A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tips Berbual dengan Warga Emas Bermasalah Pendengaran

Hilang pendengaran sensorineural di usia lanjut (presbycusis) berlaku akibat proses degenerasi organ pendengaran. Gangguan pendengaran ini berlaku secara beransur-ansur dan bersifat kekal. Kira-kira 30 peratus di kalangan warga tua berusia  antara 65 hingga 75 tahun, dan 50 peratus di kalangan usia 75 tahun mengalami masalah pendengaran pada peringkat ini.

Faktor penyebab berlakunya presbycusis belum diketahui secara pasti. Akan tetapi, terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi masalah ini seperti faktor usia, hipertensi, diabetes mellitus, dan pendedahan kepada bunyi bising yang berlanjutan. Antara gejala gangguan pendengaran di peringkat ini termasuklah sukar untuk mendengar dan memahami perbualan, seterusnya mengganggu emosi dan menjejaskan komunikasi antara individu tersebut dengan orang lain.

Gambar petikan dari laman sesawang commons.wikimedia/org/wiki/File:Anatomi_Telinga_Manusia.svg

Rehabilitasi aural seperti pemasangan alat bantu dengar dapat membantu warga tua bermasalah pendengaran untuk mendengar dengan lebih baik. Namun, strategi komunikasi dengan individu ini perlu dititikberatkan juga supaya kemampuan mendengar mereka menjadi lebih baik dan berkesan terutamanya apabila berada di persekitaran yang bising.

Antara strategi komunikasi dengan warga tua bermasalah pendengaran yang boleh diaplikasikan adalah:

Tarik Perhatian Sebelum Memulakan Perbualan

Mulakan perbualan dengan menarik perhatian individu tersebut untuk memberitahunya bahawa kita sedang bercakap dengannya. Pastikan topik perbualan tersebut adalah jelas, seterusnya bercakaplah dengan kadar perlahan dan berhadapan dengannya. Kiu-kiu visual seperti isyarat tangan boleh membantu individu tersebut untuk lebih fokus dan memahami mesej yang disampaikan dalam perbualan.

Bercakap dengan Kadar yang Perlahan dan Jelas

Kadar percakapan kita perlu diperlahankan sedikit dan jangan menjerit. Cara ini dapat membantunya mendengar dan memahami perbualan tersebut dengan lebih baik dan berkesan. Setiap mesej yang disampaikan akan menjadi lebih jelas, di samping memudahkannya untuk memproses setiap bunyi pertuturan yang didengari.

Selain tu, pastikan tiada halangan semasa bercakap. Mesej yang disampaikan akan terganggu sekiranya kita bercakap sambil makan, menguap, atau apabila tangan diletakkan menutupi mulut.

Bina/Olah Semula Ayat

Sekiranya berlaku gangguan komunikasi, ulangi mesej yang disampaikan sebentar tadi dalam kadar perlahan, ataupun olah semula ayat pertuturan tersebut supaya lebih senang untuk difahami. Elakkan menggunakan ayat pertuturan yang kompleks

Dapatkan Maklumbalas

Dapatkan maklumbalas daripada warga tua bermasalah pendengaran untuk memastikannya betul-betul memahami mesej yang disampaikan.

Persekitaran Mendengar

Kebanyakan warga tua bermasalah pendengaran menghadapi kesukaran untuk memahami perbualan di persekitaran yang bising. Oleh yang demikian, pastikan persekitaran mendengar mereka jauh dari sumber bunyi bising atau bunyi-bunyi yang boleh mengganggu tumpuan untuk mendengar.

Apabila bercakap, haruslah berada di hadapan mereka dengan jarak yang dekat supaya kiu-kiu visual dapat membantu, di samping mereka dapat membaca gerakan bibir penyampai mesej.

Perlu diingat bahawa matlamat kita adalah untuk memudahkan komunikasi, bukannya mewujudkan emosi atau tanggapan negatif di kalangan warga tua bermasalah pendengaran. Sekiranya matlamat tersebut tidak dapat dicapai menggunakan komunikasi secara lisan, maka komunikasi bukan lisan seperti menyampaikan mesej menggunakan tulisan atau isyarat juga boleh membantu mereka untuk memahami mesej yang disampaikan.

 

Semakan akhir : 10 Mac 2014
Penulis : Zuria bt. Abd Shukor
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia