A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Bayi Pramatang

Kebanyakan bayi dilahirkan dalam lingkungan 40 minggu usia kandungan. Bayi dikatakan matang jika lahir di antara 37 ke 42 minggu usia kandungan. Jika bayi dilahirkan sebelum 37 minggu usia kandungan ia dikatakan kelahiran pramatang.

Bilakah bayi dikatakan pramatang?

Kebanyakan bayi dilahirkan dalam lingkungan 40 minggu usia kandungan. Bayi dikatakan matang jika lahir di antara 37 ke 42 minggu usia kandungan. Jika bayi dilahirkan sebelum 37 minggu usia kandungan ia dikatakan kelahiran pramatang.

Ramaikah bayi dilahirkan pramatang?

Insiden bayi pramatang berbeza di setiap negara. Di Malaysia lebih kurang 8% bayi dilahirkan pramatang.

Mengapakah bayi dilahirkan pramatang?

Penyebab pramatang sering tidak diketahui, antara penyebab:

  • Pecah ketuban awal yang mana disebabkan infeksi air ketuban dan selaput ketuban.
  • Kelahiran bersalin tidak cukup bulan.
  • Sejarah kelahiran pramatang.
  • Kandungan kembar contoh kembar 2 atau 3 dan seterusnya.
  • Kelainan struktur rahim dan servik.
  • Ibu mengalami tekanan darah tinggi semasa mengandung dan kedudukan uri di bawah (placenta praevia).
  • Sokongan sosial yang lemah.
  • Pengambilan alkohol, dadah berbahaya dan merokok semasa mengandung.
  • Jangkitan pada salur kencing.
  • Jangkitan kongenital dalam kandungan.
  • Kecacatan kongenital.

Bagaimana rupa dan tingkah laku bayi pramatang?

  • Bayi pramatang dilahirkan kecil sifat-sifat pramatang dan keterukan bergantung pada usia kandungan.
  • Berat badan bayi pramatang selalunya antara 500 gm untuk usia kandungan 22 minggu hingga 1000 gm untuk 28 minggu dan 1500 gm untuk 32 minggu dan 2.5 kg untuk 37 minggu.
  • Tanda-tanda dan gejala bergantung pada yang dihidapi komplikasi.

Patutkah kita risau jika bayi dilahirkan pramatang?

Pra matang adalah berkaitan dengan komplikasi yang mungkin berlaku. Lebih awal pramatang maka lebih tinggi risiko untuk setiap komplikasi. Komplikasi awal dan lewat adalah termasuk:

  • Sindrom kesesakan pernafasan disebabkan kekurangan cecair yang dipanggil surtaktan di dalam paru-paru.
  • Pendarahan di dalam otak.
  • Jaundis.
  • Masalah dan kesukaran penyusuan disebabkan usus yang pramatang.
  • Masalah jangkitan – jangkitan di dalam darah (septisemia), paru-paru (radang paru-paru), selaput di sekeliling otak dan saraf tunjang dan pereputan usus (Necrotising Enterocolitis).
  • Penyakit retina yang tidak matang (Retinopathy of Prematurity) – satu keadaan pertumbuhan salur darah di dalam mata yang tidak matang.
  • Penyakit paru-paru yang kronik.
  • Salur darah yang menyambung antara jantung dan paru-paru tidak tertutup (Patent Ductus arteriosus) yang mana boleh menyebabkan kesesakan dalam pernafasan atau kegagalan jantung berfungsi.
  • Inguinal hernia akibat kelemahan otot-otot di pelipat paha.

Komplikasi Lewat:

  • Serebral palsi
  • Kecacatan otak
  • Sawan (Epilepsy)
  • Buta
  • Pekak
  • Ketidak upayaan untuk belajar
  • Perkembangan lambat
  • Pembesaran perlahan

Kadar kematian adalah tinggi walaupun mendapat rawatan rapi, bayi yang dilahirkan antara 26 hingga ke 28 minggu usia kandungan mengalami kadar kematian antara 30%- 50% manakala bayi yang dilahirkan sebelum 26 minggu usia kandungan mempunyai kadar kematian antara 80-100%. Lebih matang seseorang bayi maka peluang untuk hidup adalah tinggi. Bayi yang lahir melebihi 34 minggu usia kandungan mempunyai 90% peluang untuk hidup.

Adakah bayi pramatang memerlukan penjagaan khas?

Keperluan penjagaan bergantung kepada keadaan dan tahap keseriusan pramatang seseorang bayi. Penjagaan am adalah diperlukan untuk semua bayi pramatang:

bayi pramatang

  • Pengawalan suhu badan
    • Perlu dirawat di dalam inkubator atau di bawah pemanas radian (seperti dalam gambar)
  • Pemantauan tahap gula dalam badan
    • Untuk mengesan dan merawat tahap gula sama ada tinggi atau rendah.
  • Pembekalan nutrisi
    • Bayi yang hampir matang iaitu melebihi 35 minggu yang mana dalam keadaan sihat selalunya boleh diberi penyusuan ibu secara eksklusif. Untuk bayi yang lebih awal pramatang selalunya memerlukan susu formula sebagai nutrisi tambahan pada peringkat awal umurnya.
  • Mengelakkan daripada jangkitan
    • Mencuci tangan adalah perkara asas yang penting sebelum dan selepas merawat bayi.

Rawatan khas bergantung kepada keadaan bayi dan komplikasi yang dialami. Contohnya:

  • Ventilasi dan rawatan surfaktan untuk masalah pernafasan.
  • Pemantauan yang rapi untuk bayi yang menerima oksigen terapi.
  • Pemberian cairan dan elektrolit untuk bayi yang tidak sihat.
  • Parenteral nutrisi (Nutrisi yang diberi terus ke dalam saluran darah) diberi kepada bayi yang tidak boleh menerima susu melalui usus. Perahan susu badan atau susu formula selalunya diberi melalui tiub orogastrik kepada bayi pramatang yang mana boleh menerima susu secara enteral.
  • Antibiotik diberi sekiranya disyaki atau ada jangkitan.
  • Ultrasound dilakukan pada otak untuk mengesan dan merawat perdarahan dalam otak atau lain-lain yang tidak normal.
  • Saringan untuk penyakit retina  mata (ROP), rawatan laser atau terapi crayo akan diberi pada bayi yang mempunyai masalah mata yang serius.
  • Bayi yang mempunyai penyakit paru-paru yang kronik dan boleh dirawat di rumah, bekalan oksigen perlu disediakan di rumah.

Isu Etika

  • Kaunseling dan sokongan pada ibu bapa adalah penting bagi membantu ibu bapa dalam menangani dan memahami dalam penjagaan bayi mereka.

Bolehkah sesuatu kelahiran bayi pramatang dielakkan?

Langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kelahiran pramatang:

  • Wanita yang mengandung mengelakkan pengambilan dadah, alkohol dan rokok.
  • Jagaan pra kehamilan untuk wanita yang mempunyai masalah perubatan yang kronik contoh kencing manis.
  • Bilangan janin dihadkan untuk kandungan kaedah tabung uji
  • Penjagaan awal antenatal dan penjagaan berkala dapat mengesan dan merawat awal dalam mencegah komplikasi.

Mengurangkan risiko komplikasi untuk bayi pramatang:

  • Penggunaan corticosteroid apabila menjangkakan kelahiran pramatang akan berlaku, membantu kematangan paru-paru dan mengurangkan risiko, RDS, IVH, NEC dan kematian bayi.
  • Penggunaan tocolytic untuk melambatkan proses kelahiran untuk beberapa hari bagi memberi peluang steroid untuk bertindak balas sebelum kelahiran berlaku
  • Pengurusan dan penjagaan yang optimum di bilik bersalin dan di unit neonatal adalah amat baik untuk mendapatkan hasil yang baik.

Pemulihan adalah aspek yang penting dalam rawatan?

Semasa keluar wad, nasihat berkaitan perlu diberikan:

  • Perlu meneruskan ubat-ubatan yang diberi termasuklah vitamin dan zat besi.
  • Memastikan nutrisi yang diberi menepati tahap maksimum pada bayi pramatang.
  • Mematuhi jadual pelalian rutin untuk kanak-kanak.
  • Menjauhkan tempat yang sesak untuk mengelakkan kanak-kanak mendapat jangkitan seperti batuk atau selesema.

Rawatan susulan untuk bayi pramatang

  • Untuk menilai tahap pertumbuhan dan perkembangan.
  • Merawat komplikasi.

Sesetengah kanak-kanak akan memerlukan:

  • Fisioterapi, terapi cara kerja dan lain-lain terapi.
  • Pendidikan khas
Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Nama Penulis : Dato’ Dr. Lim Nyok Ling
  : Dr. Lim Sern Chin
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar

Artikel Berkaitan

Menangis Berterusan

Menangis berterusan adalah masalah bayi yang biasa kepada ibubapa atau penjaga bayi baru lahir atau bayi berusia kurang dari satu tahun. Menangis adalah satu cara bayi berhubung untuk menunjukkan mereka mempunyai masalah atau tidak selesa.

Bayi Pramatang Lewat

Bayi pramatang lewat adalah bayi yang dilahirkan antara tempoh kandungan 34 minggu 0 hari hingga 36 minggu 6 hari.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,808

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia