A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Vaksin-Apakah yang berlaku dalam...

Vaksin-Apakah yang berlaku dalam badan anda?

Vaksin berasal dari perkataan latin ‘Vaccinus’ yang membawa maksud ‘berkenaan dengan lembu’. Ia bermula pada tahun 1796 apabila Dr. Edward Jenner mendapati gadis pemerah susu lembu yang pernah dijangkiti cacar lembu jarang menderita akibat jangkitan cacar. Beliau telah menjalankan penyelidikan dengan mengambil beberapa titis cecair dari jangkitan cacar lembu disuntik ke tangan seorang budak lelaki yang sihat. Setelah enam minggu budak lelaki tersebut dipanggil semula dan disuntik dengan cecair dari penyakit cacar tetapi budak lelaki tersebut sihat dan tidak dijangkiti penyakit cacar. Hasil penemuannya telah berjaya menghapuskan penyakit cacar yang telah membunuh jutaan rakyat Eropah terutama sekali kanak-kanak. Penemuan prinsip penting immunisasi ini, telah diteruskan bagi penyakit lain yang tiada berkaitan dengan lembu seperti difteria, penyakit anjing gila dan sebagainya.

Bermula dari abad ke 17, penyelidikan tentang vaksin telah berkembang sejajar dengan teknologi terkini. Perlaksanaan program imunisasi di negara ini khususnya, adalah bertujuan untuk mencegah, mengurangkan jumlah jangkitan dan sekaligus menyingkirkan penyakit tersebut. Pada tahun 2010 malaysia telah diiktiraf sebagai negara bebas penyakit poliomyelitis. Penyakit yang disebabkan oleh virus polio ini akan menyerang saraf motor mengakibatkan pesakit lemah otot, lumpuh dan boleh menyebabkan kematian. Pengiktirafan ini merupakan satu kejayaan kepada program imunisasi negara.

Sumber utama program imunisasi adalah vaksin. Dari tafsiran sains ia merupakan satu produk biologikal yang digunakan untuk merangsang sistem imun seorang individu terhadap sesuatu penyakit. Produk ini dihasilkan melalui pembiakan agen penyebab penyakit di makmal. Beberapa kajian akan dijalankan bagi mengenalpasti sifat-sifat agen tersebut terutamanya ciri yang menyebabkan sistem imun manusia lambat atau gagal melawan penyakit sehingga memberi kesan serius atau kematian. Berbekalkan maklumat ini, pelbagai jenis vaksin tercipta antaranya:

  1. Vaksin dari agen hidup yang dilemahkan (Live, attenuated virus)

    Vaksin ini dihasilkan dari agen penyebabkan penyakit yang telah dilemahkan dengan teknologi makmal sehingga mengurangkan kesan penyakit berbanding infeksi semulajadi. Vaksin jenis ini merupakan yang terbaik bagi mengajar sistem imun badan mengenal agen penyakit berkaitan tetapi ia hanya sesuai digunakan bagi individu sihat. Antara vaksin yang menggunakan kaedah ini ialah measles, rubella dan demam campak (chickenpox). Walaubagaimanapun, kekurangan vaksin ini adalah seperti berikut:

    1. Tidak sesuai bagi seseorang yang mempunyai tahap imuniti yang rendah seperti pesakit yang sedang menjalani kemoterapi ataupun pesakit HIV
    2. Perlu sentiasa dalam keadaan sejuk untuk mengekalkan potensi vaksin
    3. Kesukaran untuk penghasilan vaksin ini daripada bakteria

    Contoh penghasilan vaksin :

    1. Edward Jenner menggunakan cecair dari penyakit cacar lembu yang menginfeksi gadis pemerah susu sebagai penyakit cacar manusia.(1796)
    2. Maurice Hilleman telah memperolehi virus beguk (mumps) yang menjangkiti anak perempuannya. Virus ini dilemahkan melalui pengkulturan bersiri didalam telur ayam berembrio. Sel tersebut kemudian dikulturkan dimakmal dan jadikan vaksin dikenali Jeryl Lynn mumps vaccine (1963)
    3. Manipulasi DNA. Coleman et al.1 melakukan algorithma pengiraan untuk mereka bentuk urutan DNA. Pensintesis DNA automatik digunakan untuk menghasilkan urutan DNA dan kemudiannya ditransfect ke sel kultur virus menghasilkan virus polio yang dilemahkan.
  2. Vaksin dari agen yang dimatikan (inactivated/killed)

    Vaksin ini mengandungi agen penyebab penyakit yang telah dimatikan menggunakan kaedah bahan kimia, pemanasan atau radiasi di makmal. Namun demikian kuman ini masih dalam keadaan baik dari segi struktur membran dan antigen. Ciri ini menyebabkan sistem imun badan manusia masih boleh mengenalpasti kuman dan bertindakbalas tanpa menyebabkan penyakit. Ia lebih stabil dan tidak menyebabkan mutasi kerana kuman telah mati. Namun kesan rangsangan vaksin ini terhadap sistem imunisasi lemah dan kadangkala memerlukan beberapa dos tambahan bagi mengekalkan tahap imunisasi.Contoh vaksin bagi penyakit polio.

  3. Vaksin dari toksin kuman yang dinyahaktif (Inactivated toxin)

    Jika kuman menghasilkan sejenis toksin yang menjadi penyebabkan utama penyakit. Kaedah menyahktifkan toksin akan digunakan. Toksin akan dirawat dikenali sebagai toksoid. Ia akan bertindak merangsang sistem imun tubuh bagi agar membentuk antibodi yang spesifik melawan toksin terbabit.Contohnya vaksin bagi penyakit difteria dan tetanus.

  4. Vaksin subunit (Subunit vaccine)

    Vaksin yang dihasilkan menggunakan hanya sebahagian dari microorganisma terbabit seperti antigen. Sebanyak satu hingga dua puluh antigen yang telah dikenalpasti terbaik meransang sistem imun bagi penyakit tersebut diasingkan dimakmal. Contoh vaksin bagi Hepatitis B , pertusis dan pneumoniae.

  5. Vaksin konjugat (Conjugate vaccine)

    Vaksin ini dihasilkan bagi kuman penyebab penyakit yang berkebolehan menghasilkan pelindung luar membran dikenali sebagai polisakarida. Ciri ini menyebabkan sistem imun yang tidak matang (sistem imun bayi) tidak dapat mengesan kuman terbabit. Oleh itu , toxoid atau antigen telah gabungkan bersama polisakarida agar sistem imun dapat mengenalpasti dan bertindakbalas membentuk imunisasi badan. Contoh vaksin Haemophilus influenzae type B (Hib).

Sistem imun badan merupakan suatu sistem yang komplek. Ia melibatkan tindakan antara sel dan juga organ. Melalui penggunaan vaksin, sistem imun dapat dirangsang seakan-akan jangkitan kuman secara semulajadi tetapi tidak berterusan kerana agen yang digunakan bersifat lemah, tidak aktif atau sel mati. Tindakbalas sistem imun menyerang dan menyingkirkan agen akan berakhir dengan penghasilan Immune memory cell yang bertindak menghasilkan antibodi yang spesifik terhadap jangkitan.

Apabila individu mendapat jangkitan secara semulajadi , immune memory cell yang terhasil melalui tindakan agen vaksin akan terus menghasilkan sel antibodi yang spesifik terhadap agen. Dengan ini, agen tidak berpeluang melakukan kerosakan kepada sel tubuh lalu terus disingkirkan. Individu yang telah divaksinasi mungkin tidak menyedari jangkitan atau mengalami tanda penyakit yang minima. Selain itu, individu yang telah divaksinasi juga akan melangkau fasa berjangkit dimana, individu ini tidak akan menyebarkan kuman tersebut kepada individu lain dan mengelak berlakunya wabak.

Sumber : http://www.riversideonline.com/health_reference/Infectious-Disease/ID00023.cfm&usg

Vaksin telah diperkenalkan di Malaysia seawal tahun 1956. Melalui Perkhidmatan Kesihatan Kanak-kanak Kebangsaan vaksin penting telah diberikan secara percuma kepada semua bayi dan kanak-kanak. Ia boleh diperolehi mengikut jadual di klinik – klinik kesihatan dan klinik – klinik desa di seluruh negara. Jadual Program imunisasi adalah seperti dibawah:

Sumber dari : http://paedsid.blogspot.com/2010/02/official-immunisation-schedule-of.html

Secara umumnya, kesedaran di kalangan indivudu terhadap peranan vaksin sebagai pencegah penyakit masih kurang di kalangan golongan dewasa di Malaysia. Kegagalan untuk mendapatkan imunisasi sewajarnya akan meningkatkan risiko jangkitan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh patogen mikrob dan seterusnya mneyumbang kepada epidemik penyakit tersebut.Vaksin seperti vaksin Influenza A dan vaksin Hepatitis B diberikan percuma kepada kakitangan hospital yang bertugas mengendalikan spesimen dan menjalankan ujian makmal dan yang berkaitan dengan pesakit yang berisiko tinggi terhadap jangkitan penyakit

Jadual di bawah menunjukkan kelebihan dan kekurangan vaksin:

Kelebihan Vaksin
Kekurangan Vaksin
Melindungi diri , keluarga dan kominiti dari jangkitan penyakit berjangkit. Terutama sekali bayi yang mempunyai sistem imun yang pramatang. Imuniti pasif yang diperolehi oleh bayi dari ibunya hanya berkekalan sehingga beberapa minggu atau bulan sahaja. Berkemungkinan mendapat kesan sampingan seperti demam, muntah dan tidak selesa.Ia bergantung kepada tindakbalas sistem imun individu.
Namun kesan tersebut lebih ringgan berbanding jangkitan penyakit terbabit.
Kos vaksin lebih murah berbanding kos merawat jangkitan terbabit. Kos sesetengah vaksin yang mahal.
Berupaya mengelakkan wabak penyakit.  
Membasmi penyakit seperti penyakit polio diMalaysia.  

Rujukan

  1. National Institute of Allergy and Infectious Disease 2008. Understanding Vaccines-What there , How they work. (http://www.niaid.nih.gov/topics/vaccines/documents/undvacc.pdf).
  2. Viral attenuation by design , Harriet L Robinson1Nature Biotechnology 26, 1000 – 1001 (2008)
  3. World Health Organization oct 2008. Global Imunazation data. http://www.who.int/immunization/newsroom/global_immunization_data_october2008.pdf
Semakan Akhir : 20 Jun 2014
Penulis : Roslina bt. Abd Rahman
Akreditor : Norizah bt. Ismail

Artikel Berkaitan

Ulser Kornea

Kornea adalah lapisan jernih terluar bahagian hadapan mata yang berbentuk

Taun

Pengenalan Taun atau kolera adalah salah satu penyakit bawaan air

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia