A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Warga Emas Terabai

Warga Emas Terabai

Pengenalan

Warga emas didefinisikan menerusi had umur tertentu berdasarkan kepada budaya masyarakat setempat. Walau bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mentakrifkan warga emas adalah individu yang berusia 60 tahun ke atas mengikut ketetapan Persidangan Antarabangsa mengenai Warga Tua di Vienna pada tahun 1982. Had umur ini digunakan sebagai rujukan had umur warga emas dalam polisi dan dasar untuk kesejahteraan warga emas di Malaysia. 

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, golongan warga emas berjumlah 2.2 juta orang atau 7.7 peratus daripada 28.3 juta penduduk Malaysia sehingga tahun 2011.

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun ke arah mencapai matlamat menjadi negara maju. Pembangunan ini sekali gus telah meningkatkan taraf hidup rakyat.

Namun demikian, terdapat segelintir golongan warga emas yang terabai hidupnya. Mereka merupakan golongan minoriti yang tidak diperdulikan hak dan keperluan hidup oleh keluarga atau masyarakat sekelilingnya. Warga emas yang terabai ini didapati hidup sebagai gelandangan di jalanan, tinggal bersendirian dalam kedaifan, terlantar di hospital tanpa waris yang datang melawat dan mengidap penyakit kronik tanpa rawatan dan penjagaan yang sempurna. 

Pengabaian warga emas boleh berlaku dalam semua lapisan masyarakat samada golongan kaya ataupun miskin, profesional ataupun sebaliknya yang mungkin caranya sahaja yang berbeza.

Faktor-Faktor Pengabaian

1. Warga Emas Pernah Mengabai Tanggungjawab Terhadap Keluarga Di Usia Muda

Keluarga warga emas yang terabai sukar melupakan sejarah silam akibat diabaikan. Ada di kalangan mereka yang menyimpan perasaan kecewa, benci dan dendam kerana pernah diabaikan nafkah hidup, tidak diberikan pelajaran, didera atau tidak diberi kasih sayang secukupnya.

Pengalaman ini telah meninggalkan kesan ociale dalam hubungan antara mereka hingga mendorong mereka menyisihkan warga emas walaupun ibu atau bapa kandung mereka sendiri. Ramai di kalangan warga emas yang terabai didapati pernah terjebak dalam gejala sosial di usia muda.

Masalah ocial ini telah menyebabkan mereka gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga. Antaranya seperti melakukan jenayah, menagih dadah, ketagihan arak, berkahwin dan bercerai tanpa tanggungjawab, berfoya-foya dan berjudi.

2. Masalah Kewangan

Warga emas yang tidak mempunyai wang simpanan di hari tua tidak mampu menguruskan kehidupan mereka dengan baik apabila di usia tua, mereka tidak lagi berupaya bekerja kuat mencari nafkah. Ramai di kalangan mereka yang hidup terbiar, menjadi kutu rayau dan pengemis.

Sekiranya keluarga mereka berpendapatan rendah dan ramai tanggunggan, beban penjagaan warga emas akan semakin bertambah. Bebanan kewangan akan bertambah sekiranya warga emas mengalami hilang keupayaan fizikal dan mental.

Kesan penuaan dan timbulnya pelbagai penyakit kronik memerlukan penjagaan berpanjangan serta kos perubatan yang tinggi. Pakar bidang perubatan warga emas telah mengenal pasti lima masalah kesihatan utama yang berkait rapat dengan penuaan iaitu jatuh, tidak dapat mengawal pembuangan air kecil dan air besar, jangkitan kuman, nyanyuk dan kesan ubat-ubatan.

Selain daripada itu, penyakit kardiovaskular, masalah paru-paru, jangkitan kuman, kanser dan masalah usus merupakan lima penyebab utama kematian warga emas di hospital-hospital kerajaan. Apabila keluarga menghadapi bebanan kewangan, mereka tidak mampu menyediakan tempat tinggal yang selesa, membayar bil rawatan yang tinggi, kos pengangkutan untuk rawatan ulangan dan membeli makanan tambahan untuk warga emas.

Tekanan kewangan boleh menyebabkan waris warga emas meninggalkannya terdampar di hospital atau menyerahkannya ke pusat-pusat jagaan dalam komuniti. Sekiranya terpaksa menjaga warga emas, keluarga tidak memberikan penjagaan yang sempurna walaupun tinggal bersama keluarga.

3. Tidak Mengamalkan Nilai-Nilai Agama

Penghayatan nilai-nilai agama sangat penting dalam membentuk peribadi yang mulia. Anak-anak yang tidak mendapat didikan agama dan kerohanian sejak kecil lagi akan cenderung mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawab terhadap ibubapa yang sudah tua. Mereka tidak tahu menghormati, menyayangi dan menghargai pengorbanan serta kepayahan ibubapa yang mengasuh mereka sejak kecil hingga dewasa.

Apabila ibu bapa tidak berupaya dari segi fizikal ataupun mental, mereka melepaskannya kepada pihak lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pusat-pusat jagaan dengan pelbagai alasan. Menjaga ibu atau bapa mereka yang sudah uzur dianggap suatu bebanan dan bukan satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

4. Kesibukan Mengejar Kesenangan Hidup

Warga emas juga boleh terabai walaupun tinggal bersama keluarga sekiranya ahli keluarga atau anak-anak sibuk mengejar kesenangan hidup dan terlalu aktif dengan aktiviti sosial. Mereka ditinggalkan berseorangan dan kesunyian hingga tidak mempunyai peluang berkomunikasi, meluahkan masalah atau berkongsi kegembiraan dengan ahli keluarga.Kadang kala masalah kesihatan mereka juga tidak dihiraukan.

Keadaan ini merupakan salah satu sebab warga emas lebih suka tinggal di rumah sendiri. Namun demikian, warga emas yang tinggal berasingan atau berjauhan dengan anak-anak atau warisnya juga akan terabai sekiranya jarang-jarang diziarahi, tidak diberikan sumbangan kewangan, tidak dihiraukan keadaan kesihatan, keselamatan dan makan minum atas alasan sibuk dengan urusan kerja.

5. Tiada Waris Yang Boleh Menjaga

Warga emas akan terabai apabila tiada waris yang boleh menjaganya terutama dalam kalangan warga emas berstatus bujang, duda atau janda yang tidak berwaris atau waris tidak dapat dikesan. Biasanya mereka terpaksa tinggal di pusat-pusat jagaan yang dikendalikan samada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, dijaga oleh rakan-rakan, jiran atau orang-orang yang bersimpati dengan mereka.

6. Jurang Komunikasi Dan Nilai Hidup

Jurang komunikasi dan nilai hidup yang berbeza antara anak-anak dan menantu dengan ibu atau bapa atau mertua yang sudah tua boleh menimbulkan pertelingkahan dan perselisihan faham. Keadaan ini boleh menyebabkan samada mereka merajuk dan sanggup tinggal bersendirian atau pergi ke pusat jagaan.

Sekiranya keluarga tidak boleh bersabar dengan kerenah dan ragam warga emas tambahan pula jika warga emas mengalami masalah kesihatan yang kronik seperti sakit tua, nyanyuk dan sakit mental, mereka akan mengambil jalan mudah dengan menghantar ke pusat jagaan atau membiarkannya tanpa penjagaan yang sempurna.

7. Sikap Mementingkan Diri Sendiri

Dalam mengejar kesenangan hidup, anak-anak terutamanya lebih cenderung mementingkan diri sendiri hingga mengabaikan kebajikan orang tua. Ada di kalangan anak-anak yang hanya mempergunakan ibu bapa yang sudah tua untuk menguruskan kerja rumah atas alasan sukar mendapatkan pembantu rumah atau kos hidup yang semakin meningkat.

Apabila ibu atau bapa telah uzur, anak-anak yang mementingkan diri sendiri ini akan mengambil jalan mudah dengan menghantar mereka ke pusat-pusat jagaan, ditinggalkan di hospital atau di tempat awam.

Kesan-Kesan Pengabaian

1. Penempatan Di Institusi Kebajikan

Warga emas yang tiada mempunyai waris yang mahu menjaga mereka terpaksa tinggal di pusat-pusat jagaan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, badan bukan kerajaan ataupun pihak swasta.

Terdapat dalam kalangan waris atau keluarga warga emas yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pusat jagaan untuk menjaga mereka dan tidak lagi menjengok atau bertanya khabar berita atas pelbagai alasan sehingga meninggal dunia. Sekiranya masalah pengabaian warga emas tidak dibendong maka akan bertambah kemasukan warga emas ke pusat-pusat jagaan.

2. Bebanan Kos Perkhidmatan Perubatan  

Warga emas yang terdampar di hospital-hospital kerajaan juga merupakan golongan yang terabai kerana tidak ada waris dapat dikesan atau tiada waris yang mahu menjaga mereka. Masalah ini memberikan tekanan kepada pihak hospital seperti meningkatnya bil rawatan, bebanan tugas pengesanan waris, penggunaan katil yang menghadkan kemasukan wad untuk pesakit lain dan kos pengurusan jenazah tidak dituntut.  

Pegawai Kerja Sosial Perubatan di hospital-hospital kerajaan juga menghadapi cabaran dalam membantu golongan ini kerana sukar mendapatkan pusat-pusat jagaan yang ada dalam komuniti. Pusat-pusat jagaan dalam komuniti mempunyai kriteria kemasukan tersendiri samada daripada segi kos penjagaan, jantina, status kesihatan fizikal, mental, agama dan bangsa. Lebih mencabar lagi sekiranya warga emas yang terdampar ini tidak boleh menguruskan diri sendiri, berpenyakit mental dan penyakit berjangkit.

3. Bebanan Kos Operasi Pusat-Pusat Jagaan

Apabila permintaan kepada kemudahan pusat jagaan meningkat, maka pihak kerajaan terpaksa memperuntukkan dana untuk membangunkan pusat jagaan ataupun pusat jagaan harian. Peruntukan dana juga terpaksa disalurkan setiap tahun kepada badan-badan bukan kerajaan untuk menyokong usaha mereka menyediakan kemudahan pusat jagaan.

Keadaan akan menambahkan beban kewangan negara sedangkan keluarga yang sepatutnya bertanggungjawab memelihara ahli keluarga yang sudah tua. Selain daripada itu, pihak badan bukan kerajaan pula terpaksa mencari dana melalui kutipan derma dari orang ramai untuk membuka lebih banyak pusat jagaan. Secara tidak langsung masyarakat terpaksa menanggung beban bagi membantu mengatasi masalah warga emas yang terbiar.

4. Mengancam Kesihatan Dan Keselamatan Warga Emas  

Terdapat warga emas yang lebih rela tinggal di rumah sendiri atas alasan tidak mahu menyusahkan anak-anak atau saudara mara. Walau bagaimanapun, aspek keselamatan diri dan jagaan kesihatan amat penting bagi warga emas kerana kesan proses penuaan dan pelbagai penyakit kronik akan membawa kepada kemerosotan fizikal dan mental.

Warga emas yang tidak mempunyai sokongan sosial yang cukup daripada keluarga ataupun masyarakat sekeliling akan hidup terabai dan berisiko terdedah kepada kemalangan, jangkitan kuman, kesakitan dan kematian seorang diri. Mereka juga terdedah kepada ancaman jenayah seperti pembunuhan, penipuan dan rompakan.

5. Mencemarkan Imej Negara

Sekiranya ramai warga emas hidup melarat, merayau-rayau dan mengemis di khalayak awam, imej negara akan terjejas terutama di kalangan para pelancong kerana melambangkan masyarakat Malaysia telah semakin terhakis perasaan prihatin, hormat dan menyayangi golongan tua. Kerajaan terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membantu pengoperasian pusat-pusat jagaan yang menguruskan warga emas samada diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat ataupun pihak badan bukan kerajaan.

6. Runtuh Nilai Agama dan Adat Resam

Keluarga yang mengabaikan warga emas telah menafikan hak dan keperluan warga emas untuk dilindungi dan dihormati. Nilai kasih sayang dan menghargai jasa warga emas yang telah luntur boleh mengakibatkan bukan sahaja masalah menghantar mereka ke pusat jagaan malahan melakukan kekejaman terhadap mereka seperti memukul, menendang, merampas harta benda dan membunuh. Konsep ketaatan dan hormat kepada orang tua telah ditidak diperdulikan dan diamalkan oleh keluarga. Adat resam serta budaya murni masyarakat akan tercemar sekiranya warga emas ini diabaikan.

7. Tekanan Emosi

Warga emas yang terabai akan mengalami tekanan emosi kerana diabaikan. Mereka yang mengalami penyakit kronik seperti penyakit strok, kanser, kecacatan fizikal dan masalah buah pinggang akan lebih tertekan kerana tidak berupaya menguruskan diri sendiri. Dalam masa yang sama tidak ada waris yang boleh membantu menjaga mereka. Oleh kerana tidak berupaya menangani tekanan emosi, ada di antara mereka yang mengalami penyakit kemurungan dan ingin membunuh diri.

8. Hubungan Dalam Institusi Kekeluargaan Yang Rapuh

Institusi kekeluargaan semakin rapuh kerana nilai hormat menghormati dan tanggungjawab terhadap menjaga orang tua atau ibubapa yang sudah tua telah hilang. Keluarga sibuk dengan urusan sendiri dan tidak mahu menanggung bebanan menjaga warga emas.

9. Persepsi Negatif Masyarakat

Sekiranya keluarga tidak lagi memperdulikan warga emas dan melepaskan tanggungjawab kepada masyarakat dan kerajaan maka warga emas akan dipandang sebagai bebanan dan bukan lagi sebagai satu tanggungjawab. Warga emas tidak diberi tempat yang sewajarnya dalam masyarakat.

10. Bertentangan Dengan Nilai Hidup Bermasyarakat.

Budaya menghantar warga emas ke pusat jagaan sebenarnya bertentangan dengan nilai budaya masyarakat timur yang mengutamakan nilai hidup berkelompok dan saling tolong menolong.   Menghantar warga emas ke pusat jagaan bukanlah satu pilihan yang terbaik kerana kehidupan dalam suasana keluarga adalah lebih baik berbanding dengan kehidupan di pusat jagaan.

Jenis-Jenis Pengabaian Warga Emas

Isu pengabaian warga emas merupakan isu sosial yang biasanya digunakan untuk menerangkan tentang tindakan atau perbuatan yang menjejaskan kesejahteraan hidup warga emas oleh orang lain.

Sukar untuk ditentukan samada sesuatu perbuatan pengabaian itu dilakukan dengan niat atau tanpa niat kerana terdapat berbagai faktor dan situasi yang memperngaruhinya. Pengabaian warga emas boleh berlaku dalam berbagai keadaan samada di rumah, pusat jagaan, hospital atau dalam komuniti. Perbuatan pengabaian ini mungkin dilakukan oleh penjaga tidak formal seperti anak-anak, pasangan atau saudara mara atau penjaga formal seperti   di pusat-pusat jagaan.

Terdapat dua jenis pengabaian yang sering berlaku dalam masyarakat iaitu:

Pengabaian Fizikal

  1. Tidak menyediakan keperluan asas dan nafkah hidup yang mencukupi seperti makan minum, pakaian dan kemudahan tempat tinggal.
  2. Menafikan keperluan mendapatkan rawatan, pemulihan kesihatan dan jagaan kebersihan diri seperti tdak membiayai kos perubatan, memandikan atau menyalinkan lampin jika sakit terlantar.
  3. Membiarkan warga emas hidup melarat, merayau-rayau atau mengemis di jalanan.
  4. Mengasing atau meninggalkan warga emas keseorangan dalam keadaan yang membahayakan keselamatan dan kesihatannya.
  5. Tidak menghubungi atau melawat warga emas
  6. Memaksa atau membiarkan warga emas melakukan aktiviti atau kerja yang boleh menjejaskan kesihatan mereka

Pengabaian Psikologikal

  1. Membiarkan warga emas dalam kesedihan atau kemurungan
  2. Tidak memberi perhatian terhadap pandangan dan kebolehan warga emas
  3. Melayan dengan perkataan dan perbuatan yang mengguris hati
  4. Mengasing atau menghalang hubungan komunikasi dengan orang lain seperti panggilan telefon, surat menyurat, pelawat atau aktiviti sosial.
  5. Tidak meraikan dan menghargai kehadiran warga emas
  6. Menghalau atau menyisihkan warga emas
  7. Tidak membantu melakukan aktiviti-aktiviti yang diminati seperti menghadiri aktiviti agama, riadah atau kebudayaan.

Jenis-Jenis Bantuan

  1. Bantuan Kewangan untuk sarahidup dan keperluan perubatan
  2. Bantuan   Penempatan Pusat Jagaan
  3. Bantuan Khidmat Bimbingan dan Kaunseling
  4. Bantuan Kemudahan Perubatan
  5. Bantuan Khidmat Bantu Di Rumah

Sumber-Sumber Komuniti

Warga emas yang terabai perlu diberikan sokongan dan bantuan kerana mereka juga mempunyai hak untuk menikmati kualiti hidup yang baik dalam masyarakat. Terdapat pelbagai pihak yang memberikan perkhidmatan sokongan kepada golongan ini samada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan ataupun pihak swasta. Kemudahan-kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh mereka adalah seperti:

1. Pusat Jagaan

Di Malaysia terdapat tiga badan yang mengendalikan pusat jagaan untuk warga emas terabai iaitu badan kerajaan, badan bukan kerajaan dan badan swasta. Pihak kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat mengendalikan pusat-pusat jagaan seperti Rumah Seri Kenangan untuk warga emas yang terbiar dan Rumah Ehsan untuk warga emas terbiar yang sakit terlantar.

Pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di pusat jagaan ini meliputi perlindungan, rawatan perubatan, bimbingan dan kaunseling, cara pulih kerja, kemudahan beribadat dan riadah. Perkhidmatan pusat jagaan telah semakin banyak disediakan oleh badan-badan bukan kerajaan dan juga pihak swasta kerana permintannya yang semakin meningkat.

2. Pusat Jagaan Harian

Warga emas yang tiada waris yang boleh menjaga kerana sibuk bekerja di siang hari boleh tinggal di pusat jagaan harian yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan atau swasta. Terdapat berbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh warga emas bagi mengisi masa di pusat jagaan seperti aktiviti senaman dan riadah, pemeriksaan kesihatan, kaunseling dan kumpulan sokongan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat mengawasi operasi Pusat Jagaan Harian Warga Emas. Pusat jagaan ini memberi kemudahan jagaan harian kepada warga emas terutama bagi mereka yang tinggal berseorangan semasa ketiadaan keluarga atau penjaga yang keluar bekerja. Warga emas dapat belajar berdikari, berinteraksi sesama mereka dan juga dengan masyarakat tempatan. Di samping itu juga, mereka memperolehi pengetahuan dan kemahiran serta terus dapat menyumbang khidmat sukarela kepada masyarakat.

3. Bantuan Kewangan Sara Hidup

Bantuan sarahidup bulanan disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi warga emas yang layak mengikut kriteria yang ditetapkan berdasarkan kepada penilaian Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti tiada waris yang menanggung, tiada pendapatan dan waris tidak sanggup menjaga.

Selain daripada itu, keluarga atau waris yang menjaga warga emas tidak upaya atau terlantar boleh mendapat elaun sebanyak RM300.00 sebulan sebagai satu insentif kerajaan kerana bebanan yang ditanggung sebagai penjaga warga emas.  Walau bagaimanapun, penjaga hendaklah berstatus warganegara, bermastautin di Malaysia dan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000.00.

4. Kemudahan Perubatan

Selain daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia juga turut memainkan peranan untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas dengan menyediakan kemudahan perubatan, aktiviti rekreasi dan kebajikan.

Pengecualian caj pendaftaran pesakit luar sebanyak RM1 di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia serta klinik pergigian milik kerajaan diberikan kepada warga emas mulai 1 Januari 2012. Mulai 1 Mei 2012, warga emas juga dikecualikan daripada caj pendaftaran rawatan pakar sebanyak RM5 dan pengurangan caj pesakit kelas 3 sebanyak 50 peratus dengan caj maksimum sebanyak RM250 bagi setiap kemasukan.

Bantuan kewangan bagi warga emas yang tidak mampu membiayai kos perubatan yang tidak dibekalkan oleh hospital kerajaan juga disediakan melalui perkhidmatan Jabatan Kerja Sosial Perubatan di hospital-hospital kerajaan di seluruh Malaysia yang menjadi perantara dengan pihak agensi bantuan dalam komuniti.

Antara agensi-agensi bantuan yang membantu pembiayaan kos peralatan rawatan dan pemulihan pesakit yang disyorkan oleh doktor adalah seperti Tabung Bantuan Perubatan KKM, Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat,   Baitulmal, Lembaga Zakat Negeri, MAKNA dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.

5. Khidmat Bantu Di Rumah

Khidmat bantuan di rumah telah diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui khidmat sukarelawan. Sukarelawan akan membantu keluarga yang memerlukan sokongan sosial dalam menjaga warga emas yang kurang upaya.

Pekerja sukarela yang dilatih akan membuat lawatan ke rumah warga emas untuk membantu menjalankan urusan harian seperti kebersihan tempat, menemani warga emas, membeli-belah, membayar bil dan penjagaan kesihatan. Perkhidmatan Khidmat Bantu di Rumah (Home Help Services) dilaksanakan oleh Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) seperti Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (MPKSM), Persatuan Kebajikan USIAMAS, Persatuan Gerontologi Malaysia (GeM) dan PSK lain.

6. Khidmat Bimbingan dan Kaunseling

Warga emas yang menghadapi masalah psikososial boleh mendapatkan khidmat bimbingan dan kaunseling   melalui pelbagai agensi kerajaan seperti melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan serta bada-badan bukan kerajaan yang terlibat dalam memberikan bantuan kepada golongan warga emas seperti Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).

Kesimpulan

Walaupun terdapat banyak pusat jagaan di negara kita, kemudahan ini bukan bermakna langkah terbaik menyelesaikan masalah pengabaian warga emas oleh keluarga. Institusi kekeluargaan perlu dipertahankan dan dibantu melalui kolaborasi agensi bantuan. Pihak kerajaan boleh menggalakkan ahli masyarakat supaya membantu keluarga yang menghadapi masalah kurang sokongan sosial untuk menjaga warga emas melalui kempen galakan khidmat sukarela dan mengadakan akta menjaga ibu bapa supaya mereka tidak diabaikan oleh anak-anak.

Semakan Akhir : 31 Januari 2017
Penulis : Pn. Suraiyah Binti Harun
Akreditor : YM Ku Abdul Halip Bin Hj Ku Yaakob

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia