A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Ujian Makmal Biokimia
  6. /
  7. Ujian Makmal Ke Atas...

Ujian Makmal Ke Atas Darah Yang Didermakan

Pengenalan

Langkah pertama untuk mengurangkan risiko pesakit daripada dijangkiti penyakit berjangkit menerusi transfusi darah adalah memilih penderma darah yang menderma secara sukarela, tidak berbayar (voluntary and non-numerated) serta memilih penderma yang tidak mengamalkan atau tidak terdedah kepada cara hidup yang berisiko tinggi berbanding dengan memilih penderma darah dari ahli keluarga pesakit atau penderma darah gantian.

Akan tetapi, dengan mengamalkan pemilihan penderma darah yang ketat serta berhati-hati ini, masih terdapat segelintir penderma darah yang dijangkiti penyakit berjangkit seperti HIV dan lain-lain penyakit yang boleh berjangkit melalui transfusi darah. Maka, ujian makmal yang ketat dan sistematik perlu dijalankan ke atas darah yang didermakan bagi memastikan bekalan darah adalah sentiasa selamat untuk digunakan oleh pesakit.

Apa Ujian Yang Dijalankan


Gambar 1 : Mesin penganalisa kumpulan darah

Ujian-ujian makmal yang perlu dijalankan ke atas darah yang didermakan oleh penderma darah adalah seperti berikut:

  1. Ujian Kumpulan Darah (ABO dan Rh).
  2. Ujian Saringan Serologi (Serology Screening) terhadap penyakit berjangkit seperti HIV (Human Immunodeficiency Virus), Hepatitis B virus (HBV), Hepatitis C virus (HCV) dan Syphilis
    Gambar 3 🙁 Ujian pengesahan (confirmation) akan dijalankan jika sekiranya keputusan ujian serologi peringkat saringan reaktif )
  3. Ujian Saringan NAT (Nucleic Acid Testing) terhadap HIV, Hepatitis B virus dan Hepatitis C virus ( bagi makmal yang mempunyai kemudahan ujian ini).
    Gambar 4 : Ujian saringan nucleic acid testing (NAT) ke atas darah yang didermakan
  4. Ujian saringan terhadap penyakit berjangkit yang lain sekiranya didapati perlu.

Bagaimana Pensampelan Dibuat

Untuk melakukan ujian kumpulan darah (ABO dan Rh), sebanyak 6 ml darah perlu dikutip dalam tiub ujian darah K2EDTA. Manakala untuk melakukan ujian saringan dan pengesahan terhadap penyakit berjangkit, dua sampel tiub 8 ml darah setiap sampel perlu dikutip dalam bekas K2EDTA yang bergel.

Setiap sampel darah yang diambil akan dilabel dengan nombor pengenalan yang unik/khas bagi setiap sampel yang berbeza dan selalunya mengikut nombor barkod pendermaaan darah tersebut. Pensampelan darah akan dilakukan oleh jururawat/doktor/phlebotomist di lokasi pendermaan. Sampel darah akan dikutip ke dalam tiub ujian darah melalui beg darah yang diambil melalui salur darah vena di lengan penderma darah.

Gambar 5 : Kumpulan darah dengan kaedah gel
Gambar 6 : Kumpulan darah dengan kaedah plat microtiter
Gambar 7 : Kumpulan darah dengan kaedah tiub

Di Mana Ujian Dijalankan

Sampel darah yang dikutip di lokasi pendermaan darah (samada di pusat darah atau ketika sidang perdermaan darah bergerak/mobile) akan dihantar balik ke pusat darah,untuk ujian darah selanjutnya.

Kenapa Ujian Makmal Dijalankan

  1. Ujian Kumpulan Darah (ABO dan Rh).

    Ujian ini dijalankan bagi menentukan kesesuaian jenis darah supaya pesakit yang menerima darah tidak bertindak balas terhadap darah yang di pindahkan (transfusion adverse effect).

  2. Ujian Saringan Serologi.

    Ujian ini dijalankan untuk mengesan kehadiran antibodi terhadap jangkitan HIV, HBV, HCV atau Syphilis yang boleh menyebabkan penerima darah mendapat jangkitan kuman atau virus tersebut.

  3. Ujian Saringan NAT (Nucleic Acid Testing).

    Ujian ini dijalankan bagi mengesan kehadiran virus itu sendiri dengan mengesan bahan genetik (genetic material) samada DNA atau RNA. Ujian ini lebih sensitif berbanding ujian serologi dan dapat mengesan lebih awal dari ujian saringan serologi. Ini adalah kerana antibodi mengambil masa yang lebih lama untuk dikesan berbanding dengan ujian NAT terutama dalam masa “window period”. Walau bagaimanapun ada ketika dimana dimana kehadiran virus terlalu rendah (low viral load) ujian NAT tidak dapat dikesan tetapi dapat dikesan secara ujian serologi.

Ujian Kumpulan Darah

Ujian kumpulan darah (ABO dan Rh) perlu dijalankan terhadap setiap penderma darah kerana kita perlu mengetahui kumpulan darah (ABO dan Rh) bagi setiap beg darah yang telah didermakan supaya hanya beg darah yang sesuai sahaja akan dibekalkan kepada pesakit yang memerlukannya. Contoh jadual di bawah menunjukkan:-

  1. Penderma darah yang jenis darah O boleh memberikan darah kepada semua pesakit jenis darah O, A, B dan AB.
  2. Penderma darah yang jenis darah A hanya boleh memberikan darah kepada pesakit jenis darah A dan AB.
  3. Penderma darah yang jenis darah B hanya boleh memberikan darah kepada pesakit jenis darah B dan AB.
  4. Penderma darah yang jenis darah AB hanya boleh memberikan darah kepada pesakit jenis darah AB sahaja.

Pesakit yang darah jenis Rh Negatif hanya boleh terima darah jenis Rh Negatif sahaja dari penderma darah. Manakala pesakit yang darah jenis Rh Positif boleh terima darah jenis Rh Positif dan Rh Negatif dari penderma darah.

KUMPULAN DARAH / PENDERMA DARAH

O

A

B

AB

KUMPULAN DARAH / PENERIMA DARAH

O

O

A

O

A

B

O

B

AB

O

A

B

AB

Ujian Saringan Serologi

Ujian saringan serologi (serology screening) dijalankan bagi mengesan penyakit berjangkit seperti berikut:

  1. HIV (Human Immunodeficiency Virus)
  2. Hepatitis B virus ( HBV )
  3. Hepatitis C virus ( HCV )
  4. Syphilis

Ujian ini dijalankan bagi mengesan kehadiran antibodi yang dikeluarkan oleh seseorang yang dijangkiti oleh penyakit-penyakit seperti yang dinyatakan seperti diatas. Dimaklumkan juga penghasilan antibodi mengambil masa dan berbeza diantara individu yang dijangkiti. Sebagai contoh bagi kejangkitan HIV antibodi yang dihasilkan adalah antara 11 – 22 hari dari tarikh jangkitan. Masa ini dikatakan waktu “window period” bagi kejangkitan HIV. Bagi kejangkitan HBV, tempoh masa pengesanan oleh ujian saringan serologi adalah antara 34 – 59 hari manakala bagi kejangkitan HCV adalah antara 23 – 82 hari.

Ujian pengesahan atau “confirmation” bagi kes-kes yang reaktif diperingkat ujian saringan serologi perlu dijalankan kerana ujian serologi kadangkala memberi reaksi/tindakan palsu atau “false reactive”. Ini disebabkan ujian saringan adalah terlalu sentitif dan bagi menentukan semua penderma yang dijangkiti tidak terlepas dari dikesan pada peringkat ujian saringan serologi.

Ujian Saringan NAT

Ujian Saringan NAT (Nucleic Acid Testing) dijalankan bagi mengesan kehadiran virus itu sendiri (pengesan bahan genetik samada RNA atau DNA). Antara virus yang dikesan ialah jangkitan HIV ( RNA ), HBV ( DNA ) dan HCV ( RNA ).

Dengan adanya ujian NAT ini darah akan lebih selamat kerana ia dapat mengesan lebih awal atau dapat mengesan dalam masa “window period” yang mana tidak dapat dikesan oleh ujian saringan serologi.

Tempoh masa bagi mengesan kehadiran virus secara ujian NAT adalah seperti berikut;

  1. Kejangkitan HIV dapat dikesan dalam tempoh 5 hari dari masa kejangkitan ( pengurangan lebih dari 50% dari masa pengesanan secara ujian serologi ).
  2. Kejangkitan HBV, ujian NAT dapat mengesan dalam masa 15 hari (pengurangan lebih dari 40% dari masa kejangkitan yang dikesan secara ujian serologi )
  3. Kejangkitan HCV adalah dalam tempoh 3 -5 hari ( pengurangan lebih dari 70% dari masa yang dapat dikesan melalui ujian serologi ).

(Walau bagaimanapun adakala ujian tidak dapat mengesan kerana kehadiran virus yang terlalu rendah atau kehadiran virus yang tidak menentu ( fluctuate ) terutama bagi pesakit yang menghidapi jangkitan peringkat kronik. Oleh yang demikian ujian saringan darah perlu dijalankan secara serentak iaitu ujian saringan secara serologi dan NAT bagi menentukan darah yang dibekalkan adalah selamat.


Gambar 8 : Ujian keserasian darah terhadap pesakit dan penderma darah

Siapa Yang Menjalankan Ujian

Pegawai yang berkelayakan dan terlatih iaitu Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan Pegawai Sains yang kompeten sahaja akan menjalankan ujian kumpulan darah (ABO dan Rh) dan ujian saringan penyakit berjangkit ke atas darah yang didermakan oleh penderma darah.

Bagaimana Untuk Mengetahui Keputusan Ujian

Sekiranya keputusan ujian makmal adalah normal (ujian saringan penyakit berjangkit ialah non-reaktif), maka kuputusan ujian akan dimaklumkan oleh pegawai perubatan kepada penderma darah semasa temujanji/ sesi pendermaan darah berikutnya.

Sekiranya keputusan ujian makmal tidak menggalakkan (ujian saringan ialah reaktif dan ujian pengesahan ialah positif terhadap penyakit berjangkit), maka penderma darah akan dihubungi oleh panggilan telefon supaya membuat temujanji segera dengan pegawai perubatan.

Implikasi Jika Keputusan Ujian Tidak Menggalakkan

Penderma darah tidak dibenarkan menderma darah untuk sementara waktu atau selama-lamanya (bergantung kepada keadaan atau hasil ujian pengesahan “confirmatory“) dan akan diberi kaunseling dan rawatan bersesuaian oleh pegawai perubatan atau pakar perubatan.

Rujukan

  1. Testing of donated blood. Retrieved August 13th 2013, from http://www.who.int/bloodsafety/donation_testing/en/
  2. Brecher, M.E. (Ed.). (2005). AABB Technical Manual 15th edition. Maryland: S. Karger AG
  3. Transfusion Practice Guidelines for Clinical and Laboratory Personnel, 3rd edition March 2008. Retrieved August 13, 2013, from http://www.pdn.gov.my/

 

Semakan Akhir : 20 November 2013
Penulis : Cheong Tar Wei
Akreditor : Abd. Hamid b. Bon

 

Artikel Berkaitan

Uterine Fibroid

“Fibroid, atau nama lainnya ‘Leiomyoma’ atau ‘Myoma’ adalah sejenis ketumbuhan biasa yang terbentuk daripada dinding atau otot rahim (uterus). Fibroid boleh berlaku dalam bentuk ketumbuhan tunggal atau ketumbuhan berganda dan ia perkara biasa yang dialami oleh kebanyakan wanita dalam lingkungan umur subur (reproductive). Kira-kira 20 % wanita usia subur mempunyai fibroid dan jarang sekali dialami oleh wanita muda sebelum haid. Ketumbuhan ini biasanya mengecut selepas menopaus.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia