A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Diet & Penyakit
  6. /
  7. Tips Penyediaan Makanan untuk...

Tips Penyediaan Makanan untuk Pesakit Kardiovaskular (CVD)

 

Pengenalan

Menurut World Health Organization (WHO), penyakit kardiovaskular (CVDs) merupakan punca kematian utama di seluruh dunia. Pada tahun 2004, dianggarkan 17.1 juta kes kematian disebabkan oleh penyakit kardiovaskular, iaitu 29% daripada semua kes kematian di seluruh dunia. Daripada jumlah kematian ini, dianggarkan 7.2 juta kes adalah disebabkan oleh penyakit jantung koronari dan 5.7 juta adalah disebabkan oleh strok.

Menjelang tahun 2030, dijangka hampir 23.6 juta kes kematian adalah disebabkan oleh penyakit kardiovaskular, terutamanya yang berpunca daripada penyakit jantung dan strok. Penyakit ini dijangka kekal sebagai punca tunggal utama kes kematian. Peningkatan jumlah kes kematian yang paling banyak dijangka berlaku di wilayah Asia Tenggara. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sebab kematian yang utama pada tahun 2006 adalah penyakit jantung iskemia (12% daripada jumlah punca kematian).

Faktor-faktor utama penyakit kardiovaskular adalah:

  • penggunaan tembakau (merokok)

  • tidak aktif secara fizikal

  • pengambilan diet yang tidak sihat; seperti:

    • pengambilan makanan yang tinggi dengan lemak,

    • kolesterol dan garam secara berlebihan,

    • kekurangan pengambilan serat di dalam diet harian.

 

Lemak Dalam Makanan

Terdapat beberapa jenis lemak di dalam sumber makanan termasuklah:

  1. Lemak Tepu

    • Boleh meningkatkan kolesterol ‘jahat’ (kolesterol LDL) dan kolesterol ‘baik’ (kolesterol HDL) dalam darah.

    • Biasanya boleh didapati daripada minyak kelapa, santan, minyak kelapa sawit, lemak haiwan (contoh: lemak daging dan ayam), susu penuh krim atau produk tenusu penuh krim, minyak sapi dan mentega.

    • Pengambilan lemak tepu yang berlebihan akan meningkatkan kolesterol darah.

      Lemak haiwan Santan
      Minyak sapi Minyak sawit
  2. Lemak Tak Tepu

    • Lemak mono-tak-tepu

      • Membantu dalam menurunkan kolesterol ‘jahat’ dalam darah apabila menggantikan lemak tepu dalam diet harian.

      • Didapati dalam amaun yang banyak pada minyak zaitun, minyak kanola, kacang tanah, kacang bijak, badam dan avocado.

    • Lemak poli-tak-tepu

      • Lemak poli-tak tepu yang utama dalam diet adalah asid lemak omega 3 dan omega 6.

      • Membantu dalam menurunkan kolesterol ‘jahat’ dalam darah dan risiko penyakit kardiovaskular.

      • Asid lemak omega 6 banyak terdapat dalam minyak kacang soya, minyak jagung, minyak safflower dan minyak bunga matahari.

      • Asid lemak omega 3 boleh didapati dalam flaxseed, minyak kanola dan minyak kacang soya, kacang walnut ikan berlemak seperti ikan mackerel, herring, salmon, tuna dan trout.

  3. Lemak Trans (Trans Fat)

    • Meningkatkan kolesterol ‘jahat’ dan menurunkan kolesterol ‘baik’ dalam darah.

    • Pengambilan lemak trans yang banyak adalah berkait dengan peningkatan aras kolesterol LDL dan risiko penyakit kardiovaskular.

    • Didapati secara semula jadi dalam daging dan susu, dan juga dibentuk melalui proses industri (penghidrogenan) untuk menghasilkan minyak tumbuhan yang lebih keras dan tahan lama.

    • Boleh didapati dalam marjerin yang keras, makanan terproses, pastri tinggi kandungan lemak (contoh: donut dan cookies), kentang goreng, kerepek kentang dan makanan segera yang digoreng.

    • Pengambilan lemak trans perlu dikurangkan seminima yang mungkin.

Marjerin keras Kentang goreng
Donat Pastri

 

Kolesterol Makanan

  • Kolesterol makanan hanya terdapat dalam makanan daripada sumber haiwan.

  • Makanan yang kaya dengan kandungan kolesterol seperti kuning telur, organ dalaman, makanan laut.

  • Hadkan pengambilan kuning telur tidak lebih daripada 2 biji seminggu, termasuk kolesterol tersembunyi seperti dalam pastri dan kek. Sekiranya telur rendah kolesterol digunakan, hadkan kepada tidak melebihi 3 biji dalam seminggu.

  • Pengambilan organ dalaman perlu dikurangkan.

Kuning telur
Organ dalaman
Makanan laut

 

Tips Semasa Pembelian Makanan

  • Pilih makanan yang dilabel dengan ‘rendah lemak’, ‘ rendah garam’, ‘kurang lemak’, ‘ tanpa lemak’, ‘bebas lemak trans’ dan sebagainya. Contohnya : susu rendah lemak, susu skim, yogurt rendah lemak, yogurt tanpa lemak, keju kurang lemak, light mayonis dan sebagainya.

  • Susu rendah lemak dan susu skim adalah disarankan untuk orang dewasa yang ingin mengambil susu sebagai sebahagian daripada diet mereka. Pengambilan susu adalah digalakkan kerana susu merupakan sumber kalsium yang baik yang penting untuk kesihatan tulang.

  • Pilih marjerin lembut dan bukan marjerin keras.

  • Pilih daging tanpa lemak dan bukan daging berlemak.

  • Pengambilan makanan segar adalah digalakkan. Elakkan makanan terproses dan diawet, makanan dalam tin dan makanan segera kerana makanan ini tinggi dalam kandungan garam. Pilih makanan yang rendah garam.

  • Pilih produk mil-penuh (wholegrain) di mana kandungan seratnya lebih tinggi seperti cereal dan oat tinggi serat. Ambil sekurang-kurangnya 1 hidangan produk mil-penuh dalam sehari.

  • Sayur-sayuran dan buah-buahan juga mengandungi serat yang tinggi, di mana boleh diambil sebagai snek untuk meningkatkan pengambilan serat harian. Saranan pengambilan adalah sekurang-kurangnya 3 hidangan sayur-sayuran dan 2 hidangan buah-buahan dalam sehari.

  • Baca label informasi nutrisi pada produk (sebagai contoh):

Komponen
Label Keadaan
Makanan pepejal
Cecair
Lemak
Rendah
3g / 100g
1.5g / 100ml
Bebas
0.15g / 100g
0.15g / 100ml
Lemak tepu
Rendah

1.5g / 100g

dan 10% daripada tenaga

0.75g / 100ml

dan 10% daripada tenaga

Bebas
0.1g / 100g
0.1g / 100ml
Kolesterol
Rendah
0.02 / 100g
0.01 / 100ml
Bebas
0.005g / 100g
0.005g / 100ml
Asid lemak trans
Rendah

1.5g / 100g

dan 10% daripada tenaga

0.75g / 100ml

dan 10% daripada tenaga

Bebas
0.1g / 100g
0.1g / 100ml
Garam
Rendah
0.12g / 100g
Sangat rendah
0.04g / 100g
Bebas
0.005g / 100g

 

Tips Penyediaan Makanan

  1. Penyediaan bahan-bahan makanan

    • Buangkan semua bahagian lemak dan kulit pada daging atau ayam. Elakkan kepak, kaki ayam dan bahagian lain yang berlemak.

    • Buangkan bahagian kepala / otak dan organ dalaman pada makanan laut (contoh: udang, sotong, ikan bilis dan sebagainya) di mana bahagian ini adalah tinggi dalam kandungan kolesterol.

    • Guna susu rendah lemak untuk menggantikan santan yang tinggi dalam kandungan lemak tepu dalam masakan. Sekiranya santan diguna, hadkan kepada 2 sudu makan sebanyak 2 kali dalam seminggu sahaja.

    • Kurangkan penggunaan minyak sapi dalam masakan. Gantikan dengan minyak masakan tumbuhan.

    • Secara umumnya, bagi jumlah pengambilan tenaga harian antara 1800-2000kcal, penggunaan minyak masakan perlu dikawal kepada 9-10 sudu teh.

    • Guna minyak jenis tak tepu untuk tumis atau cara masakan yang memerlukan pemanasan yang minima.

    • Cara masakan bergoreng harus dikurangkan bagi mengelakkan pengambilan lemak harian berlebihan.

    • Guna telur putih atau gantian telur untuk menggantikan kuning telur dalam pembuatan kek atau roti.

  2. Tips memasak yang sihat

    • Masak makanan dengan cara masakan sihat seperti panggang, bakar, kukus atau tumis untuk mengurangkan pengambilan lemak (minyak) dalam diet kita.

    • Berhati-hati dengan sumber lemak (minyak) yang tersembunyi. Kurangkan pengambilan makanan bergoreng (contoh: ayam goreng) atau makanan goreng bersalut dengan tepung (contoh: pisang goreng).

    • Guna kuali tidak melekat untuk memasak bagi mengurangkan penggunaan minyak seberapa minimal yang mungkin.

    • Letak rak dalam oven semasa memanggang daging atau ayam supaya lemak pada makanan ini menitis keluar semasa dipanggang.

    • Guna rempah-ratus dan herba segar untuk menambahkan warna, rasa dan aroma makanan tanpa menambah dengan garam atau lemak.

    • Guna yogurt asli tapi bukannya mayones dalam salad.

    • Sejukkan sup yang berminyak (contoh: sup daging) dan buang lapisan lemak sebelum sup dipanaskan semula dan dihidangkan.

    • Tambah lebih sayur-sayuran dalam masakan bagi meningkatkan pengambilan serat harian.

      Kuali tidak melekat
      Buang kulit & lemak ayam
      Herba & rempah-ratus
  3. Tips-tips lain pemakanan sihat untuk penyakit kardiovaskular

    • Tambahkan susu rendah lemak atau susu skim tetapi bukan krimer bukan tenusu di dalam minuman.

    • Pengambilan alkohol perlu dihadkan kepada 2 unit (hidangan piawai) untuk lelaki dan 1 unit untuk wanita. Bagi sesiapa yang tidak mengambil alkohol tidak digalakkan untuk mulakan pengambilan alkohol.

    • Untuk sesiapa yang menghidapi penyakit kardiovaskular, adalah disarankan mengambil 2 atau lebih hidangan ikan dalam seminggu (120g/hidangan ikan) dan 2 hidangan untuk orang yang sihat.

 

Rujukan:

  1. American Dietetic Association. 2007. Position of the American Dietetic Association and Dietitian of Canada: Dietary Fatty Acids. Journal of the American Dietetic Association. 107, 1599-1611.

  2. Department of Statistic Malaysia. (2009). Statistic on causes of death , Malaysia 2006. Retrieved from http://www.statistics.gov.my/portal/download_Population/files/BPD/perangkaan_sebab_kematian2006.pdf

  3. Medical nutrition therapy guidelines (MNT) for hyperlipidemia working group. (2005). Medical nutrition therapy guidelines for hyperlipidemia. Kuala Lumpur : Malaysia Dietitians’ Association.

  4. Nutrition Society of Malaysia. Food laws and labeling, proposed new laws on nutrition labelling and claims: what you should know! Retrieved from http://www.nutriweb.org.my/article.php?sid=2

  5. World Health Organization. (2006). Mortality country fact sheet 2006. Retrieved from www.who.int/whosis/mort/profiles/mort_wpro_mys_malaysia.pdf

  6. World Health Organization. (2011). Cardiovascular diseases (CVDs) fact sheet. Retrieved from http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs317/en/index.html

 

Semakan akhir : 22 Oktober 2012
Penulis : Low Phei Keow

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia