menjadi semakin teruk apabila berada dalam bilik atau pejabat yang berhawa dingin.

Rehatkan pandangan

Setelah otot-otot penglihatan memfokus lama pada skrin komputer, rehatkan otot-otot terbabit dengan cuba memandang objek jauh seketika setiap 20 minit. Ini dapat mengurangkan kesan stres pada bebola mata anda.

F) Gunakan Cermin Mata Keselamatan (Safety Eyewear)

Sekiranya pekerjaan anda terdedah kepada bahaya dan kecederaan pada mata seperti menggerudi, memesin rumput dan sebagainya, pastikan anda memakai cermin mata keselamatan (safety glasses atau protective goggles) bagi melindungi mata anda daripada bahaya dan kecederaan.

Memakai cermin mata keselamatan ketika memotong rumput1 Memakai cermin mata keselamatan ketika memotong rumput2

Memakai cermin mata keselamatan ketika memotong rumput menggunakan mesin pemotong rumput

G) Memakai Cermin Mata Hitam (Sunglasses)

Cermin mata hitam (sunglasses) ialah cermin mata yang memberikan perlindungan sinaran Ultra Violet (UV) daripada cahaya matahari. Pastikan anda mendapatkan nasihat daripada optometris ketika memilih cermin mata hitam yang sesuai dengan anda. Cermin mata hitam yang baik adalah yang dapat menapis dan memberi perlindungan sebanyak 99-100% UVA dan UVB daripada cahaya matahari. Sinaran UV boleh menyebabkan katarak.

Cermin mata hitam dipakai bagi mengelakkan sinaran matahari Cermin mata hitam dipakai bagi mengelakkan sinaran matahari mamasuki mata

H) Pemeriksaan mata berkala

Dapatkan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan tahap penglihatan dan kesihatan mata anda sentiasa berada dalam keadaan baik.

Dapatkan nasihat doktor dengan segera jika anda mempunyai masalah berikut :

  • Mata merah.
  • Kesakitan yang teruk pada mata.
  • Penglihatan kabur.
  • Benda asing di dalam mata.
  • Kecederaan pada mata.

Rujukan

  1. http://optometrist.com.au/natural-fighting-conjunctivitis/
  2. http://noeltempleton.com/remove-metal-foreign-body-cornea/
  3. http://www.mamblonaopticos.com/servicios.php
  4. https://www.makitauk.com/news/details/205.html
  5. http://www.vitamin4kesihatan.com/penjagaan-kesihatan-mata/
  6. http://readyplanted.com/2011/07/02/254/
Semakan Akhir : 17 Disember 2015
Penulis : En. Noor Azhari Bin Ahmad
Akreditor : Pn. Noor Zahirah Binti Husain

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia