A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Transplantasi Gigi

Pengenalan

Transplantasi gigi adalah suatu prosedur pemindahan gigi yang telah dicabut dari satu lokasi kepada satu lokasi yang berlainan,  sama ada melibatkan mulut individu yang sama (autotranplantasi) atau individu yang berlainan (allotranplantasi). Prosedur ini melibatkan pemindahan gigi yang terimpak, tertanam atau gigi yang sudah tumbuh, ke tempat cabutan atau ke dalam soket gigi yang telah disediakan secara surgikal. Prosedur transplantasi gigi ini khususnya allotranplantasi bukanlah suatu ciptaan baru kerana terdapat  laporan terawal menunjukkan kaedah surgikal ini melibatkan hamba abdi di zaman Mesir purba yang telah dipaksa untuk memberikan gigi mereka kepada pemerintah. Walaubagaimanapun, allotransplantasi, iaitu prosedur pemindahan gigi secara surgical  dari satu individu ke individu yang lain telah dihentikan atas sebab ‘histocompatibility’ yang mengakibatkan kegagalan pada gigi yang dipindahkan. Oleh sebab itu, prosedur autotransplantasi  gigi kemudiannya diperkenalkan dan telah diamalkan sehingga hari ini. Sains bagi autotransplantasi gigi telah berkembang, seperti yang telah dibuktikan dengan kadar kejayaan tinggi yang dilaporkan dalam kajian-kajian terdahulu. Kajian-kajian tersebut menunjukkan autotransplantasi merupakan suatu pilihan yang baik untuk penggantian gigi bagi pesakit-pesakit yang sesuai.

Indikasi Transplantasi Gigi

Kehilangan gigi disebabkan karies gigi yang parah adalah indikasi yang paling sering berlaku. Di kalangan remaja, gigi geraham kekal pertama tumbuh awal dan selalunya mempunyai tampalan yang besar. Apabila gigi geraham pertama ini terpaksa dicabut dalam pesakit yang muda, ini akan mengakibatkan oklusi gigi yang tidak normal disebabkan oleh migrasi gigi dan pertumbuhan rahang yang tidak seimbang. Justeru itu, rawatan bagi pesakit sebegini patut difokuskan kepada pengekalan ruang gigi yang hilang tanpa pengubahan kepada rahang yang sedang tumbuh. Apabila implan gigi ditanam dalam seseorang pesakit remaja, implan itu tidak tumbuh bersama-sama gigi bersebelahan dan ini menyebabkan infraoklusi dengan masalah fungsi dan estetik. Dalam kes ini, autotransplantasi menjadi pilihan berbanding meletakkan implan gigi untuk memulihara ruang tersebut.

Autotransplantasi gigi juga boleh dilakukan dalam keadaan ketiadaan gigi secara kongenital yang biasanya  melibatkan gigi geraham ketiga rahang bawah, diikuti dengan gigi geraham kecil kedua rahang bawah dan gigi kacip kedua rahang atas, Pertumbuhan gigi atipikal juga boleh  menjadi indikasi untuk autotransplantasi.

Indikasi – indikasi lain termasuk kehilanagn gigi secara traumatic, pertumbuhan gigi taring ektopik, penyerapan akar, lesi endodontic yang besar, kepatahan servikal akar, periodontitis setempat, dan lain- lain masalah patologikal gigi. Kejayaan prosedur transplantasi bergantung kepada kriteria – kriteria spesifik  pesakit, keadaan gigi penderma dan tempat penerima.

Kriteria Pesakit

Pemilihan pesakit yang sesuai adalah salah satu faktor penting dalam menentukan kejayaan transplantasi gigi. Pesakit mestilah sihat secara am dan memiliki tahap kebersihan mulut yang memuaskan. Mereka seharusnya menuruti arahan – arahan selepas pembedahan dan hadir untuk rawatan susulan. Kerjasama dan pemahaman pesakit adalah sangat penting untuk memastikan kejayaan rawatan ini. Autotransplantasi gigi ini juga didapati sesuai dijalankan kepada pesakit yang masih muda dan yang kurang berkemampuan.

Kriteria Gigi Penderma

Gigi dengan apeks terbuka atau tertutup boleh dijadikan sebagai gigi penderma. Walau bagaimanapun, fasa pertumbuhan akar gigi yang akan ditranplankan itu amat penting. Kajian – kajian awal menunjukkan bahawa kejayaan prosedur autotransplantasi ini ditentukan oleh pembentukan perlekatan periodontium dan daya tahan pulpa. Secara ideal, transplantasi ini seharusnya dilaksanakan apabila gigi itu memiliki kepanjangan yang maksimum tetapi masih berpotensi untuk regenerasi pulpa (pembukaan apeks lebih daripada 1mm pada radiograf).

Kadar kejayaan adalah paling tinggi apabila pertumbuhan akar adalah satu perdua (1/2) hingga dua pertiga (2/3). Manipulasi surgical bagi gigi yang kurang daripada satu perdua pertumbuhan akar mungkin terlalu traumatic dan boleh membantutkan ppertumbuhan akar yang selanjutnay, mengganggu pematangan atau mengubah morfologi gigi dan seterusnya mengakibatkan kegagalan.

Apabila pertumbuhan akar gigi melebihi dua pertiga, kepanjangan gigi mungkin menyebabkan pencerobohan pada struktur vital seperti sinus maksila, atau kanal alveolar inferior. Tambahan lagi, penderma dengan pertumbuhan akar yang sudah matang akan memerlukan rawatan akar, sebaik – baiknya dalam masa dua minggu selepas transplantasi. Gigi dengan apeks akar terbuka akan terus vital dan pertumbuhan akarnya berterusan selepas transplantasi. 

Kriteria Penerima

Lokasi penerima gigi transplan perlu bebas daripada jangkitan akut atau inflamasi kronik. Sokongan tulang alveolar yang mencukupi adalah kriteria yang sangat penting untuk memastikan kejayaan. Sokongan tulang alveolar yang mencukupi  di semua dimensi dan tisu mukosa berkeratin yang melekat mestilah mencukupi untuk menstabilkan gigi yang telah ditransplan.

Pengaturan Masa

Secara ideal, cabutan gigi dari tempat penerima perlu dilakukan pada hari yang sama dengan hari gigi penderma dicabut untuk transplantasi. Transplantasi gigi dengan segera pada tempat penerima mempunyai prognosis yang baik. Walau bagaimanapun, bagi kes-kes di mana gigi dari tempat penerima perlu dicabut lebih awal disebabkan oleh sakit gigi dan sebab-sebab lain, autotransplantasi perlu dilaksanakan dalam masa sebulan. Hal ini kerana semakin lambat gigi penderma ditransplankan, semakin berkurang sokongan tulang bagi gigi tersebut kerana penyerapan tulang alveolar telah berlaku di kawasan gigi yang telah dicabut.

Teknik Pembedahan

Prosedur ini boleh dilakukan dengan bius setempat atau bius am. Seterusnya, gigi di tempat penerima dicabut dan soket penerima dipersiapkan. Radiograf oklusal dan periapikal preoperatif gigi penderma perlu digunakan untuk menentukan dimensi bukolingual dan mesiodistal. Kemudian, gigi penderma dicabut secara cermat untuk memastikan trauma yang minimum kepada tisu periodontal. Apabila gigi penderma tidak tumbuh atau terimpak, cabutan melibatkan pembukaan flap, pembuangan tulang dan pembuangan folikel gigi secara cermat dari sekeliling korona gigi.

Prosedur Autotransplantasi Gigi.

Gigi geraham pertama rahang bawah yang telah rosak teruk
Rajah A: Gigi geraham pertama rahang bawah yang telah rosak teruk

Cabutan gigi geraham pertama rahang bawah diikuti dengan cabutan gigi
Rajah B: Cabutan gigi geraham pertama rahang bawah diikuti dengan cabutan gigi geraham ketiga rahang bawah

 

 

Gigi geraham ketiga rahang bawah yang telah dicabut dipindahkan ke dalam soket
Rajah C: Gigi geraham ketiga rahang bawah yang telah dicabut dipindahkan ke dalam soket
cabutan gigi geraham pertama rahang bawah. ‘Prosedur splinting’ dilakukan untuk menstabilkan kedudukan gigi yang dipindahkan.

Gigi transplan yang sudah sembuh
Rajah D: Gigi transplan yang sudah sembuh

Kecederaan traumatik pada permukaan akar gigi penderma akan menghalang kejayaan transplantasi disebabkan oleh kekurangan regenerasi ligamen periodontal. Hal ini penting untuk integrasi di tempat penerima. Sebaik sahaja gigi penderma dikeluarkan dari soketnya, gigi tersebut perlu dikendalikan dengan cermat dan operator dinasihatkan untuk memegang hanya pada bahagian korona gigi. Seterusnya, gigi tersebut diletakkan di dalam soket penerima yang sudah disediakan. Penangguhan yang minimum antara prosedur cabutan gigi dan transplantasi adalah penting untuk menjamin daya hidup tisu periodontal. Jika sebarang pembaikan perlu dilakukan pada soket penerima, gigi penderma boleh disimpan kembali di dalam soket asalnya.

Oklusi pergigian perlu diperiksa sebaik sahaja gigi transplan berada di posisi terakhir. Gigi tersebut perlu ditanam dalam keadaan sedikit infraoklusi supaya pertumbuhan gigi ke oklusi sebenar dapat berlaku dalam beberapa bulan yang seterusnya. Selepas kedudukan terakhir gigi telah ditentukan, gigi tersebut boleh distabilkan menggunakan splint jahitan. Kaedah alternatif termasuk menggunakan resin adhesif, resin polimerisasi sinar atau resin autopolimerisasi jambatan sementara dan splint wayar boleh digunakan. Splinting perlu dilakukan selama satu hingga dua minggu.
Arahan pos-operatif adalah sama seperti pembuangan gigi terimpak secara pembedahan. Pesakit dinasihatkan untuk mengambil diet lembut untuk beberapa hari selepas pembedahan. Pesakit juga perlu diarahkan untuk mengelak daripada menggigit menggunakan gigi transplan dan mengekalkan penjagaan kebersihan mulut yang optimum menggunakan ubat kumur chlorhexidine gluconate. Pesakit juga boleh diberikan ubat antibiotik preoperatif dan posoperatif.

Kejayaan

Kajian melaporkan kadar kejayaan yang tinggi bagi transplantasi gigi apabila protokol pembedahan yang tepat dituruti. Kebanyakan kajian terbaharu menunjukkan kadar kejayaan adalah melebihi 90%, iaitu sama dengan restorasi yang disokong oleh implan gigi. Faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan autotransplantasi telah diselidik dengan mendalam. Kelangsungan daya hidup tisu-tisu periodontal adalah faktor penentu paling penting untuk ketahanan gigi transplan. Dalam kes di mana ligamen periodontal tercedera semasa transplantasi, ankilosis dan penyerapan akar luaran selalu terjadi. Kajian terbaharu mendapati kadar kejayaan adalah terbaik apabila gigi penderma merupakan gigi geraham kecil, apabila pertumbuhan akar adalah pada satu perdua hingga dua pertiga, mengalami kecederaan minimum dan masa ekstra-oral yang terhad semasa pembedahan. Pengalaman pakar bedah juga mempengaruhi kejayaan kerana prosedur ini teknik sensitif.

Selain daripada itu, parameter spesifik yang lain juga telah digunakan untuk menilai kelangsungan hidup gigi yang ditransplan. Parameter-parameter penting termasuk lekatan periodontal, darjah mobiliti, rasa sakit, penyerapan akar, pertumbuhan akar, sensitiviti pada perkusi, kedalaman poket gusi, kewujudan keradangan gusi dan kewujudan fistula.

Punca kegagalan transplantasi gigi yang paling sering berlaku adalah penyerapan akar kronik. Penyebab lain adalah penyerapan disebabkan keradangan, penyerapan penggantian (ankilosis), periodontitis marginal, peridontitis apikal, karies gigi dan kecederaan gigi. Penyerapan disebabkan keradangan boleh terjadi selepas 4 minggu, manakala penyerapan penggantian mungkin tidak berlaku selepas autotransplantasi gigi. Insidens kedua-dua jenis penyerapan tersebut dapat dikurangkan dengan cabutan gigi penderma secara atraumatik dan pemindahan gigi dengan segera untuk mengurangkan kecederaan pada tisu periodontal.

Kesimpulan

Transplantasi gigi merupakan rawatan alternatif yang telah dibuktikan mempunyai tahap kejayaan yang tinggi untuk pemuliharaan ruang akibat kehilangan gigi selain daripada penggunaan implant gigi (endosseous dental implant) yang biasa dilakukan pada masa kini

Rujukan

  1. Cameron ML, Deirdre MY, Laura C. Autogenous Tooth Transplantation: An Alternative to Dental Implant Placement? J Can Dent Assoc 2001;67:92-6
  2. Park JH, Tai K, Hayashi D. Tooth Transplantation as a Treatment Option: A Review. J Clin Pediatr Dent 35(2): 129-136,2011
  3. Sven K, Rune L, Anders M, Peter N, Krister B. A Follow – up Study of Autotransplantation of Teeth in 215 Patient. Angles Orthod.2010;80:446-451
  4. Tatjana N, Grazvydas O, Vaidas V, Ennio B, Fabrizio S, Marco C. Tooth autotransplantation as an alternative treatment option: A literature review. Dent Res J(Isfahan). 2013 Jan -Feb; 10(1): 1-6

 

Semakan Akhir : 24 Ogos 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Muhammad Ridwan bin Yeop Ismail
Akreditor : Dr. Mukhriz bin Hamdan

 

Artikel Berkaitan

Gigi Tidak Tersusun

Gigi tidak tersusun atau maloklusi ialah suatu keadaan di mana gigi-gigi dalam mulut tidak tersusun dengan baik atau jongang.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia