A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Penyakit Hidung, Telinga &...
  8. /
  9. Trakeostomi (Tebukan Pada Leher)

Trakeostomi (Tebukan Pada Leher)

Trakeostomi merupakan satu prosedur pembedahan dimana satu bukaan pernafasan alternatif dibuat pada bahagian depan leher pesakit.

‘Puan, suami puan perlu menjalani pembedahan Trakeostomi. Sudah lama suami puan tidak sedarkan diri dan masih memerlukan bantuan pernafasan’

Sering kali waris pesakit menerima berita daripada para doktor berkenaan pembedahan trakeostomi ini dan pasti ramai tertanya-tanya apakah tujuan ia dijalankan.

Jadi, apakah itu Trakeostomi? Trakeostomi merupakan satu prosedur pembedahan dimana satu bukaan pernafasan alternatif dibuat pada bahagian depan leher pesakit bertujuan untuk memasukkan tiub trakeostomi ke dalam salur pernafasan (trakea) bagi memudahkan proses pernafasan berlaku. Prosedur ini boleh bersifat sementara atau kekal bergantung kepada situasi masalah pesakit tersebut.

Gambar animasi menunjukkan tiub trakeostomi yang dimasukkan ke dalam salur trakea untuk bantuan pernafasan
Gambar : /www.aic.cuhk.edu.hk/web8/Tracheostomy%20tube.htm

Siapakah yang perlu menjalani pembedahan trakeostomi ini? Kenapa pesakit perlu menjalani pembedahan ini?

Secara amnya, indikasi/keperluan pembedahan trakeostomi ini adalah:

  1. Terdapat sekatan pada salur pernafasan atas (trauma pada bahagian muka, jangkitan atau keradangan salur pernafasan, kanser peti suara atau laring)
  2. Melindungi paru-paru pesakit yang berisiko berlakunya aspirasi atau tersedak makanan atau minuman (kelumpuhan pada peti suara atau masalah penelanan)
  3. Kegagalan sistem pernafasan (masalah jangkitan paru-paru yang serius)
  4. Pesakit yang mempunyai cecair lendiran atau kahak yang berlebihan dalam salur pernafasan
  5. Persediaan awal kepada pesakit yang bakal menjalani pembedahan pada bahagian leher dan muka, dimana trakeostomi dapat membantu pesakit untuk bernafas semasa proses pemulihan.
  6. Keperluan bantuan pernafasan jangka panjang

Mengapa trakeostomi?

Melalui trakeostomi, laluan pernafasan pesakit telah dipintas sebanyak 50 peratus di mana udara yang disedut bukan lagi melalui rongga hidung tetapi akan terus sampai ke paru-paru. Oleh itu, alat bantuan pernafasan (ventilator) lebih mudah dikurangkan secara beransur-ansur (wean off) dan jangkamasa rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dapat dipendekkan.

Selain itu, risiko kecederaan atau penyempitan (stenosis) kawasan peti suara adalah jauh lebih rendah berbanding pesakit yang mempunyai tiub pernafasan mulut (endotracheal intubation). Penjagaan salur pernafasan juga lebih mudah kerana kahak atau lendir yang dihasilkan dapat disedut terus dari tiub trakeostomi. Ini secara langsung dapat mengurangkan kadar jangkitan salur pernafasan dan paru-paru.

Berbanding dengan pesakit yang masih menggunakan tiub endotrakeal, pesakit trakeostomi boleh makan melalui mulut sekiranya ianya tidak melibatkan masalah neurologi penelanan. Pesakit trakeostomi juga dapat berkomunikasi apabila tiub trakeostomi ditukar kepada tiub trakeostomi jenis ‘fenestrated’.

Gambar : aliran udara melepasi tiub trakeostomi jenis‘fenestrated’ tiub dan melalui peti suara membolehkan pesakit bercakap.

Penjagaan Trakeostomi di Rumah?

Kebanyakan pesakit akan dibenarkan pulang dengan tiub trakeostomi jenis ‘double lumen’ untuk memudahkan proses penjagaan di rumah.

Gambar menunjukantiub trakeostomi jenis‘double lumen’ . Pesakit boleh mengeluarkantiub dalaman dibersihkan.
Gambar : http://my.clevelandclinic.org/health/articles/tracheostomy-care

Namun ada juga pesakit yang akan pulang dengan tiub trakeostomi jenis ‘single lumen’. Bagi pesakit seperti ini , mereka haruslah mempunyai mesin penyedut di rumah untuk menyedut cecair lendir yang berlebihan daripada salur pernafasan. Tiub trakeostomi haruslah dicuci sekurang-kurangnya sekali sehari. Waris ataupun pesakit boleh mempelajari teknik cucian daripada pihak hospital sebelum dibenarkan pulang. Langkah ini penting bagi memastikan tiub trakeostomi tidak tersumbat oleh cecair lendir yang mengeras dan menyebabkan kesukaran bernafas.

Proses sedutan trakeostomi keatas pesakit bagi memastikan tiub tidak tersumbat
Gambar : http://www.allinahealth.org

Keadaan sekeliling luka trakeostomi haruslah diperiksa setiap hari bagi memastikan tiada jangkitan berlaku. Antara tanda-tanda jangkitan yang perlu dikenalpasti ialah kemerahan kulit, sakit apabila disentuh, dan rembesan cecair nanah yang busuk.

Bila pesakit perlu dapatkan rawatan segera?

Sekiranya pesakit mengalami masalah kesukaran pernafasan walaupun langkah-langkah penjagaan di atas telah dilakukan, kemungkinan salur pernafasan pesakit telah tersumbat. Keadaan ini memerlukan perhatian yang serius dan pesakit harus segera dibawa berjumpa doktor. Doktor mungkin perlu menjalankan prosedur skop ke dalam salur pernafasan dan seterusnya menukar tiub yang baru jika bersesuaian.

Selain itu, jika terdapat tanda- tanda jangkitan pada struktur sekeliling tiub trakeostomi, rawatan antibiotik akan dimulakan dan teknik cucian khusus akan dilakukan. Perlu ditekankan bahawa rawatan antibiotik dan cucian ini memerlukan pesakit untuk tinggal di wad selama beberapa hari sehingga tanda-tanda jangkitan telah sembuh. 

Bilakah tiub trakeostomi ini boleh dicabut @ dekanulasi?

Beberapa kriteria perlu diambil kira sebelum tiub trakeostomi dicabut. Pesakit haruslah di sahkan selamat oleh doktor untuk menjalani pernafasan biasa. Untuk proses ini pesakit perlu dimasukkan ke wad untuk permerhatian selama 24 jam. Antara kriteria yang diambil kira ialah :

  1. Pesakit mestilah berada dalam keadaan sedar dan mampu mengikuti arahan yang diberikan.
  2. Pesakit mampu untuk mengeluarkan kahak dengan sendiri dan mempunyai refleks batuk yang baik.
  3. Pesakit tidak bergantung kepada keperluan bantuan tangki oksigen dan paras oksigen dalam badan yang selamat apabila tiub trakeostomi ditutup (spigot).
  4. Selamat untuk pemakanan melalui mulut (tanpa tersedak / aspirasi).

Langkah terakhir adalah pemeriksaan skop yang akan dilakukan oleh doktor bagi memastikan peti suara dan struktur salur pernafasan berada dalam keadaan normal dan seterusnya selamat untuk didekanulasi.

Rujukan

  1. Claudia R , Basil M  .Tracheostomy : A Multiprofessional Handbook , Cambridge 2004
  2.  http://my.clevelandclinic.org/health/articles/tracheostomy-care

 

Semakan Akhir : 24 Julai 2017
Penulis : Dr. Luqman b. Rosla
Akreditor : Dr. Shahrul b. Hitam

Artikel Berkaitan

Kesan Rawatan Radio & Kemoterapi Pada Pendengaran

Rawatan radioterapi merupakan salah satu kaedah yang digunakan dalam merawat kanser. Radioterapi adalah sejenis rawatan menggunakan sinaran khas yang dipancarkan pada bahagian tubuh tertentu yang bertujuan untuk mengecutkan sel-sel kanser. Penggunaannya boleh menyebabkan kesan sampingan kepada organ-organ lain yang berdekatan. Secara tidak langsung, kaedah ini turut merosakkan sel-sel di dalam organ pendengaran.

Berdengkur

Berdengkur ditakrifkan sebagai bernafas dengan menghasilkan bunyi keras disebabkan oleh

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia