A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Tuntutan Perubatan: Makanan sebagai...

Tuntutan Perubatan: Makanan sebagai ubat?

Ubat vs Makanan

Menurut kamus dewan edisi keempat ubat adalah benda yg digunakan (dimakan, disapu-kan, dll) utk menyembuhkan penyakit atau menyihatkan badan. Manakala menurut undang-undang di bawah Seksyen 2 Akta Jualan Dadah 1952 ubat didefinisikan sebagai apa-apa bahan, produk yang digunakan atau mengandungi tuntutan perubatan yang digunakan oleh manusia atau haiwan samada secara dimakan atau kegunaan luaran untuk tujuan perubatan. Di bawah seksyen yang sama, tujuan perubatan didefinisikan sebagai meningkatkan, menyembuh, mencegah penyakit atau keadaan fisiologi manusia termasuklah mengekalkan, memodifikasi atau mengembalikan keadaan fungsi fisiologikal.

Manakala makanan menurut Akta Makanan 1983, ia bermaksud apa-apa bahan yang dikilangkan, dijual atau di’represent’ sebagai makanan atau minuman. Bilamana sesuatu produk tersebut dikelaskan sebagai makanan, maka ia tidak boleh membuat sebarang tuntutan atau akuan perubatan termasuklah pencegahan, rawatan atau penyembuhan sesuatu penyakit atau keadaan fisiologi yang lain. Sekiranya makanan tersebut ingin membuat akuan perubatan terhadap penggunaannya, ia perlu berdaftar terlebih dahulu dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Contohnya, bawang putih pada asalnya adalah sebagai makanan tetapi bila ia dikilangkan dan dijadikan dalam bentuk produk farmaseutikal sepeti kapsul, ia perlu berdaftar dengan PBKD bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk.

Berikut adalah perbezaan antara ubat dan makanan:

PERKARA
UBAT
MAKANAN
Pihak Berkuasa Dikawal oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Dikawal oleh Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan (BKKM)
Undang-undang Akta Jualan Dadah 1952
Akta Racun 1952
Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984
Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturannya
Pendaftaran Diwajibkan mempunyai nombor pendaftaran MAL dan pelekat Hologram pada produk Tiada
Pengiklanan Perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU) Tiada
Tuntutan perubatan Boleh membuat tuntutan perubatan tetapi tuntutan mestilah selari dengan indikasi yang telah diluluskan oleh PBKD dan iklan diluluskan oleh LIU dahulu Hanya boleh membuat akuan fungsian. Tidak boleh membuat akuan pengurangan risiko penyakit
Lain-lain Boleh memuatkan kenyataan ‘DILULUSKAN OLEH KKM’ pada iklan Tidak layak memuatkan kenyataan ‘DILULUSKAN OLEH KKM’ pada iklan

No. MAL dan KKLIU

Produk dikelaskan sebagai ubat/produk farmaseutikal perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM; ia perlu menjalani penilaian oleh PBKD, KKM untuk memastikan agar ia selamat dan berkualiti untuk digunakan. Setelah didaftarkan, ia akan diberikan dengan nombor pendaftaran yang dimulai dengan MAL dan diikuti oleh 8 digit dan diakhiri dengan kod-kod tertentu (contoh: MAL12345678T).

Bukan itu sahaja, apabila sesuatu produk farmaseutikal berdaftar itu hendak diiklankan pula, seperkara lagi yang perlu dipatuhi adalah mendapatkan kelulusan iklan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini bagi memastikan agar fakta atau tuntutan perubatan yang digunakan dalam iklan tersebut diakui sahih, benar dan bukannya direka-reka demi melariskan sesuatu ubat.

Produk yang dikelaskan sebagai makanan; tidak layak membuat sebarang tuntutan perubatan pada label dan juga terhadap pengiklanan produk makanan tersebut.

Akuan Fungsi vs Akuan Pengurangan Risiko Penyakit

Sesuatu produk yang dikelaskan sebagai makanan wajib mematuhi kaedah pelabelan sepertimana yang termaktub dalam Akta Makanan 1983. Produk makanan dilarang membuat akuan pengurangan risiko penyakit. Walau bagaimanapun, ia boleh membuat akuan fungsi. Contohnya:

AKUAN FUNGSI
AKUAN PENGURANGAN RISIKO PENYAKIT
  • Memperihalkan peranan spesifik nutrient berhubung fungsi fisiologikal
  • Zat besi ialah suatu faktor dalam pembentukan sel darah merah
  • Kalsium membantu dalam perkembangan tulang dan gigi yang kuat
  • Mencadangkan suatu makanan boleh mencegah, mengurangkan, merawat atau menyembuhkan penyakit, gangguan atau fungsi fisiologi yang lain
  • Zat besi boleh membantu mengurangkan risiko anaemia
  • Makanan A mengandungi kalsium yang boleh mencegah osteoporosis

Untuk mendapatkan akuan fungsi yang dibenarkan, orang awam boleh merujuk kepada Peraturan 18E Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Kes Sebenar

Seorang pengadu membeli sejenis produk kesihatan yang dipromosikan boleh menurunkan tekanan darah dan kolesterol mengalami buang air besar berdarah sebanyak 8 kali. Setelah 3 jam pengambilan produk itu, dia mengalami peluh berlebihan dan denyutan jantung yang sangat kuat. Produk tersebut dibeli dari satu kiosk di sebuah pasaraya.

Cakna Ubat Anda

“Minumlah Jus XYZ, anda tidak akan sakit lagi, semua penyakit kronik hilang dengan pengambilan produk terunggul ni.. paling laris di nusantara….. diluluskan oleh KKM…disahkan HALAL oleh JAKIM, hangat diperkatakan dalam facebook”.

Andai ada dikalangan kita menjumpai iklan sebegini, apakah tindakan kita? Mungkin ada yang termakan pujukan mereka yang mempromosi produk tersebut dan terus membeli produk tersebut tanpa usul periksa.

Berikut adalah langkah bijak yang seharusnya diambil oleh orang awam apabila melihat iklan ubat di mana-mana media.

  1. Semak status pendaftaran produk di portal www.bpfk.gov.my dan kelulusan iklan di www.pharmacy.gov.my.
  2. Sekiranya ada nombor MAL, pastikan iklan tersebut mempunyai nombor KKLIU.
  3. Sekiranya tiada nombor KKLIU, jangan percaya tuntutan perubatan yang dibuat kerana tidak disahkan oleh Lembaga Iklan Ubat.
  4. Sekiranya tiada nombor MAL, disyaki produk tidak berdaftar atau diklasifikasikan sebagai makanan. (Produk makanan dilarang membuat akuan perubatan terhadap penggunaan produk tersebut).
  5. Untuk sebarang aduan atau pertanyaan, orang awam boleh kemukakan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-78413200 atau melalui emel pharmacy1@moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan di talian 03-88833558.

Memang tidak dinafikan, dengan peningkatan penggunaan teknologi masakini, pelbagai iklan boleh disebarkan dalam sekelip mata khususnya pengunaan media-media sosial seperti facebook, whatsapps, twitter dan sebagainya. Oleh yang demikian, kawalan terhadap iklan oleh KKM amatlah mencabar dan perlu dibantu oleh orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan sebegini. Sekiranya tiada permintaan maka tiadalah penawaran. Pengguna perlu bijak dalam memilih ubat khususnya ubat yang dimakan dan disapu pada kulit. Pendekatan yang diambil terhadap iklan ubat tidak boleh disamakan dengan iklan-iklan komoditi yang lain kerana ubat yang dimakan akan memberi kesan kepada badan kita.

Maka, berhati-hatilah apabila membeli ubat. Dapatkan khidmat nasihat dari pegawai perubatan atau ahli farmasi. Elakkan membeli ubat dari pasar-pasar, kaki-kaki lima, kiosk-kiosk dan laman-laman web atau media sosial. Pastikan ubat/produk farmaseutikal berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL beserta pelekat hologram dan iklannya diluluskan oleh LIU.

Rujukan

  1. Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 (Disemak 1983)
  2. Akta Makanan 1983
  3. Panduan pelabelan dan akuan pemakanan sehingga Disember 2010 – dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan
Semakan Akhir : 12 Ogos 2014
Penulis : Normawati bt. Mohammed Noor
Akreditor : Muhammad Lukmani bin Ibrahim

 

Artikel Berkaitan

Campurpalsu dalam produk tradisional

Produk tradisional digunakan secara meluas bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Penilaian dari segi keselamatan dan kualiti amat penting sebelum ianya dipasarkan memandangkan penggunaan produk tradisional ini amat popular. Di Malaysia, tanggungjawab penilaian ini dilaksanakan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK).

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia