A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tips Keselamatan: Bola Sepak

Bola sepak terus menjadi sukan yang paling dimainkan seluruh pelusuk dunia dan mempunyai jutaan peminatnya. Oleh kerana ianya menjadi sukan yang kerap dimain oleh golongan remaja, kecederaan yang berkaitan dengannya juga makin meningkat.

Terdapat banyak kajian yang dilakukan FIFA dalam mengenalpasti faktor risiko bagi kecederaan.

Kajian telah menunjukkan terdapat empat bahagian badan yang berisiko untuk cedera:

  1. Buku lali

    Buku lali terseliuh merupakan kecederaan yang paling banyak dialami oleh pemain. Kecederaan inversi adalah mekanisma utama. Memijak kaki pemain lain atau permukaan yang tidak rata juga menyumbang pada kecederaan ini.

    Ankle sprain image from www.footanklela.com

  2. Lutut

    Kecederaan yang sering berlaku pada sendi lutut ialah koyak pada ligamen dan selalunya pada ligament ACL. Pemain biasanya diserang dari bahagian tepi dan pergerakan pusing ketika kaki masih terpacak di permukaan.

    Pemain akan mendengar bunyi ‘pop’ dan mengalami sakit serta bengkak dan tidak boleh meneruskan permainan. Mereka akan selalunya mengadu sendi lutut menjadi tidak stabil selepas itu.

    ACL tear image from orthoinfo.aaos.org

  3. Otot hamstring

    Otot hamstring koyak sering berlaku di kalangan pemain. Ianya berlaku disebabkan regangan otot yang berlaku ketika memecut atau pergerakan yang memerlukan tenaga yang banyak. Sakit, bengkak dan lebam merupakan simptomnya.

    Hamstring tear image from www.rehabandrevive.com

    Jika pemain tidak melengkapkan program rehabilitasi, risiko untuk koyak berulang lebih tinggi.

  4. Kepala

    Konkusi merupakan kecederaan yang sering berlaku. FIFA mengenakan peraturan yang ketat untuk memastikan pertembungan kepala dapat dielakkan.

Faktor risiko boleh dikategorikan kepada dua iaitu faktor risiko dalaman dan luaran.

Faktor risiko dalaman adalah seperti berikut:

  • Umur

    Kajian menunjukkan umur yang muda dikaitkan dengan risiko cedera yang tinggi kerana mereka mempunyai masa reaksi yang perlahan, skil yang rendah dan kurang pengalaman. 

  • Jantina

    Kajian menunjukkan bahawa wanita berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan tanpa perlanggaran pada ligament ACL pada lutut atas sebab-sebab tertentu.

  • Komposisi badan

    Dalam banyak kajian telah membuktikan yang individu yang mempunyai peratusan lemak badan yang tinggi mempunyai risiko cedera yang tinggi.

  • Sejarah kecederaan yang lampau

    Mereka yang pernah cedera sebelum ini sama ada pada anggota yang sama atau bahagian yang lain mempunyai risiko tinggi untuk cedera semula.

  • Tahap kecergasan kardiovaskular

    Individu dengan tahap kecergasan yang rendah berisiko tinggi untuk cedera melalui kajian yang telah dijalankan.

  • Kemahiran individu

    Pemain yang berlainan mempunyai kemahiran yang berbeza bergantung pada latihan, kejurulatihan serta pengalaman mereka. Kecederaan berlaku sekiranya kemahiran mereka rendah.

  • Anatomi tubuh

    Lelaki dan wanita mempunyai bentuk anatomi yang berbeza. Faktor ini terbukti memberi risiko tinggi untuk cedera bagi wanita kerana mereka mempunyai piinggul yang lebar dan lutut yang sedikit bengkok.

    Anatomical differences image from www.ericcressey.com

Manakala faktor risiko luaran termasuklah:

  • Faktor manusia seperti rakan sepasukan, pihak lawan dan pengadil

    Koordinasi antara rakan sepasukan amatlah penting. Mengetahui kemampuan pihak lawan juga penting. Ikuti peraturan yang telah ditetapkan serta menghormati keputusan pengadil perlawanan.

  • Peralatan perlindungan seperti pad tulang kering

    Dengan memakai pad tulang kering boleh melindungi kaki anda. Rekod telah menunjukkan bahawa kecederaan kaki disebabkan kurangnya penggunaan pad itu.

    Shin pads image from www.smallfry.com

Seperti kata pepatah “mencegah lebih baik dari merawat”. Terdapat beberapa langkah yang boleh diikuti bagi memastikan keselamatan semasa bermain:

  • Sesi pemanasan sebelum permainan

    FIFA telah mempromosikan set senaman pemanasan yang dipanggil “The 11+” yang terbukti berjaya mengurangkan risiko kecederaan.

  • Regangan otot dan sendi

    Kajian menunjukkan bahawa otot yang sejuk lebih senang tercedera. Selalu ambil masa untuk melakukan regangan terutamanya anggota bawah.

  • Pastikan kecergasan berada di tahap yang memuaskan

    Pastikan anda berada dalam keadaan fizikal yang memuaskan sebelum permainan bermula sama ada ianya sekadar beriadah ataupun perlawanan sebenar. Program yang baik melibatkan senaman aerobik, kekuatan otot dan fleksibiliti.

  • Penyejukan dan regangan

    Apa yang berlaku selepas permainan selalunya pemain akan terlupa membuat sesi penyejukan. Pastikan anda meregangkan otot anda supaya ianya menjadi fleksibel dan mengurangka risiko tercedera.

  • Hidrasi secukupnya

    Dehidrasi sedikit pun boleh menganggu prestasi pemain. Bermain sepenuh masa permainan boleh menyebabkan kehilangan air dalam badan melalui proses perpeluhan. Pastikan anda menggantikannya dengan  mengambil air atau minuman sukan.

  • Peralatan sukan yang digunakan

    Guna bola sintetik yang tidak serap air apabila bermain dalam permukaan basah. Bola yang basah boleh menjadi berat dan mendatangkan kecederaan kepada pemain apabila menanduk.

    Pakai kasut yang mempunyai lapisan tapak kasut yang cangkuknya berlapis atau tapak yang berlapis. Kasut yang mempunyai cangkuk yang berskru mendatangkan risiko kecederaan.

    Tiang gol haruslah dilapik dengan baik. Ini boleh mengurangkan risiko penjaga gol atau pemain lain dari menanduk tiang gol an mendapat kecederaan pada kepala.

  • Permukaan padang

    Permukaan padang haruslah berada dalam keadaan baik. Lubang pada padang harus ditutup, kawasan kosong harus ditanam dengan rumput semula dan serpihan dibuang.

  • Keadaan cuaca

    Semasa ribut petir, tinggalkan padang dan berlindung di dalam bangunan. Dalam keadaan cuaca panas dan lembab, pastikan anda meminum air yang mencukupi.  semasa apabila berkesempatan.

  • Lengkapkan program rehabilitasi anda

    Jika anda mempunyai kecederaan lama, pastikan anda melengkapkan program rehabilitasi. Ini untuk memastikan bahagian cedera pulih sepenuhnya dan bersedia untuk digunakan semula dalam permainan berikutnya.

    Pemain yang cedera mesti memastikan symptom mereka tiada sebelum masuk semula ke padang. Sebagai contoh, jika anda cedera pada sendi lutut, anda  haruslah memastikan tiada sakit atau bengkak, pergerakan sepenuhnya serta kekuatan otot dicapai.

  • Bersedia untuk kecederaan

    Jurulatih seharusnya diajar mengenai pengetahuan kecederaan biasa dalam bola sepak dan mengenai rawatan awal serta bagaimana untuk melakukannya seperti kecederaan ringkas seperti luka, terseliuh dan koyak otot.

    Doktor atau fisioterapis haruslah berada bersama pasukan terutamanya jika bergerak jauh. Bagi perlawanan yang besar selalunya pihak penganjur akan menyediakan tim pasukan perlindungan perubatan di padang.

    Anda juga seharusnya mengetahui sedikit pengetahuan asas mengenai kecederaan biasa serta rawatan awal. Persediaan merupakan perkara terbaik dan mendapatkan rawatan lanjutan adalah langkah yang seterusnya.

  • Elak kecederaan akibat penggunaan berlebihan

    Apabila sukan melibatkan latihan sepanjang tahun, otot serta sendi anda akan menjadi penat dan letih. Olih itu anda akan mudah cedera

    Mengambil waktu rehat di antara sesi latihan boleh mengelakkannya. Intensiti latihan juga harus direndahkan sedikit supaya badan dapat mengadaptasi beban latihan.

    Tips ini berguna setiap kali anda bermain bola sepak samada semasa perlawanan atau bermain santai bersama rakan dan keluarga.

Rujukan

  1. http://www.fifa.com/aboutfifa/footballdevelopment/medical/index.html

  2. www.sma.org.au

  3. Clinical Sports Medicine, Peter Brukner and Karim Khan

Last Reviewed : 24 June 2015
Writer : Lt. Kol. Dr. Ridzuan bin Azmi
Translator : Lt. Kol. Dr. Ridzuan bin Azmi
Accreditor : Dr. Salmah binti Nordin

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia