A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Wanita Mengandung Dan Kesihatan Mental

Adalah amat penting untuk ibu mahupun orang di sekeliling untuk mengetahui secara umum tanda-tanda gangguan emosi ataupun masalah mental bagi membolehkan ibu mendapat rawatan secepat mungkin. Ini kerana gangguan emosi ataupun masalah mental pada ibu mengandung boleh mempengaruhi proses mengandung, bayi dalam kandungan serta semasa dan selepas bersalin nanti.

Proses mengandung dan melahirkan anak adalah salah satu kurniaan Tuhan yang sangat istimewa. Ia adalah satu proses fisiologi normal bagi wanita yang diberi peluang untuk melaluinya. Proses ini melibatkan perubahan bukan sahaja dari segi fisiologi bahkan anatomi (bentuk badan), hormon dan juga mental ataupun psikologi. Bagi kebanyakkan wanita, proses ini dilalui dengan baik tanpa terdapat apa-apa gangguan tetapi ada juga sebilangan dari mereka melalui perubahan-perubahan yang tidak normal yang memerlukan intervensi dari segi perubatan mahupun perubahan pada gaya hidup dan sebagainya.

Sumber: http://mommycun.blogspot.my

Walaupun proses mengandung dan melahirkan anak adalah satu proses fisiologi yang normal, tidak dapat tidak ada jua masalah yang dihadapi oleh ibu-ibu ini yang sememangnya memerlukan keprihatinan suami, ahli keluarga mahupun rakan taulan di sekeliling.

Wanita dan Kandungan

Wanita mengandung akan mengalami pelbagai perubahan penting dalam kehidupan. Perubahan emosi dan minda sering berlaku. Persoalan berkaitan tanggungjawab terhadap anak yang bakal dilahirkan dan sebagainya. Prosesini mengundang beberapa kesan. Jika keterlaluan, emosi ibu dan anak boleh terganggu.

Ibu mula berfikir tentang status mereka yang bakal bertukar menjadi seorang ibu kepada anak yang baru dan peranan yang mereka bakal jalankan selepas kelahiran bayi tersebut. Ada ibu yang mengalami masalah di tempat kerja kerana ini dan ada yang terpaksa berhenti kerja kerananya. Ibu mula risau akan proses kelahiran yang bakal mereka lalui dan mula sibuk dengan pelbagai persiapan yang perlu mereka lakukan untuk menghadapi kelahiran orang baru itu nanti.

Kerisauan yang pelbagai ini jika tidak diurus pastinya akan mengakibatkan masalah lain yang lebih besar. Ini belum lagi diambil kira masalah perubatan yang boleh muncul semasa kandungan seperti hyperemesis gravidarum, kencing manis, darah tinggi dan kurang darah. Faktor-faktor ini dicampur dengan kerisauan yang sedia ada bakal memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada status kesihatan ibu sepanjang tempoh kehamilan.

Proses kehamilan juga dikategori sebagai satu stress. Proses ini boleh dianggap sebagai stress positif namun boleh bertukar kepada negatif jika tidak diuruskan dengan baik.

Isu Yang Mampu Mengganggu Emosi Ibu

Berikut saya senaraikan isu yang berlaku semasa ibu mengandung yang bakal mengganggu emosi mereka:

  1. Perubahan fizikal yang ketara yang disertai dengan pertambahan berat badan. Begitu juga dengan kaki semasa tempoh akhir kehamilan
  2. Tidur yang terganggu diakibatkan oleh ketidakselesaan 
  3. Sakit-sakit badan yang mengurangkan efisiensi ibu mengandung dalam melakukan kerja harian
  4. Selera makan yang terganggu sepanjang tempoh mengandung. Paling ketara sewaktu mula mengandung. Masalah ini termasuklah masalah muntah-muntah, gastrik, sembelit dan sebagainya
  5. Masalah kerap buang air kecil di akhir kandungan kerana rahim menekan pundi kencing
  6. Ketidakselesaan apabila bersama pasangan 
  7. Pergerakan yang terhad atau terbatas diakibatkan perubahan fizikal

Isu-isu ini menjadi besar apabila ibu perlu melakukan semua perkara sebagaimana semasa mereka tidak mengandung. Ekspektasi orang sekeliling dan juga diri sendiri ini akan mengakibatkan ibu mudah merasa letih secara emosi dan boleh membawa kepada kekecewaan pada diri sendiri mahupun orang sekeliling.

Selain itu kesihatan mental ibu juga boleh dipengaruhi secara umumnya oleh 3 faktor utama. Pertama, ialah status kesihatan mental ibu sebelum mengandung dan jika pernah mengalami sakit mental, adakah ibu pernah memerlukan rawatan atau masih mengambil rawatan. Kedua, isu-isu semasa yang boleh menjadi punca stress pada ibu dan terakhir sekali ialah apakah perasaan ibu terhadap kandungannya.

Ada ibu yang masih tidak bersedia untuk mengandung tetapi hamil akibat tidak melakukan perancangan kehamilan. Ini kadang-kadang menimbulkan kekecewaan pada ibu dan boleh menjadi punca krisis pada diri ibu mahupun orang sekeliling. Situasi ini bukan sahaja boleh berlaku pada pasangan yang tidak bernikah malah boleh berlaku kepada pasangan yang sudah bernikah.

Masalah Mental Ibu Mengandung

Masalah mental yang sering terjadi kepada ibu mengandung ialah masalah kemurungan dan keresahan atau anzieti. Dianggarkan di antara 10% hingga 15% ibu mengandung mengalami masalah ini di sepanjang tempoh kandungan mereka. Ada pelbagai lagi masalah mental yang boleh berlaku dan ianya bergantung kepada faktor-faktor yang telah saya senaraikan di atas.

http://umiwish.blogspot.com

Adalah amat penting untuk ibu mahupun orang di sekeliling untuk mengetahui secara umum tanda-tanda gangguan emosi ataupun masalah mental bagi membolehkan ibu mendapat rawatan secepat mungkin. Ini kerana gangguan emosi ataupun masalah mental pada ibu mengandung boleh mempengaruhi proses mengandung, bayi dalam kandungan serta semasa dan selepas bersalin nanti.

Ibu tidak perlu berasa malu untuk segera berjumpa dengan doktor, kaunselor ataupun mendapatkan apa sahaja bentuk sokongan yang boleh membantu ibu mengatasi masalah kesihatan mental yang mereka alami. Penyelesaian kepada masalah yang ibu alami tidak semestinya ubat sahaja bahkan intervensi psiko-sosial lain juga boleh membantu dengan berkesan.

Intervensi

Untuk ibu yang mempunyai masalah mental, ubatan perlu diteruskan dengan nasihat doktor. Sebarang perubahan pada dos ubat yang sedang diambil perlu dibincang dengan doktor secara serius. Rawatan wajib diteruskan seperti biasa dan temujanji mungkin perlu dilakukan dengan lebih kerap.

Jika sekiranya ibu tidak pernah mengambil ubat dan dicadangkan untuk mengambil ubat, adalah dinasihatkan untuk memahami sepenuhnya tujuan ubat diberikan, kesan samping ubat dan sebagainya. Kefahaman yang jelas, mengurangkan kebimbangan ibu dan penyakit akan lebih mudah untuk dirawat.

Bagi ibu yang tidak memerlukan ubatan, terapi kaunseling dan lain-lain juga boleh membantu mereka. Terapi ini bukan sahaja boleh didapati di hospital, malahan mungkin sahaja di tempat kerja ataupun rumah-rumahibadat. Amat penting untuk ibu sentiasa berbincang dengan suami dan ahli keluarga berkenaan masalah yang ibu alami bagi membolehkan mereka semua memahami keperluan dan kerisauan yang ada pada ibu.

Langkah-langkah lain yang boleh diambil ialah seperti berikut:

  1. Menjaga waktu tidur dan rehat dengan baik. Ibu digalakkan untuk belajar tips bagaimana untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Tips ini boleh didapati melalui doktor anda dan juga dari internet.
  2. Menjaga diet yang sihat dan baik. Elakkan makan makanan yang tidak berzat atau rapu. Wanita perlu belajar mengenalpasti makanan yang bagaimana yang boleh menyebabkan mereka merasa tidak selesa, loya dan muntah-muntah. Banyakkan sayur dan buah-buahan dalam diet bagi membantu sistem penghadaman anda.
  3. Mengenalpasti aktiviti yang boleh menenangkan perasaan dan memperbaiki mood. Ibu boleh cuba meluangkan masa sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk aktiviti ini yang pastinya membolehkan ibu merasa lebih relaks dan gembira.
  4. Sentiasa berbincang berkenaan masalah dengan orang di sekeliling.
  5. Lakukan senaman secara berkala kerana mengandung bukanlah halangan untuk anda melakukan senaman yang boleh menyihatkan badan.
  6. Elakkan merokok ataupun berada dekat dengan orang yang sedang menghisap rokok.

Penutup

Kesihatan mental ibu mengandung adalah amat penting dan perlu diambil perhatian. Ada pelbagai langkah yang boleh dilakukan bagi membantu ibu dan ibu tidak sepatutnya berdiam diri dan merana sendirian. Semoga ibu di luar sana mendapat manfaat dan seterusnya menjadi ibu-ibu yang sihat mentalnya mahupun fizikal.

 

Rujukan:

  1. http://www.rcpsych.ac.uk/healthadvice/problemsdisorders/mentalhealthinpregnancy.aspx?theme=mobile
  2. http://www.nhs.uk/conditions/pregnancy-and-baby/pages/mental-health-problems-pregnant.aspx 
  3. https://www.thewomens.org.au/health-information/pregnancy-and-birth/mental-health-pregnancy
Semakan Akhir : 22 Mei 2017
Penulis : Dr. Ahmad Rostam Bin Md. Zin
Akreditor : Hj. Hairol Kamal Bin Abd Rahman

Artikel Berkaitan

Cinta Dan Remaja

Bukalah mata, bangkitkanlah kesedaran jiwa.
Cinta itu mungkin, sedang mati itu pasti menjemput kita.
Allah tidak bertanya kita berjaya berkahwin dengan orang kita cinta atau tidak, tetapi Allah akan bertanya bahawa umur kita, di mana telah kita usahakan atasnya.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia