A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa populasi penduduk Malaysia adalah seramai 30,097,900 orang. Daripada jumlah tersebut, warga emas di Malaysia dianggarkan seramai 2.54 juta. Warga emas wanita ialah seramai 1.34 juta orang manakala warga emas lelaki ialah seramai 1.2 juta orang.

                                             Statistik Warga Emas Di Malaysia. Graph ilustrasi Fakta Umum Warga Emas, November 11, 2015 1

Perjalanan mengharungi puluhan tahun kehidupan boleh dianggap mencabar. Dalam tempoh tersebut, pelbagai cabaran dihadapi dan pengalaman hidup semakin berharga.

Pada usia emas tersebut, pelbagai aspek perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan sisa-sisa kehidupan dapat dioptimakan sebaik mungkin. Secara ringkasnya usia emas dalam artikel ini merujuk kepada warga emas.

Definisi

Siapakah yang dikategorikan sebagai warga emas?

Berdasarkan takrifan yang dibuat di “World Assembly On Ageing 1982” di Vienna, Austria, Jabatan Kebajikan Masyarakat mendefinisikan warga emas sebagai individu yang berumur 60 tahun ke atas.
Pada usia 60 tahunlah, usia seseorang individu dianggap sebagai tahap usia yang sangat bernilai sehingga diberi gelaran sebagai usia emas.

Fenomena/Trend Terkini

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengunjurkan bahawa Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk negara Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas mencapai 15% daripada jumlah keseluruhan penduduk pada tahun tersebut.

World Health Organization (WHO) telah menyatakan bahawa warga emas masa kini berisiko menghadapi gangguan mental, kemerosotan kesihatan fizikal, dan kecelaruan neurologi.

Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah melakukan pindaan pada 5 Januari 2011 terhadap Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara bagi memastikan cabaran dan isu yang dihadapi oleh warga emas pada masa kini dapat ditangani.

Kenapa Berlaku

Pada garis masa ini juga, warga emas menghadapi peristiwa-peristiwa besar. Antara peristiwa besar yang bakal dihadapi oleh warga emas ialah persaraan, kesihatan fizikal yang terjejas dan kehilangan orang yang signifikan dalam hidupnya seperti pasangan serta kawan-kawan sebaya.
Apabila seseorang mencapai usia emas, seseorang itu sudah tidak begitu produktif terutamanya dalam pasaran buruh. Ada yang telah memasuki alam persaraan bagi yang bekerja dan ada yang menggunakan saki baki simpanan yang dikumpul semasa usia muda atau berharap kepada ehsan anak-anak, saudara mara dan institusi kebajikan bagi meneruskan sisa-sisa kehidupan.

Pada usia ini jugalah, tahap kesihatan fizikal juga semakin merosot. Serangan penyakit seperti tekanan darah tinggi, diabetis, strok serta serangan jantung juga semakin menjadi kebiasaan di kalangan warga emas di Malaysia. Daya ingatan juga semakin terjejas sehingga menganggu fungsi kehidupan seharian warga emas tersebut.

Apabila tahap kesihatan fizikal semakin merudum, kesihatan mental di kalangan warga emas juga turut terjejas. WHO telah mengenal pasti isu-isu berikut yang cenderung dialami oleh warga emas:

  • hilang keupayaan untuk berdikari
  • kesunyian
  • pengabaian fizikal dan emosi oleh waris
  • kemurungan
  • kerisauan

Perubahan yang dilalui oleh warga emas semasa fasa ini adalah normal dalam proses penuaan.

Cadangan Pelan Tindakan

Warga emas digalakkan untuk mendapatkan saringan tahap kesihatan fizikal dan saringan tahap kesihatan mental secara berkala daripada profesional kesihatan.

Jika perlu, profesional kesihatan akan mengenalpasti jenis ubat-ubatan dan terapi psikologi kaunseling yang bersesuaian untuk warga emas berkenaan.

Sokongan psikososial amatlah penting dalam membantu warga emas menangani fasa ini dengan sebaik mungkin.

                                   Sumber: Successful Aging. (2015)2

Rujukan

  1. Demografi Penduduk: Masyarakat Malaysia Yang Pelbagai Kaum. Retrieved November 4, 2015, from http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/profil-malaysia/7962-demografi-penduduk.html
  1. KPWKM.Quick Facts  KPWKM 2014. Retrieved November 4, 2015, from http://www.kpwkm.gov.my/documents/10156/9169c437-cce2-4d33-95dc-d3eb8aa14dd6
  1. JKM.Perkhidmatan Warga Emas. Retrieved November 4, 2015, from http://www.jkm.gov.my/content.php?pagename=perkhidmatan_warga_emas
  1. WHO.Mental Health and Older Adults. Retrieved November 4, 2015 from http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs381/en/
  2. Kiau, Ho Bee. (2014). Masalah kesihatan Pada Warga Emas. Retrieved November 4, 2015, from https://myhealth23.primuscore.com/index.php/warga-emas/pendekatan-dari-segi-gejala/masalah-kesakitan-pada-warga-emas
  3. Takamura, J.C. (2001). Older Adults and Mental Health: Issues and Opportunities. Retrieved November 5, 2015 from http://www.globalaging.org/health/us/mental.pdf
Semakan Akhir : 5 Januari 2017
Penulis : Noor Hafiza binti Abdul Halim                                                                                             
Akreditor : Hj. Hairol Kamal Bin Abd Rahman

Artikel Berkaitan

Komunikasi Dengan Warga Emas

Warga emas adalah orang yang amat berpegalaman dalam kehidupan. Gaya komunikasi mereka juga dijiwai sejak bertahun-tahun lagi. Individu yang berkomunikasi dengan warga emas harus peka dalam isu yang mahu dibicarakan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,827

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia